BAB 1

Romance Completed 13919

Selasa, 10 malam

Langsir berwarna rona mustard itu diselak sedikit, cukup-cukup untuk memastikan yang hanya sebelah matanya saja yang dapat mengintai melalui tingkap itu. Dia perasan ada sebuah Proton Gen2 berwarna hitam sedang berhenti di simpang jalan rumahnya.

Sebenarnya, dia dah lama perasan tentang kereta itu – dah lima hari. Dan sepanjang lima hari ini, Jannah rasa sangat tidak tenteram.

Tapi Kenapa?

Kerana dia tahu kereta itu sebenarnya sedang mengintip dia! Baru lima hari lepas Jannah betul-betul perasan yang selama ini dia diekori. Dia tak berani untuk memberitahu kepada sesiapa – walaupun kepada Ajil, adiknya sendiri. Sampai sekarang, Ajil tak tahu apa-apa pun tentang perkara ini. Dia takut kalau dia beritahu pada Ajil, adiknya itu pula yang akan susah hati.

Apa yang menjadi persoalannya sekarang, apa sebenarnya motif orang yang mengekorinya itu?

*********************************************************

“Abah dengan mama nak pergi umrah hujung bulan ni.” Ezwan memberitahu sambil berdiri di depan Raudhah.

Jannah mendiamkan diri. Separuh hatinya berasa gembira dan bersyukur dengan berita itu tapi separuh lagi hatinya terasa… kosong. Dia mendiamkan diri sambil berpeluk tubuh di situ – di lobi aras bawah pejabatnya. Sebenarnya boleh saja dia dengan Ezwan duduk di sofa, tetapi masing-masing memilih untuk berdiri saja.

Okey. Mungkin ada orang yang pelik kenapa dia dengan Ezwan nampak dingin. Biar dia jelaskan.

Ezwan itu sebenarnya abang tirinya. Abah telah berkahwin dengan ibu kepada Ezwan iaitu Makcik Dina lima tahun yang lepas, semasa Jannah berumur 20 tahun. Dia bukanlah nak menjadi seorang anak tiri yang tipikal – yang sangat membenci ibu tirinya, tapi keadaan yang memaksa dia menjadi keras hati begitu. Dia tak boleh terima yang abah sebenarnya dah lama berhubungan Makcik Dina, sejak arwah ibu masih hidup lagi! Tergamak betul abah menduakan ibu tanpa pengetahuan ibu!

Sebab itu apabila abah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Makcik Dina, Jannah dah memasang dendam terhadap abah dan Makcik Dina. Abah berkahwin dengan Makcik Dina hanya sepuluh bulan selepas ibu pergi. Sepuluh bulan! Tidakkah itu satu masa yang sangat singkat? Jannah bertambah sakit hati apabila Ajil selalu mengadu yang abah langsung tidak memberi perhatian terhadap adiknya itu selepas berkahwin. Sebab itu apabila Jannah dah mula bekerja, dia mengajak Ajil tinggal sekali bersamanya.

Bila dikira-kira balik, hampir tiga tahun Jannah ‘melarikan’ diri dari rumah abah. Dia jarang melawat abah dan keluarga barunya itu. Cuma Ajil saja yang rajin melawat abah. Adiknya itu bagus, langsung tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap abah ataupun Makcik Dina. Jannah ini saja yang beremosi lebih. Maklumlah… dah namanya perempuan.

“Datang rumah minggu depan, hari Sabtu. Abah buat kenduri sikit.” Ezwan sambung lagi.

Jannah sekadar mengangguk. Dia langsung tak bersuara. Dia memang jarang beramah mesra dengan abang tirinya ini.

Dia pun pelik kenapa Ezwan sanggup datang ke pejabatnya hanya semata-mata untuk memberitahu tentang berita ini. Bukannya Ezwan tak boleh memaklumkan pada Ajil. Hubungan Ajil dengan Ezwan lagi baik daripada hubungan Jannah dengan abang tirinya itu.

“Ajak Ajil sekali. Kalau boleh, datang la awal sikit. Mana tahu boleh tolong apa-apa yang patut.”

Jannah angguk lagi.

Ezwan mengeluh perlahan. Mungkin sedikit terasa dengan respons dingin Raudhah.

“Raudhah…” panggil Ezwan. “Sampai bila nak jadi macam ni? Abah really needs you. Lagi-lagi bila abah nak pergi umrah ni.”

“Abah tak cakap apa-apa pun.” balas Raudhah, dingin. Dia tahu dia tak sepatutnya bersikap biadap dengan abang tirinya itu. Ezwan seorang abang yang baik. Sangat-sangat baik. Itu yang diceritakan oleh Ajil. Tapi, Jannah tetap dengan pendiriannya – dia takkan berbaik dengan sesiapa saja yang telah melukakan hati arwah ibunya dulu. Termasuklah Ezwan, sebab Ezwan itu anak lelaki Makcik Dina. Inilah yang orang katakan ‘marahkan emak, anak yang menjadi mangsa’.

“Mana kau tahu abah tak cakap apa-apa? Kau selalu ada kat sisi abah ke yang kau tahu semuanya pasal abah?” Ezwan dah mula tunjuk sifat ‘abang tiri sulung’. Mungkin sebab Jannah terlalu dingin, jadi Ezwan mula bertegas dengan adik tirinya itu.

“Kalau kau datang sini semata-mata sebab nak marah-marah aku, kau buang masa sebenarnya, Ezwan. Pergi la balik.”

“Languange.” Ezwan bersuara tegas. Dia memandang tajam pada adik tirinya itu, memberi amaran supaya Jannah menjaga tutur bahasanya. Ya, dia faham kenapa Jannah bersikap begitu. Tapi, perlukah gadis itu bersikap kurang ajar sampai begini sekali?

Jannah mengeluh. Satu-satunya perkara yang boleh membuatkan dia ‘mengalah’ bila berdepan dengan Ezwan, inilah dia – sikap Ezwan yang sangat ke-abang-an itu. Ada satu masa, Jannah sangat rimas dengan sikap lelaki itu yang suka sangat menonjolkan sikapnya sebagai abang sulung. Tapi, ada satu masa juga, Jannah rasa seolah-olah dia dijaga dengan baik oleh Ezwan, walaupun dia hanya adik tiri lelaki itu. Contohnya – Ezwan menegur dia sebab dia menggunakan bahasa yang kasar bila bercakap dengan abang tirinya itu.

Dah macam seorang abang menegur si adik kandung.

“Minggu depan, hari Sabtu. Deal,” kata Raudhah, memberi kata putus. Dia sempat melihat jam di tangan, dah hampir pukul 12.50 tengah hari. Dia sangat berharap Ezwan akan terus balik selepas ini sebab dia tak nak abang tirinya itu mengajak dia makan tengah hari bersama-sama. Mesti situasi itu akan menjadi sangat kekok.

Ezwan nampaknya berpuas hati dengan janjinya itu.

“Pukul berapa kenduri tu?” tanya Raudhah, masih dengan nadanya yang dingin itu.

“Lepas Isyak. Tapi datang la awal sikit. Datang hari Jumaat pun tak apa. Boleh tidur kat sana terus,” kata Ezwan. Dia tahu hati Jannah taklah sekeras mana. Mungkin gadis itu hanya nak memberontak dan menunjuk protes saja. Dia yakin, satu hari nanti hati gadis itu akan menjadi lembut semula dan menerima mama dan dirinya sendiri dalam keluarga ini.

“Tak janji,” balas Raudhah, singkat.

Ezwan angkat bahu, membiarkan Jannah membuat keputusan sendiri. Dia tahu, dia pun tak ada hak untuk memaksa gadis itu. Dia cuma menjalankan tugasnya sebagai seorang anak untuk membaiki semula hubungan Jannah dengan abah. Yang selebihnya, terserah kepada Jannah sendiri.

“Ada apa-apa lagi? Aku nak naik ni.”

Ezwan spontan melihat jam tangannya. “Lunch sekali? Dah nak masuk lunch break ni. Aku belanja.”

Jannah laju menggeleng.

Ezwan mengangguk-angguk. “Okay, maybe next time. Jangan lupa datang minggu depan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience