BAB 3

Romance Series 22806

“Sedap betul laksa tadi. Teringat-ingat sampai sekarang. Kat mana si Nay tu jual laksa.” Kamal membuka topik perbualan.
“Kalau kau nak tau, tanya Irfan. Aku malas nak ambik tahu.” Tidak tahu kenapa dia jadi sakit hati mendengar nama minah laksa itu.
Kalaulah perempuan tidak muncul di saat nenda memaksa dia berkahwin, tidaklah dia rasa sakit hati macam ni. Pertama kali dalam hidupnya kena tengking dan dipanggil bodoh. Tapi dia memang bodoh pun. Terus sahaja menuduh tanpa usul periksa. Setahunya kawan-kawan nenda semua orang kenamaan atau kerabat. Tidak mungkinlah ada anak selekeh macam Nayla.
“Sedap kan laksa dia.”
“Kau nak aku pecat kau ke.” Tengku Mikhael naik angin. Sebut laksa dia jadi teringat kepada Nayla. Teringat kepada Nayla... teringat dia kena bodoh.
“Itu pun nak marah. Kenapa marah ni? Mesti ada apa-apa jadi kan.” Kamal mengesan sesuatu. Tidak pernah majikannya berperangai begitu. Nak kata jatuh cinta, memang mustahil. Lagipun majikannya sudah ada kekasih.
“Mana ada apa-apa.” Tengku Mikhael menafi. Terus dia bangun dari duduknya. Mendekati tingkap. Pandangan ditebarkan ke luar. Separuh Bandaraya Kuala Lumpur dapat dilihat dari tingkap pejabatnya.
Kenapa dia asyik teringatkan kata-kata perempuan itu. Berlagak, sombong dan bongkak. Itu yang Nayla sebut tadi. Betul ke dia bersikap begitu. Adakah harta buat dia sombong? Haruskah dia beritahu Kamal.
“Tadi nenda tunjuk gambar anak kawan dia. Konon-konon dia nak kenalkan kat aku.” Tengku Mikhael membuka cerita. Dia tak boleh sembunyikan apa-apa dari Kamal. Pembantu merangkap kawan baiknya itu pasti akan jumpa cara untuk dia buka mulut.
“Jadi... apa kena-mengena dengan Nayla.” Kamal mendengar dengan teliti. Sudah dia jangka ada sesuatu terjadi antara dua manusia itu. Kalau tidak, takkanlah Tengku Mikhael kelihatan kusut.
“Aku bukak pintu nak keluar. Tiba-tiba dia berdiri kat depan pintu. Sebelum aku keluar tu, nenda cakap anak kawan baik dia nak datang.”
“Jadi kau ingat Nayla tu calon jodoh kau.” Kamal ketawa terbahak-bahak. Dapat dia bayangkan bagaimana rupa majikannya saat berjumpa Nayla. Gadis tomboi dan selekeh. Rasanya kalau semua gadis sudah pupus di dunia baru Tengku Mikhael pilih perempuan itu. Gelaknya tidak dapat dihentikan. Lucu sangat sehingga dia menekan-nekan perut.
Tengku Mikhael mendengus. Memang patut dia diketawakan. Tapi dia buat muka selamba sahaja.
“Kau marah dia lepas tu kau kutuk-kutuk dia. Kan?”
Diam. Rasanya jika dia tidak jawab pasti Kamal boleh meneka. Kedengaran keluhan kasar sebelum dia kembali duduk. Badan disandarkan ke belakang. “Dia panggil aku bodoh.”
Serta-merta terhenti ketawa Kamal. Ternganga dia mendengar kata-kata Tengku Mikhael. Beraninya perempuan itu. Patutlah majikannya tidak senang duduk dari tadi. Pertama kali dipanggil bodoh oleh seorang perempuan. Selama ini perempuan-perempuan yang muncul dalam hidup Tengku Mikhael hanya meliuk lentok menggoda.
“Nenda pun satu. Asyik suruh aku kahwin. Aku kan dah ada Lisa.”
“Tapi nenda ingat kau dengan Lisa dah putus kan.”
Tengku Mikhael mengeluh. Itu yang dia beritahu nenda. Entah kenapa tiba-tiba nenda minta dia putus dengan Lisa sedangkan sebelum kekasihnya ke luar negara, nenda begitu baik dengan nenda. Lisa adalah anak kenalan nenda. Cinta hatinya sejak di universiti.
“Bila Lisa nak balik KL?” Hairan sebenarnya dengan Tengku Mikhael. Kenapa tidak berterus terang tentang kewujudan Lisa. Tiada siapa tahu hubungan cinta Tengku Mikhael dengan pereka fesyen yang sedang meningkat naik itu. Lisa sedang mendaki puncak populariti di New York sana.
Bertebaran gosip Lisa dengan kenamaan dan juga artis terkenal. Lepas seorang kenamaan, seorang lain digosipkan dengan Lisa. Malah sekarang Lisa dikatakan hangat bercinta dengan kerabat diraja Brunei.
“Kau tau kan aku tak nak kacau dia selagi impian dia tak tercapai. Aku sayangkan Lisa. Dah lama kami bercinta. Aku tunggu dia balik saja. Baru pujuk nenda untuk restu hubungan kami. Tapi itulah, nenda asyik desak aku kahwin.”
“Apa lagi impian dia yang tak tercapai. Rasanya semua dah tercapai. Sepatutnya dia balik. Buka butik kat sini. Kenalkan Malaysia ke mata dunia.” Kamal tidak puas hati dengan Lisa sebenarnya. Nama sahaja mencipta nama dengan usaha sendiri. Belanja bulanan Tengku Mikhael yang beri. Sebut apa sahaja yang dimahukan. Dengan sekelip mata Tengku Mikhael wujudkan. Ajak kahwin liat.
“Kau dah minta maaf kat dia?”
“Siapa?”
“Minah laksa tu.”
Tengku Mikhael geleng.
“Tak jatuh ego kau kalau minta maaf. Silap-silap dia lagi respect kau. Dah buat salah pandailah minta maaf.” Sesekali dia memang perlu syarahkan majikannya. Dalam urusan perniagaan atau syarikat dia hebat. Jaguh.
Siapa tak kenal Tengku Mikhael bin Tengku Arsyad. Pemilik terbesar saham Kumpulan Tahan. Selain menjadi pemilik MiKKa, sebuah syarikat pembuatan kasut yang juga memiliki lesen mengimport kasut dan aksesori lelaki berjenama dari luar negara, Tengku Mikhael mewarisi harta peninggalan arwah ayah dan ibunya.
Arwah Tengku Arsyad adalah penerus legasi Tengku Ridzuan, pengasas Tahan Padu, sebuah syarikat pembinaan. Banyak mendapat projek-projek mega di seluruh Malaysia. Pencapaian terbesar Tahan Padu adalah memperolehi beberapa tender pembinaan di luar negara bernilai berbilion ringgit.
Arwah ibunya, Tengku Juwita memiliki rangkaian kedai emas terbesar di Malaysia. Bukan itu sahaja, arwah Tengku Juwita juga adalah pemilik gedung kain serta jenama fesyen Cantik Jelita. Kedua-duanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.
“Macam mana kalau dia dekat dengan nenda sebab ada tujuan lain. Tak pernah tau nenda nak rapat-rapat dengan orang biasa sebelum ni.” Perkara itu menggusarkan hatinya. Nayla bukan sahaja rapat dengan nenda, tapi turut rapat dengan Irfan.
“Macam mana kalau dia komplot dengan Irfan dan kaut harta nenda. Kesian nenek aku.” Sukar untuk dia usir prasangka buruk itu. Kemunculan Nayla yang secara tiba-tiba itu bagaikan satu petanda.
Kamal tepuk dahi. Dah datang dah penyakit orang kaya-kaya. Penyakit takut miskin dan takut harta kena rampas. Sikit-sikit komplot. Komplot penipuan terbesar Lisa tidak pula perasan.
“Kalau pun dia orang kaut harta nenda, kau tak akan merempat. Kalau nenda nak bagi semua harta dia kat Irfan, harta kau tak luak. Aku tak hairan kalau nenda nak bagi semua harta dia kat Irfan. Sejak kecik dia duduk dengan nenda, kau cucu dia sendiri, seminggu sekali belum tentu jenguk. Kau takut nenda wariskan harta dia kat Irfan?”
“Eh. Taklah... harta aku pun dah cukup banyak. Tak habis makan sampai 7 keturunan.” Pantas sahaja Tengku Mikhael nafikan. Terus dia beristighfar. Sesungguhnya syaitan berjaya menghasut dia untuk buruk sangka. Benar kata Kamal, dia tidak perlukan harta nenda.
Irfan adalah anak bekas pemandu nenda. Tinggal di rumah pekerja di belakang Vila Mawar. Diangkat menjadi cucu selepas kematian ayah Irfan pada usia mereka 12 tahun. Irfan mendapat tawaran bersekolah di asrama penuh. Jika tidak, mereka pasti akan belajar di sekolah yang sama. Selama ini Irfan tidak pernah menunjukkan minat dalam bidang perniagaan. Lebih selesa menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta.
“Kita tak tahu apa hubungan Irfan dengan Nayla. Jangan terus buruk sangka. Mungkin nenda rapat dengan Nayla sebab sunyi. Dia ada kau dengan Irfan saja.”
Tengku Mikhael mengangguk faham. Dia kerling jam di tangan. Sudah pukul 5 petang. Masanya untuk balik. “Kau pergi siapkan kereta. Aku nak basuh muka kejap.”
“Ha yalah.” Kamal angguk. Selain menjadi tukang ikut Tengku Mikhael ke mana-mana, dia juga bertindak sebagai pemandu lelaki itu. Sebaik majikannya menghilang, dia bangun dari duduk dan terus keluar.
Terbuka sahaja pintu kedengaran suara Anita mengomel. Apa sahaja yang gadis itu bebelkan. Gaduh dengan tunang agaknya.
“Kenapa Nita?” Sengaja menyibuk.
“Lisa nilah. Nak sewa apartmen lagi besar. Tapi suruh aku bagi tau bos. Dia ingat aku tak ada kerja lain selain melayan dia.” Anita mendongkol geram. “Dia bagi tau aku dari bulan lepas. Aku lupa nak bagi tau bos. Tadi dia maki-maki aku.”
“Aku tak tau apa Bos tengok kat Lisa tu. Bukan lawa pun. Bos takut terjumpa kaki kikis. Tapi dia tak tahu yang Lisa tu memang dah kikis harta dia.”
Anita tergelak. Memang betul apa Kamal katakan. Tengku Mikhael begitu berhati-hati dalam bergaul. Takut terjumpa pisau cukur. Tapi langsung tidak sedar kekasih sendiri pisau cukur. Kerana cinta, hati menjadi buta.
“Eh... kau belum makan laksa ni.” Kamal terpandang bekas laksa di meja belakang. Nampak belum berusik.
“Aku sibuklah.”
“Kau nak tau. Tukang buat laksa ni tomboi tau. Dia panggil bos bodoh.”
Anita pandang Kamal. Tidak percaya. Adakah gadis itu tidak mengenali Tengku Mikhael yang sangat masyhur itu. “Kenapa?”
“Bos sound dia sebab sangka dia tu jodoh yang nenda carikan. Apa lagi kena sembur baliklah.”
Mengekek ketawa Anita. Tidak sangka masih ada lagi perempuan yang seberani itu. “Kata orang gaduh tu permulaan jodoh. Entah-entah minah laksa tu jodoh bos tak?”
Kamal angkat bahu. Tidak mahu meneka. Tak siapa tahu rahsia jodoh. Mungkin juga gadis tomboi itu memang hadir sebagai jodoh sang jutawan.
“Aku turun dulu siapkan kereta.” Buru-buru Kamal beredar dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience