BAB 1

Romance Series 22806

Sebuah helicopter terbang rendah berhampiran Vila Mawar milik Tengku Fatimah. Helikopter itu terbang lebih rendah lagi hingga akhirnya mendarat di padang hijau vila itu. Kipas yang tadi laju berpusing menjadi perlahan.

Pintu terbuka, kelihatan sepasang kaki memijak rumput. Seorang lelaki yang memakai kot berwarna hitam keluar. Lelaki itu adalah Tengku Ayden Mikhael, cucu tunggal kepada Tengku Fatimah. Rambut yang kusut dirapikan. Matanya tertancap ke arah rumah agam milik nendanya. Dibelakangnya seorang lelaki keluar dengan mengepit fail.

“Meeting kita pukul 3 petang. Jangan lama sangat.”

Tengku Mikhael alihkan pandangan melihat PAnya. Cermin mata yang dia pakai ditanggalkan lalu diserahkan kepada lelaki tadi.

“Cakap dekat nenda. Bukan dengan aku.” Bahu Kamal, pembantunya dia tepuk. Dia pusingkan tubuhnya menghadap helikopter. Sambil membuat isyarat makan dia melaung, “Joe, makan dulu!”

Joe, atau Kapten Johan yang berada di dalam helikopter, menaikkan ibu jarinya. Sekarang adalah waktu makan Tengah hari.

Tengku Mikhael ayun langkah menuju ke pintu utama Vila Mawar. Apa pula helah nenda kali ini. Puan Kalsom, ketua orang gaji ada menelefonnya mengadu yang Tengku Fatimah tidak menjamah sebarang makanan sejak semalam. Dia, sudah tentulah risau. Hanya ada nenda sahaja dalam hidupnya. Tiada saudara mara lain.

Tengku Mikhael terhenti di hadapan pintu. Jari yang tadi hendak memicit loceng terhenti. Ragu-ragu sebenarnya.

“Baca doa penolak bala ke?” tanya Kamal dengan sengih lebar.

Tengku Mikhael jeling pembantunya. “Aku potong gaji kau karang.”

Kamal buat isyarat zip mulut. Dia mahu memicit loceng tapi dihalang oleh majikannya. Tengku Mikhael siap geleng kepala. Tergelak Kamal melihat Tengku Mikhael menarik nafas dalam-dalam dan hembus.

Belum sempat Tengku Mikhael memicit loceng pintu terbuka. Terjengul kepala seorang wanita tua. Wanita itu adalah nendanya Tengku Fatimah. Tiba-tiba terasa tubuhnya dipeluk.

“Datang pun Mika. Nenda ingat Mika tak datang. Mika tau tak nenda rindu Mika.” Tengku Fatimah menangis teresak-esak sambil memeluk cucu tunggalnya.

“Maaflah nenda. Mika busy sangat. Sangat-sangat busy. Nenda tahu kan kerja Mika macam mana.” Tengku Mikhael mengusap belikat nendanya. Rasa bersalah kerana membuat nenda menangis. Tetapi apa boleh buat kerjanya menimbun. “Nenda dah makan ke belum?”

“Belum. Tak ada selera.”

“Kita masuk dulu jum. Cef Haziq masak apa hari ni?” Tengku Mikhael memeluk nendanya sambil ayun langkah masuk ke dalam rumah. Dia memberi isyarat kepada Kamal agar terus ke dapur. Mungkin Joe sudah berada di dapur juga.

“Nenda ada sesuatu nak tunjuk dekat Mika.” Terus Tengku Fatimah bawa cucunya duduk di sofa.

Tidak jadi Tengku Mikhael hendak duduk. Matanya tertancap pada gambar-gambar yang bertaburan di atas meja. Gambar perempuan muda. Tidak pernah putus asa rupanya nenda. Sudah berkali-kali dia tegaskan dia belum sedia untuk mendirikan rumahtangga.

“Gambar apa ni nenda?”

“Ni semua gambar cucu kawan nenda.... untuk Mika pilih jadikan isteri.”

“Dah tahun 2021 nenda. Bukan tahun 80an lagi. Kenapa kena kahwin paksa.” Bengang. Tengku Mikhael menahan sabar. Kalau bukan nenda di hadapannya ini, memang sudah lama dia tengking.

Tengku Fatimah yang tadi ceria bertukar muram. “Nenda bukan muda lagi Mika. Mana tau besok lusa Allah jemput nenda. Nenda nak tengok Mika ada teman. Kalau boleh nenda nak timang cicit sebelum tutup mata.”

Tengku Mikhael mengeluh berat. Timbul rasa bersalah melihat perubahan riak muka nendanya. Bukan dia tidak mahu berteman. Dia takut tersalah pilih. Bukan tiada gadis yang cuba menempel dengannya. Ramai. Tapi kebanyakannya bercita-cita mahu jadi Cinderella.

“Nenda...”

“Nenda nak Mika kahwin jugak tahun ni. Titik!”

“Kalau Mika tak nak kahwin, nenda nak buat apa. Nak tarik balik harta atau nak lucutkan jawatan Mika.” Harta arwah ayahnya sudah jadi milik dia. Begitu juga harta arwah mama. Sebab itu dia bergelar jutawan pada usia muda. Kedua-dua orang tuanya memiliki harta masing-masing. Bila di kumpul, memang tak habis makan 7 keturunan.

“Kalau Mika tak nak terima pilihan nenda, jangan jejak kaki kat rumah nenda. Nenda mati pun tak payah ambik tahu.” Tengku Fatimah bersilang lengan dan pusingkan tubuhnya melihat tempat lain.

“Nenda!" Tergamam Mikhael. Hukuman nenda sangat berat. Dia tiada saudara mara lain selain neneknya itu.

“Permintaan nenda senang saja. Kahwin dengan cucu kawan nenda. Tak nak dengan cucu kawan nenda, dengan sesiapa pun boleh. Nenda teringin sangat nak tengok Mika kahwin sebelum tutup mata.”

Tengku Mikhael tunduk. Kusut. Serabut. Permintaan nenda bukan susah untuk dia terima. Tapi dia belum bersedia.

“Jangan cakap yang Mika masih harapkan Lisa muncul.”

Nama itu lagi nenda sebut. Pada nenda dia beritahu hubungannya dengan Lisa sudah berakhir. Namun sebenarnya mereka masih menjalin hubungan dalam diam. Nenda menentang hubungan mereka. Kekasih hatinya itu berada di New York sedang mengejar cita-cita.

“Bagi Mika masa untuk fikir. Mika nak balik pejabat dulu.” Tengku Mikhael bangun dan mendekati nendanya. Dicapai tangan tua itu dan dikucup kekura dengan penuh kasih sayang.

“Tak sampai 5 minit pun Mika duduk. Takkan nak balik dah. Jangan balik dulu. Nenda dah panggil budak tu untuk makan tengah hari dengan kita. Tadi Mika janji nak makan tengah hari dengan nenda.”

“Budak mana?” terpinga-pinga Tengku Mikhael. Siapa yang nendanya maksudkan.

“Calon jodoh Mika yang nenda nak kenalkan.”

Bulat mata Tengku Mikhael. Ah sudah, nenda sudah melangkah ke satu tahap lagi. Terus sahaja bawa calon untuk diperkenalkan kepadanya. Habis tu gambar-gambar yang banyak tadi untuk apa kalau sudah ada calon. Memang patut pun dia lari. “Nenda. Biar Mika cari sendiri jodoh Mika. Insya-Allah hujung tahun ni Mika naik pelamin.”

“Tapi... nenda dah janji dengan kawan nenda.”

“Kahwinkan dia dengan Irfan. Cucu angkat nenda tu. Dia pun bujang lagi. Dah masuk 35 tahun.” Usai berkata-kata Tengku Mikhael terus tinggalkan ruang tamu. Menikah dengan perempuan yang dia tidak kenal memang tak mungkin. Impiannya hanyalah satu, menjaduikan Lisa sebagai suri hatinya yang halal. Pasti ada cara untuk dia lengahkan kemahuan nendanya sehingga Lisa bersedia.
Pesanan WhatsApp dihantar kepada Joe dan juga Kamal. Dia perlu balik sekarang juga sebelum dia lemah dengan rayuan nenda. Bertemu dengan gadis yang kononnya bakal isteri dia, memang tidaklah dia akan penuhi kehendak nenda.

Saat Tengku Mikhael membuka pintu utama, berdiri seorang gadis di muka pintu yang hampir mengetuk mukanya. Dia dan gadis itu sama-sama tergamam.

“Kau ke orangnya?” Turun naik mata Tengku Mikhael memerhatikan gadis itu. Tiada apa yang menarik. Penampilan sangat biasa sahaja. Dahinya dikerutkan.

“Orang apa?” Nayla kerut dahi. Apa yang lelaki itu maksudkan.

“Calon jodoh aku.”

“Hah!” Ternganga Nayla. “Calon jodoh?”

“Ha’ah. Calon jodoh aku yang nenda carikan.” Sekali lagi, turun naik matanya memerhatikan gadis itu. Apa teruk sangat pilihan nenda. Gaya ibarat tomboi. Dengan rambut pendek seperti lelaki. Baju pun baju pasar malam.

“Calon jodoh?”

Tengku Mikhael angkat kening sebelah. Benci betul dengan orang berpura-pura. Dia tahu gadis itu hanya berpura-pura tidak kenal dia.
“Kau dengar sini eh. Jangan nak berangan-angan nak jadi isteri aku. Aku dah ada calon aku sendiri. Jadi jangan sibuk-sibuk mengendeng dekat nenda semata-mata nak jadi cucu menantu dia. Kau... tak sepadan dengan aku. Penampilan pun selekeh. Mesti nak kaya cepat ni.” Puas hati dia saat ini. Siapa suruh jadi calon pilihan nenda dan menyusahkan hidupnya.

Nayla ternganga. Sudah kenapa lelaki itu tuduh dia sembarangan siapa pula yang hendak jadi jodoh lelaki itu. Termos berisi kuah laksa diletakkan ke tepi. Kenal pun tidak lelaki itu, dia dituduh mahu membolot harta. Kecil besar sahaja dia pandang lelaki itu.

“Cinderella pun pakai lawa-lawan nak memikat putera. Kau... selekeh nak mampus. Kau ingat aku boleh terpikat.”

“Habis dah cakap.” Nayla mencekak pinggang. Dijegilkan mata memandang lelaki itu. Pantang dia jika dituduh sembarangan begitu.
“Dah.” Gerun tiba-tiba Tengku Mikhael melihat gadis itu.

“Selamba mulut kau hina aku selekeh. Lepas tu boleh pulak kau tuduh aku nak kaya cepat. Kau ingat semua perempuan yang datang sini sibuk nak kat kau sebab kau kaya. Aku datang sini sebab nak hantar laksa yang nenek kau tempahlah bodoh. Bukan nak jadi bini kau. Kan dah kena bodoh!” Lelaki ini berjaya membuat darahnya mendidih. Selamba sahaja sembur dia. Kan dah kena sembur balik.

Terkebil-kebil mata Tengku Mikhael kena marah. Di pandang gadis itu dengan teliti. Gambar tadi orangnya berambut panjang dan ada tahi lalat di pipi. Gadis itu tiada tahi lalat. Salah orang ke? Sah dia salah orang. Mengaku salah? Memang tidaklah. Dia berlagak selamba.

“Ooh bukan kau rupanya. Patutlah selekeh semacam.”

Nayla kecilkan mata. “Aku selekeh pun bukan urusan kau. Bukannya aku bakal jodoh kau ke apa. Orang kaya-kaya ni perasan lebih. Pantang perempuan muncul, selamba tuduh nak kaya cepat. Perasan sangat kenapa? Taulah kaya-raya. Janganlah hina orang miskin. Ingat orang miskin tak ada harga diri ke? Berlagak. Bongkak. Sombong. Tepi sikit. Orang nak bawak kuah laksa masuk.”

Termos berisi kuah laksa yang diletakkan di tepi pintu dia ambil dan bawa masuk. Sempat lagi dia jeling tajam lelaki itu. Dasar lelaki bongkak. Dari ekor matanya dia melihat lelaki itu mengekor.

“Nayla dah sampai. Bawak kuah tu terus ke meja makan.” Tengku Fatimah bangun sebaik terlihat kemunculan Nayla. Terus dia bawa gadis itu ke ruang makan.

“Nay keluar dulu ambik laksa dengan bahan-bahan lain,” ucap Nayla sebaik meletakkan termos ke atas meja. Sempat lagi dia jegilkan mata dan tunjuk penumbuk ke arah Tengku Mikhael sebelum beredar.

“Yalah...” Tengku Fatimah angguk. Sebaik Nayla menghilang, penutup termos dibuka. Dengan senyuman lebar hidungnya menghidu bau kuah laksa.

“Siapa dia tu nenda?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience