APA yang ada?
Ruang tamu bersepah!
Lagi?
Kulit kuaci bertaburan atas coffee table!
Lagi?
Tv terpasang! Sekuat-kuatnya!
Lagi?
Drama Korea!
Lagi???
Akulah penontonnya… Bha… Ha… Ha…
Tapi bukan nak cakap apalah, kan. Dalam family ni memang aku aje yang ala-ala species The Ugly Duckling. Aku seorang aje yang layan K-drama. Mak ayah aku, adik beradik aku, dia orang semua tuduh aku ni anak pungut, sebab dalam family ni aku seorang aje yang tak sekhufu dengan citarasa dia orang.
“Umi pungut kau dari bawah jambatan! Dari tempat pembuangan sampah!”
Ya… Itulah dakwaan dia orang. Kakak aku terutamanya, musuh ketat aku yang nombor satu tulah! Perampas bilik tidur kesayangan aku dan perempuan yang paling kuat hasut umi dengan walid supaya marahkan aku 24/7. Huh, dasar minah dengki!
Tapi…
Ada aku kisah?
Sebagai balasan atas kebusukan hati dia tu, aku selalu pecah masuk bilik dia waktu dia tengah on call kat hospital.
Aku sebagai budak civil engineering terulung abad ini(oh yeah!), akan rembat kain baju dia. Rembat alat-alat solek dia dan tepek semuanya kat muka aku(walaupun aku ni minah ganas lagi gengster dan tak reti bersolek). Aku tak pedulikan pasal formula-formula shading ke skin tone ke apa. Aku tepek aje semua warna dekat muka aku.
Lepas tu aku pakai aksesori yang dia sayang-sayang sangat sampai tak sanggup nak pakai tu. Terutama jam tangan mahal dia tu.
Lepas tu aku berO.O.T.D dengan menggunakan bilik dia sebagai latar tempat dan kejadian.
Lepas tu aku upload dekat TikTok, lepas tu video tu lalu dekat FYP kakak aku, lepas tu dia berasap satu badan, lepas tu tekanan darah dia naik mendadak, lepas tu dia sakit kepala, lepas tu dia buru-buru balik rumah macam seladang sarkas tengah kembang-kempis lubang hidung kejar kain merah, lepas tu dia serang aku kat bilik baru aku yang kecil lagi tak semenggah tu, lepas tu dia pekik,
“Kau boleh tak jangan sesuka hati sentuh barang-barang aku?!!!”
Dia punya jeritan tu, badak air mengaum lagi merdu.
Tapi, macam yang aku cakap tadi…
Ada aku kisah?
Aku lagi rasa puas hati, adalah.
Aku pun blah dari situ, buat muka tak bersalah. Masuk bilik air dan cuci muka yang penuh dengan warna-warni pelangi gara-gara tak reti bersolek, lepas tu masuk bilik kecil aku, lepas tu masuk tidur. Buat-buat macam dia tak wujud.
Yeahhh… Sesungguhnya itu adalah taktik pembalasan dendam yang paling efektif untuk minah kerek macam dia. Dia triggered dengan cara aku tu. Sekurang-kurangnya aku tahu yang objektif, visi dan misi aku telah tercapai dengan jayanya.
So apa lagi? Case closed!
Oh, lupa nak bagitau. Itulah masalah keluarga aku. Yang sampai sekarang tak berjaya aku selesaikan. Hmm…
Dan, macam biasa, keharmonian dunia aku pada malam ini pun tersangat-sangatlah menimbulkan sakit hati bagi manusia yang tersangat bersifat mazmumah itu. Satu, sebab aku dah sepahkan rumah dengan kulit kuaci. Satu lagi, sebab aku tengok K-Drama.
Tengah-tengah aku ralit melayan babak kelakar dalam My Roommate Is A Gumiho tu, tiba-tiba…
Pap! Kepala aku dengan murninya kena hempuk, sekuat hati oleh manusia yang aku dah tahu sangat siapa orangnya walaupun aku belum toleh ke belakang untuk tengok dia.
“Aduh! Eh, sakitlah, gila!” Tangan aku pegang kepala. Gosok-gosok kesakitan.
Aku toleh belakang. Dan…
Hah, kan betul? Kakak aku dengan saksamanya dah siap bercekak pinggang depan mata aku. Dia kemam bibir versi hippopotamus.
“Kau apahal, suka-suka hati hempuk-hempuk kepala aku, hah?”
Aku bangkit dari sofa dan tangan hayun penumbuk ke badan dia. Gigi dah terketap kuat. Tapi malangnya tangan aku tak sampai ke dia, sebab terbatas dan aku terlindung di sebalik sofa. Lagi pula, dia mengelak serangan aku. Menjauh dari aku. Sempat pulak tu dia buat luahan perasaan barang sebaris dua.
“Kau aje yang pelik dalam rumah ni. Kau tahu undang-undang rumah ni yang semua pasal Korea adalah diharamkan, lagi kau tengok cerita tu buat apa? Hah, tulah makan dia! Bebal!”
Aku tak mengalah sampai setakat situ. Aku betul-betul tinggalkan sofa tu dan terus terkam dia.
Dia tengok diri dia dalam bahaya, gelabah-gelabah dia lari ke tangga.
Aku kejar.
“Kau kalau sehari tak kacau aku, tak tenang hidup kau, kan?” Aku mara sambil memikul penumbuk besarku. Aku sinsing-sinsing lengan baju aku.
Dan dia pula langsung tak mahu kalah.
“Kau ingat dalam rumah ni bibik-bibik tu semua memang khusus berkhidmat untuk kau ke? Dia orang penat-penat kemas rumah, yang kau pergi sepahkan buat apa?”
“Masalahnya lepas habis cerita nanti boleh aje aku kemas balik, kan?”
“Memang kau yang kena kemas balik pun! Tak kuasa aku nak jadi bibik kau!”
“Dah tu apa masalah kau?”
“Aku kakak kau. Kau kena ikut cakap aku.”
“Kau bukan kakak akulah, bodoh! Aku anak pungut, aku tak ada kakak!” tempikku sekuat-kuat hati. Langkah semakin kuluaskan. Tak sabar-sabar dah nak hempuk dia.
Dia gelabah tengok aku semakin mendekat. Terus dia daki tangga ke tingkat atas rumah.
“Kau memang anak pungut pun!”
“Hah, dah tu biarkan ajelah aku hidup aman sorang-sorang! Jangan kacau aku!”
“Tak nak!”
“Oh, tak nak?” Ketap geraham.
Aku kejar pula dia daki tangga. Langkau selang dua anak tangga.
Tiba di anak tangga entah ke berapa, aku tiba-tiba dapat idea untuk hentikan larian dia tu. Situ juga aku terkam kaki kiri dia.
Dia tersangkut. Hilang imbangan. Terjatuh. Malangnya dia jatuh betul-betul di atas badan aku. Ayark!
Tergolek-golek kita orang menggelongsor dari anak tangga teratas. Dua-dua buat bunyi ikan lumba-lumba.
Longsoran kami berakhir bila tiba di lantai tingkat bawah. Dua-dua badan sakit. Tapi aku tak nak peduli dulu dekat rasa sakit ni. Aku bangun, aku terkam perempuan tu. Rambut dia jadi sasaran utama aku. Aku tarik rambut dia.
Dia buat serangan balas. Dia capai juga rambut aku dengan kedua-dua tangan dia. Genggam ketat dan merentap-rentapnya.
Seketika, kami di dalam acara sukaneka tarik-tarik rambut. Dan menjerit-jerit. Aku tak faham apa benda dia duk lolong, dia tak faham apa benda aku pekik.
My Roommate Is A Gumiho di kaca tv, sudahnya mereka yang menyaksikan pertempuran kami.
“Kau tengok-tengok drama Korea tu hero-hero dia handsome, apa yang kau dapat? Bukan dia orang nak kahwin dengan kau pun!” Tengah huru-hara pun dia sempat lagi nak pertahankan diri.
Aku ketap gigi.
“Itu cuma escapism ajelah! Mamat dalam dunia nyata ni langsung tak kena dengan citarasa aku. Kau apa tahu? Kau desperate sangat nak kahwin sampai mamat Bangla pun kau sanggup terima. Dah hidup porak-peranda, lepas tu kau nak jealous dekat aku pula. Hah, memang mendapatlah!”
Dia mengerang kesakitan dek rambut kena cengkam dengan tangan aku.
Kami elok bertempur one to one masa tu, tak langsung aku terfikir akan ada pihak yang nak jadi pihak pendamai. Makanya makin agresif la babak tarik-tarik rambut tu berlangsung.
Langsung kami tak sedar yang umi muncul di ruang tamu itu sambil terhendap-hendap bawa batang penyapu.
Aku dan kakak terus menarik-narik rambut dan menjerit-jerit. Rumah semakin bersepah, kami tak peduli.
Umi datang terhendap-hendap dari arah belakang. Tiba saja di tempat kami, situ juga umi hayun kuat batang penyapu.
Respons aku dan kakak masa tu serentak.
“Adoih!”
Terhenti terus bergomol. Terlentang. Dongak pandang atas.
Umi dah tayang muka Megalodon.
“Berani kau orang tunjukkan perangai tak matang ni depan umi?!”
Masa tu aku terus telan liur dan cepat-cepat sedar.
Bila kuasa besar dah start campur tangan macam ni, nampaknya Perang Dunia Ketiga akan meletus bila-bila masa dari sekarang.
Dan aku, akulah pihak yang akan terjejas paling dahsyat. Oh, tidak!
AIR jernih mengalir jatuh dari muncung getah paip. Getah paip tergantung kaku, di pegangan aku.
Aku tercegat kaku di tengah-tengah banglo kucing. Dengan topi buruh dan kameja lusuh, berserta kasut boot getah hitam. Terkebil-kebil. Mulut terbuka.
Bau taik kucing. Bau muntah kucing.
Aku masih loading. Masih ternganga cuba hadam denda yang umi kasi ni.
Aku jeling kakak aku yang tengah bertungkus-lumus memberus lantai banglo kucing.
“Arr…”
“Kau punya pasallah ni, dik. Tak pasal-pasal aku kena sekali.”
Dah, minah tu start cari pasal lagi.
Aku jeling aje dia dengan ekor mata. Kelihatan bersungguh-sungguh dia menyental lantai dengan berus. Berpeluh-peluh mukanya.
Heh, itu pun ada hati lagi nak cari gaduh.
Aku nekad nak senyap. Kalau pergocohan yang pertama tadi umi denda kami dengan mencuci kandang kucing ni, kalau aku berkelahi kali kedua nanti, sah lagi teruk umi mengamuk. Silap-silap umi terus campak kain baju aku, halau aku dari rumah ni.
Err…
Okay, aku over acting.
Mungkinlah tak sampai halau dari rumah. Tapi yang pasti, umi akan makin aim akulah lepas ni. Semua aku buat apa pun confirm semua salah di mata dia. Sob… Sob… Beginilah nasib The Ugly Duckling…
“Kau menung apa lagi tu, budak? Cepatlah kemas sama!”
Aku jeling lagi minah kerek tu. Herot bibir mengutuk dia. Aku boleh rasa betapa hodohnya muka aku masa ni.
Dengan satu helaan nafas pasrah, aku pun berganjak dari situ. Dari tengah-tengah banglo kucing tu, aku menapak ke port rasmi si bulus berlapan tu membuang hajat. Sepenuh hati tak rela aku turun bertinggung. Mula membersih.
Tengah-tengah tak ada mood, dapat dengar pula perlian daripada minah tu.
“Weh, dik. Tadi kau kata lelaki-lelaki dalam dunia ni tak ada yang kena dengan taste kau, kan?”
Angin berhembus lalu. Tiada bunyi.
“Woi, budak. Dengar tak ni?”
Buat bodoh. Muka seposen macam tak dengar apa-apa. Aku konsistenkan tangan berkerja mengalih bekas najis.
“Tengok tu. Dia buat bodoh. Oit, bercakaplah. Mana suara kau yang ‘merdu’ sangat tu?”
Huh, seronok sindir aku. Makinlah aku malas nak layan.
Yang perempuan tu pula, bila dia tengok air muka aku semakin keruh, dia tergelak. Berhenti dia daripada memberus lantai. Bangun, datang dekat aku.
Dia angkat sebelah kaki dia yang berkasut boot. Dia kuis-kuis bontot aku dengan hujung benda alah tu.
Nak aje aku tibai kaki yang tak berinsurans tu. Kotor kut! Agak-agaklah.
Tapi aku tetap juga bekukan diri aku kat situ. Sebab aku tahu kalau aku layan dia, ending dia nanti kami akan bertumbuk lagi. Dan umi akan hempuk kami lebih brutal daripada yang tadi. Takde pasallah aku nak isi hari cuti aku ni dengan aktiviti tak bertamadun macam ni. Kena cuci banglo kucing ni pun aku dah rasa terhina gila. Cukup-cukuplah. Dah la aku tak suka kucing.
“Aku rasa lelaki dalam dunia ni elok aje handsomenya. Tengok macam boyfriend aku. Romantik… Pandai ambil hati… Rambut sikat tepi… Wangi… Cuma miskinlah sikit. Well. Tapi miskin-miskin pun, okay what? Barulah wujudnya budaya give and take. Dia selalu tak ada duit, tapi dia selalu manjakan aku dengan macam-macam hadiah. Aku pula banyak duit, so aku bagilah dia duit. Hah, harmoni gitu. Barulah namanya happy family.”
“Oh, aku tahu kenapa kau kata lelaki dalam dunia ni tak relevan dengan taste kau. Sebab kau kan budak engineering. Well, budak engineering kan macam jantan belaka. Dari sudut perubatan, perempuan yang belajar engineering ni, dia lebih hormon testosteron. Hormon lelaki. So tu pasallah kau tak reti nak berjiwang-jiwang karat ni semua… Hmm…” Jari telunjuk mengusap-usap dagu. Mata pandang ke atas. Berfikir dan berimaginasi.
Dan dia juga mengangguk-angguk dengan teori dia sendiri.
Sesaat lepas tu, dia kembali pandang aku.
“Eh, bila kau ni nak bercakap, hah? Weh, layanlah aku. Aku bosan ni. Duduk dalam kandang yang tersangat harum ni, habis terjejas kegeniusan aku.” Hujung boot kuis-kuis lagi bontot aku.
“Weh, weh, weh…”
Haihh…
Selagi aku diam, aku berani jamin dia takkan berhenti bercakap walau sampai maghrib esok pun. Padahal telinga aku dah berbulu dah ni.
“Hah? Woi, woi, woi. Dengar tak ni?”
Aku berdecit.
“Amende la kau. Tak habis-habis membebel. Tak penat ke?” Rungut.
Tapi dia pergi bantai gelak. Mengekek pulak tu. Entah apalah yang kelakarnya dekat ayat aku.
“Tak nak jawab soalan aku ke, budak? Alaa… Jawablah… Kau tak kesian ke dekat kakak kau yang cantik lagi cun-melecun ni? Dahlah dapat boyfriend miskin, ni kau pula tak nak layan aku. Ke manakah harus kubawa diri? Oh, tuhan!” Peluk batang berus erat di dada.
Dah, dah. Dia dah start dengan penyakit gedik dia tu. Ni kalau aku tak stopkan, makin melalut nanti ni.
Haih! Mengeluh berat sudahnya aku. Tanpa pandang dia, aku bangun dan capai semula paip air. Aku siram kawasan yang bertompok dengan najis yang dah mengering dan keras.
Sebelum dia jadi semakin biol, aku paksa juga sudahnya mulut aku bercakap.
“Aku tak suka manusia.” Suara aku perlahan.
Dia bila dengar, matanya membulat. Terkejut?
“Habis tu kau nak kahwin dengan siapa?”
Aku diam sesaat. Berhenti juga menyiram najis kucing.
Sambil mata tertumpu pada najis yang degil tak mahu tertanggal, aku sebut satu statement.
“Bunian.”
“Eh?” Itu respond dia tiba-tiba.
Bila aku toleh, nampak dia dah terteleng menenang aku. Mata terkebil-kebil.
“Dah, puas hati? Nak dengar sangat aku bercakap, kan?” Tempelakku pada dia.
Dia nampak macam baru tersedar daripada dunia dia. Dia tegakkan kepalanya seperti asal. Lepas tu dia kunyah-kunyah angin. Nampak macam tengah loading sesaat dua.
Aku senyum sinis.
“Kalau semua manusia perangai sama macam kau, tak hingin aku. Baik aku kahwin dengan bunian aje.”
Dan dia tak puas hati dengar statement tu.
“Woi, agak-agak ah!”
Sebelum dia sempat melibas aku dengan batang mop, aku lebih dahulu lintang-pukang larikan diri. Gelak tak ketinggalan.
Dapat pun diamkan dia. Puas hati aku!
Share this novel