“Oh, mak kau.” Nayla pejamkan mata.
“Kenapa?”
“Kecut perut.” Dengan mata terpejam Nayla mencari tempat untuk berpaut. Tangannya tersentuh lengan Tengku Mikhael. Dipeluk lengan itu. “Pinjam lengan kejap.”
Melihat muka pucat Nayla, tidak jadi Tengku Mikhael hendak marah atau larang. Dia biarkan sahaja Nayla peluk lengannya. Terasa tangan Nayla menggigil “Tingkat 20 saja pun.”
“Tetap jugak takut.” Sebenarnya dia trauma dengan lif. Pernah terperangkap di dalam lif setahun lalu. Sejak itu dia rela memanjat tangga dari menggunakan lif. Sangkanya selepas setahun dia akan pulih. Rupanya tidak.
“Dah sampai.”
“Dah sampai?” Nayla buka mata. Sebaik pintu terbuka. Terus dia meluru keluar. Dia urut dadanya perlahan. Lain kali dia akan naik tangga. Menaiki lif ibarat putus nyawanya.
“Ingatkan berani sangat.” Tengku Mikhael menjeling Nayla sebelum memberi isyarat agar gadis itu mengekorinya.
“Kita nak pergi mana ni?” tanya Nayla sambil mengekori lelaki itu. Kenapa seperti tiada orang lain di tingkat itu. “Kenapa tempat ni senyap sunyi.”
Tengku Mikhael tidak menjawab. Memanglah tingkat itu sunyi. Hanya ada pejabatnya sahaja. Tiada orang lain di tingkat itu melainkan dia dan Anita serta Kamal. Pekerja lain hanya akan naik jika dia panggil.
“What...What...What.. What... Sobangcha!”
Tersentak Tengku Mikhael. Apa pula minah laksa ini buat. Tiba-tiba sahaja menjerit. Terus dia menoleh.
“Saya rasa seram. Saya nyanyilah.”
“Orang. Kalau seram dia baca ayat suci Al-Quran. Bukan menyanyi.” Sambung langkah. Hampir sahaja jantungnya copot tadi.
“Ada hantu ke? Beraninya Tengku sorang-sorang kat sini.” Nayla merapatkan tubuhnya ke tubuh Tengku Mikhael. Seram pula tiba-tiba. Matanya meliar melihat sekeliling.
Salah sebuah pintu terbuka dan kepala Kamal terjengul. “Tengku.”
“Oh mak kau hantu.” Nyala terlompat dan terus memeluk lengan Tengku Mikhael.
Tengku Mikhael pakukan pandangan pada Nayla. Serentak itu ketawanya meletus. “Itu Kamallah. Kau jumpa dia semalam. Macam mana dia boleh jadi hantu pulak.”
Nayla lepaskan rangkulannya. Terus dia menjauhi Tengku Mikahel dan buat muka selamba. “Dia muncul tiba-tiba. Tentulah saya terkejut.”
“Kau ni nama saja gengster.” Tergeleng kepala Tengku Mikhael dengan gelagat Nayla. “Kamal. Tolong hidangkan laksa ni. Bekas ni cuci pulangkan kat minah laksa ni.” Mangkuk tingkat tadi dia serahkan kepada Kamal.
“Baik Tengku.”
Sebaik Kamal beredar, Tengku Mikhael buka pintu dan terus masuk ke biliknya. Dia langsung tidak pedulikan Nayla.
“Ni pejabat Tengku ke?” Selamba sahaja Nayla mengekori lelaki itu. Buat muka tak malu terus mendahului lelaki itu. Langsung tidak perasan meja Anita di sebelah situ. Namun langkahnya terhenti. Kaku seketika. “Kita tingkat berapa?”
“Tingkat 20.”
Terus Nayla terduduk. Menggigil. Perlahan dia merangkak menuju ke pintu. Kenapa dia terlalu teruja tadi. Kan dah kena penyakit gayat. Sudahlah pejabat orang kaya itu boleh nampak pemandangan luar. Tak cukup oksigen dia saat ini.
“Kenapa dengan kau ni.”
“Gayat.” Berusaha keras untuk kembali ke pintu dengan merangkak.
Tengku Mikhael jadi belas. Dia mengambil alat kawalan jauh. Secara automatik langsir bergerak dan menutup pemandangan luar. “Dah tak nampak. Kau boleh bangun tak?”
Dari merangkak Nayla kini duduk. Dia bersila sambil mengatur pernafasannya. Mujur lelaki itu berbaik hati. Jika tidak memang dia akan kejung di situ.
“Cik. Jemput duduk kat sofa sana.”
Nayla buka mata. Siapa pula perempuan ini. Kekasih hati tuan jutawan ini ke. Cantik manis orangnya. Dia alihkan pandangan ke arah Tengku Mikhael yang baru sahaja labuhkan duduk.
“Dia pembantu aku selain Kamal. Anita nama dia. Takkan aku bawak kekasih pergi kerja.”
“Tak cakap apa pun.” Nayla bangun dengan bantuan Anita. Macam mana lelaki itu boleh tahu apa dia fikirkan. Ada ilmu nujum ke? Dia labuhkan duduk. Terasa empuk sungguh sofa yang dia duduk. Mestilah empuk. Harga pun mahal. Dah nama jutawan.
“Aku tengok mata kau pun dah tau. Kau syak aku bawak makwe masuk pejabat.”
“Tengku bawak masuk awek sampai beratus orang pun bukan urusan saya. Tapi kenapa Tengku ajak saya datang sini.” Baru dia terfikir tentang tujuan dia di ajak naik. Apa mahu lelaki itu sebenarnya?
“Mangkuk tingkat kau takkan nak tinggal kat sini.”
Nayla tepuk dahi. Dia terlupa hendak beritahu perkara itu. “Untuk pengetahuan Tengku, pakej VVIP memang sekali termasuk mangkuk tingkat. Harga sekali dengan mangkuk tu.”
Tengku Mikhael pandang Nayla tajam. Kenapa minah laksa ini tidak beritahu awal-awal. Tidak perlulah dia bawa perempuan itu naik. “Ramai ke pelanggan VVIP kau tu.”
“Tengku sorang saja. Itu pun atas permintaan Tengku Fatimah. Dia kata cucu dia cerewet. Tak suka makanan dalam bekas plastik.”
Berkerut dahi tengku Mikhael. Bila masa dia tidak suka makan dalam bekas plastik. Seketika dia terfikir. Betul ke bukan Nayla calon isteri yang nenda mahu kenalkan kepadanya. Tapi nampak gayanya Nayla memang gadis itu naif, bukan berpura-pura.
“Tengku, saya dah hidangkan laksa. Ini mangkuk tingkatnya.”
Nayla cepat-cepat bangun dan menyambar mangkuk tingkat di tangan Kamal. “Boleh recycle untuk lain kali. Saya balik dulu ya. Tangga kat mana?”
“Tangga?” Kamal tidak faham.
“Kau serius ke?” Tengku Mikhael bangun dari duduknya. Kenapa tiba-tiba dia risaukan Nayla turun tangga seorang diri. 20 tingkat pula tu.
“Seriuslah. Tak nak guna lif. Gerun.”
“Jom aku hantar kau turun bawah. Kata gengster. Tapi takut naik lif.” Sambil mengomel Tengku Mikhael ayun langkah keluar dari biliknya.
“Saya tanya tangga kat mana? Bukan mintak Tengku teman. Baik tak payah teman kalau nak membebel.” Sakit hati asyik kena kutuk. Rela lagi dia menuruni tangga daripada menggunakan lif.
“Cepatlah!” Tengku Mikhael melaung dari pintu.
“Hesy! Dia ni. Dah jadi Tengku Halilintar.” Dengan perasaan sebal Nayla mengekori lelaki itu.
Kamal dan Anita saling berpandangan.
Di dalam lif.
“Betul ke kau bukan calon jodoh aku?” Tergerak untuk bertanya. Sambil itu mata tidak lepas memerhatikan Nayla yang sedang memejamkan mata.
“Saya setia dengan Cha Eun Woo saya. Walaupun dia bukan jutawan macam Tengku, saya tak akan tinggalkan dia.” Mahu juga dia mengamuk di situ kalau tidak kerana terlalu takut. Kenapa soalan ni timbul lagi? Dia akui hidupnya akan berubah kalau menjadi isteri Tengku Mikhael. Tapi dia juga sedar perhubungan tanpa kasih sayang akan menjadi hambar.
“Tengku jangan risau sangat boleh tak. Saya memang bukan calon jodoh Tengku. Nenda pun... macamlah tak ada perempuan yang lagi elok buat cucu menantu. Perempuan tak lawa ni memang tak akan masuk dalam senarai.”
Dalam diam Tengku Mikhael memerhatikan seraut wajah Nayla. Walaupun tanpa solekan, gadis itu sangat manis. Tapi betul juga. Nenda ada ramai kawan-kawan VVIP. Tidak mungkinlah minah laksa itu bakal jodoh yang nenda carikan.
“Tengku kena tahu. Cha Eun Woo seribu kali lagi kacak dari Tengku.”
“Hmmm...” Hanya berdeham. Tengku Mikhael rasa tercabar pula mendengar ada lelaki lain lebih kacak dari dia. “Dah sampai. Kau keluarlah.”
Nayla buka mata. Kecut perutnya sudah hilang. Terus sahaja dia meluru keluar. “Terima kasih.”
Tengku Mikhael tidak menjawab. Dia memicit butang 20 untuk kembali ke atas. Senyuman Nayla juga dia tidak balas. Kepalanya penuh persoalan.
Share this novel