AKU rasa aku ni dah diserang trauma.
Sejak tahu pak lang meninggal secara ngeri disebabkan oleh kuasa sihir bunian jahat tu, dan sejak bunian jahat tu sendiri depan-depan mata aku cuba bunuh aku dengan kuasa sihirnya, sejak tu aku jadi takut-takut dan sentiasa kerisauan.
Macam-macam benda aku bayangkan. Masa depan dah jadi sangat-sangat ngeri untuk aku. Macam-macam benda tak elok bakal berlaku, itu yang aku selalu rasa.
Aku rasa, ini serangan anxiety. Takut terhadap masa depan dan terlampau overthinking. Cuma terbayang hal yang buruk-buruk saja.
Selepas tengok apa yang jadi dekat pak lang, sekarang ni aku cukup risaukan keluarga aku.
Umi. Walid. Kakak dengan adik.
Kalau pak lang boleh dibunuh senang-senang macam tu aje, aku yakin bunian jahat tu boleh buat macam tu juga dekat keluarga angkat aku.
Jantung aku akhir-akhir ni sentiasa berdetak laju. Sentiasa lebih daripada seratus dua puluh degupan dalam tempoh seminit. Sama laju dengan degupan jantung orang yang tengah berlari pecut.
Itulah. Kebimbangan yang tak terkawal. Sampaikan dalam solat pun aku dah tak boleh nak khusyuk dah sekarang. Bahkan ceritanya sekarang, waktu aku solatlah gangguan paling kuat menyukarkan kekhusyukan aku.
Aku dah tak boleh nak hayati lagi bacaan dalam solat, sebaliknya sentiasa teringat dekat keselamatan keluarga. Aku terpaksa sentiasa minta Allah supaya lindungi keluarga aku. Aku rasa seolah-olah kalau sesaat aku tak doakan mereka, makanya akan tertembuslah dinding perlindungan tuhan tu dan kuasa sihir pun akan menyentuh mereka.
Susah sangat, kan?
.
.
.
.
.
.
SELESAI majlis tahlil di rumah mak lang untuk malam ketiga. Makanya aku dan keluarga pun dah kena bertolak pulang ke KL. Esok masing-masing dah start kena masuk kerja dan masuk kuliah.
Kakak merajuk dengan aku. Sebab aku tak nak mengalah dengan dia. Dia larang aku order merchandise BTS tapi aku tetap juga order. Jadi dia kata aku ni pengkhianat.
Aku sengih aje bila dengar dia guna word ‘pengkhianat’. Blur.
Entah tang mana yang khianatnya pun aku tak tahu.
Tapi dia tu memang tak betul sangat pun. Kekadang bahasa melayu yang bukan main punya unik dan indah ni boleh rosak macam tu aje bila sampai giliran dia bercakap. Padahal UPSR-PMR-SPM straight As tu. Tapi penggunaan perkataan ‘pengkhianat’ dengan ‘degil’ pun dia tak reti nak beza.
Ah, apa-apalah. Yang penting, sampai sekarang dia mogok. Langsung tak nak bercakap dengan aku. Kalau terserempak aku pun dia cepat-cepat paling muka tempat lain sambil sebut, “huh!”
Aku sengih mengejek aje tengok perangai dia. Macam budak-budak!
Jadi disebabkan rajuknya itu, dia tak nak naik satu kereta dengan aku. Dia nak naik dengan umi dengan walid. Adik pun sama.
Bila dia umumkan yang dia tak mahu naik kereta dengan aku, dia ingat aku boleh insaf la kut.
Heh, memang tak la. Aku lagi menganjing ada la.
“Elok pun kau naik dengan walid. Tak adalah penat aku nak kena layan perangai tak matang kau tu.”
Dan dia jadi makin memberontak lepas tu. Dia genggam-genggam penumbuk masa itu. Tenung aku kegeraman dan ketap geraham.
Tapi dia tetap tak boleh apa-apakan aku. Sebab dia tahu kalau kami bertumbuk, nanti mesti umi masuk campur sekali. End up, dua-dua kena denda. Kalau hukuman kasih sayang tak apa lagi. Ini hukuman kena buat kerja-kerja bibik. Cuci jamban RNR la hukuman yang paling teruk setakat ni. Mana dia berani nak ulang sejarah tu lagi.
Jadi, oleh sebab sakit hati tak dapat nak balas dendam dekat aku, terus dia jalan hentak-hentak kaki masuk kereta walid. Dia hempas pintu dan terus bersandar peluk tubuh. Tak pandang-pandang tempat lain dah. Mulut muncung.
Aku geleng-geleng kepala aje.
Hati kata, macam manalah dia boleh jadi lagi tua dari aku. Kekadang perangai dia jauh lagi kebudak-budakan daripada adik kita orang yang baru umur tujuh belas tahun. Adik pun tak seteruk dia.
Mengeluh aku. Makanya malam itu selepas isyak, bersendirianlah aku memandu pulang ke KL. Tak ada kawan menyembang.
Suasana dalam kereta sangat lengang walau aku dah mainkan playlist lagu-lagu BTS di radio.
Aku tak mengantuk pun. Mata segar aje. Highway pun boleh tahan meriah dengan kenderaan. Mungkin sebab budak-budak baru habis cuti sekolah, jadi orang-orang dah sibuk nak balik ke rumah masing-masing.
Jadinya, tak ada sebab untuk aku mengantuk.
Tapi entah macam mana, tiba-tiba stereng yang aku pegang ni terputar sendiri. Bukan putar yang sedikit. Putar habis!
Kereta yang tengah laju, mendadak hilang kawalan. Aku terkejut, terjerit. Aku putar semula stereng ke arah berlawanan.
Bergoncang kuat kereta aku, akibat hilang imbangan. Dahlah kereta ni comel aje, memang senanglah nak terbabas kalau aku salah kendali. Nyaris aku terlanggar pembahagi jalan. Aku dah kecut dah. Dah fikir nak mati dah.
Nasib kereta berjaya dikembalikan ke laluannya.
Kereta belakang membunyikan hon yang panjang. Mungkin dia pun sama terkejut dan cuak, mungkin dia nyaris terempuh kereta aku ni tadi.
Aku telan liur aje.
Ya, ya. Aku mengaku salah aku.
Untuk meminta maaf padanya, aku hidupkan lampu belakang. Berkelip dua kali. Harap orang tu fahamlah.
Mungkin pemandu tu fikir gaya pemanduan aku bakal membahayakan dia, tak lama kemudian, kereta aku terus dipintasnya. Dan orang tu terus memecut laju.
Aku diam aje. Sebab masih dalam keadaan terkejut. Rasa macam tercabut sekejap nyawa aku tadi.
Aku hela-hela nafas dalam dan melepaskannya perlahan. Pujuk-pujuk hati supaya bertenang.
Tadi tu microsleep ke? Soal hati.
Tapi aku yakin sangat yang aku tak khayal pun tadi. Mengantuk pun tidak.
Habis tu macam mana tiba-tiba boleh hilang kawalan? Tak pernah-pernah jadi macam ni dekat aku. Pelik sangat bila kali ni jadi seseram ini.
Bila keadaan dah kembali terkawal, aku cepat-cepat tutup radio. Cabut USB drive dari slotnya. Aku buka compartment dashboard, keluarkan USB drive yang lain. Aku cucuk pada slot tadi.
Tak lama kemudian, segenap ruang dalam kereta ni dipenuhi dengan alunan bacaan al-Quran.
Aku kembalikan perhatian pada pemanduan. Lebih tinggikan kadar fokus aku.
Risau betul aku. Dahlah aku seorang diri aje ni. Tak ada sesiapa yang boleh aku minta tolong untuk gantikan aku memandu. Ye la, walau aku beria-ia kata aku tak mengantuk, tapi mana kita tahu kut-kut sebenarnya aku cuba denial dekat diri sendiri. Tak nak mengaku mengantuk.
Tapi perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur biasanya mengambil masa sejam aje. Sekarang baru lima belas minit aku memandu. Pelik juga kalau nak kata aku mengantuk.
Jam di dashboard pun baru menunjukkan angka 21.34. Awal lagi.
Aku mengantuk?
“Hesy…” Aku menggeleng berkali-kali.
Bukan main kuat alunan bacaan al-Quran bergema, tiba-tiba radio senyap macam tu aje.
Aku yang tengah fokus memandu tu jadi terganggu semula. Kerling radio tu. Kerut dahi.
Radio dah terpadam. Dengan sendirinya.
Okey, sekarang aku seram.
Banyak aku dengar cerita pemandu kena gangguan macam ni. Dan sekarang benda tu tengah jadi dekat aku.
Telan liur. Bulu tengkuk dengan sendirinya tegak sembilan puluh darjah.
Buat-buat macam tak ada apa-apa berlaku, aku hidupkan semula radio tu.
Anehnya, bukan bacaan al-Quran yang aku dengar, sebaliknya suara tawa pensyarah bunian tu.
Terus aku teringat dekat arwah pak lang yang meninggal kerana kemalangan jalan raya.
Hah!
Lekas-lekas aku tutup radio!
“Okey… Mentang-mentang aku tengah tak ada sesiapa ni…” Ketap gigi. Geram dan sakit hati.
Suasana jadi lengang betul. Macam tengah melalui kawasan perkuburan. Aku dah tak sedap hati dah ni.
Dan tepat dengan gerak hati yang terlintas tak sampai sesaat yang lepas, tiba-tiba stereng berputar tiga ratus enam puluh darjah lagi. Dengan keras!
Kereta sekali lagi hilang kawalan. Rempuh pembahagi jalan. Pembahagi jalan patah, kereta aku tercampak ke gaung yang dalam.
Aku menjerit.
Aku cuba pijak pedal brek. Tapi waktu itu juga wayar brek putus. Kereta semakin laju menuruni cerun. Rempuh daun-daun dan pokok-pokok renek. Dan kereta semakin laju.
Aku tarik brek tangan.
Anehnya semua yang kulakukan tetap sia-sia. Bahkan kereta jadi semakin laju memecut turun.
Tiba-tiba aku nampak Indera terjun di hadapan kereta aku dan terus menghentak dua tangannya di bonet kereta aku. Bonet remuk dan Indera menahan kuat kereta aku agar berhenti menuruni cerun.
Tapi nampaknya kuasa graviti berkerjasama baik dengan kuasa sihir pensyarah tu. Kelajuan kereta langsung tak berkurang, apatah lagi nak berhenti. Indera turut sama terheret menuruni bukit.
Dalam huru-hara tu aku nampak Indera mengeluarkan sehabis tenaganya. Tetap juga menahan bonet depan kereta daripada meluncur terus.
Tapi gagal dan gagal terus.
Aku dah nak berputus asa dah kat situ. Dah menangis teresak-esak dah.
Kereta terus melunjur hingga tiba di hujung tebing. Selepas itu kereta jatuh menerpa tanah di dasar gaung. Tayar dah tidak lagi menyentuh tanah.
Di hadapan mata aku, aku nampak Indera lesap begitu saja.
“Kemboja!” Dalam sekelip mata aku dengar suara lelaki itu di bangku sebelah aku.
Aku menoleh.
Indera dah berada bersama-sama aku di dalam kereta. Tanpa berkata apa-apa, dia pantas menanggalkan seatbelt daripada tubuhku.
Terlepas saja aku daripada seatbelt, Indera terus tarik aku. Dia peluk aku erat di bawah tubuhnya.
Depan-depan mata aku, aku nampak yang suasana bertukar. Pemandangan di dalam kereta yang sedang menerjuni tebing bukit, bertukar dalam sekelip mata. Sebaliknya kini mata aku ternampak satu cahaya putih yang menyilaukan datang entah dari mana.
Aku pejam mata akibat terasa pedihnya.
Aku pasrah.
Terasa tangan Indera turun merangkul pinggangku.
Aku pula dapat rasakan yang kami dah tak lagi berada di atas apa-apa permukaan. Kami sedang di awang-awangan.
Takut jatuh dan gayat dengan ketinggian, aku segera peluk tubuh lelaki itu. Peluk kuat. Aku pejam mata aku ketat-ketat. Gigit bibir bawah sekuatnya. Mengharap tuhan tolong kami.
Angin malam berhembus kencang.
Beberapa waktu kemudian, dapat kurasakan dua telapak kakiku mencecah satu permukaan. Perlahan dan berhati-hati.
Dalam takut-takut aku buka mata.
Suasana terang. Tapi bukan di dalam hutan. Sebaliknya kini kami di tengah-tengah padang rumput yang luas.
Paling penting, hari dah tidak lagi malam. Cahaya matahari sedang terang menyuluh ke seluruh alam.
Aku keliru. Aku dekat mana ni? Aku pengsan ke tadi? Lama ke? Aku baru terjaga daripada pengsan ke sekarang ni?
Tangan masih menggigil, tapi aku lekas-lekas lepaskan pelukan daripada tubuh Indera.
Lutut aku masih lemah. Tapi aku tahu kalau aku jatuh ke tanah, Indera akan risau. Jadi aku lawan juga rasa lemah tu. Aku gagahkan diri kekal berdiri.
Aku yang masih keliru itu menoleh-noleh ke sekitar.
Kawasan ini agak berlainan daripada dunia manusia yang biasa aku lihat dengan mata kasar. Pemandangan tempat ini dalam resolusi yang tinggi.
Terus aku teringat pada kejadian aku sesat di hutan Gerbang Bunian dulu. Adakah…
“Ini tempat tinggal saya.” Suara Indera di belakang aku.
Aku menoleh pada dia. Masih keliru.
“Awak dah selamat.”
Fikiran aku masih kacau. Sebab tu bertali arus pelbagai perkara melintas dalam kepala aku. Lepas satu, satu. Tadi tentang Gerbang Bunian. Lepas tu tentang dunia bunian yang Indera katakan sebagai tempat tinggalnya. Lepas tu, tak sampai sesaat, sekarang berfikir pula tentang kemalangan kereta yang jatuh gaung tadi.
Aku seka peluh di dahi. Tarik nafas dalam.
Tapi tiba-tiba pergerakan aku terhenti, bila mata aku tanpa sengaja terpandang tangan Indera yang berlumuran dengan cecair pekat berwarna putih. Lagi mengejutkan, tangan kiri dia pun berlumuran darah sama.
“You’re bleeding!” Cemas. Laju mataku naik memandang wajah dia.
Indera pula seakan-akan baru tersedarkan perkara itu. Dipandang dua tangannya.
Aku segera keluarkan sapu tangan. Aku tuju ke arah dia.
Capai tangan dia dan segera membalut luka yang agak besar itu. Berderau darah aku tengok darah yang membuak-buak mengalir.
Ekor mata aku perasan dia sedang memandang aku. Lama.
Aku tak tahu apa yang dia fikirkan. Aku cuma mahu hentikan pengaliran darah, itu saja.
Aku ikat balutan kain. Ketat. Harap-harap tindakan aku ini boleh menghentikan darah daripada terus keluar.
Setelah pasti kerjaku betul-betul dah selesai, aku pandang semula mata dia.
Tarik nafas dan lepas untuk beberapa kali, lepas tu barulah aku dapat kekuatan untuk bercakap.
“Macam mana saya nak balik ke dunia saya? Mesti family saya tengah risaukan saya.”
Dia tak terus jawab. Dia diam saja sambil terus memandang ke dalam mataku.
Aku was-was. Takut-takut, aku tarik hujung bajunya.
“Indera?”
Dia senyum kecil.
“Awak belum boleh balik ke sana. Adik saya still ada kat sana.”
Aku diam. Kecewa.
Dia senyum sendiri saja melihat kegelabahan aku.
“Alang-alang kita dah datang sini, saya nak kenalkan awak dengan someone.”
Kembali aku pandang dia. Tepat di mata.
Dia tenang saja perhati satu demi satu perubahan tingkah laku dan emosi aku.
Aku pula tak dapat tahan diri daripada mengerut dahi.
“Awak nak kenalkan saya dengan siapa?”
Dia tak terus jawab. Dia masukkan dua tangannya dalam poket jeansnya. Kemudian berkalih dan mula melangkah pergi.
“Jom.”
Aku keliru. Ada rasa nak melaung dia agar berhenti berjalan dan terangkan dulu satu per satu dekat aku. Aku takkan ikut dia selagi dia tak terangkan apa-apa.
Tapi lepas tu, bila memikirkan yang aku tak biasa dengan tempat ni, sudahnya aku sedar yang aku kena juga mengalah.
Mengeluh kecil.
Berat-berat, kaki aku mula menapak. Mengekori dia. Tapi kepala otak terus ligat bertanya-tanya.
Dia nak kenalkan aku dengan siapa?
Share this novel