BAB 1

Romance Series 255

“DAH ada orang.”
“Sebelah tu?”
“Ada orang jugak.”
“Sebelah lagi tu?”
“Satu row ni, semua dah ada orang cup.” Dengan ayat tu, satu senyuman dihadiahkan pada aku. Isyarat supaya aku faham, ‘Cari aje la meja lain!’
Mengeluh sudahnya aku di tengah-tengah dewan kuliah tu. Dengan semangat yang dah patah aku pandang seluruh kelas.
Memang banyak lagi meja yang kosong, tapi semua dah kena booking! Kawan yang tolong book kan. Dah tu celah mana aku nak duduk nih?
Dengan muka ala-ala telur separuh masak, aku berganjak dari situ. Pusing-pusing lagi satu dewan tu macam yang aku buat sejak sepuluh minit lepas, sambung mencari kut-kut ada tempat kosong.
Sekali tengok, aku tahu aku ni dah sebijik macam polis peronda.
Serius cakap dowh, inilah masalahnya kalau meja kerusi terhad sangat. Ngam-ngam enam puluh meja aje ada, padahal student yang masuk dewan kuliah ni kadang-kadang sampai lapan puluh orang.
Dari dulu sampai sekarang, ini jugaklah masalahnya. Dah start sem baru ni pun, ini jugak yang jadi. Aku sendiri pun tak tahu apahal universiti kedekut sangat nak keluarkan bajet. Padahal bukannya untuk orang lain, untuk student sendiri jugak!
Kan sekarang dah menyusahkan aku? Hergh!
Dah naik juling mata aku ni, weh.
Tiba-tiba panahan mata aku yang berlari ni terhenti. Ternampak satu bangku kosong, tak ada tanda dah dibooking. Cepat-cepat aku menghala ke tempat paling belakang tu. Daki anak-anak tangga.
“Ada orang?” soalku sebaik tiba.
Gadis di situ terganggu daripada dunianya. Dia angkat kepala dari meja, terus aku terdiam.
Okey... Muka yang basah dengan air mata...
“Ada... ada orang ke kat sini?” Tiba-tiba timbul penyakit gagap.
Cepat-cepat aku sengih sampai nampak gigi. Nak cover. Tak nak dia perasan yang aku selalu mati akal tengok perempuan nangis, walau aku ni sendiri sama perempuan aje macam dia.
Gadis tu menggeleng sambil mengelap air mata.
“Tak ada. Duduklah.”
Terlepas terus nafas lega aku. Cepat-cepat tarik kerusi sebelah dia.
Tapi tiba-tiba ada satu tangan lain menarik kerusi tu. Serentak dengan aku, tapi lebih kuat dari tenaga aku. Terlepas kerusi dari tangan aku. Tercengang aku pandang si gerangan yang langsung tak fikir panjang tu.
Seorang… mamat.
Dia tarik kerusi, duduk. Selamba badak, macam tak buat salah apa-apa.
Hangat hati aku memandangnya.
“Eh, tempat ni orang dah cup dulu kut?”
Dia angkat kepala sambil tangan tanggalkan beg dari bahu. Berkerut sikit dahi pandang aku, macam pelik dengar ayat aku. Macam aku ni tengah mintak buah pinggang dia.
“Ni tempat saya.” Aku ulang. “Saya yang cup dulu.”
“Saya dah cup tempat ni lebih awal.” Selamba dia pintas.
Makin tercengang aku mendengarnya.
“Dari minggu lepas lagi saya duduk sini.” Sebaris lagi ayat mamat tu, kali ni mula sinis. “First come first serve.”
Ternganga aku.
First come first serve? First come first serve?!
Okay, fine!
Terus aku pergi ke hujung dewan. Capai salah satu kerusi yang tersusun, tarik, letak sebelah mamat tu. Aku hempas duduk di situ.
Bila dia jeling aku, aku buat tak tahu. Keluarkan buku dengan pencil case dari beg, hempas juga atas meja. Aku belek-belek kasar.
Kau nak first come first serve sangat, kan? Hah, ambik, ambik. Aku tak kisah. Tapi meja ni tetap meja aku. Titik!
Mamat tu diam, tenung aku lama dan tajam.
Tapi aku buat-buat tak tahu. Aku fokuskan mata pada pembacaan. Nampak menarik tiba-tiba isi di dalam buku tebal ni, padahal setahu aku selama ni aku menyampah gila-gila dengan subjek ni. Subjek pasal soil. Pasal tanah. Subjek yang paling ramai student course ni fail.
“Soil is the loose surface material that covers most land. It consists of inorganic particles and organic matter. Soil provides the structural support to plants used in agriculture and is also their source of water and nutrients. Soils vary greatly in their chemical and physical properties…”
Terganggu tumpuan aku pada bacaan bila pandangan mata aku dihalang. Set test pad, diletakkan betul-betul atas buku rujukan yang tengah aku baca. Setiap inci, setiap sudut, tepat belaka letaknya. Sampaikan tenggelam buku aku di bawah test pad. Aik? Amende nih?
Aku angkat kepala.
Mamat tadi tu tengah pusatkan perhatian pada beg kuliah dia. Dia belum berambus lagi dari meja ni.
Sesaat, dia keluarkan pula buku rujukan. Letak bersebelahan test pad dia tadi, maknanya kat sebelah buku akulah. Dah tu dia keluarkan pula kalkulator dengan buku nota, letak di tengah-tengah meja. Penuh sudahnya meja tu dengan barang-barang dia.
Aku terus pandang dia, cuba faham apa benda sebenarnya yang dia cuba bagitau.
Tapi dia tetap juga dengan muka selamba menyakitkan hati dia tu. Macam aku tak wujud langsung kat situ.
Dia buka buku nota dia, yang mana tindakannya itu dengan murninya telah membuatkan ruang meja semakin sempit. Kalkulator yang tertindih di bawah buku, dia keluarkan. Dia letak di sebelah atas buku.
Dia keluarkan pencil case dia. Tapi ruang dah tak ada, meja dah penuh. Jadi dia tolak test pad dia tadi, seiring sejalan dengan buku aku. Makin lama makin jauh barang-barang aku ke hujung meja.
Berdebuk! Dengan gaya kuak lentang pencil case aku mencium lantai.
Wah... main kasar nampaknya ni?
Aku start melopong.
Dia keluarkan pen dia, lepas tu mula bagi tumpuan pada buku rujukan dia.
Okey, ini sangat-sangat tak boleh dibiarkan.
Aku ketap gigi. Tunduk, aku kutip pencil case aku. Aku letak atas buku yang tengah dia baca.
Dia terhenti menulis. Jeling aku, tajam.
Aku buat tak tahu. Aku tolak balik buku aku ke tengah meja, tolak test pad dia jauh dari buku aku. Tolak lagi... sampai pencil box dia pulak yang selamat buat aksi stunt terjun ke lantai.
Huh! Puas hati aku.
Dia terus tenung aku, tenung tak puas hati.
Aku buka pencil case aku, keluarkan kalkulator, letak atas buku dia yang masih terbentang di tengah-tengah meja. Mahu aku mulakan kerja mengira tapi tiba-tiba dia hamparkan jaket dia atas meja tu. Habis tenggelam semua benda lain!
Aku tertahan. Jeling dia.
Dia lempar senyum sinis.
“Lagi? Tak nak letak baju sama?”
Terketap gigi aku. Berdesing benar telinga dengan ayat ajak berkelahi dia tu. Aku tolak jaket dia sampai jatuh ke lantai. Dia kutip, dia letak balik atas meja. Aku tolak balik. Dia ambik buku rujukan dia, letak atas buku aku. Aku tolak lagi, dia letak pula kalkulator dia. Aku tolak, makin ketap gigi. Bila dia capai pencil case dia, aku cepat-cepat layang penumbuk aku. Tepat mengena pencil box, melayang benda alah tu. Tuju kepala budak perempuan kat sebelah tu.
“Aduh!”
Kitorang kalut.
Budak perempuan tu angkat kepala dari meja, tajam renung kitorang. Waktu tu juga mamat tu capai pensel dari tangan aku, buat-buat khusyuk baca soalan dalam buku.
Makin tajam budak perempuan tu renung aku. Macam nak gantung aku sampai mati, padahal mamat tu terlepas macam tu aje!
Makin terketap gigi aku. Tak cukup umur punya mamat!
Aku rampas pensel dari tangan dia. Rentap buku dari pegangan dia. Aku rengus kasar, hempas buku atas meja.
“Ni tempat saya!”
“Saya duduk sini sejak minggu lepaslah...” Lembut mamat tu menerangkan, tak pulak sesinis tadi.
Huh, nak cover la tu! Konon dia yang baiknya, aku yang salahnya!
“Itu minggu lepas punya cerita.” Aku lawan.
“Minggu ni awak lambat. Meja ni saya yang jumpa dulu, jadi tempat ni saya punyalah!”
“No...” Lebih lembut nada dia, lebih diperlahankan suara. Mungkin sebab perhatian seluruh kelas dah mula bertumpu ke sini.
“Mustahil tak ada tempat lain yang kosong...”
“Ini tempat saya!” Membentak sudahnya.
Dia terdiam.
“Kalau ada tempat lain yang kosong, awak pergilah cari! Apa saya pulak yang kena pergi, padahal saya dah dekat setengah jam pusing-pusing satu kelas! Tahu?”
Dia terdiam lagi.
“Hah, apa?” Aku cabar dia. “Dah takde ayat sangat? Dah mati akal?”
“Okk... okey...” Budak perempuan sebelah dia teragak-agak mencelah.
Bila aku menoleh, perempuan tu mula kemas barang-barang dia.
“Tak apa, ambik tempat saya ni. Saya boleh duduk dengan kawan.”
Aku senyap. Jeling tajam dekat mamat tu.
Tengoklah. Dia punya pasal, orang lain pulak yang kena mengalah!
Budak perempuan tu bangun, pergi dari situ. Tak toleh belakang langsung. Sah, trauma. Sebab kepala baru kena tuju ala-ala peluru berpandu.
Aku jeling lagi mamat tu. Tapi dia langsung tak nampak bersalah. Tenang dia kemas barang-barang dia, simpan balik dalam beg.
Hah, kan aku dah cakap! Barang-barang tu bukan dia nak guna pun. Sengaja dia keluarkan, nak bagi penuh meja.
Lebih tepat, dia sebenarnya nak halau aku!
Terus aku kemas barang-barang aku. Angkut, bangun dari situ dan terus tolak kasar kerusi dia.
Dia terdorong ke depan. Cepat-cepat dia tahan tangan ke meja, dengan muka tak puas hati dia toleh ke aku. Renung tajam.
Aku buat muka selamba. Puas!
Aku masuk ke bahagian dalam barisan meja, hempas barang-barang aku atas meja sebelah dia sebelum aku sendiri duduk di kerusi. Dah, jangan kacau aku!
. .
. BILA pintu hadapan dewan terkuak dari luar, perhatian seluruh dewan tertarik. Seorang lelaki melangkah masuk. Dewan yang asalnya hingar-bingar segera beransur lengang.
Entah, mungkin itu pensyarahnya. Aku tak tahu, sebab ini kali pertama aku masuk kelas ni. Minggu lepas kuliah dah mula tapi waktu tu aku terpaksa turun naik pejabat, menguruskan hal registration aku yang tercantas tengah jalan.
Pensyarah tu menapak terus ke mejanya, letak beg sebelum memandang rambang seluruh kelas. Dia lepas satu nafas dalam.
“Okay, morning y’all?”
“Morning!” Suara-suara menjawab, tapi yang lebih banyak hinggap di telinga aku ni suara budak-budak perempuan. Semangat tak hengat semuanya, mungkin sebab dah terkena badi pensyarah tu.
Ye la, kalau dah ada rupa... suara pulak romantik sampai hati yang mendengarnya pun jadi cair meleleh-leleh... mata yang mengantuk pun boleh terus segar, kan?
Nak tak nak, aku terpaksa jugak mengaku yang hati bengang aku pada mamat sebelah aku ni dah reda sikit. Semuanya atas jasa pensyarah tu.
“Okey, kita sambung lecture minggu lepas.” Pensyarah di depan menyambung kata, menarik perhatian aku untuk kembali pada dia.
“Kat mana kita berhenti hari tu?” soalnya.
“Consolidation of Soil!” Berebut-rebut budak perempuan menjawab. Meriah kelas. Tapi aku yang mendengarnya pulak terdiam.
Consolidation? Dah sampai situ?
Bukan minggu ni baru minggu kedua kuliah ke? Paling jauh pun patutnya baru topik pasal asal-usul pembentukan tanah aje aku rasa. Takkan laju benar pensyarah ni mengajar?
Berkerut-kerut dahi aku. Cuba fikir, tapi tak jumpa jugak logik semua ni. Aku jeling mamat sebelah aku.
Senyap aje dia dengan kerja dia. Sejak tadi duk tumpu pada telefon pintar di tangan. Sibuk menaip-naip, tak ada tanda langsung nak peduli pada kelas yang akan bermula. Cuma atas meja dia ada lecture notes.
Diam-diam, aku panjangkan leher aku. Cuba intai, betul ke apa yang aku rasa ni.
Bila rasa macam lecture notes mamat tu jauh sangat dari aku, aku panjangkan lagi leher aku. Sambil-sambil tu aku jeling jugak mamat tu, takut dia sedar apa yang aku buat.
Panjangkan leher sikit lagi... baru aku nampak jelas tajuk nota tu.
Shear Strength of Soil.
Dah, makin bingung dah aku. Tak tahu apahal aku rasa macam pelik sangat kelas ni.
Aku pandang mamat tu sudahnya, tapi dia duk concentrate jugak pada smartphone dia tu. Macam tak ingat dunia.
Nak tak nak, aku gagahkan juga diri.
“Memang dah masuk topik Shear ke?”
Dia nampak terganggu, jeling aku. Mungkin belum habis bengang dia pada aku.
Tapi aku diam cuma, tunggu jawapan.
Dia alih balik mata dia pada skrin telefon.
“Mmm.” Nak tak nak aje melayan aku.
“Lecturer ni memang jenis yang mengajar laju ke?”
Dia terganggu lagi, jeling lagi aku. Kali ni dengan dahi berkerut.
“Biasa aje.”
“Habis tu kenapa dah sampai topik Shear? Padahal lecture baru aje start minggu lepas. Dah tu, maknanya minggu lepas jugaklah dia habiskan topik Formation of Soil tu semua?”
Makin berkerut dahi dia.
“Mana datangnya Formation of Soil? Tu chapter dalam subjek Soil Mechanics, kan?”
Aku terdiam, mula tak sedap hati. Berhati-hati aku tanya,
“Ni bukan kelas Soil ke?”
Dia geleng sambil tanggalkan earphone dari telinga.
“Geotech.”
Walaweh, apa kau cakap?!
Dia jeling semula aku, angkat kening.
“Kenapa?”
Aku tersedar. Cepat-cepat menggeleng, tersengih sumbing.
“Tak ada apa! Tak ada apa!” Sambil tangan membelek-belek buku.
Bila dia sengih juga tapi dengan dahi berkerut tanda bingung, aku cepat-cepat alih mata pada buku atas meja. Pandang helaian-helaian muka surat sambil menelan-nelan liur.
Sini bukan kelas Soil... sini bukan kelas Soil...
Apa kau dah buat ni, weh!
Patutlah tadi beria mamat tu fight kerusi meja dia. Rupa-rupanya aku yang...
Dah tu kalau sini bukan kelas Soil, kelas tu kat mana sebenarnya? Apahal aku boleh sesat sampai ke sini ni?
“Ni saya edarkan attendance.” Pensyarah dia hadapan dewan kembali bersuara, buatkan semua mata bertumpu pada dia. Nak tak nak, aku terpaksa juga buat benda yang sama.
Pensyarah tayangkan kertas di tangannya.
“Pastikan kehadiran penuh. Kalau awak tak hadir kelas lebih dari tiga hari, you’ll be banned. Tak boleh ambik final exam. Faham?”
Seluruh kelas mengangguk.
“Okay.” Dia serah helaian kehadiran pada pelajar terhampir dengan dia. Sejurus, dia pandang semula ke seluruh kelas.
“So today...” Terhenti tiba-tiba. Berkerut dahi dia sambil mata tertumpu ke satu arah.
“Kenapa ada yang berkongsi meja tu?”
Seluruh dewan ikut menoleh ke arah yang sama.
Betul. Memang ada sepasang budak perempuan berkongsi meja. Budak yang bagi meja dia ni pada aku tadi.
“Setahu saya, meja dalam kelas ni memang dah cukup-cukup enam puluh. Dah tu, macam mana boleh ada yang berkongsi bagai tu?”
Aku telan liur. Tiba-tiba rasa gelap masa depan aku.
“Okey, saya terangkan balik rule kelas saya.” Mula tegang nada pensyarah tu.
“Saya tak nak tengok sesiapa pun dalam kelas saya berkongsi meja. Maknanya saya tak terima bilangan pelajar lebih daripada yang sepatutnya. Mesti enam puluh orang, kurang tak apa tapi jangan lebih.”
Aku terdiam lagi.
“Sepatutnya semua orang mesti ada meja masing-masing sekarang ni. Ada yang illegal dalam kelas ni ke?”
Ah, sudah! Mula berpeluh dahi aku.
“Sebelum saya panggil nama sorang-sorang, baik pendatang haram tu keluar sendiri.” Serius suara pensyarah tu kali ni.
Pendatang haram digelarnya aku ni. Lagilah malu aku nak mengaku yang aku ni dah tersalah kelas.
“Ada sesiapa perasan muka baru dalam kelas ni?”
Mamat sebelah jeling aku. Tajam jangan cakap.
Aku telan liur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience