BAB 6

Crime Completed 8023

Saihah membaling bantal kepalanya tepat ke belakangku. “Opocot!” Latahku kuat. Saihah mentertawakan aku. “Kau ni.. suka sangat nak jadikan aku mayat serta-merta.” Aku bersuara dengan nada tidak puas hati. Saihah cuba menghentikan tawanya, “Alah gurau sikit takkan dah jadi mayat kot?”

“Masalahnya dah banyak kali kau usik aku. Nanti kalau aku jadi zombie, macam mana? Kau nak aku kokak tengkuk kau?” Makin kuat Saihah gelakkan aku. Sampai hati dia, tapi lama-kelamaan dengan aku sekali turut ketawa.

“Mohon jangan tukar topik. Kau janji nak ceritakan aku kisah Siham tadi kan? Hah cerita cepat!” Dalih Saihah tiba-tiba. Aku mengerut hairan. “Sejak bila pulak aku ada janji nak cerita kat kau weh? Erm tak kisahlah, tapi jangan cerita kat staf lain tau. Senang cakap jangan beritahu dekat sesiapa pun.”

“Macamlah baru kenal aku lima minit lepas.” Seloroh Saihah. Aku tersenyum saja dengan sifat Saihah yang tidak suka menyerah kalah ketika ‘berdebat’ denganku.

“Yang kita tahu, kakaknya mangsa rogol dan bunuh. Siham pulak baru lepas accident. Patah kedua-dua kaki dan menghidap skizofrenia.” Saihah mengangguk laju. “Yang kita tak tahu?”

“Yang kita tak tahu, Siham ni ada skizofrenia sejak kecil lagi. Dia sering dibuli sebab Siham ni pendiam, tak pandai bergaul dengan orang kalau nak dibandingkan dengan kakaknya, arwah Surfina. Sampai dia sekolah menengah pun masih jadi mangsa buli. Jadi Siham ni ada kemurungan yang agak teruk. Surfina yang selalu ada untuk Siham. Dia sakit, dia sedih, dia sunyi, Surfina sentiasa luangkan masa dengan dia. Boleh dikatakan Siham lebih rapat dengan Surfina berbanding ibunya sendiri. Oh lupa nak cerita, ibu mereka merupakan ibu tinggal sejak usia mereka dua, tiga tahun.” Aku jelaskan jalan cerita Siham pada Saihah. Itu baru permulaan.

Saihah termenung sejenak, mungkin terlalu tekun mendengar cerita berikut, “Menarik. Lepas tu?”

“Baru-baru ni, kes rogol dan bunuh sentiasa terjadi di mana Siham berada. Hujung tahun lepas, kawan sekerja jadi mangsa bunuh. Dua bulan lepas, kawan sekolah dia dirogol dan dibelasah hingga koma. Akhirnya kawan dia meninggal di ICU. Minggu lepas, sepupu perempuan pun kena rogol dan bunuh. Apa yang pelik, semua kejadian tersebut berlaku sehari selepas Siham berjumpa dengan mangsa. Dia takut kalau orang yang paling dia sayang, ibu dan kakaknya turut menjadi mangsa korban.”

“Masa hari kejadian arwah Surfina dibunuh, Siham tak pulang ke rumah kerana dia terdengar-dengar suara yang mengatakan ‘Kalau kau balik rumah, kakak kau akan mati!’. Ayat ugutan itu sentiasa didengarinya berulang-ulang. Siham tahu penghidap skizofrenia mudah mendengar ‘suara luaran’, jadi dia menyangkakan suara tersebut adalah halusinasinya.”

Saihah menggosok perlahan tengkuknya. Aku tersenyum sinis, “Kenapa? Takut?” Saihah mencebik, “Mestilah. Dahlah cerita waktu malam. Tapi sambunglah, aku nak tahu kisah selanjutnya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience