BAB 5

Romance Completed 13919

“Dia tak balik rumah?” Ezwan bertanya sambil memandang wajah kawan baiknya yang duduk di sofa itu.

Dia terkejut apabila Han menghubunginya pukul 2.00 pagi tadi dan memberitahu yang Jannah tidak pulang ke rumah. Terus dia menyuruh Han datang ke rumahnya ini untuk berbincang. Dan tepat pukul 2.30 pagi, Han dah terpacak di depan pintu rumahnya. Nasib baik Han datang semasa abah dah masuk tidur. Dia takut abah berasa bimbang jika abah tahu tentang hal ini.

“Tak. Aku tak tahu dia pergi mana.” Han bersuara perlahan.

“Kau tak follow dia ke apa?”

“Aku follow la. Even bila dia masuk shopping mall pun aku ikut dia.”

“Habis tu macam mana kau boleh lost dia?”

“Adik kau tu bawak kereta laju gila. Lampu merah pun dia main langgar je. Tak sempat aku nak kejar.”

“Habis tu macam mana ni?” tanya Ezwan lagi.

Han angkat bahu. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya sendiri dan cuba mencari jalan untuk menjejak semula Raudhah. Sebagaimana Ezwan risau, dia juga berasa risau. Selama dua tahun dia mengekori Raudhah, gadis itu tak pernah ‘hilang’ begitu saja. Jannah tetap akan pulang ke rumah walau lewat mana sekali pun.

Ya, memang selama ini dia yang mengekori Jannah secara senyap-senyap tanpa Jannah sedari. Dua tahun lepas, Tan Sri Badrul meminta bantuannya untuk mengekori Jannah kerana lelaki pertengahan usia itu risau akan keselamatan anak perempuannya itu. Ketika itu, perniagaan Tan Sri Badrul sangat maju sehinggakan ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Malah, ada musuh perniagaannya mengancam untuk memusnahkan ahli keluarga Tan Sri Badrul. Sebab itu Tan Sri Badrul meminta bantuannya.

Dan atas beberapa sebab, Han bersetuju dengan permintaan Tan Sri Badrul itu. Sebabnya ialah:

1. Tan Sri Badrul seorang yang baik hati. Jadi, Han langsung tak berkira-kira untuk menghulurkan pertolongan.

2. Ezwan itu adalah kawan baiknya sejak dari sekolah menengah lagi. Jadi, takkanlah dia nak menolak apabila perkara ini melibatkan keselamatan ahli keluarga kawan baik sendiri, kan?

Di sebalik kerelaannya yang bersetuju untuk mengekori Jannah, dia sebenarnya rasa bersalah dengan gadis itu. Jannah tak pernah sedar yang selama ini dia mengekori gadis itu setiap hari. Jannah hanya mengenalinya sebagai ‘seorang kawan yang selalu terserempak di kedai makan berdekatan dengan pejabat Jannah itu’. Selepas sesi makan tengah hari itu, dia akan kembali menjadi watak yang mengekori Raudhah. Mujur Jannah tak pernah perasan akan wataknya yang lagi satu itu…

Eh, sekejap. Tadi semasa di shopping mall…

“Oh, no.” Spontan perkataan itu keluar dari mulutnya. Dia membuka cermin mata berbingkai tebal yang dipakainya sejak tadi dan merenung cermin mata itu. Dia memang selalu pakai cermin mata itu apabila dia mengekori Raudhah. Tapi kalau dia menjadi watak Han si ‘kawan kedai makan’, dia takkan memakai cermin mata itu.

“Kenapa?” Ezwan terus bertanya.

“Aku rasa dia nampak aku.”

“Apa?”

“Aku rasa dia nampak aku.” Han mengulang kata-katanya. Dia teringat semula macam mana matanya dan mata Jannah bertembung melalui pantulan cermin pintu kaca tempat Jannah berdiri tadi.

“Macam mana pulak dia boleh nampak kau? Kau ikut dia dekat sangat ke?” tanya Ezwan. Nada suaranya agak tinggi, seolah-olah Han dah membuat satu kesilapan yang sangat besar. Dia kalau boleh memang tak mahu Jannah tahu tentang rancangan mereka ini – mengupah Han untuk mengekori adik tirinya itu. Walaupun ianya adalah untuk tujuan keselamatan, tapi dia tahu Jannah akan mengamuk kalau adiknya tirinya itu tahu yang selama dua tahun ini dia sebenarnya diekori oleh Han.

Han, kawan baiknya.

Han, orang kepercayaan abah.

Han, orang yang sanggup mengetepikan kerjayanya sebagai drafter di syarikat abah semata-mata untuk menunaikan permintaan abah.

“Okey, aku admit aku salah. Aku ikut dia dekat sangat. Tapi aku tak tahu pulak yang dia boleh nampak aku. Selama ni kan dia jenis yang tak alert?”

“Dia nampak kau as Han ke? Atau dia nampak kau as orang asing yang ikut dia?” tanya Ezwan sambil membuat isyarat ‘quote unquote’ bila menyebut nama ‘Han’ dan perkataan ‘orang asing yang ikut dia’ itu.

“Aku tak tahu.” Perlahan suara Han menjawab. Dia memahani maksud pertanyaan Ezwan itu. Ianya sama ada:

1. Jannah menyedari orang yang mengekorinya itu ialah Han, si kawan kedai makan.

2. Jannah perasan ada orang mengekorinya tapi Jannah tak pasti siapakah orang itu.

Han meraup mukanya sekali lagi, entah buat kali yang keberapa sepanjang hari ini. Bagaimana kalau kemungkinan yang pertama itu berlaku? Bagaimana kalau Jannah tahu yang selama ini dialah sebenarnya yang mengekori gadis itu? Apa yang akan terjadi dengan persahabatannya dan Raudhah?

“Tak apa la, Han. Kalau dia dah nampak kau pun nak buat macam mana? Benda dah jadi.” Suara Ezwan mengendur sedikit apabila dia melihat riak wajah Han yang agak muram itu. Dia tahu dia tak boleh menyalahkan Han seratus peratus dalam hal ini. Kawan baiknya itu terlalu banyak membantunya dan abah dalam menjaga keselamatan Raudhah.

“Itu hal nombor dua, Wan. Sekarang ni aku risau mana dia pergi. Dia tak balik rumah kot. Mana lagi dia boleh pergi?”

“Kau dah check kat rumah kawan-kawan dia?” tanya Ezwan lagi.

“Dia tak pernah stay kat mana-mana rumah kawan dia.”

Ezwan senyap. Dia memerhatikan saja Han yang sedang sibuk memikir itu. Kawan baiknya itu tahu banyak perkara tentang Raudhah. Sedangkan dirinya sendiri? Dia ini nama saja abang tiri, tapi apabila terjadinya perkara yang sebegini, dia tak dapat berfikir dengan baik pun apa yang sepatutnya dia lakukan.

“Ajil.” Han tiba-tiba menyebut nama Ajil.

“Ajil? Kenapa dengan Ajil?”

“Kau call Ajil. Tanya dia Jannah kat mana sekarang.”

“Dia outstation la.”

“Ya, aku tahu. Kau call je la dia. Mana la tahu kot-kot Jannah ada cakap apa-apa dengan dia ke?”

“Bro, sekarang dah pukul 3.30 pagi. Kau ingat dia tengah main bola ke sekarang ni?”

“Jannah’s safety first, Wan. Please.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience