“Nenda. Mika sibuk kat pejabat tu. Tolong jangan panggil Mika kalau setakat nak jodohkan Mika dengan siapa-siapa entah. Dan jangan asyik tak makan. Risau Mika.” Tengku Mikhael melutut di sisi kerusi Tengku Fatimah. Sejak dia sampai tadi nendanya tidak bersuara. Saat ini pandang muka dia pun tidak mahu. Sedar silapnya kerana tidak dapat melawat nenda selalu. Ini pun dia datang selepas jadualnya agak lapang.
“Kalau risau kenapa sebulan sekali jenguk nenda. Mika tak pernah risaukan nenda kan sebenarnya.” Belas dengan cucunya yang sejak tadi melutut, Tengku Fatimah bersuara.
Tengku Mikhael garu kepala. Bukan dia tidak risaukan nenda. Tuntutan kerja membuat dia jarang ke sini. Bukan juga dia lupakan terus nenda. Setiap pagi dia akan menelefon Puan Kalsom atau Cef Hazif bertanyakan tentang keadaan nenda.
“Sebab tu nenda mintak Mika kahwin. Mana tau wife Mika boleh temankan nenda.”
Mengeluh kasar. Soal teman hidup lagi. Dia tidak faham apa kena mengena berteman hidup dengan nenda. Belum tentu bakal isterinya mahu tinggal di rumah agam itu bersama nenda. Itu lagi satu sebab kenapa dia berat hati mahu melawat nendanya.
“Kalau nak temankan nenda, tak payah Mika kahwin. Nenda cari aje cucu angkat lagi sorang. Cari cucu angkat perempuan. Boleh nenda ajak dia pergi shopping.”
“Salah ke kalau nenda nak tengok cucu tunggal nenda nikah. Sebelum tutup mata nenda nak tengok Mika nikah.”
Memang susah untuk pujuk Tengku Fatimah lupakan hasratnya yang satu itu. Tengku Mikhael rasakan semakin sukar untuk dia menolak. “Nanti Mika aturkan pernikahan Mika. Tapi nenda tak boleh tolak. Jangan tak restu pulak nanti.”
Sampai masanya dia panggil Lisa untuk pulang ke Malaysia. Dia akan menyiapkan sebuah majlis perkahwinan besar-besaran untuk kekasihnya. Apa pun kemahuan Lisa dia akan sediakan. Asalkan kekasihnya itu mahu pulang ke tanah air. Dia yakin nenda akan terima Lisa.
“Janji dengan nenda.”
“Ya Mika janji. Sekarang jom kita makan. Mika sibuk ni. Kena balik pejabat sekejap lagi.”
“Assalamualaikum nenda.”
Tengku Fatimah berpaling melihat arah suara itu. Serta merta dia ukir senyum tatkala terlihat pemilik suara itu.
“Nayla dah sampai. Jom terus pergi ruang makan. Nenda lapar sangat ni.” Serta merta Tengku Fatimah bangun dan mendekati Nayla. Separuh langkah dia menoleh ke arah cucunya. “Mika boleh balik sekarang. Kawan nenda dah sampai.”
Terpinga-pinga Tengku Mikhael. Benarkah nenda menghalau dia pulang. Dia baru sahaja sampai. Panas lagi enjin keretanya. Memang benar telahannya. Pasti minah laksa itu ada helah lain. Sudah sebulan selepas insiden keretanya rosak, Nayla langsung tidak menghubunginya bertanya tentang upah yang dia janjikan.
Dia tidak boleh biarkan rancangan Nayla berjaya. Membiarkan minah laksa itu bersama nenda hanya akan membuatkan rancangan busuk perempuan itu tambah berjaya.
“Apa tunggu lagi. Baliklah. Kata sibuk sangat.” Selamba sahaja Tengku Fatimah halau cucunya.
“Mika lapar. Nak makan laksa.” Dia tidak akan kembali ke pejabat sebelum bersemuka dan memberi amaran kepada gadis itu.
“Kalau macam tu jom pergi ruang makan sekali. Tolong bawak bekas tu.” Tengku Fatimah berlalu sambil mengepit tangan Nayla.
Sampai di ruang makan. “Nay duduk dulu. Nenda nak ambik mangkuk.”
“Nenda... Biar Nay ambik.”
Terlambat. Tengku Fatimah sudah menghilang.
“Apa kau racun nenda aku?” Tengku Mikhael letakkan bekas yang Nayla bawak ke atas meja makan.
“Racun apa?”
“Tak pernah-pernah dia halau aku tau. Mesti semua sebab kau racun dia. Apa kau racun dia? Aku tau niat kau... kau sengaja mintak 20 ribu upah hantar aku pergi pejabat tapi kau tak ambik. Dengan harapan aku bagi tau nenda pasal ni. Dan nenda akan cakap... perempuan macam tu layak buat bini. Bukan setakat 20 ribu kau dapat kalau kau kahwin dengan aku. Dapat harta ratus-ratus ribu atau juta-juta.” Ketawa kepuasan melihat minah laksa itu jegilkan mata. Tentu Nayla tak menyangka rancangannya akan dihidu begitu cepat.
Nayla ketap bibir. Ini sudah lebih. Kenapa orang kaya asyik tuduh orang miskin gila harta. Penumbuk di kepal. Dia mendekati Tengku Mikhael.
“Saya tau saya ni hina. Tapi itu bukan bermakna Tengku berhak hina saya. Saya datang sini sebab nenda tempah laksa. Itu saja. Saya tak ada racun dia apa pun.” Nayla cuba bercakap dengan tenang. “Tentang 20 ribu tu, saya rasa tak berbaloi pun ambik kesempatan atas kesusahan orang lain.”
“Bohong... Aku tau kau bohong. Kau dekat dengan nenda sebab harta. Kau lepaskan 20 ribu tu sebab nak pulangan lagi banyak.” Alasan Nayla memang dia tidak boleh terima. Orang gila sahaja akan lepaskan peluang untuk dapat duit sebanyak itu.
“Kau ni berlagak sangat apesal. Kau ingat harta tu semua boleh bawak mati ke? Kau ingat kau boleh pakai kain kapan dari emas? Kau ingat keranda kau nanti bersalut batu permata ke?”
Terdiam Tengku Mikhael. Dia pernah lihat wajah marah ini. Perlahan dia undurkan kaki ke belakang. Nampaknya gadis itu terus merapatinya. Dia terus mengundur sehingga tersentuh dinding kaca. Almari perhiasan nenda.
“Kau tuduh aku lagi, bukan setakat harta, dengan kau-kau sekali aku rampas. Aku jadikan kau hamba abdi aku. Kau akan cinta mati kat aku.” Nayla luruskan telunjuk ke arah muka Tengku Mikhael. Kali ini dia tidak boleh bendung marahnya.
“Kau ingat kau boleh buat aku jatuh cinta.” Tengku Mikhael sinis. Selamba sahaja dia tolak telunjuk Nayla.
“Kau ingat cinta tak boleh dipaksa. Aku taruk minyak pengasih kat kuah laksa ni biar kau angau teruk. Siang malam kau cari aku. Padan muka kau.”
Berubah riak muka Tengku Mikhael. “Aku tak jadi nak makan. Bagi tau nenda aku balik pejabat.”
“Takutlah tu.” Nayla ketawa sinis.
“Tak. Aku tak takut.”
“Kalau tak takut duduk sana.”
Akur dengan arahan Nayla, Tengku Mikhael tarik kerusi dan labuhkan duduk dengan muka masam. Dia perhatikan gadis itu tarik kerusi berhadapan dengannya.
“Cuba kau baik sangka sikit dengan orang lain. Terutamanya aku ni. Aku tak hadaplah kau punya harta juta-juta tu. Impian aku bukan nak jadi kaya atau isteri jutawan. Aku cuma nak hidup gembira dengan orang yang aku sayang.”
“Kalau kau betul tak ada rancangan jahat atau niat busuk, jangan pernah muncul depan mata aku dan juga rumah nenda.”
Nayla tersenyum hambar. “Kalau nenda cari macam mana?”
“Abaikan aje.”
Share this novel