“Siapa tu nenda?” tanya Tengku Mikhael. Kembang kempis hidung mencium bau yang muncul. Laksa. Memang kegemaran dia.
“Mika ingat tak warung laksa yang dekat dengan sekolah Mika dulu?”
Tengku Mikhael kerut dahi. Dia cuba mengingati perkara yang nendanya sebutkan. Tiba-tiba dia petik jari dan senyum lebar. Baru dia teringat gerai kecil berhampiran sekolahnya dahulu. Selalu dia dengan nenda menjamu selera di situ.
“Laksa special tu.”
Tengku Fatimah angguk. “Itu Nayla cucu nenek yang usahakan gerai tu dulu.”
Tengku Mikhael senyum tawar. Gadis itu hanyalah penjual laksa. Bukan calon jodoh yang nenda carikan. Dia tersalah orang rupanya. Mujur nenda tidak nampak insiden tadi. Kalau tidak memang dia akan malu besar.
Nayla muncul dengan membawa bekas besar. Nampak riak segan lelaki tadi. Padan muka. Siapa suruh serang dia tidak tentu pasal. Pasti Tengku Fatimah sudah bercerita tentang dia.
“Haziq!” laung Tengku Fatimah.
Tidak sampai beberapa ketika muncul seorang lelaki berpakaian cef dan juga seorang perempuan separuh umur.
“Haziq. Tolong hidangkan laksa ni. Saya tak sabar nak makan. Kamal dengan Joe dah makan ke. Kalau belum ajak sekali makan. Saya dah tempah banyak ni.”
“Nenda... Mika kena balik pejabat.” Segan pula hendak berhadapan dengan Nayla. Buru-buru dia hendak berlalu pergi.
“Mika... teman nenda makan. Dah lama kita tak makan sama. Nenda rindu Mika.” Tengku Fatimah merayu.
Tidak sampai hati dengan rayuan neneknya. Tengku Mikhael angguk. Dia tarik kerusi untuk Tengku Fatimah. Baginya senyuman nenda adalah segala-galanya. Matanya bertembung dengan mata Nayla. Tetapi pantas gadis itu berpaling.
“Nay... makan sekali ke?” tanya Puan Kalsom sambil menyusun pinggan.
Nayla menggeleng. “Nay kena balik gerai.”
“Nayla makan sekali. Ramai-ramai lagi seronok.” Tengku Fatimah memujuk.
“Nenda... Nay kan tak suka laksa. Lagipun...” dia tidak mahu duduk semeja dengan lelaki yang telah memfitnah dia tadi.
“Nayla segan ya. Ini Tengku Ayden Mikhael, cucu tunggal nenda. Cucu yang selalu nenda cerita tu. Mika. Yang pakai baju biru tu Kamal pembantu Mika, Kamal namanya. Bujang lagi. Yang pakai baju putih tu Kapten Joe. Yang itu dah kahwin anak 3.”
Nayla lemparkan senyum saat nama lelaki-lelaki yang menjadi tetamu Tengku Fatimah disebut. Sampai giliran Tengku Mikhael dia hanya masamkan muka. Tidak rela senyuman manisnya jadi tatapan lelaki itu.
“Nayla makan saja kat sini. Haziq boleh masak.”
Jadi segan pula Nayla. Cef Hazif terpaksa memasak untuk di semata-mata hanya kerana nenda mahu dia makan sekali.
“Tak apalah nenda Nay balik saja. Tak nak susahkan Haziq.” Sekali lagi Nayla menolak. Tidak betah duduk di sekeliling mereka-mereka yang ‘berkelas’ ini. Dia hanya penjual laksa sahaja. Bagai langit dengan bumi tarafnya dengan Tengku Fatimah.
“Nay, aku masak Spaghetti Creamy Seafood ya. Udang besar-besar.”
“Okay.” Seketika kemudian Nayla tersedar. “Hei, kau pancing aku ya.”
Haziq menyengih. Tengku Fatimah menunjukkan tanda bagus. Dia tahu kegilaan Nayla terhadap makanan laut. Terutamanya udang.
“Kau duduk dulu. Aku masak kejap saja.” Haziq menghilangkan diri ke dapur.
Berat hati namun dia tarik kerusi untuk duduk. Sudahlah Tengku Fatimah tunjuk kerusi kosong di hadapan cucunya. Memang terbantut hasrat untuk duduk di kerusi paling hujung. Menyampah atau tidak, dia kena hadap muka itu sepanjang makan nanti.
“Mika ni hantu laksa. Dia suka sangat laksa yang arwah nenek Nayla buat. Kalau dapat hari-hari dia nak makan laksa. Balik sekolah mesti kami singgah beli laksa.”
Nayla hanya angguk sambil matanya sesekali melirik Tengku Mikhael. Arwah neneknya pernah meniaga berhampiran sekolah swasta. Memang ramai pelanggan arwah neneknya dari kalangan VVIP. Dia pernah membantu arwah neneknya di gerai sekejap. Tapi memorinya tidak ingat sama ada dia pernah berjumpa Tengku Fatimah atau tidak.
“Patutlah dari ruang tamu lagi dah bau sedap. Ada laksa. Ada Nay sekali.” Muncul Irfan, cucu angkat Tengku Fatimah.
Nayla bangun dari duduknya. Tempat dia duduk itu adalah tempat Irfan bisanya. Bolehlah dia melarikan diri sekali.
“Tak apa Nay. Aku duduk sini.” Irfan tarik kerusi kosong di sebelah gadis itu.
Kembali duduk. Dalam hati Nayla mendongkol geram. Dia tidak mahu duduk di hadapan Tengku Mikhael. Pandangan mata lelaki itu seakan mahu menelannya. Kalau tiada orang lain di situ memang sudah lama dia cocok mata lelaki itu.
“Kita tunggu tetamu sorang lagi ya,” ucap Tengku Fatimah.
Tengku Mikhael jadi gelisah. Pasti anak kawan nenda yang khabarnya akan jadi calon isterinya. Mahu lari dari situ, nenda akan kecewa. Lagipun laksa yang terhidang buat dia kecur air liur. Tambahan lagi laksa yang pernah jadi kegilaannya dahulu. Adakah masih sama rasa laksa itu atau sudah berubah kerana air tangan orang lain.
“Spaghetti Creamy Seafood. Untuk Cik Nayla. Gadis penjual laksa yang tak suka laksa.” Haziq muncul dari dapur. Pinggan berisi spageti yang masih berasap itu diletakkan di hadapan Nayla.
“Terima kasih... wah udang.” Teruja Nayla melihat udang di pinggan. Besar-besar dan gemuk-gemuk.
“Aku pelik dengan kau Nay. Buat laksa... maksud aku masak kuah laksa. Tapi tak suka laksa. Kenapa kau tak suka?” tanya Irfan. Dia yang ‘menemui’ Nayla.
Dia mengikut teman-temanya makan laksa di sebuah medan selera. Jatuh cinta dengan laksa buatan Nayla, dia bungkus bawa balik untuk nenda rasa. Tidak sangka nenda begitu suka laksa Nayla. Nenda mahu ditemukan dengan Nayla. Dan selepas itu barulah dia tahu sejarah arwah nenek Nayla dengan nenda.
“Tak ada yang pelik apa. Aku masak laksa sebab aku pandai. Aku tahu resipi dia. Aku jual laksa. Bukannya aku penggemar laksa.”
Irfan angguk. Semua itu tak mustahil. “Aku nak tempah laksa untuk 60 orang makan. Nak buat bacaan Yasin kat kolej lepas solat Jumaat.”
“Jumaat bila?”
“Jumaat ni. Nanti aku bank in duit.”
Nayla angguk. Sambil itu matanya meliar melihat seorang demi seorang insan yang berada di situ. Semuanya membisu. Tidak terkecuali cucu Tengku Fatimah. Senyap sahaja. Tetapi mata, galak melihat dia. Apa lagi yang lelaki itu tidak puas hati?
“Tetamu nenda tak jadi datang. Kita makanlah.”
Nayla mahu mengambil mangkuk Tengku Fatimah bila Tengku Mikhael berbuat perkara yang sama. Jarinya bersentuhan dengan jari lelaki itu. Pantas dia tarik tangannya. Bala! Nanti lelaki itu tuduh dia hendak mengurat pula. Kembali duduk dan memerhatikan Tengku Mikhael menghidangkan laksa untuk Tengku Fatimah.
Diam-diam dia menilik lelaki itu. Memang kacak. Kalau orang kata lelaki itu model memang dia percaya. Tapi sayangnya perangai macam mintak kasut dihempuk ke muka. Sesuka hati tuduh dia gila harta.
“Mika baca doa.” Arah Tengku Fatimah.
Tengku Mikhael menadah tangan. Serentak itu semua yang ada turut menadah tangan. Selesai bacaan doa.
“Nay punya laksa tak pernah tak sedap. Aku yang tak suka laksa ni boleh jadi hantu laksa. Ketagih dengan laksa kau Nay.” Sampai terpejam-pejam mata Irfan menikmati keenakan laksa.
“Kau ni mengarut saja.” Nayla pura-pura ketawa. Tanpa sengaja matanya bertembung dengan mata Tengku Mikhael. Lelaki itu kelihatan sedang mencebik. Menyampah!
Tengku Mikhael menghirup kuah laksa. Terasa waktu berhenti sesaat. Rasa yang satu ketika dulu menjadi ketagihannya. Rasa kuah laksa itu sama seperti dahulu. Tiada beza. Tiba-tiba dia terasa di tarik ke masa silam. Ingat lagi selepas habis kelas tambahan dia terus ke warung laksa untuk mengisi perut. Nenek Leha memang baik. Dia menyudu laksa ke dalam mulutnya.
“Sedap kan. Sama macam dulu.” Tengku Fatimah perasan riak muka cucunya tadi. Dia tahu, Tengku Mikhael pasti akan suka. “Kalau sedap makan banyak-banyak.”
Tengku Mikhael angguk. Sambil itu matanya memerhatikan Nayla. Dia belum minta maaf lagi tentang insiden tadi. Tapi malulah dia kalau minta maaf. Sudahnya dia makan laksa senyap-senyap sehingga habis.
“Sedap betul laksa ni. Laksa paling sedap saya pernah jumpa. Kalau ada lebih nak bawak untuk Anita kat pejabat. Tentu dia suka.” Kamal bersuara. Dia pun boleh jadi hantu laksa kalau macam ni rasa sedap kuahnya.
“Kalau sedap makan lagi Kamal. Ha... nenda pun nak tanya kenapa Anita tak ikut sekali.”
“Dia keluar makan dengan tunang dia nenda.” Tengku Mikhael menjawab. Anita adalah pembantunya di pejabat. Boleh dikatakan sebagai orang kanannya. Kamal pula adalah pembantu peribadinya. Kamal dan Anita adalah dua orang kepercayaannya.
“Ada lebih ni. Kalau tak ada lebih nanti nenda minta Nayla hantar pejabat.”
Nayla terus pandang Tengku Fatimah. Dia harus bertemu lagi dengan lelaki mulut longkang itu ke?
Share this novel