BAB 13

Romance Completed 13919

Jannah bersandar di sofa. Penuh mindanya dengan semua cerita daripada Ezwan itu. Sesekali Han menyampuk, dan Ajil menguatkan jalan cerita. Kalau tak fikir yang Ajil itu ialah satu-satunya adik yang dia sayang, dah lama dia tarik-tarik telinga si Ajil itu. Sanggup Ajil rahsiakan tentang hal ini daripada kakaknya sendiri?

Dan Han… mahu saja dia menumbuk dan menendang lelaki itu.

Dua tahun. Dua tahun dia berkawan dengan Han, dua tahun dia bergelak ketawa dengan Han, dan dua tahun dia menemani lelaki itu makan. Susah sangat ke untuk membuka mulut dan memberitahu tentang hal ini kepada Jannah? Susah sangat ke? Susah ke nak beritahu yang dia kena mengekori Jannah untuk menjaga keselamatan Raudhah? Susah ke?

“Kakak, kakak okey tak ni? Senyap je dari tadi?” tanya Ajil. Adiknya itu memandangnya dengan perasaan risau. Memang sejak dia masuk ke dalam rumah abah ini tadi, dia langsung tak bersuara. Dia membiarkan saja tiga orang lelaki ini bercerita tentang semuanya.

“Kakak nak balik.” Jannah terus bangun dari sofa. Dia mencapai beg sandang dan mula melangkah ke arah pintu.

“Awak tak boleh balik, Jannah. Bahaya.” Han juga turut berdiri bila melihat Jannah dah mula berjalan meninggalkan ruang tamu itu.

“Oh. Saya tak tahu pulak saya dah ada seorang PA instead of seorang spy.” Sinis saja kata-kata Jannah itu.

Wajah Han berubah apabila mendengar kata-kata Jannah itu. Agaknya masa itulah baru Han perasan yang Jannah tahu dialah yang mengekori Jannah selama ini. Lelaki itu mengeluh. “Saya buat semua tu untuk awak jugak, Jannah.”

“Ya, saya tahu. Awak tak payah ulang semua cerita tadi.” Masih lagi sinis.

“Habis, awak nak saya buat apa lagi?”

“Awak tak payah buat apa-apa pun. Terus je la ikut saya. Saya tak kisah pun.” Tajam mata Jannah bertentang dengan mata Han. “Cuma jangan lagi berlakon jadi kawan saya. Saya tak suka berkawan dengan pengkhianat.”

“Saya bukan pengkhianat!” Han dah meluru ke arah Raudhah. Dia berdiri betul-betul di depan Raudhah.

“Kalau awak bukan pengkhianat, kenapa awak langsung tak bukak mulut pasal benda ni? Dua tahun, Han. Dua tahun. Saya ikhlas kawan dengan awak selama ni, tapi awak?”

“Kakak…” Ajil dah memanggilnya. Mungkin Ajil cuba untuk meleraikan pergaduhan antara dia dengan Han.

“Awak tahu tak apa perasaan saya bila saya tahu ada orang ekori saya? Awak tahu tak macam mana kelam kabutnya saya bawak kereta sampai saya hampir berlanggar dengan kereta lain? Awak tahu tak saya takut nak balik rumah sendiri selepas tu? Awak tahu tak semua tu? Awak tak tahu kan?”

“Kakak…” Ajil dah menarik lengannya.

Jannah terus berpusing menghadap Ajil. Dia menunduk, cuba sembunyikan matanya yang dah bergenang dari pandangan semua orang. Dia kecewa. Dia kecewa dengan Han. Mungkin sebab dia mula jatuh suka pada lelaki itu, jadi dia rasa susah untuk menerima semua keadaan ini. Han, orang yang dia selesa berkawan, rupa-rupanya cuma berkawan dengannya atas dasar ‘kerja’.

Kepalanya terasa berat. Kenapa semua ini terjadi semasa abah tak ada di sini? Dia perlukan abah. Dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan perasaannya sekarang ini.

“Kakak nak balik, Ajil.” Perlahan saja dia memberitahu Ajil. Dia dah tak ada tenaga untuk menjerit ataupun berbuat apa-apa.

“Tak boleh, kakak. Kitorang risau orang tu cari kakak kat rumah. Kakak stay kat sini, okey? Orang ada, Abang Wan ada, Abang Han ada.” Lembut suara Ajil memujuknya.

Jannah semakin pening. Kepalanya terasa berat dengan apa yang telah terjadi hari ini. Dia perlukan rehat. “Bilik kakak mana?” tanya Raudhah.

“Jom orang tunjuk.” Ajil memimpinnya ke arah tangga. Tanpa mempedulikan pandangan mata Han dan Ezwan, dia terus mengikut Ajil ke tingkat atas. Mungkin selepas berehat dan tidur, kepalanya akan menjadi ringan semula. Harap-harap macam itulah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience