AKU teresak-esak. Terganggu dengan air mata dan hingus yang tak henti-henti mengalir, aku tarik kolar t-shirt bodoh aku lalu mengelap muka dengannya.
Tapi malangnya kedua-dua benda alah tu tak mahu juga berhenti bersepah dekat muka aku. Tetap juga keluar, seiring dan sejalan tanpa sebarang kompromi.
“Alah, dik… Sudah-sudahlah tu, janganlah sedih sangat.” Kakak aku sejak tadi setia menemani aku.
“Tak nak! Aku nak sedih jugak. Hwaa…” tangisku.
Bahkan semakin menjadi-jadi kesedihanku bila kakak berkata begitu.
“Bukan senang aku nak terima kenyataan ni, weh. Rupa-rupanya aku bukan anak kandung umi dengan walid. Oh, kenapa sadis sangat takdir hidup hamba ni, ya tuhan?”
Aku tekup muka ke meja dan sambung menangis lagi.
Dapat rasa kakak menepuk-nepuk lembut bahu aku. Kemudian diusap-usapnya.
Dapat dengar juga dia mendengus halus. Mungkin dah tak tahu cara memujuk aku supaya berhenti emosi. Dah sejam lebih aku meratap dalam bilik dia ni. Sampai dia pun tak boleh tidur, padahal sekarang dah pukul dua pagi.
Dia usap-usap lagi bahu aku.
“Kau tetap saudara kita orang, dik. Kau tetap saudara kita orang.”
Suaranya sangat lembut, jauh berbeza daripada kebiasaan dirinya.
“Kita membesar sama-sama… Susah senang sama-sama… Jangan risau kalau kau bukan ahli keluarga ni. Kita orang tetap tak lupa dekat kau, sampai bila-bila. Percayalah.”
Mendengarkan itulah yang membuatkan aku laju mengangkat kepala. Aku tenung dia sambil tersedu-sedan.
“Aku menangis ni bukan sebab fikir kita ni bersaudara ke tak, weh…”
Dia kerut dahi.
“Dah tu?”
Aku berhenti sekejap. Cuba lagi tahan tangis.
Seketika, aku pandang muka dia yang sayu itu. Aku tahu dia simpati dengan nasib aku. Aku tahu. Tapi…
“Nama walid ada pangkat Dato'. Bulan depan, naik pula ke pangkat Dato' Seri. Aku sedih… sebab bapak kandung aku tak ada pangkat Dato'. Lepas ni, macam mana aku nak show off lagi depan member-member aku? Hwaaa…”
Dengan aduan penuh perasaan aku tu, tak semena-mena air muka kakak berubah. Tadi simpati, sekarang bertukar annoyed.
Pang!
Dipelangkungnya kepala aku! Sampai aku terteleng.
“Kau keluar sekarang dari bilik aku ni. Keluar sekarang aku cakap!”
Aku memuncung.
“Apalah, itu pun nak marah. Tak sporting betul.”
“Sporting? Oh, kau ingat kau tu anak raja, nak suruh aku layan semua kerenah kau yang taraf minta penerajang ni?” Dia bercekak pinggang.
Aku memuncung lagi dan kali ini disertai keluhan kecewa. Jatuh pandangan mata, meratapi nasib. Beginilah nasib seekor anak bunian yang tersesat di dunia manusia. Sob… sob… Sodih.
Berat-berat hati, aku bangun dari kerusi. Dengan longlai menapak keluar dari bilik itu.
Perempuan tu membebel-bebel lagi. Panjang, dan juga lebar, darab tinggi.
Telinga aku sakit dengar suara nyaring mak nenek tu. Tapi aku tabahkan hati. Berjalan juga lagi, sampailah berjaya masuk ke dalam bilik sendiri. Aku tutup pintu.
Selepas itu barulah kurang sedikit bingitnya bunyi leteran perempuan tu. Dan aku pun mengeluh lagi untuk kesekian kalinya. Aku pandang segenap ruang bilik aku yang macam tongkang pecah ni.
“Nak tahu tak, saya dah bukan lagi anak kepada seorang Dato'. Oh, sedihnya…” lirihku.
Tak berdaya lagi. Aku hanya longlai menumbangkan diri ke atas katil. Muka terus menyembam bantal. Dan terus keras badanku sesudah itu, sebelum kemudiannya terenjut-enjut bahu aku menahan esakan.
“Tak nak jadi anak bunian marhaen… Nak jadi anak Dato'… Hwaa…”
.
.
.
.
.
SEDIH-sedih pun hidup tetap perlu diteruskan. Lagipun aku selalu dengar orang kata, kita kena aktifkan diri beraktiviti supaya hormon endorfin boleh dirembeskan, sekali gus melegakan kesakitan yang hati kita rasakan.
Eh, tapikan. Aku bukan manusialah. Aku bunian. Dah tu kira cemana ek? Sistem dalaman badan bunian ada ke segala jadah endorfin tu semua?
Oh… Aku dah rasa nak down balik dah ni! Tolong aku! Tolong!
“Ah, gediklah kau. Layan sangat perasaan tu.” Suara kakak yang semestinya tersangat menyakitkan hati itu, bermain-main dengan sangat merdunya di dalam kepala aku.
Ya… Itulah prosa yang selalu dia dendangkan di tepi telinga aku akhir-akhir ni.
Huh, perempuan kuku besi tuh. Sesekali aku ada juga terasa nak berterima kasih dekat dia. Disebabkan dialah, aku rasa nak bersyukur yang hakikatnya kita orang ni bukan adik beradik. Tak kuasa aku nak mengaku ada kakak macam tu!
Nampaknya ada juga hikmahnya tuhan ciptakan organisma sehodoh itu menjadi kakak angkat aku di dunia manusia ni. Sekurang-kurangnya dengan fakta ini, aku tak adalah sedih sangat dah mengenang yang aku ni bukan anak kandung Dato' Seri Muhsin Bin Tan Sri Ghazali Omar.
Pap! Bahu aku ditepuk kuat oleh seseorang dari arah belakang.
Aku kelip-kelip mata sekejap, baru berpijak semula di bumi nyata. Seketika, baru aku sedar yang aku ni dah terlampau jauh hanyut dalam dunia kesedihan aku.
Menoleh aku ke belakang. Terpinga-pinga. Blur.
Dan orang tu terus bertanya soalan,
“Seronok berangan? Berapa juta dah menang judi?”
Cuba teka, dalam dunia ni dan dalam circle kehidupan aku ni, siapa yang nampak macam paling fit dan sempurna untuk mengajukan pertanyaan yang berbentuk seperti itu? Watak siapa yang neraka macam tu? Gaya dia menyoal pun teramat sangat familiar, kan?
Betul! Kakak aku! Hergh!
Terbantut terus hasrat aku nak melupakan kesedihan aku tadi. Aku yang baru aje nak tersenyum ramah, terus tak jadi. Cancel!
Aku pandang depan semula. Buat bodoh.
Aku yakin dia faham sangat maksud body language aku ni. Dengan tak meminta izinnya, dia langkah bangku panjang yang aku duduki ini, kemudian dia labuhkan punggung besar dia tu di sebelah aku.
Dan, semacam dia memang tak kesian langsung dekat aku yang dah bukan lagi bertaraf adik kandung dia ni, dia sengaja sakit-sakitkan lagi hati aku. Bangku yang bukan main punya panjang dan kosong lagi lapang tu, dia boleh duduk rapat-rapat dengan aku bahkan menghimpit aku sampai aku rasa macam nak terjatuh dah dari bangku ni. Dahlah cuaca tengah panas terik ni, woi!
Emang dasar brengsek lho!
“Weh, dik. Aku ada berita baik ni. Nak tahu tak?”
“Tak.” Nada moody.
Dia toleh ke muka aku dengan riak wajah yang terkejut amat sangat.
Eii… Menyampah betul aku! Over acting aje minah tu. Macam dia tak tahu pula aku ni memang dua puluh empat jam malas layan kerenah tak matang dia tu.
Dia tu, belum buka mulut pun aku dah tahu apa yang ada dalam kepala dia. Tak habis-habis pasal boyfriend dia jugaklah yang dia nak cerita. Konon berita yang baik sangat tu.
“Alah, kelakar la kau ni, dik! ” Dia tampar kuat bahu aku tiba-tiba.
Terkejut aku. Sakit pun sama. Berkerut dahi aku pandang dia. Tangan gosok-gosok tempat kena lempang.
“Kau apahal? Tersampuk?”
Soalan aku tu, aku tujukan dekat dia dengan harapan supaya dia control sikit perangai gedik dia tu. Kita orang kat tengah-tengah bus stop ni. Orang tengah ramai ni. Tak kuasa aku nak jadi pusat perhatian manusia dekat tempat yang panas terik dan langsung tak mendamaikan hati ni.
Tapi dia, alih-alih dia pergi gelak mengekek pula dengan soalan aku tu.
“Siapa aje nak sampuk aku? Kau ke? Kau kan jin?”
Berdesup side eyes aku mendarat di muka dia. Memberi amaran supaya dia berhati-hati sikit. Berani dia nak biar semua orang tahu yang aku ni bukan manusia? Apa, dia nak tengok semua orang lari bertempiaran sebab ketakutan ke?
Yang dia, bila dah kena jeling macam tu, barulah dia sedar betapa diri dia tu sememangnya susah dikawal. Menyengih dia di depan aku.
“Okey, okey, okey. Sorry, sorry. Tak cakap dah.”
Aku mengeluh bosan. Pandang depan semula. Tahan hati yang tengah panas, ditambah pula tahan badan yang dah berpeluh-peluh tunggu bas tak sampai-sampai ni.
Semua benda pun aku rasa macam nak maki sekarang ni!
“Alah, janganlah emo sangat. Aku saja-saja aje usik kau. Sebab aku boring sangat ni, bas tak sampai-sampai jugak lagi.”
Aku diam.
Tapi nampaknya, aku tersalah buat keputusan.
Dengan diamnya aku, genetik kegedikan dalam DNA dia tu pun kembalilah terserlahnya.
“Sepatutnya kau lagi kena berterima kasih dekat aku apa. Disebabkan hati aku yang suci murni ni, sanggup juga aku korbankan plan dating aku minggu ni. Tengok ni, aku setuju nak teman kau join rombongan Kelab Astronomi kau ni. Can’t you see my sacrifice?” Dia senggol-senggol aku dengan bahunya, meminta aku melayan dia.
Mengeluh pasrah sudahnya aku di situ mengenang nasib.
Aku pun tak tahulah ya! Dengan kehidupan aku yang serba menyedihkan ni. Ada kakak, perangai sebijik macam jembalang. Aku yang dari keturunan jin ni sendiri pun surrender dengan level jembalang dia.
Dan apa yang lagi menyakitkan hati aku ni adalah, apa yang dia cakap tu memang betul pulak pun!
Aku ni lone ranger. Introvert, tak berapa reti nak berkawan sangat. Orang selalu ingat aku ni pemalu, pendiam, antisosial dan segala macam lagi gelaran tak murni. Jadi dia orang susah nak masuk dengan aku.
Alhasilnya, masuklah aku di dalam Kelab Astronomi di universiti aku ni sendirian. Sendirian! Tak ada kawan!
Bila sesekali ada rombongan macam ni, syaratnya kena pula bawa teman pengiring, kau rasa siapa aje yang aku nak rayu? Tak ke kakak yang aku kutuk-kutuk tu juga?
Oh… Stressnya aku dengan hidup aku ni!
Dengan give up aku mengeluh.
“Sorry la aku teremo.” Mengaku salah. “Cuaca tengah panas ni. Aku bengang dekat bas yang belum sampai sebenarnya.”
Dan dia pun laju tersenyum lebar. Dia terus betulkan kedudukan dia. Pandang depan sepertimana aku.
Dia tadah tangan.
“Ya Allah, Kau tolonglah tamatkan penderitaan aku dan adikku ini. Tolong buat bas sampai cepat dekat sini. Kami dah tak tahan menahan panas ni, ya Allah.”
Dalam diam, aku aminkan sesangat doa dia tu. Sungguh aku betul-betul dah tak tahan sangat dah dengan dugaan demi dugaan yang bertandang ni.
Aku hela nafas dalam-dalam. Rapatkan dua kelopak mata. Cari ketenangan…
“Hah, tu pun dia bas dah sampai!” Tiba-tiba kakak bersorak.
Aku sedikit terkejut. Terus buka mata dan pandang ke arah yang tengah kakak tunjukkan.
Memang betul. Dua buah bas universiti sedang menuju ke arah bus stop ini.
Jam tu, rasa nak aje aku menyungkur ke lantai bersujud syukur. Alhamdulillah! Terima kasih sangat-sangat, ya Allah!
Bas memperlahankan kelajuannya. Semakin hampir dengan tempat kami menunggu.
Waktu itu, para pelajar lain di dalam rombongan ini pun nampak lega sama dengan keadaan ni. Pelajar-pelajar yang sejak tadi bertinggung di tepi-tepi longkang, kumpulan pelajar yang berdiri di tepi tiang-tiang bus stop, semua tertarik perhatian ke arah bas itu. Semua segera bangun dan mendapatkan beg pakaian masing-masing.
Secara automatik semua orang masuk ke dalam barisan.
Aku dan kakak hanya mengikut pergerakan semasa. Beratur sekali dengan mereka.
“Lambat sampai, pak cik?” Pengerusi kelab menegur ramah pak cik driver sebaik saja bas berhenti dan membuka pintunya untuk kami.
Nada pengerusi kelab itu kedengaran baik-baik saja dan mesra sahaja. Tapi aku yakin di dalam hati dia juga sebenarnya tengah bengang sepertimana kami yang lain-lain ni. Muka dia habis burnt disebabkan bahang cahaya matahari.
“Sorry, semua. Saya yang jadi punca Encik Kamal dengan Encik Roslan terpaksa bergerak lambat ke sini tadi.” Terdengar satu suara macho menyapa kami. Datangnya dari arah dalam bas.
Tak semena-mena jantung aku berdetak kencang. Suara tu tersangat familiar!
Aku segera menoleh ke arah pintu bas. Cemas. Hati di dalam dah start berfirasat yang tidak-tidak.
Kelihatan seorang pensyarah lelaki memijak turuni bilah-bilah tangga bas. Dia turun ke tanah. Di tangannya ada sebuah fail nipis. Aku yakin itu fail yang berisikan senarai nama kami. Dan aku juga yakin dia adalah pensyarah iringan untuk rombongan lawatan kami ni.
“Weh, weh.” Kakak yang beratur di belakang aku, menarik-narik hujung baju aku.
Dia rapat di belakang aku. Dia bisik di telinga aku.
“Handsome la lecturer tu. Boleh tak aku nak curang dekat boyfriend aku untuk sementara waktu?”
Aku tak respons kata-kata dia. Mata aku tajam dan dengan cemas merenung pensyarah lelaki yang secara jelasnya bakal berada di mana-mana sahaja yang aku pergi untuk tempoh tiga hari yang akan datang ni. Dia akan sentiasa berada dekat dengan aku tanpa dapat aku larikan diri.
Dan dia, seakan-akan dia dengar tempikan-tempikan huru-hara dalam hati aku, dia dengan penuh bersahaja menoleh ke arah sini.
Mata kami bertemu.
Aku kaku di bumi tempat aku berpijak. Tangan aku menggigil.
Dia senyum dekat aku.
Share this novel