BAB 14

Romance Series 255

INDERA tak menipu. Memang betul-betul tepat sejam kemudian, luka di belakangnya terus sembuh. Bukan setakat darahnya mengering, bahkan tempat luka tu pun langsung lesap. Kulit dah bercantum balik, dan dah kembali bersih kawasan itu.
Akulah yang menganga dibuatnya. Bila Indera boleh bangun semula tanpa ada rasa sakit sedikit pun, aku terus terpacul kata.
“Magicnya!”
Dia terdengar aku bergumam macam tu, dia kerling aku yang masih duduk di atas rumput ni.
Dia senyum kecil. Tapi tak lama dia macam tu, dia mula melangkah tinggalkan aku.
Kalut sedikit aku bila kena tinggal macam ni.
“Awak nak pergi mana?”
Dia menoleh sekejap aje dekat aku. Lepas tu kembali berjalan.
“Balik rumah. Nak pack kain baju.”
“Nak buat apa?”
Soalan aku tu buat dia terhenti melangkah. Toleh ke aku dengan muka curiga.
“Awak nak cuba mungkir janji?”
“Hah?” Aku makin blur-blur.
Melihatkan begitu, terus dia lepaskan satu nafas dalam. Masukkan ibu jari dalam poket jeansnya.
“Okey, nampaknya saya kena paksa mak ayah saya masuk meminang awak. Sekarang juga.”
Dan dengan statement tu, depan-depan mata aku dia menghilangkan dirinya.
“Hah?” Aku lekas-lekas bangun. Cuak, woi!
“Indera, mana awak? Takkan awak nak tinggalkan saya kat sini?”
Senyap sunyi.
Aku mula rasa nak menangis.
“Indera… Janganlah macam ni… Tak kelakarlah.”
Aku menoleh-noleh ke sekeliling. Tapi tetap tiada dirinya.
“Indera!” Betul-betul menangis sudahnya. Hwaa…
Aku tak biasa dengan tempat ni. Macam mana aku nak balik ke dunia manusia? Macam mana kalau tiba-tiba nanti Dr. Zack datang serang aku lagi? Mana aku nak lari? Sini dahlah memang dunia Dr. Zack, dia dah faham selok-belok dunia ni. Mestilah kelebihan untuk dia.
Habis aku macam mana?
“Indera…”
Bila dia terus-terusan tak menyahut, sudahnya aku duduk semula. Layan perasaan. Sapu-sapu air mata. Sambil-sambil terus berharap lelaki itu akan muncul semula.
“See? Menangis.”
Terkejut aku mendengar semula suara itu. Terus aku menoleh ke belakang.
“Indera!” Terus senyum selebar-lebarnya. Betapa leganya hati dapat tengok dia ada dekat dengan aku.
Cuba bayangkan, kalaulah dia terus tak munculkan diri tadi…
Siapa yang nak selamatkan aku kalau Dr. Zack datang serang lagi? Hwaa… Aku takut!
“Proven.”
“Proven?” Aku sapu-sapu air mata aku. Keliru dengan frasa yang dia gunakan.
“Apa yang proven?” soalku.
Dia senyum nakal sahaja.
“Proven yang awak perlukan saya.”
Terus aku tersedar yang rupa-rupanya tadi dia menghilang semata-mata untuk menyakat aje. Oh… tak guna!
Terus aku bingkas!
“Apa proven-proven? Awak ingat ini soalan matematik ke nak proof-proof?”
Aku dah nekad nak lempang dia betul-betul dah.
Yang dia pula tergelak tengok aku bengang. Dia mengelak.
Tempeleng aku tersasar. Tapi aku tak mahu mengalah. Usaha tangga kejayaan, Waira!
Langsung aku kejar dia.
“Awak jahat!”
Dia mengelak terus dan tertawa lagi. Berkejaran kami sudahnya seperti Tom and Jerry.
. .
. .
. .
KESIAN pula aku dekat keluarga angkat aku tu.
Waktu aku dan Indera turun semula ke dunia manusia, waktu tu dah sembilan hari berlalu selepas kejadian Dr. Zack serang para pembantu rumah aku.
Sepanjang tempoh aku menghilang hari tu, keluarga angkat akulah yang jenuh menghadap media dan netizen. Sebab masa kejadian tu aku dan Indera menghilang betul-betul depan mata semua orang. Saksi terlalu ramai, siap ada bahan bukti kukuh lagi. Dia orang sempat rakam kejadian tu!
Urgh…
Makin lama, nampaknya aku dan Indera makin susah nak sembunyikan identiti. Lagi belok, lagi terjerat. Lagi lari, lagi terkepung. Kesudahannya, adakah kami perlu juga jujur tentang diri kami?
Netizen dan wartawan terlalu ingin tahu, kenapa darah yang keluar dari badan Indera tempoh hari berwarna putih? Siapa sebenarnya Indera? Dan macam mana dia boleh menghilang dalam sekelip mata? Indera sembunyikan aku di mana?
Sekarang ni, itulah yang lebih menjadi perhatian masyarakat. Soal para pembantu rumah kami yang maut di tangan Dr. Zack, tenggelam macam tu aje.
Itu satu hal. Satu lagi halnya, Dr. Zack sampai sekarang lesap tak tahu berada di mana. Itu lagi sorang. Masa kejadian tu, betul-betul lepas kami menghilang, Dr. Zack pun menghilang sekali. Dengan pisau-pisau sekali dia larikan.
Bila dah macam tu, makanya lagilah berganda-ganda netizen Malaysia sibuk buat kerja. Semua orang bertungkus-lumus cuba bongkar misteri demi misteri yang degil bebenar tak mahu keluarkan jawapan.
Tambah-tambah pula, keluarga angkat aku pun ambil pendekatan yang sama juga macam aku. Tak mahu layan media! Haaa… Lagilah netizen kena kerja keras cari sendiri jawapannya. Para Bawang Army berkerja dengan amat keras sekali.
Polis pula sampai sekarang tak jumpa bahan bukti. Nak salahkan siapa pun tak tahu, sebab bunian mana ada DNA! Cap jari pun tak ada.
Habis tercyduk pak cik-pak cik polis tu semua.
. .
. .
. .
KAKAKLAH yang paling kuat sekali menjerit, melompat-lompat dan bertepuk-tepuk tangan bila tengok aku balik rumah bawa Indera. Di tangan Indera ada beg pakaian pula tu.
Tahu teruslah dia yang Indera dah officially jadi bodyguard aku. Indera akan duduk rumah ni dengan kami, sampai tamat serangan Dr. Zack terhadap aku.
Bila nak tamatnya tu? Entah, aku pun tak tahu.
Kata kitab ramalan, aku yang akan bunuh Dr. Zack. Seluruh rakyat negara bunian pun memujuk-mujuk aku supaya betul-betul bunuh Dr. Zack tu.
Masalahnya, aku pulak rasa, yang kitab bunian tu tersalah ramalan. Salah orang. Bukan aku yang akan bunuh Putera Mahkota tapi orang lain. Siapa orang tu, aku tak tahu. Tapi yang pasti, bukan aku.
Satu persoalan dalam kepala aku. Kenapa dia orang tak bunuh sendiri Dr. Zack tu ya? Kenapa nak ikut juga kitab ramalan tu? Padahal dia orang yang bermati-matian benci dekat kawan tu, bukan aku.
Sekarang ni aku rasa, kitab ramalan tu pula yang mendominasi hidup dia orang. Jalan hidup dia orang terbelenggu di bawah segala apa yang kitab tu katakan. Dah kena control dengan kitab tu.
Tengoklah betapa liciknya permainan iblis, jin Islam pun boleh kalah.
“Jom saya tunjukkan bilik Indera.” Suara manja kakak.
Diambilnya beg pakaian dari tangan Indera. Lepas tu menarik Indera agar mengikut langkahnya.
Aku tak komen apa-apa dekat babak makhluk berdua tu. Lagi-lagi dekat perempuan tu. Bila jumpa lelaki kacak aje, automatik suara jadi macam tu. Badan serupa tak ada tulang. Meliuk-lentok.
Memang selalunya macam tulah, bukan kali ni aje jadinya. Nak menyampah sangat pun aku dah tak larat. Bazir tenaga.
Aku cuma melangkah ke lif, naik ke tingkat empat dan terus masuk bilik aku. Mandi, tukar baju, lepas tu tidur. Dah terlampau penat.
Letak-letak saja kepala di bantal, aku terus tak sedar apa-apa.
Tapi waktu minda aku belum betul-betul tenggelam ke fasa unconscious, aku di antara sedar dan tak, seakan-akan dapat rasa dan dengar kewujudan makhluk lain dalam bilik ini. Dia sedang berhati-hati dan terhendap-hendap bergerak menghampiri katil yang sedang aku rebahkan tubuh ini.
Terdetik juga hati nak tengok siapa yang datang tu, dan betul ke memang ada makhluk lain dalam bilik ni ke, atau sekadar imaginasi aku aje.
Tapi saat ini mata aku dah terlampau berat. Nak gerak kelopak mata pun aku rasa macam kena keluar banyak tenaga.
Sudahnya aku abaikan aje.
Beberapa waktu, suasana bilik kembali lengang. Tapi tak lama. Sesaat kemudian aku dapat dengar pula yang bantal di sebelah aku seakan-akan bergerak perlahan.
Sekali lagi naluri aku mengatakan yang dalam bilik ini ada individu lain. Tapi akal aku tak mahu percaya. Akal pujuk-pujuk diri supaya teruskan niat nak tidur. Aku betul-betul tengah tak cukup rehat ni.
Makanya memang itulah yang aku lakukan. Aku biarkan aje apa yang perasaan aku katakan, dengan alasan, itu semua hanyalah setakat perasaan aku aje. Hakikatnya tak ada apa-apa pun yang nak dirisaukan. Anxiety aje ni, anxiety aje.
“Selamat jalan, Kemboja Putih.” Tiba-tiba dengar suara Dr Zack.
Aku baru nak buka mata, tapi dengan kerasnya satu jasad bertubuh besar naik ke atas tubuhku, tindih aku dan dengan kasar menekup bantal ke muka aku.
Terputus nafasku!
Celik mata. Tangan gigih tolak bantal tu menjauhi wajah. Tapi oleh sebab Dr. Zack sedang berada di posisi yang dominan ke atas tubuhku, maka kerjanya menjadi lebih mudah untuk memastikan bantal ini terus tertekup ke muka aku.
Aku mula sesak nafas.
Paru-paru dengan desperate meminta udara. Tapi hidung aku terhalang dan tertutup.
Aku cuba menjerit. Tapi suara cuma terkumpul setakat di keempukan bantal.
“Matilah kau!” Suara keras lelaki itu.
Aku mula rasa nak pitam. Semakin tak berjaya bernafas. Pandangan aku dah mula menghitam.
Nak bergerak pun aku tak boleh waktu ini, sebab tubuh beratnya menghempap aku.
Aku akan kalah!
Bijaknya Dr. Zack.
Dia tahu Indera jadi bodyguard aku, akan setiap masa bersama aku kalau aku keluar ke mana-mana. Tapi Indera tetap tak boleh masuk ke ruang-ruang yang intim dengan aku, contohnya bilik tidur inilah. Jadi Dr. Zack serang aku di sini pula, sebab dekat tempat ni memang Indera tak boleh masuk.
Air mata aku mengalir laju. Aku betul-betul dah lemas.
Kenapalah licik sangat orang yang mendendami aku ni?
Nak aje aku kata kat dia yang aku takkan buat macam apa yang kitab ramalan tu katakan. Dia tak payah risau dekat aku dah.
Selama ni dia terlampau desperate nak bunuh aku pun semata-mata sebab ramalan bodoh tulah. Kalau aku kat tempat Dr. Zack pun mesti aku bertindak sama macam dia. Entah-entah lebih teruk dari tu.
Semua ni salah kitab tu!
Sekarang, tak pasal-pasal aku yang tak tahu apa-apa ni yang jadi mangsa.
Tuk! Tuk! Tuk!
Pintu bilik aku diketuk seseorang dari luar.
“Weh, aku dengan Indera nak pergi Starbucks ni. Kau nak ikut tak?”
Aku cuba keluarkan suara. Tapi malangnya suara tercekik di leher.
“Weh, dengar tak? Kau buat apa dalam tu? Tidur ke?”
Dengar kakak ketuk-ketuk pintu lagi.
Aku menangis lagi. Mengharap sangat dia boleh agak yang keadaan di dalam sini sedang kritikal.
“Weh, angah. Dengar tak ni?”
Tiba-tiba Dr. Zack menoleh ke arah pintu lalu melaung.
“Aku penat ni. Kau orang pergilah, aku nak tidur.” Suara aku!
Allah lebih berkuasa di atas segala sesuatu. Dalam saat-saat yang paling getir itulah aku akhirnya teringatkan sesuatu.
Terus aku angkat lutut aku, hentak di celah kelangkangnya.
Dia menjerit kuat. Terjatuh di sebelah aku.
Peluang baik!
Aku lekas-lekas bingkas dari pembaringan. Terbatuk berkali-kali.
“Tolong!”
“Kemboja?” Suara Indera di luar. Dia seakan dapat teka keadaan aku.
Aku masih kepenatan. Tapi kulawan dengan saki-baki kudrat. Aku keluarkan sehabis tenaga yang ada.
Menggigil-gigil turun dari katil. Terbatuk-batuk lagi.
“Tolong.” Suara aku melemah.
Aku menapak ke arah pintu.
Dr. Zack di atas katil segera bingkas. Turun dari katil dan mula mengejar aku.
Tuk! Tuk! Tuk!
“Kemboja! Awak okey tak tu?” Akhirnya aku dapat dengar suara Indera bernada bimbang.
“Tolong.” Itu saja perkataan yang dapat aku lafazkan.
Kaki cuba menapak lagi, tapi waktu tu juga Dr. Zack berjaya menerkam aku.
Kami sama-sama jatuh di atas karpet.
Aku tolak tubuhnya. Menjerit dengan sisa-sisa tenaga.
Dia lebih bertenaga. Tak luak pun dia bila aku cuba tolak dirinya. Dia bahkannya kembali naik di atas tubuh aku. Bantal di tangannya. Dia tekup semula aku dengan objek bersarung putih itu.
Telinga aku dapat dengar pintu bilik ditendang kuat.
Itu sajalah harapan terakhir aku. Aku dah tak mampu melawan kudrat luar biasa Dr. Zack ni.
Pintu pecah.
“Kemboja!” Suara Indera cemas.
Indera menerpa kami. Hala tendangan jitu di kepala Dr. Zack.
Dr. Zack tercampak ke bucu dinding.
Aku longlai terbaring di atas lantai. Terbatuk-batuk dan tercungap-cungap saja yang aku dapat. Tak daya nak kerah tenaga untuk bangkit lagi.
Tak tahu kenapa, aku rasa seolah-olah bila bersentuhan atau berhubungan tubuh aku dengan Dr. Zack, tenaga aku akan terhapus secara total. Macam ada kuasa sihir dalam hal ini.
Kakak dan ahli keluargaku yang lain mendapatkan aku. Masuk ke dalam bilik itu.
Umi angkat kepalaku. Letak di atas pangkuannya. Umi usap-usap rambut aku yang dah dibasahi peluh.
Dalam keadaan kepala aku yang terangkat sedikit itu, aku dapat lihat Indera mengeluarkan sebilah pisau Rambo. Tak tunggu lama, dia terus benamkan bilah pisau itu di dada kiri Dr. Zack.
Darah membuak-buak keluar. Dan Dr. Zack terus lesap dari bilik itu.
Tapi anehnya, selepas itu Indera pula yang jatuh ke lantai dan rebah. Indera terbatuk. Kelihatan darah putih melompat keluar dari mulutnya.
Aku terdiam.
Rasa-rasanya dah terjawab persoalan dalam kepala aku. Tentang kenapa Indera tak mahu membunuh sendiri adiknya itu.
Hari tu masa di rumah bonda, aku ada terbaca dalam kitab ramalan bunian diraja tu. Bahawa kalau dua beradik bunian diraja bergaduh dan salah satu pihak cuba mengapa-apakan saudaranya, pihak yang menyerang yang akan lebih teruk menerima hasilnya.
Satu lagi yang baru aku teringat, dulu masa kejadian kali pertama Dr. Zack menyentuh kulit aku, waktu tu hujan lebat dan ribut tiba-tiba berlaku.
Maksudnya di sini, memang Dr. Zack sejenis ciptaan yang istimewa. Aku yang bunian ni sendiri pun akan terjejas bila cuba-cuba menyentuh dia.
Ya Allah, kalau sampai macam nilah susahnya melawan dia, macam mana sudahnya kisah ni?
Aku terbatuk.
Tersentak semua ahli keluargaku bila tiba-tiba melompat keluar darah dari mulutku.
Aku sendiri kerut dahi melihat keadaan itu. Aku juga? Bukan Indera saja? Oh, adakah ini maknanya seluruh kaum bunian pun sedang menerima kesan yang sama sekarang ni?
Jadi atas sebab itulah dia orang tak berani nak cuba apa-apakan Dr. Zack? Sebab fikirkan keselamatan diri dan bunian lain?
Tapi aku juga bunian. Kalau aku bunuh Dr. Zack, adakah tak jadi keadaan yang sama macam ni?
“Kemboja.” Indera dengan suara lemahnya.
Aku yang juga sedang lemah itu menoleh.
Nampak Indera kerah dirinya bangun. Susah payah, dan dia terbatuk-batuk lagi. Cuma bezanya kali ini dah tak ada lagi darah keluar.
Dia pegang dada kirinya.
Melihat dia begitu memaksa dirinya, aku pun fikir yang aku juga perlu melakukan perkara yang sama.
Maka aku pun melawan rasa lemah yang terlampau ini. Aku cuba duduk.
Indera tiba berhampiran aku. Dia pegang dua bahu aku dan membantu aku duduk.
Dia sandarkan aku di birai katil. Sesudah itu dia terbatuk-batuk lagi.
Aku usaha tarik nafas dalam sebelum melepaskannya. Bersyukur tak kira dapat bernafas dengan lancar semula.
Indera pandang umi dan walid bergilir-gilir. Di mata aku, saat ini entah kenapa dia nampak seperti sedang serba salah dan berat hati.
“Saya nak minta izin sembuhkan Kemboja, uncle, aunty.”
Walid yang memang nampak tengah kerisauan itu hanya mengangguk saja.
“Buatlah, Indera.”
“Iya, Indera. Aunty pun benarkan juga.”
Dengan jawapan yang berbentuk seperti itu, aku jadi sedikit bingung. Kenapa macam berat aje bunyi permintaan Indera tu?
“Kemboja.”
Aku menoleh pandang Indera.
Lelaki itu sedang menatap aku.
“Ya.” Perlahan suara aku.
“Saya minta izin untuk sembuhkan awak. Saya kena cepat, sebelum racun tu masuk ke dalam jantung awak.”
Bagi aku, memang dialu-alukan sangat pun pertolongan Indera itu. Aku dah tak tahan menanggung bisa di dalam jasad aku.
Tapi bila fikir balik yang Indera sampai meminta izin macam ni, kenapa aku dapat rasakan yang permintaan dia tu macam sesuatu yang di luar alam?
Dalam keliru dan mengharap untuk cepat sembuh seperti sediakala, aku angguk saja.
“Saya izinkan, Indera. Awak buatlah.”
Dia tundukkan wajahnya sesaat sebelum menatap aku semula. Anak matanya penuh dengan keresahan.
“Rawatan ni hanya boleh dilakukan ke atas awak, bunian yang dah diutuskan untuk membunuh Putera. Rawatan ni ada disebutkan dalam kitab ramalan bunian diraja, halaman tiga ratus tujuh belas.”
Aku angguk laju saja bila dada kiriku mula terasa sakit. Nampaknya racun yang dikatakan Indera tu dah mula menyerang jantung aku.
Aku capai hujung bajunya. Genggam kejap.
“Awak buatlah apa pun. Saya nak cepat sembuh.”
Dia angguk satu kali dengan penuh terpaksa.
Perlahan, dia hampiri aku. Raih jari-jemari aku lalu menggenggamnya kejap.
Aku diam saja menanti.
Dia hampirkan wajahnya dengan wajahku. Matanya memandang dua ulas bibirku.
Situlah baru aku faham maksud keberatan yang di rasakan tadi. Terbuka luas mata aku di situ juga. Tersentak.
Tapi tetap dah terlambat. Bibirnya dah mendarat di dua ulas bibir aku.
Sekelip mata, meruap bahang panas ke wajah aku. Lagi-lagi bila sedar yang ahli keluarga aku tengah pandang perbuatan ini.
Aku terus pejam mata rapat-rapat.
Terasa sesuatu masuk ke dalam mulut aku. Daripada Indera.
Ah, habislah… Aku dah tak tahu patut buat apa ni!
Waktu aku cuba meleraikan perbuatan kami itulah, aku dapat rasakan genggaman Indera pada jari-jemariku menjadi erat. Terus aku tertahan. Aku diam saja.
Beberapa ketika begitu, Indera meleraikan tautan bibirnya. Tatap semula wajahku.
“Telan ubat tu, Kemboja.” Nadanya teramat mendasar.
Aku patuh arahannya. Telan ubat yang dia maksudkan.
Sebaik saja melintas cecair itu di rengkunganku, terus aku rasakan tenaga yang luar biasa meresap masuk ke dalam jasadku. Sakit yang mencengkam dada pun ikut kebah.
Aku celikkan mata.
Indera masih sedang menatap aku.
Aku dah tak tahu nak buat apa dah. Aku paling muka tempat lain. Aku tarik jari-jari aku dari genggamannya, lalu menampar tangannya. Kuat.
“Kenapa tak bagi briefings dulu siap-siap?”
Dia senyum lemah.
“Kalau saya bagi briefings, awak takkan izinkan saya rawat awak. Takkan saya nak biar awak mati?”
Terus aku terdiam.
Masalahnya, bila suasana sunyi macam tu, lagilah aku jadi tak tahu mana nak dihalakan muka.
Umi dengan walid pula satu hal. Duk pandang aku dengan mata bulat macam tu.
“Semua orang keluar dari bilik ni!” Dua tangan aku tumbuk lantai.
Aku tegakkan lutut lalu menyembam wajahku di situ. Makk… Malu, weh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience