BAB 9

Romance Series 255

MAJLIS pengebumian selesai lebih kurang pukul satu pagi. Aku sampai-sampai saja di suite hotel, terus terbaring keletihan.
Kata umi, kami sekeluarga akan tinggal dalam beberapa hari di Port Dickson ni. Alang-alang dah hari Jumaat ni. Esok dan Ahad hari cuti. Umi kata nak tolong mak lang uruskan kenduri tahlil dan supaya mak lang tak rasa sunyi sangat rumahnya setelah ketiadaan suaminya.
Mengantuk. Menguap panjang. Berat dah mata aku ni. Mengeluh kecil aku di situ. Regang-regangkan dan lurus-luruskan otot di atas katil. Dah terasa nak tidur.
Ting!
Segar tak semena-mena mata aku. Tercelik semula. Terkebil-kebil sekejap.
Dengan rasa ingin tahu, aku bangkit sedikit dari pembaringan lalu mencapai telefon pintarku yang terletak di atas kabinet tepi katil. Perhati skrinnya, nampak ada notification.
Masih bertanya-tanya sendiri, aku unlock fon dan terus buka notification.
Oh… Status aku di Fac lepas isyak tadi rupa-rupanya. Tadi aku ada buat status pasal pemergian pak lang, sekali gus menyatakan status check in di hotel yang kami sekeluarga huni malam ni.
Ada seratus dua puluh tujuh likes, dan tiga puluh enam komen.
Pelik sikit aku rasa. Seumur hidup aku, tak pernah aku dapat perhatian sedalam ini. Selalunya status-status aku di Fac hanya dapat dua tiga likes aje. Komen-komen lagilah, jarang sekali aku dapat.
Aku pun membuka luas-luas mataku lalu membaca satu demi satu komen di situ.
Kebanyakannya mengucapkan takziah dan menyedekahkkan al-Fatihah untuk pak lang.
Tapi komen-komen yang di bahagian bawah-bawah tu, lain.
Adila Husin: Lah… Waira nak datang PD jugak ke? Kenapa tak cakap tadi, kalau naik bas sekali dengan kita orang pun boleh juga sampai sini.
Terus aku tersedar.
“Lah…”
Baru aku teringat. Adila Husin ni adalah presiden Kelab Astronomi aku tu. Rombongan lawatan Kelab Astronomi yang aku tarik diri siang tadi tu memang kebetulan menuju ke Port Dickson ini jugalah. Sebab di Port Dickson ni ada balai cerap terbesar dalam Malaysia. Teleskop di balai cerapnya adalah teleskop tercanggih di Asia Tenggara.
“Apalah kau, Waira.” Aku tepuk dahi perlahan.
Terus aku reply komen itu.
Sorry, tak teringat pula tadi. Tengah kelam-kabut, habis lupa semua benda. Hehe.
Tekan ikon hantar.
Tak lama tu, masuk notifikasi lagi.
Adila Husin lagi.
Kita orang tengah barbeque ni, Waira. Mehlah datang join. Baru aje start ni. Ayam tak habis bakar pun lagi.
“Seriously?” Aku terkejut. Terus duduk tegak di atas katil.
Tak pasal-pasal meleret senyuman di bibir aku. Sepantasnya aku reply.
Boleh juga tu. Send location. Nanti saya sampai.
Dan tak sampai seminit, berbunyi notifikasi WhatsApp aku.
Aku tak terus baca sebaliknya bergegas bangun dan capai bagasi. Nak bersiap.
Sepuluh minit kemudian, aku dah siap berada di dalam kereta. Masa tu barulah aku buka semula telefon. Baca mesej dari Adila.
Tapi jangan kecoh-kecoh tau. Barbeque session ni cuma student-student aje yang tahu. Lecturer tak tahu. Dia orang ada kat resort dah sekarang ni, dah tidur.
“Lecturer tak tahu?” Aku dihembus angin semangat.
Kalau lecturer tak tahu, maknanya pensyarah bunian tu pun sama tak terlibatlah dalam barbeque session dia orang tu, kan?
Oh… lagilah senang hati aku!
Makanya, seakan-akan tak pernah jadi apa-apa hari ni, aku dengan penuh semangat memandu ke lokasi yang diberikan Adila.
Dan dalam masa beberapa minit, aku tiba di kawasan parkir Glamping Kongkoi. Lampu-lampu jalan menjadikan kawasan itu bercahaya kekuningan.
Aku tak fikir panjang. Keluar kereta dan dengan berpandukan location yang Adila hantar, aku berjalan. Masuk ke dalam hutan.
Masuk denai kecil, daki anak-anak bukit, redah anak sungai, dan akhirnya…
“You have arrived at the destination.” Suara operator Maps.
“Yes!” Aku senyum lebar.
Langsung aku pun angkat kepala. Dan angkat tangan juga untuk menyapa semua orang.
“Ha…”
Tapi senyuman aku segera meluntur bila melihat tiada keramaian atau sesi barbeque seperti yang dikatakan.
Di celah-celah cahaya kekuningan yang agak suram itu, yang aku dapat nampak, hanyalah satu susuk tubuh berhoodie yang sedang membelakangi aku.
Dahi aku berkerut.
Dan individu itu, dia begitu yakin dengan dirinya bahawa aku sudah tiba di sini. Tenang dia berkalih dari posisinya. Kini menghadap aku.
“Sir?” tanyaku.
Dia jatuhkan hood dari kepalanya. Dan terlihat jelaslah wajahnya. Dia angkat kepala. Pandang aku dan tersenyum.
Aku terundur setapak!
Serentak dengan itu hati aku di dalam terus bertempik bagaikan petir. Aku dah jatuh ke dalam perangkap!

BUNYI unggas-unggas hutan begitu nyaring membingitkan telinga.
Di tengah-tengah hutan itu, aku bertempur renungan dengan pensyarah tu. Aku dengan keteganganku, sementara dia masih santai mengukir senyuman.
“Uhh… Banyaknya soalan dalam kepala awak.” Dia mengolok-olokkanku sebelum ketawa kecil.
Aku diam. Memang banyak pun soalan dalam kepala aku. Tentang macam mana dia boleh gunakan akaun Fac Adila dan berbalas WhatsApp dengan aku tanpa tertangkap dengan Adila. Tentang macam mana kemalangan boleh menimpa ahli keluarga aku yang kebetulan tinggal di Port Dickson ini juga sepertimana lokasi rombongan lawatan ini.
“Sebelum tu, biar saya teka. Mesti awak dah tahu siapa sebenarnya saya dan kisah kami di dunia bunian sana, kan? Mesti mak manusia awak ada cerita, kan?”
Aku tak jawab. Sakit hati dengar suara annoying dia tu. Rasa nak hempuk-hempuk dia.
Yang dia pula, bila dia tengok protes yang kulakukan ini, dia ketawa besar.
“Okeylah, saya tak nak main-main lagi. So, untuk soalan pertama awak, ini jawapannya.”
Dia angkat tangannya separas dada. Sesuatu di dalam pegangannya serta-merta menjadi perhatianku.
Sebuah telefon pintar.
“Saya minta Adila pinjamkan telefon dia ni pada saya, sebab telefon saya jatuh dalam sungai.”
Oh, liciknya dia!
“Kebetulan Adila ada dua telefon. Jadi dia pun dengan senang hati pinjamkan telefon ni pada saya.”
Aku ketap geraham seketat-ketatnya. Rasa nak mengamuk.
Tapi dia yang memerhati ekspresi wajah aku ni, masih juga bersahaja mengukir senyuman.
“Sekarang cakap, apa permintaan terakhir awak?”
“Apa maksud sir?” Aku curiga.
Dia senyum senang hati.
“Saya nak jadikan malam ni malam paling bermakna bagi awak, sebab selepas daripada malam ni, awak dah takkan bernyawa lagi. Saya kena bunuh awak, supaya saya dapat batalkan sumpahan yang tertulis dalam kitab ramalan bunian diraja.”
“Sir ke yang bunuh pak lang saya?”
Dia senyum nakal. Angguk satu kali.
“Saya cuma gunakan pengetahuan am sebagai seorang bunian yang boleh menjelma ke dalam macam-macam bentuk rupa, dan juga saya menggunakan kebolehan kami bergerak sepantas angin dari satu tempat ke tempat yang lain. Dengan dua kebolehan tu, lebih daripada cukup untuk buat treler yang sarat dengan isi tu, hilang kawalan. Then… pheww… Rempuh motor pak lang awak.”
Sakitnya hati aku melihat betapa angkuhnya dia. Ini rupanya diri sebenar dia.
“Mesti awak menyesal tinggal di bumi dengan manusia, kan? Sekarang ni awak langsung tak tahu macam mana cara nak bergerak sepantas cahaya. Dan awak juga tak tahu apa ilmu untuk awak menjelma ke dalam rupa yang lain.”
Apa fikiran sebenar aku terhadap perkara itu? Sekarang ni aku memang jauh berbeza daripada semua bunian lain pun. Aku terlampau lemah dan langsung tak punya kemahiran-kemahiran seperti yang dimiliki oleh semua bunian lain.
Adakah aku menyesal dihantar ke dunia manusia dan membesar sebagai manusia yang lemah serba-serbi?
Pensyarah tu tertawa lagi.
“Well, akhirnya semua usaha mak awak dua puluh tahun lepas yang bersungguh nak selamatkan nyawa awak tu, malam ni usaha tu akan berakhir dengan tragedi ngeri. Sebab di akhirnya, tetap saya pemenangnya.”
Dia melempar telefon bimbit yang di tangannya ke dalam unggun api. Kemudian dengan raut wajah yang dipenuhi dendam dan kekejaman, dia merenungku. Matanya menyala seperti api. Merah.
Waktu itu juga aku rasa seperti ada satu kuasa ghaib mengikat ketat tubuhku hingga aku langsung tak boleh bergerak walau sekecil-kecil pergerakan anak jari pun.
Ikatan semakin ketat. Aku mula rasa sakit. Susah nak bernafas. Mengerang aku. Tapi mataku masih tak berganjak daripada merenung pensyarah tu. Aku tahu dia sedang menggunakan kuasa sihirnya.
Dia gerakkan tangannya ke atas.
Perlahan, tubuh aku terangkat. Dua tapak kasut aku lekang daripada permukaan tanah.
Aku cemas. Aku usaha sehabisnya menggerakkan tubuhku. Aku lawan kuasa ghaib itu.
Tapi gagal. Kuasa itu terlalu keras ke atasku. Bahkan aku semakin dicengkam lebih ketat setiap kali aku cuba melawan.
Aku mengerang lagi. Cuba minta tolong.
Pensyarah itu petik jari. Automatik aku hilang suara.
Aku jerit sekuat-kuatnya. Tapi pelik, langsung tak keluar suara.
Bila tubuhku sudah terapung setara dengan ketinggian pokok rendang di tepi tebing curam, pensyarah itu menggerakkan lagi jarinya.
Aku tertolak ke belakang. Betul-betul di atas sebuah jeram yang menghitam airnya.
Aku rasa aku dah boleh agak apa yang dia cuba lakukan. Semakin cemas aku di situ. Menjerit lagi sekuat-kuatnya. Melolong sampai habis tenagaku.
Dan pensyarah tu, seakan-akan dia dah puas hati melihat aku menderita, akhirnya dia menjatuhkan tangannya. Waktu itu juga aku rasa ringan tubuhku. Aku jatuh ke dalam jeram.
Tak sampai sesaat aku dah berada di dalam lubuk sungai yang sejuk lagi dalam. Tapi aku tetap juga tak dapat bergerak. Tak guna. Argh!
Air memasuki rongga hidung dan mulutku. Aku tertelan air. Kehabisan nafas.
Tepat-tepat sebelum air mula memasuki paru-paru, aku terdengar bunyi satu lagi objek besar terhempas ke permukaan air. Aku mendongak.
Ternampak samar-samar satu susuk manusia sedang berenang ke arah aku. Tangkas renangannya. Tak pedulikan air yang sejuk mencengkam hingga ke tulang.
Tiba dekat dengan aku, dia terus rangkul pinggang aku. Tarik aku rapat dengan dirinya. Dia langsung tak tunggu lama, aku yakin dia tahu yang aku memang dah mula lemas. Dia terus berenang ke atas semula.
Terlepas saja kami dari lingkaran permukaan air, terus aku terbatuk kuat. Tercungap-cungap sedut udara.
Lelaki itu berenang ke tepian dengan menggunakan sebelah tangannya.
Air agak deras waktu itu. Tapi lelaki itu tetap tenang melakukan kerjanya. Dia hanyutkan diri kami bersama, tapi dalam masa yang sama, dia pastikan kami semakin hampir dengan tepian sungai.
Seluruh tubuh aku masih terbelit dengan sihir pensyarah itu. Masih keras tanpa dapat digerakkan langsung.
Tiba di tepian, lelaki itu naikkan aku ke atas tebing. Baringkan aku di atas tanah berpasir. Sesudah itu dia sendiri naik.
Dia berlutut di sebelah jasad aku. Tangannya diletakkan di tengah-tengah perut aku.
“Bismillahirrahmanirrahim…”
Sesudah itu lafaznya sepenuhnya dalam bahasa arab. Aku tak pasti, tapi gaya dia macam tengah meruqyah aku.
Bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Lantang suaranya, seolah-olah dia sedang bertempur dengan kuasa yang sedang melawan ruqyah yang dia lakukan.
Tangannya sesekali bergerak. Yang aku faham, gerakan tangannya itu nampak seperti dia sedang menarik kuasa sihir yang bertapak di perut aku, agar keluar dari tubuh aku, melalui ibu jari kaki.
Dia picit ibu jari kaki aku.
Aku menjerit kesakitan. Kenapa kuat sangat dia cengkam jari tu? Macam nak putus jari tu aku rasa!
Makin lama jari aku makin kuat dicengkam. Aku dah tak larat nak menjerit, tapi rasa sakit tu buat aku terus juga mengerang walau tiada suara yang kedengaran.
Kemuncaknya, aku nampak satu cahaya merah keluar dari badan aku. Lelaki itu tarik bebola cahaya itu ke arah dirinya, kemudian mencampaknya jauh ke tengah-tengah hutan.
Tepat-tepat itulah baru suara aku dapat keluar semula. Aku teresak-esak menangis. Air mata aku laju berlinangan.
Badan aku pun dah kembali dapat dirasakan. Dah boleh digerakkan, tak lagi rasa terbelit. Nafas aku pun dah lapang aku hela.
Menangis kesyukuran aku yang dah lemah itu.
Lelaki itu bangun. Berjalan ke tebing sungai. Dengan menggunakan daun keladi, dia cedok air sungai. Kemudian dia bacakan ayat al-Quran pada air itu.
Aku yang masih terasa bisanya sihir itu terhadap tubuhku, gigihkan diri bangun dari pembaringan. Aku duduk berlunjur.
Nafas masih bersisa tercungap.
Beberapa minit begitu, lelaki itu datang semula berhampiran aku.
“Selawat tiga kali, lepas tu minum air ni.” Suaranya lembut.
Aku sedikit terkejut. Sebab suara dia macam pernah aku dengar sebelum ni.
Mendongak aku.
Terdiam aku bila sedar rupa-rupanya lelaki yang selamatkan aku tadi adalah Ezuriq. Ya, lelaki yang berebut tempat duduk di dalam dewan kuliah tempoh hari!
Tadi aku tak teringat nak tahu siapakah dia. Aku lebih fikirkan kesakitan yang ada pada batang tubuhku sahaja.
“Selawat, cik.”
Aku tersedar.
Matanya redup, tapi ditundukkan daripada memandang aku tepat di mata.
Dia sua air ke bibirku.
Aku pun tak berlengah lagi. Turut segera arahannya. Selawat tiga kali, kemudian meneguk air penawar itu hingga habis.
“Lepas ni saya akan buatkan mandian penawar untuk cik. Cik kena mandi air tu setiap hari selepas asar, selama tujuh hari berturut-turut.”
“Awak tak ingat saya, Ezuriq?” Aku mencelah sudahnya bila dia terus-terusan bercakap macam orang asing di hadapan aku.
Barulah matanya naik dan bertemu dengan anak mata aku.
Dahinya berkerut. Menggeleng perlahan dia.
“Tak.”
Hampa aku.
“Saya student perempuan yang tersalah kelas waktu kelas Geotechnical Engineering hari tu. Yang berebut tempat duduk dengan awak tu.”
Dia diam. Dialihkan pandangan matanya dari aku. Berfikir dia.
“Oh, awak ke? Sorry la, saya dah tak ingat. Sebab dah lama.”
Aku diam saja. Tak tahulah nak kecewa ke apa.
Nampak sangat peristiwa berebut kerusi tu tak ada sebarang significance bagi dia. Dia betul-betul fikir nak kenakan pensyarah tu aje masa tu. Lepas tu pergi macam tu aje.
“Macam mana awak boleh datang ke hutan ni malam-malam macam ni?”
Soalan tu buatkan aku kembali pandang dia.
Dia nampak risau.
“Adik awak umpan saya datang sini. Dia yang campak saya dalam jeram tu tadi.”
“Adik saya?” soalnya kebingungan.
Aku angguk polos.
Dia kerut dahi.
“Kenapa dia buat macam tu? Awak buat salah apa dengan dia?”
Aku geleng kepala.
“Sebab…”
“Sebab sebenarnya dialah Kemboja Putih yang kononnya dulu dikatakan sudah dibunuh oleh orang-orang beta.”
Suara angkuh tu buatkan aku dan Ezuriq sama-sama menoleh.
Pensyarah tak bernama tu kelihatan berdiri tak jauh dari kami. Berpeluk tubuh.
Terus suasana berubah. Raut wajah Ezuriq berubah garang.
“Apa yang kau cuba buktikan? Perempuan ni tak salah apa-apa, kenapa kau…”
“Tak payah kau cuba sorokkan lagi siapa sebenarnya diri kau. Kemboja dah tahu semuanya.”
Dengan kata-kata, Ezuriq nampak terkejut benar. Laju dia menoleh ke arah aku, muka tak percaya pandang aku.
Berat-berat aku mengangguk.
“Saya Kemboja Putih yang semua kaum bunian cari selama ni.”
“Termasuk kau, Indera.” Suara pensyarah tak bernama tu lagi.
Sekali lagi menarik perhatian aku agar memandang dia.
Dia sedang senyum sinis.
“Kau juga mencari dia selama ni, bukan? Kau sanggup turun ke dunia ini. Sebab dengan adanya dia, kau boleh laksanakan sumpahan dalam kitab ramalan tu dan tumbangkan kerajaan beta. Bukan?”
Dekat sini aku macam berbelah-bahagi sedikit.
Ezuriq… Indera… Berapa banyak nama yang dia ada? Aku patut panggil dia apa sebenarnya?
Oh, mungkinlah dia gunakan nama Ezuriq cuma ketika dia berada di dunia manusia ni. Nama dia yang sebenar-benarnya adalah Indera. Hurmm… Macam tu kut? Lagipun… nama Indera memang berbunyi ala-ala bunian pun. So maknanya betullah tekaan aku ni. Kut…
Ezuriq a.k.a Indera, mengalih pandangannya. Kembali pandang aku.
Aku diam saja. Tak boleh baca apa sebenarnya yang tengah dia fikir.
“Sudahlah.” Suaranya perlahan untuk aku. Lembut intonasinya.
“Hari dah jauh malam. Awak baliklah ke rumah awak. Tak elok tengah-tengah malam macam ni keluar sorang-sorang.”
Dengan kata-katanya itu, dia pegang bahu aku dan mencuba membantu aku untuk berdiri.
Aku yang sememangnya masih lemah itu hanya menerima pertolongan lelaki ini.
Perlakuan kami itu mendapat tawa daripada pensyarah tu.
“Nampaknya dah mula berkerjasama?” Mengejek.
Aku dan Indera diam saja. Buat-buat tak dengar.
Bila aku betul-betul dah stabil berdiri, Indera berhati-hati melepaskan tangannya dari bahu aku. Tapi lepas tu dia pandang aku semula.
“Tunjukkan dekat mana awak tinggal. Biar saya hantar awak balik.”
Pensyarah ketawa lagi. Macam sakit hati sangat lihat kami berbaik.
Aku tahu. Dia dah dapat rasa nyawa dia terancam sekarang. Sebab Indera dah berjaya jumpa aku.
Kami beriringan pergi dari situ.
Tiba di kawasan parkir, dia minta kunci kereta aku. Aku tak banyak soal, bagi saja pada dia.
Dia pula senyap saja. Masuk ke dalam kereta dan mula memandu.
Kami senyap saja sepanjang jalan. Aku sendiri pun tak tahu nak sembang apa.
Yang pasti, dia memang betul-betul nampak tenggelam dalam dunia dia. Entah, mungkin hal pentadbiran kerajaan bunian kut yang sibuk dia fikirkan. Aku tak tahu.
Setibanya kami di hotel, dia hantar aku hingga di depan pintu suite.
“Terima kasih hantar saya balik.” Aku berbahasa dekat dia.
Dia senyum tenang saja.
“Saya masuk dulu,” kataku lagi.
“Sekejap, Kemboja.” Tiba-tiba dia menahan.
Aku berpusing semula. Tertahan daripada membuka pintu suite.
“Mmm?”
“Ini nombor fon saya. Lepas ni kalau ada apa-apa masalah, terus contact nombor ni. Saya tak pernah tutup telefon saya.”
Diam. Jatuh anak mata aku pada sekeping kertas yang berada di celah dua jarinya. Yang dia hulur pada aku.
Aku susah nak percaya sebenarnya, tapi teragak-agak pun aku ambil juga kertas itu.
“Insya-Allah.”
“Jaga diri baik-baik,” katanya lagi.
Aku pandang dia tepat di mata.
Anak mata dia berwarna coklat cair, warna yang amat sesuai dengan bentuk wajahnya.
Senyum nipis aku.
“Mmm.” Angguk kecil.
Diam sesaat.
“Saya pergi dulu,” katanya dan mula melangkah pergi.
“Ingat nama saya tau?” laungku segera.
Dia terhenti melangkah. Pandang aku.
Aku segan, tapi ungkapkan juga.
“Jangan lupa lagi lepas ni.” Perlahan suara aku.
Dia pula tersenyum saja. Nampak kacak di mata aku. Angguk satu kali dia untuk aku.
“Pergi dulu,” katanya.
Aku angguk.
“Bye.”
Dan dia mula melangkah pergi.
Aku perhati saja.
Mungkin disebabkan dia fikir aku ni dah tahu identiti sebenar dia, maka dia pun dah tak mahu sorok-sorok lagi tabiat kebiasaan dia. Atas sebab itulah, tak jauh dia melangkah, tiba-tiba lesap dia daripada pandangan aku.
Terkebil-kebil sekejap aku. Sedikit ternganga.
Dasyat ah! Ini kali pertama aku nampak orang boleh hilang-hilang depan mata aku. Selalu aku tengok dalam anime Dragon Ball aje.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience