“Macam mana rupanya kalau orang kena ubat guna-guna?”
Anita berhenti menulis. Tiba-tiba sahaja majikannya bertanya soalan itu. Dipandang Kamal yang sedang duduk berhadapan dengannya. Lelaki itu hanya tersengih sahaja.
“Biasanya orang yang kena ubat guna-guna ni tak akan sedar dia kena ubat guna-guna. Dia tiba-tiba saja cintakan orang yang bagi dia ubat tu.” Anita menjawab sekadar yang dia tahu. Tapi kenapa pula tiba-tiba majikannya bertanya.
“Pukul berapa sekarang?” Tengku Mikhael mengubah topik.
“Pukul 4 petang Tengku.” Anita melihat jam di pergelangan tangannya.
“Kamal. Panggil Kapten Johan. Kita pergi rumah nenda awal sikit. Anita nanti mintak driver hantar kamu pergi rumah nenda.” Tengku Mikhael bangun dan ayun kaki masuk ke tandas.
“Kenapa bos tiba-tiba tanya pasal ubat guna-guna?” tanya Anita setelah Tengku Mikhael menghilang.
“Dia kata... dia asyik nampak muka minah laksa tu. Itu sebab dia yakin sangat dia dah termakan ubat guna-guna yang budak tu taruk.” Kamal menjawab dengan berbisik. Risau kalau-kalau majikan mereka tiba-tiba muncul. Sambil itu dia letakkan telefon ke atas meja. Baru sahaja selesai menghubungi Kapten Johan.
Berlapis dahi Anita. “Bukan ke kalau orang tu termakan ubat guna-guna, orang tu tak akan sedar apa-apa. Nak ubat pun susah kadang-kadang.”
Meletus ketawa Kamal. “Dia pikir dia kena ubat guna-guna. Tapi rasanya dia memang dah suka budak tu. Lepas Lisa, cuma minah laksa tu saja berani masuk dalam hidup dia.”
“Mungkin ke dia asyik fikir minah laksa tu sebab rindukan Lisa. Dah bertahun Lisa tak balik Malaysia. Bos nak pergi sana dia tak bagi.” Anita berfikir sendiri. Apa agaknya alasan sebenar Lisa tidak mengizinkan Tengku Mikhael pergi melawatnya.
“Kau nak aku siasat ke?” Tanya Kamal.
“Boleh ke kau upah penyiasat secara diam-diam. Aku risau ni tengok perbelanjaan kad kredit dia. Tengku pulak tak banyak soal. Main bayar saja.” Dia mengetahui segala perbelanjaan Lisa di luar negara. Perempuan itu banyak berparti. Boleh dikatakan saban malam mengunjungi kelab malam. Bila diberitahu kepada Tengku Mikhael, majikannya mengatakan adatlah pereka fesyen hendak mencari pengaruh.
“Nanti aku mintak kawan aku siasat.” Kamal memberi jaminan. Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej masuk dari telefon bimbitnya. Terus dia membuka kekunci telefon. “Kapten Johan dah sampai.”
“Kapten Johan dah sampai? Jom.” Tengku Mikhael yang baru sahaja keluar dari tandas terus ambil baju kot yang dia sangkutkan pada kepala kerusi. Kot tadi disarungkan ke tubuh. Laci dibuka dan cermin mata hitam jenama Berluti dikeluarkan lalu dipakai.
“Anita. Jangan tak datang pulak.” Tengku Mikhael serahkan beg bimbitnya kepada Kamal.
“Baik Tengku.”
Usai berbicara Tengku Mikhael dan Kamal ayun langkah keluar dari bilik pejabat. Kaki di bawa melangkah ke tangga yang menghubungkan mereka dengan bumbung bangunan. Kedengaran bunyi bilah helikopter sedang berputar.
“Muka kau lagi.” Tengku Mikhael tanggalkan cermin matanya. Bagaimana dia boleh bertembung dengan minah laksa itu di depan pintu masuk. Dia memang sudah jangka perempuan itu akan muncul. Tetapi dia yakin Nayla tidak akan muncul sebagaimana arahannya. Sekarang perempuan itu berdiri di hadapannya.
“Muak aku tengok muka tak lawa kau ni.” Cermin mata disangkutkan ke kocek. Bohong kalau kata dia muak. Teruja adalah. Tapi dia yakin itu semua kesan ubat guna-guna Nayla.
“Jangan sesekali kau kutuk muka aku ni. Nanti muka ni jugak yang kau rindu separuh mati. Masa tu aku padankan muka kau.” Mahu sahaja dia hempuk jutawan bongkak itu dengan termos di tangannya. Menyakitkan hati betul.
“Muka kau ni.” Sambil mencekak pinggang Tengku Mikhael melarikan matanya ke atas dan ke bawah. Menjelajah muka Nayla berkali-kali. “Muka ni tak berbaloi untuk aku rindu.”
“Bongkaknya.” Nayla menggeleng.
“Kenyataan.”
Termos diletakkan ke bawah. Nayla menadah tangan. “Ya Allah Ya Tuhanku. Kau balikkanlah hati jutawan sombong ni. Kau bagi dia jatuh cinta bagai nak mati kat aku. Bila dia jatuh cinta aku akan tolak mentah-mentah. Baru padan muka dia.”
“Hoi!” Tercabar pula dengan doa minah laksa ini.
“Tau takut. Aku datang sini nak hantar laksa tau tak. Bukan nak tengok muka bongkak sombong kau tu. Kan aku dah cakap muka kau ni tak sehensem Cha Eun Woo. Kau perasan aku tergilakan kau kenapa. Tolong angkat termos ni bawak masuk dalam.” Dia datang awal kerana tidak mahu bertembung dengan lelaki bongkak itu. Tetapi takdir asyik tidak berpihak kepadanya. Cucu Tengku Fatimah memang suka buat darah dia mendidih. Sudahlah berat termos berisi kuah laksa itu. Boleh pula tahan orang di tengah jalan.
“Bukan kerja aku. Kau yang jual laksa kenapa aku kena tolong.” Tengku Mikhael dengan nada sombong.
“Kau tak nak tolong, aku simbah kau dengan kuah laksa ni!” Kenapalan lelaki yang seorang ini tidak habis-habis membuat dia sakit hati.
Kecut perut Tengku Mikhael. Dia hulurkan tangan untuk ambil termos dari tangan Nayla. “Aku tak mintak pun nenda tempah laksa. Kenapa nenda sibuk nak tempah. Mesti kau terhegeh-hegeh mintak nenda tempah kan.”
Geram! Selamba sahaja Nayla pijak kaki Mikhael. Terjerit lelaki itu. Padan muka. Tiba-tiba pintu terbuka. Muncul Irfan.
“Irfan. Tolong bagi tau nenda aku balik dulu.” Dia pusingkan tubuh untuk keluar dari rumah agam itu. Sakit hati dengan perangai cucu Tengku Fatimah. Wanita tua itu baik dan tersangat baik. Cucunya menjengkelkan, menyebalkan, menyakitkan hati. Memang tidaklah dia akan jejak kaki ke situ lagi.
Cepat-cepat Tengku Mikhael menyambar lengan Nayla. Dia ambil termos berisi kuah laksa dari tangan gadis itu. “Kau ni nama saja tomboi. Kena usik sikit dah merajuk macam perempuan.”
“Ni bukan usik. Ni namanya menghina. Kau kutuk aku tak lawa. Lepas tu kau tuduh aku merayu nenda supaya tempah laksa. Kau ingat hati aku ni buat dari batu. Kau buat aku sakit hati lagi... tiap-tiap hari aku doa agar kau jatuh cinta kat aku. Jatuh cinta sepenuh hati. Sampai kau rasa tak boleh bernafas kalau tak nampak muka aku ni.”
Air liur ditelan kasar. Gila betul minah laksa ni. Ada ke doa yang bukan-bukan. Tangkai pemegang termos digenggam kuat. Dahinya sudah berpeluh-peluh. Bagaimana kalau doa minah laksa itu dimakbulkan. Tunggang-terbalik dunianya nanti.
“Tau takut. Lain kali mulut tu jaga. Kau ingat kau jutawan, sesuka hati je boleh kutuk aku yang miskin ni. Sakit hati aku ni tau. Mujur ada Cha Eun Woo yang kacak. Senyuman dia alahai... manisnya. Saraghaeyo oppa.”
Tengku Mikhael mencebik. Bercinta dengan artis Korea. Perasan sangat. Sah-sah artis itu tak kenal minah laksa ni.
“Tak payahlah nak tunjuk muka nak muntah tu. Bawak kuah laksa gi dapur sana. Kejap lagi tolong aku ambik laksa dengan bahan lain.”
“Habis ni kau terus balik. Tak payah tunjuk muka kat sini. Menyemak saja.” Tengku Mikhael melangkah masuk. Tidak dia pedulikan Irfan yang sedang berdiri di pintu.
Nayla tunduk. Malu dia kena dihalau di depan Irfan. Dia sedar dirinya siapa. Tidak perlu Tengku Mikhael halau, dia memang tidak akan muncul di majlis itu. Datangnya ke mari hanya untuk menghantarkan laksa sahaja.
“Aku tolong kau Nay.” Irfan mengekori Nayla. Dia tahu gadis itu malu dihalau oleh Tengku Mikhael.
“Kau bawak masuk semua bahan ni. Aku nak balik.” Nayla keluarkan bekas dari kereta dan serahkan kepada Irfan. Kereta Kancil milik jiran sebelah rumah yang selalu dia sewa kalau perlu angkut laksa.
“Nenda nak kau ada masa majlis tu. Dia nak kenalkan kau dekat kawan-kawan dia. Mana tau lepas ni laksa kau tambah laris.”
Tanpa sedar Nayla mengalirkan air mata. Mulia sungguh hati Tengku Fatimah. Tapi kenapa cucu wanita itu bersikap bongkak. “Aku tak nak Tengku Mikhael hina aku lagi.” Nayla lap air matanya.
“Nay... pedulikan dia. Aku tau kau perlukan duit untuk bayar hutang kau. Niat kau datang sini sebab nak jumpa bakal pembeli. Bukan nak mengurat dia.”
“Tapi aku...”
“Abaikan dia. Jom masuk. Aku akan make over kau sampai dia menganga tengok kau.” Irfan tarik hujung jaket yang Nayla pakai. Memang dia akan ajar Tengku Mikhael. Bongkak sangat.
Share this novel