BAB 13

Romance Series 255

DAH aku kata nak buat bodoh, memang sungguh-sungguh aku buat bodohlah.
Pagi tu aku ke kelas macam tak ada apa-apa jadi. Budak-budak kelas aku terus terjojol biji mata bila nampak aku masuk dewan kuliah.
Media seluruh negara, semua sekelip mata menjadi gempar. Balik dari kuliah petang tu, aku terus boleh nampak betapa sesaknya depan rumah aku dengan wartawan.
Tapi macam yang aku cakap awal-awal tadilah, aku nak buat bodoh.
Bila wartawan datang serbu kereta aku, aku tak buka mulut. Berhentikan kereta pun tak.
“Suruh dia orang ni semua keluar, Uncle Deng. Siapa yang benarkan dia orang masuk Tijani One Residences ni?” Itu arahan aku, waktu kereta melalui pondok pengawal di gate utama rumah. Mata terselindung sebalik sunglasses besar. Tak pandang pengawal keselamatan tu.
Lepas tu aku naikkan semula cermin tingkap, teruskan memandu masuk ke dalam pekarangan rumah.
Park kereta. Lepas tu berjalan lesu menuju ke pintu utama rumah.
Dua minggu terlepas kuliah, sekarang habis semput aku nak kena kejar silibus. Dah la semester ni aku ambil dua puluh satu credit hour. Sembilan subjek, semua killer. Ambik kau.
Memang tercekik rasa tadi bila tengok bukan main punya jauh aku keciciran. Lecturer pula memang semua spesies lipas kudung, selagi boleh mengajar laju memang akan laju habis. So sekarang ni memang padanlah dengan muka aku.
Aku tengah penat. Exhausted. Tak terasa nak layan sesiapa sekarang ni.
Masuk rumah, suasana nampak sunyi. Mungkin semua orang masih belum balik rumah. Tengah sibuk dengan ofis dan kelas tuisyen masing-masing kut. Entah, aku malas nak fikir banyak-banyak.
Tapi aku mula terasa pelik bila perasan yang rumah ni betul-betul kosong. Selalunya ada maid yang sambut aku balik. Maid akan ambil beg kuliah dari bahu aku. Akan layan aku dan tanya sama ada aku nak makan terus atau nak naik ke bilik dulu. Tapi tiba-tiba hari ni tak ada sesiapa pula yang buat semua tu. Mana dia orang?
“Sofi?” panggilku.
Kuturunkan beg kuliah dari bahu. Hanya pegang di tangan. Sebelah lagi tangan memegang kunci kereta. Teruskan menapak menuju ke lif.
“Bu Tini?” panggilku lagi bila panggilan yang pertama tadi tak berjawab.
Aku mula menjengul-jengul kepala ke sekeliling. Pelik. Mana semua orang ni?
Aku kerling sekejap jam tangan. Dah pukul enam petang. Selalunya dalam waktu-waktu macam ni, pembantu-pembantu rumah ni dah sibuk memasak untuk makan malam. Sepatutnya ada di dapur dia orang sekarang ni.
Cuba mendapatkan jawapan, aku tangguhkan sekejap niat untuk terus naik ke bilik. Aku membelok ke dapur dulu.
“Huh?” Makin terasa pelik.
Sebab langsung tak ada siapa-siapa di dapur. Tanda-tanda sedang memasak pun tak ada. Stove elok terpadam. Singki pula kemas tanpa tanda-tanda sedang mencuci ikan atau ayam. Pendek kata memang suspiciously clean la.
Aku memang tak habis fikir.
Tapi oleh sebab badan terlampau penat, sudahnya aku ambil keputusan untuk mengambil ringan sahaja perkara ini. Aku berpatah balik ke belakang, tuju lif.
Tengah-tengah aku berjalan, terdengar bunyi kaca pecah di tingkat atas. Tertarik perhatian aku. Menoleh ke arah tangga.
“Apa yang pecah tu? Kak Su? Pah?” Melaung.
Tapi anehnya tetap kebisuan yang jadi balasan kepada semua soalan aku.
Haih, aku dah la tengah tak larat ni. Dia orang ajak bergurau senda pula.
Sudahnya aku tak jadi ambil lif. Aku pusing ikut jalan jauh dan mengambil tangga.
“Kau orang buat apa tu? Kenapa tak menyahut bila I panggil?” panggilku terus-terusan tanpa berputus asa, sambil-sambil kaki mengangkut jasad yang kepenatan. Daki tangga.
Tapi tetap, rumah ni buatkan aku curiousity kills the cat.
Dan soalan dalam kepala aku jadi makin memuncak banyaknya bila lihat yang tingkat satu rumah ni pun tak ada sesiapa juga.
Tapi demi rasa ingin tahu yang membuak-buak, aku daki lagi tangga. Ke tingkat dua.
Dan tingkat dua pun kosong juga.
Ambil lagi tangga.
Aku mula mendengus kepenatan bila tengok yang tingkat tiga ni pun kosong juga. Dah mula rasa nak hilang sabar.
“You all nak I report dekat my walid ke? Buat kerja main-main. I tak bergurau, okey. Keluar sekarang! Mana you all?”
Aku hampir memijak anak tangga untuk ke tingkat seterusnya, tapi terhenti bila dengar di belakang aku seolah-olah ada orang melintas. Lekas aku menoleh ke belakang.
Tak ada sesiapa.
Hati aku mula terdetik curiga. Perompak ke?
Tapi ini Bukit Tunku, antara kawasan perumahan paling elit dalam Malaysia. Tahap security di kawasan ni antara yang paling kebal. Pengawal keselamatan bersenjata berada di mana-mana.
Sejak pertama kali housing estate ni ditubuhkan, tak pernah lagi ada kes mana-mana banglo di sini dipecah masuk. Come onlah, Bukit Tunku kut.
“Mustahil perompak.” Desis perlahan di bibir.
Aku sambung mendaki tangga.
Tiba di tingkat empat dan tetap tak ada apa-apa yang aneh dan tak juga menemui sesiapa, aku mula naik fed up dah nak melayan. Mendengus aku pun, kebosanan.
Pandai-pandailah maid-maid aku tu nak hidup. Aku report aje terus pasal dia orang ni kat parents aku nanti. Tahulah parents aku tentukan nasib dia orang.
Aku melangkah luas ke bilik aku yang kebetulan memang berada di tingkat teratas ini.
Tiba di hadapan bilik, aku kuak luas daun pintu. Nak melangkah masuk dah waktu tu, tapi ketika itu juga mata aku terpandang empat jasad manusia bergelimpangan di atas lantai bilik aku. Seluruh tubuh mereka berlumuran dengan cecair pekat warna merah. Waktu tu juga aku terhidu bau hanyir darah.
Dalam masa yang sama juga aku melihat seorang lelaki sedang menetak-netak jasad empat wanita itu bergilir-gilir dengan pisau pemotong daging.
Aku tersentak! Terundur setapak ke belakang.
Dan lelaki itu pula, seakan-akan dia memang sedang menantikan aku tiba di sini, lelaki itu menoleh ke arah aku.
Dr. Zack! Dia ukir segaris senyuman yang menyeramkan. Terus bulu roma aku tegak.
“Haa… Sampai pun…” sapanya mesra.
Dia bangkit lalu melangkah ke arah aku. Pisau diangkat tinggi dan kelihatan seperti aku adalah mangsanya yang seterusnya.
Aku tak tunggu lagi. Kelam-kabut berlari tinggalkan tempat itu. Aku kejar tangga.
Aku jerit!
Teringat pada wartawan-wartawan yang tadi memenuhkan pekarangan rumah walid ni. Ya, aku mesti dapatkan mereka. Kena dapatkan mereka! Sebelum kes ni jadi lebih complicated hingga menjadikan aku suspek utamanya.
“Tolong!” lolongku sekuat-kuat yang boleh.
Aku berlari menuruni bilah-bilah tangga. Sesekali menoleh ke belakang. Tapi Dr. Zack dah tiada. Mana dia?
Aku menoleh ke depan semula.
Hah!
Kakiku terhenti mendadak di pertengahan tangga. Kupaut kuat bidai tangga.
Di hadapan aku sekarang, sekelip mata dah berdiri Dr. Zack bersama pisaunya.
Senyum lelaki itu. Dan tanpa sebarang penjelasan, di situ juga dia mengangkat tinggi pisaunya sebelum melibasnya di tengkuk aku.
Aku terbelalak!
Betul-betul waktu pisau nyaris menghiris salur darah di tengkuk aku, waktu itulah dengan mengejutnya tubuhku diragut oleh seseorang. Dan individu itu berpusing, pusingkan aku serentak bersamanya, melindungi aku dengan belakang badannya.
Waktu itulah aku nampak percikan darah putih memancut keluar daripada belakang badannya. Aku dah macam tak sedar dah waktu tu, sebab terkejut.
Aku dongak cari wajah individu yang dah menyelamatkan aku.
Betul tekaan aku bila lihat Indera yang sedang mendakapku erat. Daripada raut wajahnya, aku pasti dia sedang menahan sakit. Dia sedang bertahan agar tidak mengerang. Dia ketap gerahamnya kejap. Bergerak-gerak kelihatan rahangnya.
Kami sama-sama terjatuh. Aku pantas peluk tubuh Indera agar dia tidak tergelincir dari anak tangga yang sedang menampung jasadnya. Sebelah lagi tanganku berpaut pada pemegang tangga.
“Dia ni lagi.” Telinga aku mendengar keluhan bosan Dr. Zack.
Aku pandang lelaki itu.
Dr. Zack menggaru-garu kepalanya menggunakan pisau yang dah berlumuran dengan darah merah dan putih itu.
Tertahan-tahan nafasku. Sungguh aku tak percaya sekejam ini dirinya. Sikit pun dia tak rasa bersalah dah cederakan darah dagingnya sendiri.
“Kau ni, kan. Suka betul kacau daun!” Dr. Zack merungut lagi.
Aku telan liur yang kesat. Masih tak berani nak alih pandangan daripada lelaki itu. Takut dia bertindak agresif lagi. Ya, walaupun aku tahu tak ada apa pun yang aku boleh buat sebenarnya kalau betul lelaki tu menyerang lagi. Tapi setidak-tidaknya aku dah bersedia dengan takdir.
Tengah-tengah menghadap Dr. Zack yang menggila itu, telingaku mendengar kekecohan di luar rumah. Tak lama selepas itu, terbuka pintu utama rumah. Kelihatan wartawan-wartawan yang di pekarangan rumah ini tadi.
Terjerit mereka melihat keadaan kami. Lagi menjerit bila melihat Indera yang dah berdarah-darah, pula tu darahnya berwarna putih, dan juga Dr. Zack yang sedang memegang pisau pemotong daging. Kedudukan Dr. Zack jelas-jelas sedang berkonfrontasi menghadap kami.
Wartawan-wartawan lekas mengambil gambar. Ada juga sebahagian daripada mereka yang cuba mendapatkan kami yang di sini.
Indera nampak tak suka dengan keadaan ini. Lantas dipeluknya aku, langsung hilang semua pemandangan di dalam rumah itu dari pandanganku. Cahaya putih silau menyakitkan mata, membuat mataku terpejam ketat, sebelum kemudiannya cahaya itu hilang dan digantikan dengan pemandangan di sebuah padang rumput yang luas.
Nampaknya Indera sekali melarikan aku ke alam bunian.
Selesai saja tiba di kawasan yang jauh dari manusia itu, terus Indera lepaskan tubuh aku sebelum dirinya sendiri jatuh tertiarap di atas rumput.
Aku cemas melihat keadaannya yang seakan-akan sedang kritikal.
“Indera?” Aku goncang-goncang tubuhnya.
Tiada jawapan.
Aku goncang-goncang lagi tubuhnya sambil mulut tak putus-putus memanggil dia.
Sedang aku hilang arah itu, ternampak tangannya dengan lemah bergerak. Aku terhenti memanggil namanya.
Dia capai jari-jari aku. Dia pegang kemas.
“Saya… Tak apa-apa. Sekejap lagi luka ni akan membaik.” Suaranya antara dengar dan tidak.
Aku tak tahu patut berbuat apa. Tapi yang pasti dahinya memang nampak berpeluh. Aku tak boleh bayangkan betapa sakit yang dia sedang tanggung.
“Kemboja jj… jangan risau.”
Aku angguk laju supaya dia tak risau.
“Okey, okey. Saya tak risau.” Padahal dengar suara pun dah tahu macam mana takutnya aku.
Aku tak boleh bayangkan kalau Indera ma…
Tengok, nak lengkapkan ayat tu pun aku langsung tak sanggup!
“Kemboja…” Terdengar dia mengerang lemah. Serentak itu genggamannya pada jari-jemari aku jadi semakin erat.
“Iya?” jawabku pantas.
Nampak dia menelan liurnya sesaat. Kemudian mengerang lemah lagi. Dia seakan-akan sedang mencari kekuatan sebelum dapat bertutur lagi.
Aku masih keresahan di situ. Hanya dapat memerhati.
“Janji dengan saya. Lepas ni tolong approve saya jadi bodyguard awak.”
Tak faham aku dengan dia.
“Awak dah luka teruk macam ni, Indera. Kenapa pasal benda tu juga yang awak ingat?”
Nampak bibirnya mengorak senyuman lemah.
“Saya… Nak jaga awak.”
Aku terdiam.
Dia eratkan lagi genggamannya. Hingga tenggelam jari-jemari aku di dalam telapak tangannya yang besar itu.
Nafas dia nampak tersangkut-sangkut.
“Awak aje yang boleh selamatkan negara bunian ni. Masa depan rakyat-rakyat saya dd... dalam tangan awak. Sebagai balasan, biarlah saya bergadai nyawa menjaga awak.”
Tersentuh?
Aku lepas nafas kecil.
Tak tahu patut berbuat apa, sudahnya aku bawa sebelah lagi tanganku ke kepala dia. Aku usap-usap rambutnya yang dah basah dengan peluh itu.
“Sekejap lagi bila awak dah pulih, kita bincang lagi pasal benda ni.”
“Janji?”
Terhenti pergerakanku. Aku pandang dia tepat di wajah.
Matanya sedang terpejam dek menahan sakit.
Mengeluh kecil lagi aku.
“Iya. Janji.” Usap-usap lagi rambut dia.
“Kalau awak mungkir, saya akan paksa mak ayah saya pinangkan awak untuk saya. Biar saya pula yang susahkan hidup awak.” Yakin aje dia.
Terdiam sekejap aku dibuatnya.
“Awak nak kena lempang ke?”
Dia tertawa kecil walaupun bunyinya teramat lemah.
Aku diam sahaja memerhati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience