“Puan Kalsom, nenda saya macam mana?” Tengku Mikhael buru-buru masuk. Risau dia mendengar perkhabaran tentang nenda yang tidak sihat dan tidak mahu makan. Selesai mesyuarat terus dia datang ke sini menaiki helikopter miliknya.
“Tengku Fatimah ada dekat ruang makan.”
Terus Tengku Mikhael ayun langkah menuju ke ruang makan. Kalau neneknya ada selera mahu makan, syukurlah. Terhenti langkahnya melihat orang yang bersama nenda. Kenapa perempuan ini muncul lagi? Bukankah dia sudah beri amaran.
“Puan Kalsom bukan ke saya...”
“Nenda nak makan laksa dia buat.”
Tengku Mikhael ketap bibir menahan marah. Ada sahaja olah perempuan itu hendak dekat dengan nendanya. Dia berpusing hendak berlalu pabila tiba-tiba namanya dipanggil.
“Mika... Bila Mika sampai? Nenda tak sedar pun.” Puan Fatimah berusaha untuk bangun. Namun kembali duduk bila cucunya mendekat.
“Baru sampai nenda. Lega tengok nenda selera makan.” Tengku Mikhael peluk nendanya. Sambil itu mata dijegilkan ke arah Nayla.
“Nayla cuti hari ni. Mujur dia nak masak laksa ni untuk nenda. Memang tak ada selera nak makan benda lain. Sedap sangat laksa Nayla ni. Mika nak makan ke? Ada lebih sikit lagi ni.” Tengku Fatimah mengambil mangkuk bersih.
Tengku Mikhael telah liur. Memang dia teringin hendak makan. Tetapi mengenangkan ancaman Nayla tempoh hari dia urungkan niatnya. “Lebih tu simpan saja. Mungkin untuk makan malam nanti.”
Hendak ketawa Nayla mendengar kata-kata Tengku Mikhael. Tentu lelaki itu takut dengan ancamannya tempoh hari. Sebab itu tidak berani hendak makan. Ingatkan hebat sangat. Penakut juga rupanya.
“Tengku, kita makan ubat ya. Lepas tu rehat.” Puan Kalsom mendekati Tengku Fatimah.
“Tapi saya nak borak-borak dengan Nayla. Susah nak jumpa dia sekarang.”
“Nenda pergi rehat. Insya-Allah lain kali kita borak-borak.” Nayla mengusap bahu wanita tua itu. Kalau bukan Puan Kalsom merayu memang dia tidak akan masuk ke rumah agam ini. Dek kerana amaran Tengku Mikhael tempoh hari, dia lebih suka menghantar sahaja laksa kepada Cef Haziq dan terus pulang.
“Lain kali Nay datang ya,” ucap Tengku Fatimah sebelum beredar mengikut Puan Kalsom.
“Insya-Allah nenda.” Nayla mencium pipi wanita tua itu dan hadiahkan senyuman. Hari ini dia langgar arahan Tengku Mikhael kerana kasihnya kepada nenda. Nayla memerhatikan kelibat Tengku Fatimah dan Puan Kalsom sehingga menghilang.
Setelah keduanya menghilang dia mengemaskan meja. Tidak sedap pula hendak terus pulang begitu. Perasan Tengku Mikahel memerhatikannya. Dia buat tidak tahu sahaja. Mangkuk kotor dia bawa ke dapur.
Mangkuk tadi diletakkan ke singki. Ada orang gaji akan mencucinya nanti. Tubuh dipusingkan mahu kembali ke ruang makan. “Oh mak aku!”
Nayla urut dadanya. Tengku Mikhael berdiri betul-betul di hadapannya.
“Kenapa kau muncul?”
Nayla buat tidak tahu. Dia berjalan melepasi lelaki itu menuju ke ruang makan. Buat tidak tahu sahaja Tengku Mikhael mengekorinya.
“Hei perempuan!”
Hentikan langkah. Nayla menoleh.
“Aku bagi amaran kat kau... jangan dekat-dekat dengan nenek aku. Dia nenek aku. Taulah aku jaga dia.”
Nayla buat-buat korek telinga. “Kau cakap dengan siapa ni? Dinding ke. Aku tak dengar apa-apa pun. Jadi aku anggap tak dengar apa-apa?”
Tengku Mikhael tarik lengan Nayla kasar. “Aku dah bagi amaran kat kau kan. Jangan sampai aku buat benda jahat kat kau.”
“Jahat apa? Kau nak bunuh aku? Kau nak rogol aku? Kau ingat aku takut.” Nayla tarik tangannya kembali dengan kasar. Sesuka hati sahaja pegang-pegang orang. “Ini Nayla anak Pak Rahman. Sehelai rambut aku gugur. Aku pastikan kau terima balasan. Sebagai permulaan.”
Selamba sahaja Nayla naikkan lututnya mengenai celah kelangkang Tengku Mikhael. “Ini amaran pertama. Jangan sampai aku buat kau mandul. Huh!”
Tengku Mikhael terduduk menahan senak perutnya. Perempuan ini memang gila. Tepat langkahnya untuk menjauhkan diri dari perempuan gila ini.
“Cubalah baik sangka sikit. Kalau nenek kau tak tempah laksa ni kau ingat aku terhegeh-hegeh nak jejak kaki kat rumah besar ni. Baik aku duduk warung aku saja. Lagipun tak payahlah aku cemarkan mata dengan tengok muka tak kacak kau tu.” Nayla pusingkan tubuh. Tak pernah tenang harinya jika berjumpa jutawan bongkak ini.
“Hei. Tunggu aku tak habis cakap.” Tengku Mikhael tegakkan tubuh dan sentuh bahu gadis itu.
Terkejut punya pasal, Nayla tarik tangan Tengku Mikhael dan banting tubuh lelaki itu ke lantai. Setelah melihat lelaki itu mengerang kesakitan barulah dia sedar keterlanjurannya. Namun dia tunjuk riak biasa. Malah rasa seronok melihat Tengku Mikhael terbaring kesakitan.
“Kan aku dah cakap. sehelai rambut aku gugur, kau akan terima balasannya. Tengok ni rambut aku dah gugur.” Nayla tunjuk rambutnya yang dia tarik dari bahu tadi.
“Kau ni memang tak boleh buat bini. Boleh mati kering laki kau kena banting hari-hari macam ni.” Perlahan Mikhael bangkit dan duduk. Insaf seketika. Dia tidak akan cari pasal dengan minah laksa ini.
“Baguslah kalau kau faham. Lama-lama kau biasalah kena banting, kena lutut...”
“Siapa nak jadi suami kau...”
“Aku tak cakap pun kau jadi suami aku. Selagi kau cari pasal dengan aku kena biasakan diri kena lutut. Yang kau perasan aku nak jadikan kau suami kenapa? Ingat kau hebat sangat?” Sambil ketawa Nayla berlalu. Tidak mahu ada yang curiga dia menghilang. Sudahlah menghilang dengan Tengku Mikhael pula tu. Timbul fitnah nanti.
“Hey...” Tengku Mikhael berusaha untuk berdiri. Belakangnya masih sakit. Namun dia harus beri amaran kepada gadis itu agar jangan muncul lagi. Hari ini dia kena banting. Esok lusa siapa tahu apa lagi yang gadis itu akan buat.
“Kalau setakat perasan kau bakal isteri artis Korea, tak payah nak berlagaklah.”
“Ey...yea...yea...yea... hands up if you feeling the vibe now.” Nayla sengaja menyanyi kuat-kuat. Menenggelamkan suara Tengku Mikhael. Lelaki itu ingat dia siapa. Ini Nayla Asyifa binti Abdul Rahman. Cinderella gengster.
“Oi minah laksa.”
“Sobangcha! Sobangcha!” Bertambah kuat Nayla lontarkan suara. Bergema ruang itu dengan suaranya.
Tengku Mikhael mencekak pinggang. “Dasar lintah.”
Kaki Nayla terhenti. Dia pusingkan tubuhnya. Perlahan dia mendekati Tengku Mikhael. Kedua-dua belah tangan diletakkan pada pinggang dan mata sengaja dibesarkan.
Tiba-tiba Tengku Mikhael berasa takut. Tapak kakinya di undurkan ke belakang. Satu demi satu langkah diatur sehingga tubuhnya tersentuh dinding. Mata tajamnya memandang tepat mata Tengku Mikhael. Kaki dijengkitkan. Tangan mencekak leher kemeja lelaki itu.
“Satu hari nanti aku akan pastikan mulut kau ni aku cilikan. Sedap-sedap mulut saja tuduh aku lintah. Buat pengetahuan kau, aku jual laksa aku satu mangkuk Rm 8.90. Tak pernah aku caj harga lebih walaupun nenek kau tu kaya giler. Bukannya aku caj RM 100 sebab status orang tersangat kaya nenek kau tu. Sama saja harga aku caj macam kat gerai aku. Tak ada sebab kau tuduh aku lintah yang hisap darah orang kaya..”
Tidak berkelip mata Tengku Mikhael. Kenapa telinganya tidak dapat menangkap apa yang gadis itu katakan? Sebaliknya dia terpesona dengan mata gadis itu walaupun kelihatan galak. Dia sudah kena ubat guna-guna ke? Tapi dia tidak makan laksa tadi? Bagaimana dia boleh terpesona dengan minah laksa itu?
Dari mata, pandangannya turun ke bawah. Bibir Nayla nampak merah walaupun tidak memakai lipstik. Rasa mahu dia gigit bibir itu. Sudah gila agaknya dia.
“Kau dengar tak?” Nayla menengking.
“Dengar.” Tengku Mikhael menolak tangan Nayla. Lemas dia dengan perempuan itu. Segera dia menjarakkan diri. “Yang aku tau kau tak perlu jejakkan kaki ke sini lagi. Kalau nenda nak laksa suruh saja Cef Haziq ambik.”
“Baik Tengku Yang Terhormat. Kalau sakit pun nenek kau bukan nenek aku.” Nayla pusingkan tubuh dan ayun langkah. Kalau dia layan Tengku Mikhael bertambah sakit jiwanya.
“Kau...”
“Jangan pentingkan diri sendiri. Fikir nenek kau yang sakit tu.”
Tengku Mikhael kepal penumbuk. Ada sahaja alasan gadis itu. Dia akan kalah kalau berkenaan nenda. Dia akan pastikan dirinya sentiasa sedar dan waras. Biar ubat guna-guna minah laksa itu tidak berkesan.
Share this novel