Parkir motosikal. Enjin dimatikan. Helmet ditanggalkan dan rambut dia sisir dengan jari. Sambil itu matanya mendongak melihat bangunan Kumpulan Tahan. Pertama kali dia ke situ. Turun dari motor. Helmet diletakkan sahaja atas seat. Mangkuk tingkat di ambil. Penghantaran istimewa buat cucu Tengku Fatimah.
Langkah kaki dibuka. Perlahan menapak masuk ke lobi. Dari jauh kelihatan meja penyambut tetamu. Nayla ukirkan senyum. Matanya membaca nama pada tanda nama penyambut tetamu itu. Ros.
“Assalamualaikum. Saya nak jumpa Ayden Mikhael.” Sambil itu mata Nayla meneliti segenap ceruk lobi. Pertama kali dia masuk ke pejabat orang kaya-kaya. Dia betulkan topi di kepalanya. Rambut pendek diselitkan ke dalam topi.
“Waalaikumussalam. Ayden Mikhael?” Berkerut dahi Ros. Takkan itu sahaja.
“Oh silap. Tengku Ayden Mikhael.” Tersilap sikit. Pandang macam nak telan orang. Namun ditebarkan senyum. Dia meniaga. Kalau buat kurang ajar, habis tular namanya. Kalau tular untuk kebaikan tidak mengapa juga. Jangan tular sebab dia beradab tidak sopan. Boleh lingkup warung laksanya.
“Maksud cik... Bos besar kami Tengku Mikhael?” Ros memandang Nayla dari atas ke bawah. Dia tidak salah lihat ke? Biasanya kalau perempuan datang mencari Tengku Mikhael, perempuan itu haruslah seksi dan berpotongan ala model. Tapi perempuan ini... hampir dia tergelak melihat perempuan tomboi itu. Namun dia harus berlagak biasa. Siapa pun yang datang harus di layan dengan baik. Kerja mesti dijalankan dengan penuh dedikasi
“Ada urusan apa ya cik nak jumpa dia?”
“Nak hantar laksa ni.” Nayla letakkan mangkuk tingkat ke atas meja penyambut tetamu. Banyak tanya pulak minah ni. Lenguh tangan pegang mangkuk tingkat lama-lama.
“Cik tinggalkan kat sini. Nanti saya suruh security hantar bilik Tengku Mikhael.”
“Eh tak boleh. Tengku Fatimah arahkan saya supaya hantar laksa ni dekat cucu dia. Mana boleh tinggal-tinggal. Kena curi nanti.” Dia memikul amanah. Kata Tengku Fatimah makanan harus sampai ke tangan Tengku Mikhael.
“Tapi cik...” serba salah dibuatnya. Arahan Tengku Mikhael jelas. Kalau ada barang sampai, security perlu hantar ke atas. Tapi sekarang gadis itu berkeras mahu bertemu majikannya. Siap petik nama Tengku Fatimah
Nayla tak cakap banyak dia terus keluarkan telefonnya. Nombor telefon Tengku Fatimah dia dail.
“Assalamualaikum nenda. Dah sampai pejabat dah. Ni ha penyambut tetamu tu tak bagi Nai hantar laksa kat Mika. Dia suruh tinggal je kat sini... apa nama dia...” Nayla sekali lagi membaca tanda nama penyambut tetamu itu. Hendak pastikan dia betul
“Ros. Nama dia Ros nenda.” Selamba sahaja Nayla jeling penyambut tetamu tadi. Kan dah menggelabah. Talian dimatikan. “Kejap lagi Tengku Fatimah call ya. Bukan saya nak tipu. Tapi ini amanah. Saya kena serahkan sendiri makanan tu kat cucu dia.”
“Cik.” Sebut Tengku Fatimah, haruslah dia takut. Nenda bos adalah salah seorang pemegang saham syarikat.
Nayla buat tidak tahu. Lain kali jangan pandang dia sebelah mata. Dia punya kabel bukan sebarang kabel, kabel fibre optik, kabel dasar laut pun kalah. Ini namanya jambatan emas Puteri Gunung Ledang.
Selepas beberapa saat. Kedengaran bunyi deringan telefon. Ros menjawab panggilan itu. Gadis itu hanya mengangguk sahaja. tidak lama kemudian panggilan di tamatkan.
“Cik. Sila duduk dulu. Sekejap lagi Tengku Mikhael akan turun.”
“Saya tak boleh naik ke?"
“Maaf cik. Tengku Mikhael suruh cik tunggu.”
Tergelak Nayla. “Sudi jugak anak raja tu mencemar duli.”
“Maafkan saya cik.” Mujur sahaja dia tidak dimarahi oleh Tengku Fatimah. Tengku Mikhael dalam marah-marah bersetuju untuk turun. Ros menunduk.
“Saya call Tengku Fatimah sebab saya nak tunjuk kat awak yang saya tak menipu. Memang arahan Tengku Fatimah supaya makanan ni sampai ke tangan cucu dia.” Sekali lagi Nayla tegaskan. Tidak mahu Ros salah sangka. “Awak sambung kerja. Saya duduk sana.”
Mangkuk tingkat diambil dan di bawa sekali ke sofa. Punggung dilabuhkan sementara mangkuk tingkat tadi diletakkan atas meja. Matanya tertancap pada majalah 'Hero' yang muka depannya adalah Tengku Mikhael.
“Kenapalah orang kaya-kaya ni selalu ada masalah jodoh. Takut nak kahwin sebab takut dapat isteri pisau cukup. Harta tak habis 7 keturunan pun takut. Bukannya harta boleh bawak mati. Karang sampai tua tak kahwin-kahwin.” Nayla tergelak. Teringat muka lelaki itu semalam. Kan dah kena panggil bodoh. Selamba sahaja tuduh dia gila harta.
“Nak kata kacak tak kacak pun. Celah mana kacaknya dia.” Nayla cebikkan bibir sambil belek majalah tadi. Melihat gambar-gambar Tengku Mikhael di bahagian dalam majalah.
“Ehemmm.”
Nayla menoleh. Cepat-cepat dia simpan majalah dan bangun. Lelaki itu dengar ke dia mengomel tadi. Lantaklah. “Assalamualaikum Tengku.”
“Kau datang sini kau buat hal ya. Siap call nenda bagai. Aku tengah sibuk. Apa specialnya kau kat mata nenda. Tak boleh ke kau tinggal laksa tu kat meja penyambut tetamu sana.”
“Tengku... saya.”
“Kau memang bodek nenda nak jadi cucu menantu dia ke?”
Nayla jadi angin. Elok-elok moodnya baik tadi. Tuduhan Tengku Mikhael membuat moodnya jadi taufan. Sekarang, tangannya gatal hendak singgah ke pipi lelaki itu. Nafas ditarik dalam-dalam. Sabar Nayla. Sabar itu separuh dari iman. Customer is always right.
“Diam tu. Maknanya betullah.”
Kening Nayla ternaik sebelah. Memang mintak tapak kasut betullah lelaki ni. Sabar Nayla. Sabar.
“Kau cermin sikit diri kau tu.”
Nayla senyum. Sabar Nayla. Nanti tular kau gaduh dengan orang kaya-kaya. Tapi sabarnya sudah hilang. Dia bersilang lengan. “Kau ni memang tak reti jawab salam eh.”
“Waalaikumussalam.” Lain macam sahaja nada suara gadis itu. Janganlah di lobi. Terus dia tarik tangan Nayla. Dia perasan penyambut tetamu panjangkan leher melihat mereka. Tidak mahu gadis itu mengamuk seperti semalam.
“Hei apa pegang-pegang ni. Haram tau.” Sempat lagi Nayla ambil mangkuk tingkatnya.
Tengku Mikhael menolak pintu kecemasan. Dia bawa Nayla ke tangga. Jauh dari pekerjanya.
“Eei... haramlah pegang tangan orang.” Nayla tarik tangannya kasar.
“Kau tayang rambut tak haram.”
“Suka hati akulah nak tayang rambut ke apa. Apesal kau nak sibuk. Bukannya kau suami aku pun. Sibuk pasal rambut orang. Macamlah awek-awek dia semua muslimah. Semua pakai tak cukup kain. Ada kau marah dia orang?” Bukannya dia marah Mikhael menegur, dia marah sebab lelaki itu tiba-tiba bawak dia lari begini.
“Aku tak ada aweklah.”
“Nenda cakap kau ramai awek. Semua pakai tak cukup kain.”
“Kenapa kau asyik mengendeng kat nenda?” Tengku Mikhael sengaja alihkan tumpuan Nayla. Tidak mahu menjawab soalan Nayla tadi. Dia hanya berkawan sahaja dengan semua perempuan-perempuan itu. Tidak mahu nenda menghidu hubungan dia dengan Lisa.
“Sorry bukan aku yang mengendeng kat nenek kau. Nenek kau yang mengendeng kat aku. Kau ingat aku ada banyak masa nak mengendeng kat orang. Lagi satu aku nak cakap, aku tak pernah teringin tau nak jadi bini kau. Bagi aku kau macam lelaki-lelaki biasa kat luar tu. Tak kacak pun. Kau bukan taste aku. Memang taklah aku nak buat suami.” Puas hati dapat membuat Tengku Mikhael terkebil-kebil. Kali ini dia berhati-hati supaya tak membodohkan orang.
Tengku Mikhael tidak puas hati. Kenapa dia tidak kacak di mata perempuan tomboi itu. Sedangkan dia tersenarai dalam 10 lelaki terkacak di Malaysia. Ke 5 terkacak.
“Kenapa aku tak kacak?”
“Kau nak tau lelaki kacak kat mata aku macam mana?” Nayla seluk poket dan ambil telefon. Buka kekunci dan tunjuk wallpaper telefonnya. “Ni bakal suami aku. Nama dia Cha Eun Woo. Cha Eun Woo tau... kau dengan dia macam langit dengan bumi. Jadi jangan perasan eh aku nak kat kau.”
Cha Eun Woo, Tengku Mikhael mengingat nama lelaki yang Nayla tunjukkan tadi. Memanglah serupa langit dengan bumi. Dia berkulit sawo matang. Cha Eun Woo putih melepak.
“Nah ambik laksa ni. Banyak lagi delivery nak hantar.” Mangkuk tingkat tadi dia ditolak ke perut Tengku Mikhael kasar. Terdengar lelaki itu mengaduh. Sakit ke? Padan muka.
“Dan lagi satu... kalau kau tuduh aku sibuk nak jadi cucu menantu nenda kau... aku akan bodek Tengku Fatimah betul-betul biar dia kahwinkan kita.” Nayla gelak besar. Seluruh ruang bergema dengan suara ketawanya.
“No. Tak nak.” Tengku Mikhael menggeleng sambil memeluk mangkuk tingkat. Perempuan itu hanya akan jadi mimpi ngeri dia.
“Lelaki bengong... suka-suka hati saja tuduh kita nak kat dia. Oi... kita tak hinginlah.” Gumam Nayla sambil menolak pintu.
“Hei nanti.” Tengku Mikahel menahan Nayla.
“Kenapa?”
“Ikut aku.” Ayun langkah menuju ke meja penyambut tetamu. Tengku Mikhael jeling belakang. Nayla mengekori.
“Nama kamu siapa?” Tengku Mikhael membaca tanda nama penyambut tetamu itu. “Ros, kalau tomboi ni datang terus call saya ya.”
“Tomboi? Mulut jahat kau ni.” Hampir sahaja dia menendang keting lelaki itu. Selamba sahaja panggil dia tomboi. Tapi memang betul pun.
“Silap... kalau cik adik yang cantik manis ni datang, call saya terus.” Tengku Mikhael ketap bibir.
“Baik Tengku.” Ros mengangguk.
“Terima kasih Tengku, saya balik dulu.” Kerjanya sudah selesai. Dia pusingkan tubuh untuk beredar tetapi lengannya ditarik.
“Apa lagi?”
“Kau ikut aku naik.”
Ternganga Ros di situ. Memang betul agaknya gadis itu begitu istimewa. Berbeza betul layanan Tengku Mikhael kepada gadis itu berbanding gadis-gadis lain. Tidak pernah majikannya izinkan mana-mana gadis naik ke tingkat 20.
Share this novel