JANGGAL. Kekok. Serba salah. Serba tak kena. Semua perasaan ada.
Tak tahu kenapa, tapi aku rasa mungkin disebabkan pakaian aku yang berlainan daripada dia orang semua, tu yang semua orang pandang aku lain macam. Sampaikan aku nak berjalan pun jadi serba salah. Rasa macam tengah buat salah besar sebab dah menceroboh kampung orang.
Tempat ni terlampau jauh berbeza daripada dunia manusia.
Di sini, tiada kenderaan. Di sini, teleportation adalah sesuatu yang langsung tak dianggap luar biasa pun. Semua orang boleh hilangkan diri dan muncul di mana-mana saja yang mereka mahu. Dan mereka juga berkebolehan terbang tinggi macam tu aje. Ajaib sangat bagi aku.
Sesetengahnya, untuk bagi nampak bergaya sikit, barulah menunggang kuda. Itupun, bukannya macam dunia manusia yang kudanya ada berbagai-bagai jenis dan warna. Di sini, semua kuda berwarna putih.
Di sini segala-galanya serba putih. Semua. Ya, semua. Kecuali alam semulajadi.
Di sini langsung tiada pencemaran. Tanahnya subur, udaranya segar, bunyian-bunyian harmoni antara alam semulajadi dan para penghuni bernyawa.
Paling buat aku rasa rendah diri, di sini semua orang begitu cantik dan kacak yang luar biasa. Kecantikan dan kekacakan yang tak pernah aku bayangkan selama ni.
Bahkan kalau diletakkan V BTS di sebelah lelaki-lelaki dari dunia sini pun, perempuan-perempuan manusia akan berpusu-pusu mengundi lelaki dari alam ini untuk dinobatkan sebagai lelaki paling kacak di mata mereka. V akan ketinggalan jauh di belakang.
Aku harap ARMY tak marah dengan statement aku ni. Haha!
Aku sendiri hampir-hampir tercengang melihat betapa cantik dan kacaknya penghuni-penghuni alam ini. Mereka seolah-olah para ratu cantik dunia yang sudah ditapis-tapis dengan penilaian yang ketat dan dipilih-pilih, lalu dikumpulkan semuanya di sini.
Cuma… Ada satu soalan dalam kepala aku.
“Indera.” Aku panggil lelaki tu.
Dia menoleh. Raut wajah yang sentiasa lembut itu, tersenyum padaku lalu mengangkat sedikit keningnya.
“Mmm?”
“Kenapa kita kena berjalan jauh-jauh macam ni? Awakkan boleh guna kelebihan bunian yang boleh teleport ke mana-mana juga yang awak nak?”
Soalan tu buatkan dia tertawa kecil tiba-tiba. Sampaikan aku berkerut dahi kepelikan.
“Salah ke soalan saya?”
Dia menggeleng-geleng sambil menyudahkan tawanya.
“Saya memang boleh teleport. Tapi awak macam mana pula?”
Aku terdiam. Baru tersedarkan hal tu.
“Kalau nak teleport awak sekali, saya kena peluk awak. Peluk macam dalam kereta tadi. Awak nak?”
Zzup! Panas muka aku tiba-tiba.
Dan dia, macam satu kepuasan bila dapat buat aku tercyduk macam ni. Terlepas lagi tawa dia.
Aku memuncung. Tampar tangan dia.
“Janganlah gelak!”
Dia tak kata apa-apa. Cuma sudahkan gelaknya dan tersenyum sendiri. Menggeleng-geleng sendiri pula kemudiannya. Hah, hah. Tu mesti tengah kutuk akulah tu!
.
.
.
.
AKHIRNYA setelah jauh berjalan, bermasam muka dan bertekak, kami tiba di hadapan sebuah rumah agam.
Sekali lagi aku terpukau dengan keunikan alam ini.
Rumah yang ada di hadapan aku ini, dibina daripada kayu sepenuhnya. Mirip rumah tradisional melayu dulu-dulu. Cuma bezanya, langsir dan tirainya semua berwarna putih. Angin bertiup sepoi-sepoi, membuatkan langsir dan tirai kelihatan seakan-akan sedang menari-nari dengan bahagianya.
Aku macam susah nak percaya lagi ni yang aku sedang berada di dalam perkampungan bunian. Rasa macam mimpi.
“Assalamualaikum.” Suara Indera di sebelah aku.
“Assalamualaikum,” ucapnya lagi bila salam yang pertama tadi tidak bersahut.
“Waalaikumussalam…” Sayup-sayup suara wanita.
Aku senyap saja menanti. Tak tahu ini rumah siapa. Jadi aku pun tak tahu patut lakukan apa. Bagi salam jugak ke, atau tanggalkan sneakers dari kaki aku ke. Sini bukan tempat aku. Aku takut kalau aku memandai-mandai lagi, nanti kena gelak lagi dengan orang tu. Huh.
Daun pintu kelihatan terkuak dari dalam. Aku sabar saja menanti, tak tahu siapa yang akan keluar dari situ, dan macam manakah rupanya.
Kelihatan seorang wanita yang berumur lebih kurang umi, I guess. Berjubah putih dengan tudung labuh yang juga berwarna putih.
Yang anehnya, anak matanya seakan-akan ditarik untuk memandang ke arah aku yang pertama-tama sekali. Dan dia terus terdiam.
Menapak dia, tapi nampak macam dia tak sedar perbuatannya itu.
Bibirnya kelihatan menggeletar.
“Kk… Kemboja?”
Aku kerut dahi dengan tekaannya yang boleh tepat walau hanya dengan cubaan pertama itu. Kebingungan, aku pandang Indera.
Tapi lelaki itu diam saja tanpa membalas pandangan aku, walau aku pasti dia nampak saja perlakuan aku ini. Aku tengah meminta jawapan daripada dia. Tapi dia sengaja tak mahu jawab. Dia terus senyap perhati wanita yang berada di atas serambi itu.
Melihat dia begitu persistent, aku pun mengalih semula mata aku ke arah wanita itu. Masih tertanya-tanya tapi tak mampu meluahkannya.
Wanita itu masih nampak tak percaya memandang aku. Mata tuanya nampak sayu dan terkejut bercampur-baur.
Kakinya menuruni bilah-bilah tangga.
Aku masih terus memerhati. Dengan sabarnya.
Bila kakinya mencecah tanah, sesaat, dia pandang Indera yang berada di sebelahku.
“Kk… Kemboja ke ni, Tuanku?”
Satu aje yang aku pelik sekarang ni. Wanita ini siapa? Macam mana dia boleh tahu nama aku dengan hanya sekali pandang? Padahal aku langsung tak kenal pun dia.
“Tuanku bawa Kemboja balik jumpa patik, Tuanku?”
Dengan soalan yang diaju bersama suara yang dah mula bergetar kesebakan itu, barulah Indera bereaksi. Mengangguk dia, lalu memandang aku tepat di mata.
“Iya, bonda. Beta bawa Kemboja pulang hari ni untuk jumpa bonda.”
Wanita yang digelarnya bonda itu semakin nampak tak percaya. Bahkan dengan pengakuan Indera itu, membuatkan dia di situ juga teresak.
Laju dicapainya dua tangan aku. Digenggamnya.
Aku mula curiga di dalam kepala.
Aku baru teringat yang aku… adalah Kemboja Putih, anak bunian yang telah seumur hidup tinggal di dunia manusia. Kalau wanita di hadapan aku ini boleh kenal aku dengan sekelip mata, bererti… dia adalah…
Wanita itu mengangkat tangannya. Jemari tuanya menyentuh lembut wajahku. Diusapnya perlahan. Dia seperti sedang meyakinkan dirinya yang ini bukannya mimpi.
Aku sedang berusaha percaya dengan apa yang minda dan hati aku teka ni. Bahawa dia adalah…
“Kemboja…” serunya syahdu.
Dia tepuk-tepuk perlahan dadanya.
“Ini bonda, Kemboja. Ibu kandung Kemboja.”
Akhirnya. Kata-kata hati dan mindaku akhirnya dibenarkan oleh dia.
Tak tahu kenapa dan atas sebab apa, air hangat mengalir di pipiku. Tapi aku hanya kaku di situ. Aku tak tahu perasaan apa yang tengah aku rasa ini.
Wanita yang menggelar dirinya ibu kandung aku itu, akhirnya esakannya pecah. Lantas tanpa berkata apa-apa lagi, dia tarik aku ke dalam pelukannya.
“Kemboja, anak bonda!” Menangis.
Air mata aku berlinangan lagi tanpa sebarang sebab.
Wanita itu melepaskan sekejap tubuhku. Dia pandang wajahku. Senyum untuk aku.
“Mesti Kemboja tak kenal bonda, kan?”
Aku…
“Kemboja dah lama teringin nak jumpa bonda.” Suara aku terlalu perlahan.
Tapi wanita itu tetap dapat mendengarnya, bahkan menjadi bertambah sebak dan teresak lebih keras.
“Kemboja!” Dipeluknya aku semula. Dan dia menangis teresak-esak.
Aku masih terlalu bodoh untuk mengenal pasti perasaan yang sedang melandaku ini. Tapi tanpa dapat dikawal, dua tangan aku naik lalu membalas pelukan wanita itu. Dan esakan aku juga pecah.
“Maafkan bonda, Kemboja… Maafkan bonda sebab tak mampu nak besarkan sendiri Kemboja dengan kudrat bonda…”
Aku hanya teresak tanpa membalas apa-apa pada kata-katanya.
Ekor mata aku menyedari Indera di sebelahku tersenyum kecil memerhati kami. Tak pastilah apa maksud senyuman itu, tapi yang pasti tangan gatal aku laju pergi ke arah dia lalu mencubit dadanya.
Dia terkejut. Tertawa dan berkerut dahi memandang aku.
Aku bentuk mulutku tanpa suara, menyebutkan,
“I’ll kill you.”
Dia lekas-lekas berpusing membelakangi kami. Lepas tu ketawa tertahan-tahan dan berusaha supaya tawanya itu tidak kedengaran di telinga aku dan bonda.
Kuangajo. Dia ingat benda ni surprise la sangat kut? Dia tak tahu aku malu sebab pergi bantai banjir depan-depan orang asing macam dia.
Wanita itu kembali melepaskan tubuhku. Diseka air matanya dan tersenyum mekar. Dia menoleh ke arah pintu rumah.
“Kanda! Mari sini tengok siapa yang datang ni. Kanda!” laungnya.
Aku menggunakan kesempatan yang ada dengan menyapu air mata di pipi. Tarik nafas dalam. Kemudian menyedari yang orang sebelah tengah perhati aku dengan senyuman penuh ertinya.
Aku jeling dia.
Dia tengah tahan tawa.
Aku laju tumbuk dada dia.
Dan dia tertawa semula sambil berusaha mengawalnya daripada kedengaran.
Aku mencebik. Menyampah gila.
“Jom, Kemboja. Kita naik ke rumah.”
Niat aku nak menumbuk lagi lelaki itu terbantut bila bonda mencelah di tengah-tengah kami tanpa sedar apa sebenarnya yang berlaku.
Bonda dengan keterujaannya, menarik tangan aku mengikut langkahnya.
Aku ikut sahaja. Tapi sewaktu kaki mendaki tangga, aku sempat menoleh sekejap ke belakang.
Dengan muka serius, aku tunjuk lambang sembelih leher dekat lelaki itu.
Tapi lelaki tu macam tak hairan langsung dekat amaran keras aku ni. Dia buat-buat seriuskan muka dan menahan diri daripada tersenyum lagi. Dia toleh muka arah lain dan berpura-pura tak nampak bahasa isyarat aku.
Mencebik lagi aku.
“Kasturi! Mari keluar, nak. Kakak Kasturi datang ni.”
Aku terpaksa tahan kegeraman aku terhadap lelaki itu bila langkah kaki sudah berada di atas serambi rumah. Berpaling aku, buat-buat baik patuh kepada bonda yang menarik tanganku.
Kami sama-sama masuk ke dalam rumah.
Langkah kami sama-sama terhenti bila pintu salah sebuah bilik terkuak dari dalam. Serentak itu kedengaran suara lelaki.
“Iya, bonda. Kasturi datang ni.”
Di hadapan mata aku, muncul sekujur tubuh seorang lelaki yang berusia lebih kurang sebaya aku.
Dia terhenti langkah juga sebaik saja matanya terpandang aku.
Aku senyum. Angguk sedikit dekat dia. Hati kata,
‘Ini rupanya anak kandung umi dengan walid…’
Dan juga,
‘Rupa dia sebijik rupa walid waktu muda-muda.’
“Kak Kemboja, bonda?” Lelaki itu memandang bonda.
Dan bonda lebih bersemangat pula menjawab.
“Iyalah! Mari sini, nak. Salam kakak.”
Kasturi tak tunggu lama. Terus mara menghampiri aku. Disua tangannya.
Aku menyambut sahaja. Dan dia dengan sopan tunduk menyalami aku.
Terlintas pula kata-kata ini dalam kepalaku,
‘Jauh beza betul perangai budak ni dengan anak-anak umi yang lain. Budak ni sopan. Tapi kakak dengan adik aku huru-hara.’
Lepas tu aku gelak dalam hati.
Share this novel