BAB 2

Romance Completed 13919

Jannah menjinjing plastik yang berisi dua bungkus nasi campur. Ramai sangat orang di kafe hari ini. Jadi, dia merajinkan diri untuk membeli makanan di luar. Dia hanya perlu berjalan kaki selama lima minit untuk ke kedai makan yang berdekatan dengan pejabatnya itu. Lagipun, lauk pauk yang dijual di kedai makan itu sangat sedap. Sebab itu dia sanggup merajinkan diri menapak ke kedai makan itu.

“Jannah.” Ada seseorang memanggil namanya.

Jannah menoleh. Dia mencari-cari siapa yang memanggil namanya itu.

“Jannah, sini.” Panggil suara itu lagi.

Ketika itu, Jannah ternampak seorang lelaki yang sedang duduk di meja hujung kedai makan itu, melambai ke arahnya. Lelaki yang memakai kemeja berwarna biru cerah itu bukan setakat melambai, tapi juga mengisyaratkan supaya Jannah datang ke mejanya. Melihatkan lelaki itu hanya berseorangan, Jannah akhirnya menapak juga ke arah meja lelaki itu.

“Seorang je?” tanya Jannah. Dia meletakkan plastik berisi nasi campur itu di atas meja.

“Seorang je la. Sejak bila awak pernah nampak saya makan berdua bertiga kat sini? Eh, duduk la dulu.” Lelaki itu menunjuk kerusi di depannya dengan tangan kiri. Tangan kanannya pula masih di pinggan – mencubit isi ikan kembung goreng.

Jannah masih berdiri di depan meja itu. Dia bukan tak nak duduk, tapi dia sedang mencongak masa yang akan dia luangkan jika dia bersembang dengan lelaki ini. Dia, kalau berjumpa dengan Han (oh, lupa nak beritahu yang nama lelaki ini ialah Han), mesti akan bersembang berjam-jam lamanya.

Dahlah dia cuma ada empat puluh lima minit lagi sebelum waktu makan tengah hari habis. Sempatkah dia berborak panjang dengan Han?

“Duduk la. Kenapa tak duduk?” tanya Han. Dia pelik bila melihat Jannah masih berdiri di depan meja itu.

“Saya tak boleh lama ni. Sebab saya belikan nasi untuk officemate saya sekali,” kata Raudhah. Dia tolong membelikan nasi campur untuk Iman sekali sebab kawan sekerjanya itu perlu bersiap sedia untuk mesyuarat pukul 2.00 petang nanti.

“Duduk la kejap. Teman saya makan pun jadi la. Awak tak kesian ke tengok saya makan seorang-seorang macam ni?” Han memandang Jannah dengan muka yang sengaja disedihkan.

Jannah mencebik main-main. Dia menarik kerusi di depan Han itu dan menunjukkan lima jari tangan kanannya kepada Han. “Lima minit je.”

Han tersengih. “Lima minit pun, lima minit la.”

Jannah duduk di depan Han. Dia perhatikan saja lelaki itu yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut. Siapa sangka perkenalan yang terjadi di kedai makan ini juga boleh berlanjutan selama dua tahun? Ya, dia dengan Han dah berkawan selama dua tahun. Dia kenal Han pun sebab lelaki ini selalu makan di kedai makan ini. Dan detik perkenalan mereka bermula apabila Han terpaksa menumpang mejanya untuk makan sebab meja yang lainnya semua dah penuh. Dan perkenalan itu bertukar menjadi hubungan kawan sampai sekarang.

Dia gelarkan hubungan mereka berdua ini sebagai ‘kawan kedai makan’.

Kenapa?

Sebab dia hanya akan berjumpa dengan Han di kedai makan ini saja. Dia tak pernah nampak Han di tempat lain – stesen minyak, kedai menjual suratkhabar, Secret Recipes di hujung lot bangunan ini, malah di komples membeli-belah pun tak pernah. Seolah-olah lelaki itu bukanlah orang kawasan sini. Mungkin Han cuma menjadikan kedai makan ini sebagai tempat makan rasminya, walaupun pejabat lelaki itu agak jauh juga dari kedai makan ini.

“Lama tak nampak awak makan kat sini? Outstation ke?” tanya Raudhah. Dia cuma bersandar sambil memerhatikan Han yang sedang menuang sedikit air suam ke dalam pinggan, tanda lelaki itu dah habis makan. Lagi beberapa minit, bolehlah Jannah balik ke pejabat semula.

“Mana ada outstation. Saya selalu je datang sini. Awak tak perasan kot.”

“Iya la kot. Saya pun dah jarang datang sini. Selalu beli kat kafe office je,” jawab Jannah. “Ni awak keluar break pukul berapa ni? Awal awak sampai sini?” Jannah h sempat melihat jam di dinding kedai makan itu. Baru pukul 12.15 tengah hari. Han dah habis makan dah pun. Maksudnya, lelaki itu keluar awal dari pejabatlah, kan?

Han tersengih. “Saja keluar awal. Pukul dua ni nak kena jumpa orang lagi.”

“Jumpa siapa?”

“Tan Sr… Tan Shin Wei. Kawan saya. Awak tak kenal dia,” jawab Han sambil mencuci hujung jarinya dengan baki air suam. Padahal tempat mencuci tangan tak jauh pun dari meja tempat mereka duduk sekarang ni.

“Memang la saya tak kenal. Bila masa saya kenal semua kawan awak?” tanya Jannah sambil mencapai plastik nasi campur. Dia melihat Han dah siap-siap untuk bangun mencuci tangan di sinki. Maksudnya, dia dah boleh balik ke pejabat sekarang.

“Habis makan dah, kan? Saya balik office dulu la, eh?” Jannah bangun dan menolak kerusi ke dalam meja. Cukuplah lima minit dia menemankan Han makan.

“Okey. Thanks, temankan saya makan. Next time kita makan sama-sama, eh?”

“Okey,” balas Jannah. Dia membalas ‘okey’ sebab dia sendiri tak tahu bila dia akan berjumpa semula dengan Han ini. Salah satu sebab ialah dia pun dah jarang datang ke kedai makan ini. Dan satu sebab lagi ialah dia tak ada nombor telefon Han. Jadi, dia tak dapat setkan pertemuan mereka yang seterusnya di kedai makan ini lagi.

Ya, Jannah tak ada nombor telefon Han. Dan Han juga tak ada nombor telefon Jannah. Sebab itu dia kata hubungan kawan mereka ini hanya ‘kawan kedai makan’.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience