“Kita ada meeting 20 minit lagi. Sempat sampai ke kita ke pejabat dalam masa 20 minit. Mana mekanik? Dah sampai ke belum?” Tengku Mikhael melihat jam di tangannya dengan perasaan gelisah. Di saat genting begini muncul pula masalah.
“Tak dapat nak call. Tak ada line. Driver pergi depan sana cari line,” terang Kamal. Sama seperti Tengku Mikhael, dia turut gelisah. Sekejap-sekejap dia melirik jam ditangannya silih berganti dengan melihat sekeliling. Meninjau kalau-kalau pemandu mereka muncul.
“Panggil Grab untuk aku.” Tengku Mikhael hilang sabar. Makin banyak masa terbuang menunggu makin tipis peluangnya untuk bekerjasama dengan syarikat Gading Mewah.
“Line tak ada. Internet pun tak ada.” Kamal menunjukkan telefonnya. Memang betul langsung tiada isyarat talian telefon dan juga Internet.
“Mana ceruk hulu kau bawak aku ni.” Tengku Mikhael melihat sekeliling. Tiada apa di situ melainkan semak samun.
“Waze kata ikut sini boleh jimat masa 5 minit. Aku suruh driver ikut sini.” Kamal berkata dengan nada serba salah. Mahu mengelak kesesakan lalulintas punya pasal mereka melalui jalan ini. Tapi akhirnya mereka sangkut di sini.
“Percaya sangat dengan waze.” Tengku Mikhael mencekak pinggang. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Tiada satu pun kereta yang lalu selama mereka berada di situ. Kalau ada boleh dia minta tumpang keluar.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi motor. Segera dia berlari ke tengah jalan dan mendepakan tangan. Tengku Mikhael pejamkan mata dan berdoa agar motor itu berhenti.
“Nay.” Kedengaran suara Kamal.
Segera Tengku Mikhael membuka mata. Tidak tahu apa perasaannya sekarang. Tiba-tiba dia rasa lega melihat minah laksa itu. Cepat-cepat dia merapati skuter Nayla.
“Hantar aku pergi pejabat.” Tanpa memberi amaran terus dipanjat skuter Nayla.
“Aku nak balik rumahlah. Kau naiklah kereta mahal kau tu.” Nayla menoleh ke belakang. Gila agaknya cucu Tengku Fatimah ni.
“Kereta aku rosak. Cepatlah gerak.”
“Tak nak. Aku nak balik.” Nayla sengaja mematikan skuternya. Kunci dicabut. Dia bersilang lengan.
“Aku bayar kau. Berapa kau nak? Cakap aje.”
“20 ribu.”
“Deal.” Tanpa banyak soal Tengku Mikhael bersetuju.
Nayla membuka mulut luas-luas sambil menoleh ke belakang. Ini orang waras atau tak. Dia sebut dua puluh ribu, bukan dua puluh ringgit.
“Cepat jalan. Dua puluh ribu apalah sangat berbanding keuntungan yang bakal aku terlepas kalau tak datang meeting ni.” Tengku Mikhael buat muka serius.
“Tapi... takkan kau tak pakai helmet.” Nayla menghidupkan skuternya.
“Mika...” Kamal muncul dan menghulurkan helmet kepada Tengku Mikhael.
Bulat mata Nayla melihat helmet yang dihulurkan Kamal. Sekali lagi mulutnya terbuka luas. “Arai RX-7V.”
“Cepat jalan.”
Nayla berhentikan skuternya betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Tengku Mikhael. Lelaki itu telah pun turun dari skuternya. Dia menoleh ke belakang. “Upah aku mana?”
“Lain kali boleh. Aku nak cepat ni.” Tengku Mikhael betulkan rambutnya yang agak kusut.
“Aku tak terima hutang. Cash only.” Dia tanggalkan helmet dan letak atas seat.
“Ikut aku naik.” Tengku Mikhael mematikan skuter Nayla. Kunci dicabut.
“Hei. Kunci aku.” Nayla turun dari skuternya lalu mengekori Tengku Mikhael mendekati pengawal.
“Tolong park skuter dia elok-elok.” Kunci diserahkan kepada pengawal yang berjaga di hadapan pintu.
“Baik Tengku.”
“Kau pegang ni.” Helmet diserahkan kepada Nayla. Tengku Mikhael menarik lengan gadis secara paksa. Dia tidak punya banyak masa lagi. Tidak sempat untuk membayar hutangnya kepada Nayla.
“Kau nak bawak aku pergi mana?” Mahu tidak mahu Nayla terpaksa mengikut. Tidak sempat dia memakai topinya. Dengan muka malu dia lemparkan senyum kepada sesiapa yang berselisih dengan mereka. Mereka-mereka yang dia temui masing-masing tunjukkan muka terkejut.
“Kau nak bawak aku pergi mana?” Sekali lagi dia ajukan soalan yang sama. Melihat Tengku Mikhael menyentuhkan kad VVIP ke slot lif. Pastilah lelaki itu mahu membawanya ke pejabat yang berada di puncak kayangan sana.
“Tak nak naik lif.” Terasa lembik lututnya saat ini. Namun tiada juga dayanya untuk dia menolak pabila Tengku Mikhael tarik lengannya secara paksa untuk masuk ke perut lif. Mata dipejamkan dan dia peluk lengan Tengku Mikhael erat-erat. Sama seperti tempoh hari.
Lelaki ini memang sengaja menderanya. Bukan Tengku Mikhael tidak tahu dia takut hendak naik lif. Kalau ada peluang, dia akan balas dendam!
“Kau ni nama saja gengster. Tapi takut naik lif.” Tengku Mikhael ketawa. Namun timbul belas melihat muka pucat lesi Nayla. Rasa bersalah pula kerana mentertawakan gadis itu. Perlahan dia letak sebelah tangannya ke lengan Nayla. Ditepuk perlahan lengan itu. “Aku ada untuk lindungi kau.”
Ting!
Nayla buka mata. “Dah sampai.”
Terus dia lepaskan pelukan dan meluru keluar. Dia membongkok di hadapan pintu lif sambil mengatur nafasnya. Tangan diletakkan pada dada. Boleh jadi sewel dia kalau terpaksa naik lif hari-hari.
“Kenapa kau bawak aku ke sini?” tajam matanya memandang Tengku Mikhael yang sedang keluar dari perut lif. Mahu sahaja dia kunyah-kunyah lelaki itu
“Kau kata kau nak cash tak boleh hutang. Mana aku ada bawak duit banyak tu.” Tengku Mikhael ayun langkah menuju ke biliknya. Matanya melirik ke belakang. Nayla mengekorinya sambil memeluk helmet. Tentu minah laksa itu tahu berapa harga helmet itu.
“Tengku.” Anita bangkit sebaik terlihat majikannya. “Dari tadi saya...”
Tengku Mikhael menaikkan tangannya. Isyarat agar Anita berhenti bercakap. “Semua dah ready untuk meeting kita.”
“Sudah Tengku. Tetamu kita pun dah sampai.”
“Saya nak cuci muka dulu.” Tengku Mikhael memulas tombol pintu bilik pejabatnya.
“Aku. Duit aku?” Nayla mengekori Tengku Mikhael. Tiba-tiba sahaja lelaki itu tarik tangannya dan bawa ke sofa sebaik sahaja pintu ditutup.
“Duduk.”
Patuh. Nayla labuhkan punggung ke sofa.
“Aku kena pergi mesyuarat dulu. Kalau aku lambat, aku akan terlepas deal 200 juta. Kau tunggu sini diam-diam. Tunggu aku selesai meeting baru aku bayar duit kau.”
Nayla angguk. “Lama tak?”
“Kalau lebih dua jam aku tak habis meeting, kau boleh balik. Tangga kat pintu sebelah lif sana. Kau boleh ambik helmet aku ni sebagai cagaran. Kau sebut jenama helmet ni tadi... jadi aku andaikan kau tahu harga helmet ni.”
Sekali lagi Nayla angguk.
“Good girl.”
“Aku lapar.” Nayla bersuara.
Tengku Mikhael tidak jadi masuk ke tandas. “Kalau kau lapar, pergi pantri. Jalan terus saja dari meja Anita. Ada roti. Makan saja apa yang ada dulu.”
Nayla memerhatikan Tengku Mikhael masuk ke salah sebuah pintu. Berapa banyak pintu yang ada agaknya di tingkat ini. Silap-silap ada bilik tidur sekali agaknya. Helmet diletakkan atas meja kopi. Bersinar-sinar matanya melihat helmet itu.
“Bertuah betul kau Nayla. Biasa tengok kat Internet saja. Kalau aku mintak helmet ni buat upah bagus jugak. Tapi... nak buat apa helmet mahal-mahal ni. Silap-silap kena curi. Baik ambik duit saja. Tapi takkan hantar orang naik motor upah sampai 20 ribu. Tapi...” Nayla raup wajahnya. Nampak sangat dia mata duitan kalau diambil duit sebanyak itu. “20 ribu tu boleh bayar hutang along. Ringan sikit kot beban aku.”
Libang-libu perasaannya ketika ini. Jadi mata duitan dan hutangnya menjadi kurang atau berbaik hati tidak meminta upah dari lelaki jutawan itu. Dia sudah maklum berapa jumlah kekayaan lelaki itu. Baginya... kaya tahap infiniti. Tak tercapai dek akal.
“Dia ada helmet mahal ni... mesti dia ada motor mahal. BMW ke?”
“Jangan kata motor BMW. Helikopter pun aku ada. Jet peribadi ada.”
Nayla menoleh ke belakang. Tengku Mikhael kelihatan sedang membetulkan tali leher. Dia mencebik. Berlagak!
“Apa aku kisah kau ada apa?” Nayla sandarkan tubuh ke belakang. Sofa pun empuk ya amat! Orang kaya-kaya lah katakan. Tidur pun sedap ni.
“Tunggu aku habis meeting. Baru aku bayar duit kau.”
Nayla mencebik lagi. Berapa kali dia harus dengar perkataan yang sama. Dia tidak membalas. Sebaliknya dia pejamkan mata.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Suara Tengku Mikhael sedikit meninggi. Bukan dia tidak nampak minah laksa itu mencebik. “Kau dengar tak!”
“Baik abang, sayang tunggu abang kat sini dengan penuh cinta dan kasih sayang.” Nayla bersuara dengan lenggok manja dan lembut.
“Kau...”
Nayla jegilkan mata. “Dah pergi meeting sana. Karang melepas projek 200 juta kau tu. Kau salahkan aku pulak.”
Tidak mahu bertelagah lagi, Tengku Mikhael keluar dari biliknya. Tidak akan cukup masa satu hari kalau bergaduh dengan Nayla. Gadis itu selalu sangat buat dia naik angin. Nanti terbawa-bawa perasaan marah ke bilik mesyuarat.
“Sombong. Bongkak,” ucap Nayla sebaik sahaja pintu tertutup. Perlahan dia rebahkan tubuhnya. Lebar senyumannya saat ini. Sofa yang sangat empuk. Lebih empuk dari tilam di rumahnya.
Kruk! Nayla sentuh perutnya. Baru dia hendak lelap, perutnya menyanyi. Sudahlah dia tidak sarapan. Makan tengah hari pun tidak. Balik dari rumah emak tirinya skuter habis minyak. Terpaksa dia menolak ke stesen minyak. Itu pun dia hanya isi mintak tiga ringgit sahaja kerana keputusan duit.
Kruk!
Pantas dia celikkan mata dan bangun. Tidak boleh jadi. Perutnya langsung tidak mahu beri kerjasama. Kaki diayun lalu keluar dari bilik. “Jalan terus saja dari meja Anita.
Dia menapak perlahan. Hingga akhirnya sampai dia ruangan yang ada meja makan. “Ini kot pantri dia. Macam ruang makan mini.”
Matanya meliar melihat sekeliling. Dasar orang kaya-kaya. Tiba-tiba matanya tertancap pada sesuatu. Terus besar biji matanya. “Huyooo... ada periuk Noxxa. Boleh masak nasi goreng 5 minit.”
Terus dia memeluk periuk itu. “Kalau aku dapat periuk ni, heaven sungguh hidup aku.” Sudah lama dia impikan mahu miliki periuk itu. Namun tiada rezeki lagi. Hendak join kutu bimbang kalau tidak mampu bayar bulan-bulan.
“Ehem... peluk periuk saja. Tuan punya periuk tak nak peluk.”
Nayla lepaskan tangannya. Kepala ditolehkan dan buat muka selamba. Mujur yang menegurnya adalah Kamal bukan Tengku Mikhael. Kalau lelaki itu yang tegur pasti berbakul sindiran dia dapat.
“Mujur awak muncul. Pinjam duit sepuluh ringgit.”
“Pinjam duit?” Kamal kerutkan dahi. Bukankah Tengku Mikhael sudah berjanji akan bayar 20 ribu. Kenapa Nayla perlu pinjam duit? Tidak cukupkah bayaran itu.
“20 ribu?” tanya Kamal dengan dahi masih lagi dikerutkan. Tetapi tangan sudah mengeluarkan dompetnya.
“Nak bagi ke tak nak bagi. Orang nak isi minyak skuter ni. Tak bawak duit. Kalau tak boleh pinjam tak apa. Mana pintu tangga.” Malu pula minta pinjam duit dengan orang asing. Tapi haruslah dia tebalkan muka. Kalau tidak, terpaksalah dia tolak skuter hingga ke rumah.
“Nanti... Nah 20 ringgit. Tak ada 10 ringgit.” Kamal keluarkan duit dari wallet lalu berikan kepada Nayla. “20 ribu?”
“Orang gila aje caj 20 ribu untuk perjalanan tak sampai 5 minit. Dia naik skuter saja bukannya naik helikopter. Pintu tangga sana kan. Sebelah lif.”
Kamal angguk. Aneh-aneh sahaja minah laksa ni. Dia yakin Tengku Mikhael akan bayar jumlah itu. Mungkin belum sempat kerana sibuk dengan mesyuarat.
“Buat apa kat pantri ni?” tanya Kamal lagi.
“Lapar. Jutawan tu cakap boleh cari makan kat sini.”
“Ooh...” Kamal membuka peti ais. “Ada sandwic je. Makanlah. Kalau awak nak, saya orderkan makan kat Food Panda. Bos tu kalau meeting kadang-kadang lambat habis.”
Nayla ambil sebungkus sandwic. Cukuplah untuk dia alas perut. “Saya balik dulu ya. Ni saya makan kat bawah. Dengan ni.” Dia capai satu tin air Milo.
Kamal memerhatikan Nayla sehingga gadis itu menghilang.
Share this novel