“Alhamdulillah. Mujur kita tak terlepas projek tu.” Lebar senyuman Tengku Mikhael. Sekali lagi dia berjaya membuat Kerjasama dengan Syarikat luar negara.
“Mujur Tengku sampai tepat pada masanya. Kalau lambat sikit...”
Tengku Mikhael tersenyum puas. Allah masih mahu memberikan dia rezeki. Sebab itu dia sempat sampai.
“Tengku patut berterima kasih dengan minah laksa tu.”
Tengku Mikhael angguk. Allah hantarkan Nayla agar dia tidak terlepas rezeki ini. Memang patut dia berterima kasih kepada minah laksa itu.
Mereka berdua sudah sampai ke tingkat 20. Pintu lif terbuka. Tengku Mikhael memberi isyarat agar Anita keluar dahulu. Telefon dikeluarkan dan dibelek sambil melangkah keluar dari perut lif.
“Saya kena bayar upah minah laksa tu. Bukan sikit-sikit dia mintak. 20 ribu.”
“20 ribu.” Anita tercengang. “Banyaknya.”
“Bagi kamu banyak. Bagi saya celah gigi saja. Apalah sangat berbanding 200 juta yang saya dapat.”
Anita tutup mulutnya dan angguk. Bagi dia memang 20 ribu sangat besar. Tapi sangat kecil jumlahnya bagi Tengku Mikhael. Sampai di mejanya dia letakkan semua fail di atas meja. Haus pula tekaknya. Usai meletakkan fail dia berjalan ke pantri.
“Kamal. Bila sampai?” Anita menegur Kamal yang sedang ralit dengan telefon bimbit. “Kereta dah hantar bengkel?”
Peti sejuk dibuka dan botol air mineral dia keluarkan. Sebiji cawak diambil dari rak. Kotak dan cawan tadi diletakkan ke atas meja. Kerusi di tarik dan punggung dilabuhkan.
“Dah. Driver dah balik rumah ambik kereta lain,” beritahu Kamal. Dia membuka penutup botol dan tuangkan air untuk Anita.
“Kereta rosak apa?” tanya Anita. Sudah dua kali kereta itu buat hal. Silap hari bulan, besok lusa Tengku Mikhael akan beli kereta baru.
“Tak taulah. Mekanik sampai dia cuba start, elok aje hidup.” Masih pelik dengan peristiwa itu. Namun dia minta mekanik periksa dengan teliti. Tidak mahu ada masalah lain timbul kelak.
“Mujur jugak minah laksa tu muncul,” ucap Anita sambil letakkan cawan yang sudah separuh terluak.
Kamal kerutkan dahi. Aneh juga pabila tiba-tiba sahaja Nayla muncul. Dia dengan pemandu dan juga Tengku Mikhael bergilir-gilir cuba menghidupkan enjin kereta. Namun tetap tidak hidup.
“Mana Nayla?” Tengku Mikhael muncul dengan muka tegang.
“Dia dah balik.” Jawab Kamal.
“Dia balik!”
Kamal gosok telinganya. Tengku Mikhael menjerit dekat dengan dia. Anita juga berbuat yang sama.
“Kau hantar dia turun naik lif... dia peluk lengan kau sebab dia takut... Dia ni. Aku dah pesan tunggu aku habis mesyuarat.” Sambil membebel Tengku Mikhael tinggalkan pantri.
Anita pandang Kamal dengan muka pelik. “Kau hantar dia turun naik lif lepas tu dia peluk lengan kau sebab takut.”
“Mana ada... dia turun tangga.” Cepat-cepat Kamal sangkal dakwaan Anita. Tiba-tiba sahaja majikannya muncul. Boleh pula menjerit di sebelah telinga dia. Paling tidak boleh tahan Tengku Mikhael membuat sangkaan jahat. Tidak sempat nafikan, majikannya sudah buat andaikan sendiri.
“Bos macam...” Anita terhenti. Nampak sangat muka marah Tengku Mikhael tadi. Marah kerana memikirkan minah laksa itu peluk lengan lelaki lain.
“Mungkin Allah takdirkan kereta tu rosak untuk rapatkan mereka berdua.” Kamal gelengkan kepala. Itu sahaja alasan dia boleh fikir kenapa kereta boleh rosak tiba-tiba. Dan kenapa tiba-tiba Nayla muncul.
“20 ribu?”
“Dia kata. Dia bukan perempuan gila nak caj harga naik motor sama macam caj naik helikopter.”
Anita angguk. Dia berasa yang Nayla itu bukanlah mata duitan. “Mungkin ke betul dia tu calon jodoh Tengku Mikhael yang nenda carikan.”
Kamal angkat kedua-dua belah bahunya tanda tidak tahu. “Kalau betul kita patut tolong jayakan rancangan nenda. Aku tak sanggup tengok bos kita asyik kena tipu dengan Lisa.”
“Jadi, apa kita perlu buat?”
“Nanti aku try tanya nenda apa yang kita boleh tolong.” Senyuman Kamal penuh muslihat. Jika benar Nayla calon jodoh Tengku Mikhael pilihan nenda, dia akan pastikan keduanya akan menikah. Tidak mahu Lisa masuk ke dalam hidup majikannya sekali gus menganggu dia dan kerjanya.
“Kau yakin ke dia baik.”
“Kalau dia pilihan nenda, aku yakin dia baik. Nenda memang tak akan biarkan cucu dia dibelit ular. Lagipun 20 ribu tu dia yang mintak tapi boleh pulak tak ambik.”
Anita angguk. Kali ini dia yakin. Sedaya upaya dia akan bantu nenda menjodohkan Nayla dengan Tengku Mikhael.
Di dalam bilik.
Tengku Mikhael merenung helmet Arai miliknya sambil berfikir. Nayla tidak patuh arahannya. Sudah dia pesan agar gadis itu membawa helmetnya sebagai cagaran. Tetapi Nayla tinggalkan helmetnya. “Betul ke dia baik.”
Jika orang lain dia tempat Nayla, pasti akan tunggu sehingga dia habis mesyuarat untuk mendapatkan upah yang dijanjikan. Bukan sedikit amaun yang gadis itu minta. Boleh beli macam-macam. Sekurang-kurangnya buat modal beli bahan buat laksa selama berbulan-bulan mungkin.
“Atau dia ada rancangan lain.” Dia tidak habis fikir. Manusia tidak waras sahaja yang lepaskan peluang untuk mendapat duit 20 ribu senang-senang begitu.
Tok! Tok! Tok!
“Masuk,” laung Tengku Mikhael. Kepala diangkat dan mata dihalakan ke pintu. Muncul susuk tubuh milik Kamal sebaik sahaja pintu terbuka. “Bagus kau datang.”
“Aku datang nak tanya kau nak balik rumah sendiri atau balik rumah nenda.” Kamal tarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Tengku Mikhael. Matanya tertancap pada helmet milik lelaki itu.
“Aku yakin dia ada tujuan lain.”
“Tujuan apa?” tanya Kamal dengan dahi berlapis-lapis. Tiba-tiba sahaja sebut tujuan lain. Siapa pula yang ada tujuan lain itu.
“Aku tau dah rancangan busuk dia. Dia tak ambik helmet mahal ni dan 20 ribu yang dia mintak sebab dia nak aku sangka dia perempuan paling baik, tak pandang harta. Konon-konon aku akan jatuh hati dengan keikhlasan dia.” Tengku Mikhael tersengih-sengih. Gembira kerana dapat mencium helah minah laksa itu.
“Ya Allah.” Kamal tergeleng. Seteruk itu sangkaan majikannya. Niat dia datang untuk menerangkan perkara sebenarnya antara dia dengan Nayla. Di samping bertanya Tengku Mikhael hendak balik ke mana. Kalau begini lebih baik dia diamkan sahaja.
“Mesti dia ada niat buruk dekat dengan nenda. Aku tak akan biarkan dia racun nenda. Aku akan halau dia.” Tengku Mikhael tersengih jahat.
Kamal menarik nafas dan lepas dengan kasar. Kenapa kebudak-budakan sangat perangai Tengku Mikhael bila berdepan dengan Nayla. Tidak pernah pula majikannya bersikap begitu.
“Pucat betul muka dia tadi. Kenapa dia takut turun lif. Sampai sakit lengan aku dia peluk. Kuat betul.”
Berubah terus muka Tengku Mikhael mendengar kata-kata Kamal. “Aku tak tau. Tak ambik tau.” Dipusingkan kerusi untuk mengelak dari Kamal. Harap-harap pembantunya itu tidak nampak mukanya ketika ini. Kenapa dia harus marah kalau minah laksa itu peluk lengan lelaki lain. Bukannya gadis itu kekasihnya.
“Aku dah pesan kat dia. Lain kali kalau datang nak hantar laksa ke apa call aku terus. Aku jemput dia kat bawah. Kesian dia takut naik lif.” Seronok Kamal melihat reaksi majikannya.
Tengku Mikhael genggam penumbuk. Terus dia pusingkan kembali kerusinya. “Kau pergi siapkan kereta. Aku nak balik rumah aku. Malam ni aku nak tidur sana. “Dan kau... jangan cakap pasal perempuan tu lagi. Tak berbaloi cakap pasal perempuan macam tu.”
Kamal buat isyarat zip mulut. Dia memberi isyarat untuk beredar dari situ sambil bangun. Setelah mendapat kebenaran dari Tengku Mikhael, terus dia ayun langkah keluar dari bilik.
Tengku Mikhael ketap bibir. “Kenapa mesti aku marah kalau minah laksa tu peluk orang lain.”
Share this novel