BAB 10

Romance Completed 13919

Jannah memandang abah yang tengah sibuk memerhatikan seisi ruang tamu itu. Ruang tamu rumah abah kosong sebab awal-awal lagi abah dah memindahkan sofa dan meja kopi di ruang bawah tangga. Lantai ruang tamu itu ditutupi dengan karpet bagi memberi ruang untuk jemaah menunaikan solat sekejap lagi. Sekarang ini jam dah menunjukkan pukul 7.45 malam. Sekejap lagi ramailah tetamu abah yang akan datang.

Jannah masih lagi memandang abah. Entah kenapa, dia berasa sebak tiba-tiba apabila melihat wajah abah. Lama juga dia tak berjumpa dengan abah, sejak hari raya tahun lepas. Dan bila dah berbulan-bulan dia tak berjumpa dengan abah, barulah dia perasan wajah abah semakin berubah. Semakin dimamah usia.

“Kakak?” Abah memanggilnya.

Jannah tersentak. Abah masih berdiri di tempat yang sama sambil memandang Jannah. Abah nampaknya pelik dengan Jannah yang cuma berdiri tegak di situ sambil termenung.

“Kenapa?” tanya abah lagi dengan nada prihatin. Kali ini abah melangkah ke arahnya.

Jannah masih tak melepaskan matanya dari wajah abah. Bila abah semakin hampir dengannya, serta merta dia rasa macam mahu menangis. Tiba-tiba dia rasa menyesal sebab selalu abaikan abah selama ini.

“Kenapa ni, kakak? Kakak tak sihat ke?” tanya abah lagi. Mesti abah menyedari perubahan wajah Jannah itu.

“Abah, kakak nak mintak maaf.” Itu yang keluar dari mulut Jannah. Selama bertahun-tahun dia menyimpan ayat itu dalam hatinya, barulah hari ini dia mengungkapkan kata-kata maaf itu. Selama ini dia terlalu ego, dia terlalu keras hati. Dan hari ini, dia rasa bebanan perasaannya selama ini menjadi ringan bila dia meminta maaf kepada abah.

Abah kelihatan terkejut sikit bila Jannah meminta maaf tiba-tiba. Tapi tak lama selepas itu, abah mengukir senyum. Jannah boleh nampak mata abah juga bergenang dengan air mata. “Kakak tak pernah buat salah dengan abah, kakak. Abah yang kena minta maaf dengan kakak.”

“Tak, abah. Kakak yang salah. Kakak tak pernah jaga hati abah. Kakak tak pernah jenguk abah.” Jannah dah menangis di depan abah. Nasib baik sekarang ini masih tak ada seorang tetamu pun yang sampai. Makcik Dina, Ezwan, dengan Ajil pun entah ke mana. Cuma dia dan abah saja di ruang tamu itu. Pekerja-pekerja abah yang lain semuanya berada di ruang belakang.

“Abah tak ambil hati pun, kakak. Abah faham kakak marah dengan abah.” Abah mengusap bahu Raudhah. Abah seperti mahu memeluk Jannah untuk menenangkan gadis itu. Tapi abah teragak-agak, mungkin takut Jannah tak selesa dengan keadaan itu.

“Kakak mintak maaf betul-betul ni, abah. Abah maafkan kakak tak?” tanya Jannah lagi. Matanya dah kabur dengan air mata.

“Abah selalu maafkan kakak. Abah maafkan kakak.” Kata abah dengan suara yang serak. Abah mendekatinya dan memeluk Raudhah. Jannah tahu abah menangis sebab dia boleh rasa tudungnya basah dengan air mata abah. Terus Jannah memeluk abah erat-erat. Dah lama dia tak berada dalam pelukan abah padahal dialah anak kesayangan abah dulu.

“Kakak rindukan abah.”

“Abah pun rindukan kakak juga.” Abah mengusap belakang kepalanya. Itulah caranya abah menenangkan dia setiap kali dia mengadu tentang apa-apa saja pada abah. Dia memang sangat rapat dengan abah dulu. Cuma sejak dia tahu yang abah curang dengan arwah ibu, terus dia menjauhkan diri daripada abah. Betapa hatinya terasa ‘sakit’ bila terpaksa menjauhkan diri daripada orang yang paling rapat dengannya selama ini.

Itu cerita dulu. Sekarang dia nak membuka cerita baru dengan abah. Dia tak nak berdendam dengan abah lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience