BAB 13

Romance Series 22806

“Irfan, aku takut.” Nayla duduk di atas kerusi sambil memerhatikan seorang perempuan menyusun alat solek di atas meja. Manakala Irfan sedang memilih pakaian yang dia akan pakai untuk majlis kenduri malam ini.
“Kita pakai sedondon nak. Nanti aku cakap kau girlfriend aku.” Irfan mengambil sepasang baju kurung berwarna dusty pink. Senada dengan baju Melayu yang bakal dipakainya nanti.
“Tak payahlah nak menipu orang. Aku takut Tengku Mikhael marah. Aku nak balik.” Resah. Dia rasakan rancangan Irfan sangat mengarut. Tangan menahan perempuan itu yang mahu menepekkan sesuatu pada mukanya.
Irfan hanya tersenyum. Dia letakkan baju kurung tadi atas katil. Usai itu dia mendekati Nayla. Isyarat diberikan agar Kiki menjauh. Tangan diletakkan atas lengan kerusi yang diduduki Nayla. Kerusi tadi dia pusingkan menghadap cermin meja solek.
“Aku nak tengok dia terlopong bila tengok kau. Aku nak tengok dia gila bayang lepas tengok kau. Aku nak kau buat dia telan balik kata-kata dia. Kau cantik Nay. Cantik semula jadi. Cuma kalau tambah make-up sikit, kau lagi cantik. Sesiapa yang tengok kau mesti terlopong.”
Nayla memerhatikan bayangannya sendiri di dalam cermin. Cantik ke dia dengan muka pucat begitu. Rupa orang tak cukup tidur pun ada. Tapi apa salahnya sekali-sekala dia melaram. Nak tengok juga Tengku Mikhael melopong. Perlahan dia anggukkan kepala.
“Kiki... tolong jadikan dia gadis paling cantik malam ni. Jadikan dia cinderella yang akan buat puteranya melopong.” Irfan lemparkan senyuman. Dia tahu hati Tengku Mikhael terusik dengan kehadiran Nayla. Cuma perlukan sedikit dorongan agar lelaki itu akui semuanya. Rasa yang mula hadir dia akan cantas demi orang yang dikasihinya.
“Beres Fan. Aku akan jadikan dia cinderella melayu terakhir. Gadis paling top dan vouge malam ni.” Kiki membuat isyarat okay dengan jari. Dengan bayaran lumayan dia datang ke rumah agam ini walaupun hari ini hari cutinya.
Irfan meninggalkan Kiki dan juga Nayla di bilik tamu. Dia mahu meninjau persiapan di luar pula. Kereta Nayla sudah dia minta Kamal masukkan ke dalam garaj. Tidak mahu Tengku Mikhael tahu tentang kehadiran gadis itu.
Keluar sahaja dari bilik, terus dia menuju ke bilik Tengku Fatimah. Pintu diketuk perlahan sebelum tombol dipulas selepas mendengar suara nenda. Terukir senyum di bibir Irfan melihat nenda sedang dirias. Walaupun sudah berusia, Tengku Fatimah masih kelihatan cantik. Irfan labuhkan duduk di atas katil.
“Mika halau Nay. Mujur Fan sempat halang Nay balik.” Irfan bersuara.
“Mika tu ego sangat.”
Irfan angkat muka. Seorang nenek benar-benar memahami cucunya. Dia hanya cucu angkat. Sebab itu nenda tidak mengerti isi hatinya. Kembali tunduk memandang lantai. Sentiasa disemat dalam kepalnya, dia harus membalas jasa orang yang membesarkannya.
“Nenda yakin ke Mika akan jatuh cinta dekat Nayla?” tanya Irfan dengan hati sakit.
“Dari cerita Kamal, nenda yakin Mika mula suka dekat Nayla.” Tengku Fatimah memberi isyarat kepada jurusoleknya untuk beredar. Perlahan dia bangun dan duduk di sebelah Irfan.
“Nenda tak nak Mika terus dipermainkan Lisa. Nenda nak Mika mencintai orang yang betul. Dan nenda nak Irfan bantu nenda.”
Irfan angguk. Kerana permintaan nenda dia akan kuburkan rasa hatinya. Tengku Mikhael lebih layak menjadi pendamping Nayla. Cucu Tengku Fatimah itu boleh membantu menyelesaikan masalah Nayla dengan mudah.
“Dia ke calon yang nenda carikan untuk Mika. Memang nenda mahu Nayla jadi cucu menantu?”
Tengku Fatimah hanya tersenyum. Perkara itu biarlah dia simpan hingga ke akhir hayatnya. “Fan pergilah bersiap.”
Irfan bangkit lalu ayun langkah keluar dari bilik Tengku Fatimah.

Tepat pukul lapan malam. Tetamu mula hadir. Tengku Mikhael memakai baju Melayu berwarna biru muda menunggu di halaman rumah. Tiga buah khemah didirikan untuk majlis malam ini.
“Lawa nenda malam ni.” Tengku Mikhael memuji nendanya.
“Dah berkedut sana-sini. Mana lawanya?”
“Sebab nenda lawalah Mika kacak macam ni.” Tengku Mikhael berseloroh. Sambil berbual dengan nenda dia melihat tetamu yang mula datang. Jemputan dari masjid berhampiran juga sudah datang untuk membaca doa selamat. Dia dan juga nenda bersalaman dengan tetamu yang muncul.
“Irfan mana? Tak nampak pun muka dia.” Tengku Mikhael mencari cucu angkat neneknya. Biasanya Irfan paling awal muncul kalau ada majlis kenduri begini. Anehnya tetamu sudah ramai, tidak muncul lagi.
“Dia tunggu kawan dia siap.”
“Kawan?” Tengku Mikhael kehairanan. Apa maksud nenda dengan kawan? Rasanya Irfan tidak pernah bawa kawan pulang.
“Kawan special. Mungkin dia dah sedia tamatkan zaman bujang.” Mata Tengku Fatimah turut mencari-cari kelibat Irfan. Tidak sabar hendak melihat rupa Nayla yang sudah di makeover.
“Ha... baguslah kalau dia dah nak kahwin. Nenda tak payah paksa-paksa Mika lagi.”
“Cucu angkat mana sama dengan cucu kandung.”
“Tak ada bezanya kan...” Mata Tengku Mikhael melekat pada gadis yang sedang berjalan di sisi Irfan. Memakai baju kurung sedondon dengan baju melayu Irfan. Cantik. Sangat cantik. Nafasnya tiba-tiba sesak. Gadis itu...
“Ya Allah cantiknya Nay.” Tengku Fatimah segara mendapatkan Nayla. Dia memeluk dan mencium kedua belah pipi gadis itu.
“Tak lawa mana pun nenda. Ni semua sebab make up. Irfan paksa.” Nayla ketawa perlahan namun matanya sempat lagi melirik ke arah Tengku Mikhael. Lelaki itu kelihatan tegang. Mungkin tidak suka kemunculannya di si tu. Sedaya upaya dia buat muka selamba. Kata Irfan Tengku Mikhael mungkin akan marah tetapi sebab nenda lelaki itu tidak boleh marah. Harap-harap Irfan betul.
“Tetamu semua dah datang. Nay duduk dengan nenda ya.” Tengku Fatimah terus tarik tangan Nayla untuk duduk bersama di bawah khemah. Bacaan doa selamat akan dimulakan tidak lama lagi.
Tengku Mikhael menahan Irfan dari melangkah ke khemah. “Kau dah lama dengan dia.”
“Baru lagi.”
Tengku Mikhael angguk walaupun sebenarnya dia tidak puas hati. Gadis itu tidak putus asa rupanya. Sudah dia beri amaran pun degil juga.
“Kenapa?” tanya Irfan.
“Tak ada apa-apa.” Geleng kepala. Takkan dia hendak menghuru-harakan majlisnya sendiri.
“Okaylah kalau macam tu.” Irfan beredar meninggalkan Tengku Mikhael. Dia berpapasan dengan Kamal dan juga Anita yang sedang mahu mendekati Tengku Mikhael. Senyuman dilemparkan buat Kamal dan juga Anita sebelum dia sambung ayun langkah.
“Perempuan dengan nenda tadi tu si minah laksa tu kan.” Kamal tersengih-sengih. “Lawalah dia.”
“Pakai make up. Memanglah lawa. Bedak tebal seinci.” Tengku Mikhael memerhatikan Nayla dari jauh. Nenda sedang memperkenalkan gadis itu kepada kawan-kawannya. Ceria sekali wajah nenda saat itu. Di majlis hari lahirnya, nenda memperkenalkan bakal isteri Irfan. Bukan bakal isteri dia. Ah Lisa... kalaulah kekasihnya itu mahu pulang.
“Taklah tebal sangat make up dia. Tipis aje tu. Cantik.” Anita pula bersuara. Dia perasan mata majikannya tidak lepas dari memerhatikan gadis itu. “Orang kalau dan memang cantik semula jadi tak payah make up tebal-tebal. Memang lawa.”
“Dah jangan banyak membebel. Jom pergi sana. Majlis dah nak mula.” Tengku Mikhael ayun langkah. Dia menyertai Irfan yang sudah pun duduk di bawah khemah yang dikhaskan untuk rombongan dari masjid. Sempat lagi matanya melirik ke arah Nayla.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience