BAB 7

Romance Series 22806

“Nay.” Irfan ketuk meja. Puaslah dia panggil nama Nayla. Gadis itu langsung tidak berkutik.
Nayla buka mata dan terus angkat muka. Dikelipkan mata berkali-kali. Irfan rupanya. Dia lap air liur basi di celah bibirnya. Selamba sahaja dia menggeliat di situ. “Pukul berapa dah.”
“Sebelas pagi Nay,” jawab Irfan.
“Kejap aku basuh muka. Kau duduklah dulu.” Nayla membetulkan rambutnya sebelum bangun dan beredar masuk ke dalam.
Irfan duduk sebagaimana arahan Nayla tadi. Tersenyum sengih dia melihat muka serabai Nayla. Rasanya pertama kali dia melihat perempuan begini selekeh. Perempuan lain pasti akan tunjukkan wajah paling cantik di hadapan matanya. Nayla Asyifa memang aneh. Tapi menarik.
“Kata nak ambik lepas solat Jumaat. Kelam kabut aku siapkan malam tadi.” Nayla muncul dengan dua botol air mineral. Duduk dilabuhkan di hadapan Irfan. Mengikut pelannya dia akan mula memasak selepas solat Subuh. Namun tengah malam semalam Irfan menelefon dia mahu ambil awal.
“Minum.” Botol air mineral ditolak ke hadapan Irfan. Sementara botol satu lagi dia buka penutupnya.
Terpaku sekejap Irfan melihat wajah jernih Nayla yang sedikit basah. Subhanallah! Cantik sungguh ciptaan Allah. Walaupun sering bertemu, ini kali pertama dia lihat Nayla begitu cantik. Tiada sebarang palitan alat solek. Memang wajah asli semula jadi.
“Ada tahi mata ke? Atau air liur basi. Kenapa kau tengok aku macam tu.”
Irfan tersentak. “Ha’ah. Ada tahi mata lagi tu.”
Nayla ambil tisu dan tenyeh matanya untuk membuang kotoran itu. Dia dekatkan mukanya pada Irfan. “Ada lagi tak?”
Gamam seketika. Wajah Nayla terlalu dekat. Matanya tidak berkelip menatap wajah itu. Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang. Pertama kali berada sedekat itu dengan seorang gadis.
“Ada tak?”
“Tak ada.” Lekas-lekas Irfan kembali ke dunia nyata. Apa kena dengan jantungnya? Dia urut dada sebaik sahaja Nayla menjauh.
“Kau angkat termos. Aku bawak barang-barang lain.” Nayla tunjukkan termos berisi kuah laksa yang diletakkan di atas meja kepada Irfan. Lekas lelaki itu balik dia boleh pulang ke rumah dan tidur.
“Ha...” Irfan ambil termos dan bawa ke kereta. Mahu lekas-lekas pergi dari situ.
Nayla mengekori Irfan sambil membawa bekas berisi bahan-bahan lain. Buat entah ke berapa kali dia menguap. Mengantuk dan letih sangat.
“Menguap tu cubalah tutup mulut.” Irfan meletakkan tapak tangannya ke mulut Nayla yang terbuka lebar.
“Banyak barang kan. Mana boleh tutup mulut.” Nayla serahkan bekas di tangganya tadi kepada Irfan. Dia perhatikan lelaki itu letakkan bekas di tempat duduk belakang.
“Okay done. Thanks Nay.”
“Aku patut ucap terima kasih kat kau sebab dah banyak tolong aku,” ucap Nayla ikhlas. Sejak perkenalan dengan Irfan hidupnya banyak berubah. Jualan laksanya bertambah laris. “Terima kasih sebab sudi jadi kawan aku. Aku malu sebenarnya nak kawan dengan kau.”
“Malu kenapa?” Irfan tutup pintu keretanya.
“Kau orang ada-ada... aku ni. Risau sebenarnya nak kawan dengan kau.” Mereka sama usia sebenarnya. Lebih selesa menggunakan kau aku.
“Risau kenapa?”
“Biasalah. Bila orang miskin kawan dengan orang kaya... nanti orang sangka si miskin tu macam pacat macam lintah. Hisap kekayaan orang-orang kaya.”
“Hmmm. Mesti sebab Mika ni. Mika kutuk kau lagi ke?”
Nayla hanya tersenyum. Dia sudah lali dengan caci maki. Tidak terkesan pun dengan kata-kata lelaki bongkak itu.
“Abaikan dia. Aku kawan kau. Aku selesa kawan dengan kau. Lagipun kau tau kan yang aku ni cuma cucu angkat Tengku Fatimah. Harta kekayaan tu semua tak ada kena mengena dengan aku.”
“Ya... aku tau. Sebab tu aku selesa kawan dengan kau. Dah pergi balik kolej kau. Nanti lambat pulak dia orang makan. Aku pun nak balik ni. Mengantuk.”
“Terima kasih Nay. Jangan kerja kuat sangat.” Sempat Irfan berpesan sebelum bergerak ke pintu pemandu. Dia lambaikan tangan sebelum masuk ke kereta.
Nayla membalas lambaian Irfan. Dia menghantar kereta lelaki itu dengan pandangan mata. Perlahan dia mengeluh. Memang harta kekayaan Tengku Fatimah tiada kena mengena dengan Irfan. Tetapi tetap dia rasa kerdil menjadi kawan lelaki itu. Dia hanyalah gadis biasa yang memang tak layak untuk berkawan dengan lelaki seperti Irfan. Dengan Tengku Mikhael, mungkin dia hanya layak jadi orang gaji sahaja.
“Yeay. Boleh balik dah.” Nayla kembali ke gerainya. Semua sudah selesai dia kemas tadi. Pinggan mangkuk juga sudah di cuci. Beg diambil dari laci almari dan dia keluar. Roller shutter diturunkan dan dikunci.
“Balik Nay,” tegur Razlan tuan punya gerai sebelah.
“Baliklah. Dah sepanjang malam berjaga. Ngantuk ni.” Dia hadiahkan senyuman dan terus beredar usai menjawab soalan Razlan. Suami orang tu. Tak mahu bikin kecoh.
Langkah diayun menuju ke parkir motor. Kunci skuter dikeluarkan dari poketnya. Itulah satu-satunya harta dia ada. Itu pun dia beli second hand. Bolehlah dia bawa ke mana-mana. Ke pasar borong setiap pagi dan membeli bahan-bahan laksa.
“Balik tidur.” Helmet disarungkan ke kepala. Skuter dihidupkan. Baru dia hendak bergerak, telefonnya bergegar. Poket diseluk dan telefon dikeluarkan. ‘Perempuan Syaiton’ tertera pada skrin telefon.

“Aku nak duit, anak aku nak kahwin. Duit insurans arwah bapak kau ada lagi kan.”
Nayla buat-buat tidak dengar. Selamba sahaja dia bersiul. Sengaja kaki ditindihkan pada paha dan digoyang-goyangkan.
“Kau dengar tak apa aku cakap?” Puan Latifah tinggikan suara.
“Dia yang nak kahwin apesal mintak duit kat aku.” Mata sengaja dijegilkan pada Laili anak kepada emak tirinya. Sebaya dengan dia.
“Habis tu aku nak mintak kat sape kalau bukan kau. Adik beradik kau jugak tu. Duit bapak kau tinggalkan untuk dia jugak.”
“Ewah... sejak bila pulak nama bapak kami sama ni. Saya tak ingat bila masa emak saya bersalinkan budak tak sedar diri macam dia tu. Lagipun tu duit bapak aku bukan duit bapak dia.” Melebih pula emak tirinya, bab duit mereka jadi adik beradik. Anak beranak. Bab hutang, semua lepas tangan. “Dia ada bapak lagi kan. Mintaklah kat bapak dia. Sibuk mintak kat orang kenapa?”
“Kurang ajar kau eh.” Puan Latifah hilang sabar. Dia pusingkan tubuh dan mendekati Nayla yang sedang duduk. Tangan diangkat untuk menampar anak tirinya itu.
Namun Nayla bertindak pantas. Ditahan tangan ibu tirinya. Mata dijegilkan “Kau siapa nak tampar aku?”
“Kenapa kau kurang ajar sangat hah. Taulah mak kau mati masa kecik. Sekurang-kurangnya hormatlah mak tiri kau ni. Isteri ayah kau.” Puan Latifah mengundur. Bukan dia tidak pernah lihat Nayla mengamuk.
“Aku patut hormat kau... sebab kau isteri arwah ayah aku. Ibu tiri dari neraka jahanam buat apa nak hormat. Patut aku campak kau dari tingkat 5 ni.” Secubit pun tiada rasa hormat pada wanita itu. Dari dulu semasa mula-mula berkahwin dengan arwah ayahnya, hingga sekarang.
“Kau...” Puan Latifah luruskan telunjuk ke arah Nayla.
“Kau nak cakap apa hah. Aku salah cakap. Memang betul kau mak tiri dari neraka. Kau hasut ayah aku supaya tak bagi duit belanja kat aku. Sebab ayah aku kena bela anak kau tu. Kau tak bagi ayah aku jumpa aku. Itu kau nak cakap yang kau mak tiri dari syurga. Sekarang sibuk nak duit pulak. Bukan kau dah makan duit pencen ayah aku sorang-sorang ke?” Puas hati dia dapat luahkan. “Kau dah buat bapak aku mereput kat neraka sebab abaikan tanggungjawab dia kat satu-satunya anak dia!”
Turun naik nafas Puan Latifah. Gadis itu sangat berbeza dari yang dia temui setahun lalu. Semasa kematian arwah suaminya. Nayla nampak polos dan mendengar kata ketika itu. Sekarang Nayla nampak lain.
“Aku tak nak alasan apa-apa. Aku nak duit insurans arwah buat belanja kahwin Laili.”
“Duit insurans arwah tinggal habuk saja. Aku bayar hutang along dia.”
“Kau makan sorang duit dia.” Puan Latifah buat muka bengang.
“Hei orang tua. Hutang along tu kan kau yang buat. Anak sulung kau nak kahwin grand-grand. Sepatutnya dia yang kena bayar bukan aku. Disebabkan nama bapak aku, jadi aku yang kena bayar.” Sakit hatinya saat along datang mencari dia selepas kematian arwah ayahnya. Dia terpaksa berhenti belajar untuk membayar hutang-hutang itu. Selepas setahun, hutang itu tetap tidak susut.
“Hei. Biawak hidup. Kau nak kahwin, kau kerjalah. Kenapa nak susahkan aku. Pergi cari bapak kau tu. Jangan pandai nak tabur sperma aje.” Dia halakan muka ke arah Laili. Umur 28 tahun masih lagi malas hendak kerja. Sibuk hendak jadi instafamous. “Dahlah hidup dengan makan duit haram.”
“Hei!” Laili bangkit dari duduknya
“Patut kau makan duit bapak kau. Bukan makan duit bapak aku.” Nayla ambil beg dan gantung ke leher. Lama-lama dia di situ sakit hatinya. Sudahlah dia kena naik motor dekat 40 minit. Sekarang dia terpaksa tempuh 40 minit lagi untuk balik ke rumah.
Laili kembali duduk. Bab ini dia kalah. Memang dia menumpang hidup dengan emaknya yang mengharapkan duit pencen arwah ayah tirinya.
“Harap Puan Latifah muhasabah diri. Tak baik aniaya anak yatim. Kalau ikutkan hati saya ni memang saya nak doakan rumah tangga anak sulung puan tu porak-peranda. Hancur musnah. Kahwin besar-besaran tapi pakai duit orang lain.” Puas hati dia melihat Laili dan Puan Latifah terdiam begitu. Dia datang bukan hendak berbaik dengan keluarga tirinya, tetapi hendak memberi pengajaran.
“Jangan kacau saya lagi. Assalamualaikum.” Nayla keluar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience