BAB 8

Romance Series 255

AKU nak sangat-sangat ikut kata akal yang aku percaya sedang teramat waras ni. Akal aku kata, aku kena tarik diri serta-merta dari rombongan lawatan ni. Tak kisahlah kalau kena bayar ganti rugi pun. Itu lebih baik.
Nyawa aku betul-betul di hujung tanduk ni. Itu yang lebih penting untuk difikirkan sekarang.
Tapi kata presiden kelab,
“Kalau awak tarik diri, nama awak akan disenarai hitam. Pihak universiti akan kenakan kompaun yang sangat tinggi, sebab kos tajaan untuk program lawatan ke balai cerap ni bukannya murah. Lagi satu, lepas ni awak dah takkan dibenarkan lagi mendapat sebarang sijil daripada pihak universiti ni, tak kiralah walau macam mana aktif pun awak terlibat dalam aktiviti-aktiviti universiti. Then kalau tak ada sijil, macam mana awak nak minta kerja nanti?”
Okey, bunyinya sangat seram. Aku telan liur dan terdiam lama mendengar penjelasan panjang itu.
“Boleh tak kalau saya kata yang alasan saya nak tarik diri ni disebabkan hal keselamatan?”
Presiden kelab kerut dahi.
“Kita ada tiga orang pensyarah pengiring, sis. For your information, memang itu pun tanggungjawab pensyarah-pensyarah tu semua dibekalkan kepada kita di sepanjang program lawatan ni nanti.”
Okey, hujah dicantas dengan jayanya lagi. Aku terdiam lagi untuk beberapa ketika. Fikir-fikir lagi.
Sesaat, sempat aku kerling ke sudut yang sedang dibelakangi oleh presiden kelab depan aku ni. Di hujung sana, nampak pensyarah lelaki tu tengah sibuk meneliti dan memanggil nama-nama peserta yang di dalam fail putihnya. Dia berlagak selamba, macam langsung tak kenal aku. Bahkan langsung tak pandang aku pun. Dia sibuk buat hal dia aje dari tadi.
Yang lagi teruk, disebabkan aku tiba-tiba nak tarik diri last minute macam ni, rombongan lawatan ni terpaksa dilewatkan lagi bertolak ke destinasi. Sebab presiden kelab nak berunding habis-habisan dengan aku. Nak jelaskan betul-betul setiap pros and cons daripada keputusan aku ni. Ternyata cons yang menjuarai carta dengan penuh gaya.
Aku gigit kuku. Nak bagi alasan apa lagi ni?
Berani ke aku nak cerita yang salah seorang pensyarah pengiring dalam rombongan ini adalah bunian jahat yang sedang di dalam misi menculik dan membunuh aku? Tak kena gelak ke aku nanti? Paling penting, tak kena tuduh as gila ke nanti?
Budak-budak lain pun dah mula merungut-rungut dengan tindakan aku ni. Aku pulalah yang jadi serba salah dibuatnya, sebab dah susahkan lagi budak-budak tu kena tunggu aku yang seorang ini.
“Awak fikirlah baik-baik. Ini bukan setakat isu masa sekarang, ini berkait dengan masa depan awak.” Pengerusi kelab memprovok aku.
Aku diam keresahan.
Kakak di belakang aku, senyap sahaja. Aku pun tak tahu apa yang dia fikir. Marahkan aku ke, atau tengah kutuk aku dalam hati ke. Tapi tadi aku dah terangkan pada dia siapa sebenarnya pensyarah yang dia nak ngorat tu.
Frust jugalah dia tadi bila tahu hal sebenar.
Seakan-akan tengah minta nasihat dan pandangan dia, aku berpaling sekejap ke arah dia. Pandang dia.
Dia tengah berdiri tak jauh di belakang aku. Tengah perhati tayar bas, sambil tangan lap-lap dahi dan tengkuk yang dah lencun berpeluh.
Alahai, lagilah aku kesian. Sepanjang minggu lepas, aku yang bermati-matian pujuk dia temankan aku join lawatan ni. Siap desak dia suruh cancel plan nak dating dengan boyfriend dia. Tetiba sekarang aku nak tarik diri pula. Alaa… Susahnya nak buat keputusan!
“Saya…”
“Excuse me. Maaf mengganggu.”
Suara yang mencelah itu segera mengalih perhatian kami. Aku dan presiden kelab sama-sama menoleh.
Gelisah terus aku sebaik saja melihat pensyarah itu yang menyapa kami.
“Oh, tak apa, Dr.. Tak mengganggu pun.” Presiden kelab dengan profesionalismenya.
Pensyarah itu mengerling aku sekilas sebelum memberi tumpuan kepada presiden kelab.
“Boleh saya tahu, bila kita boleh bertolak ya? Student lain dah lama menunggu tu.”
“Arr…” Presiden kelab nampak macam berat-berat di sini.
Gelak-gelak janggal. Ditunjuk-tunjuknya aku, macam nak suruh pensyarah tu faham yang dia susah nak berterus-terang.
“Rawaira' ni, Dr…. Dia still berkeras nak tarik diri.”
“Oh…” Mengangguk sedikit.
Pensyarah tu kerling aku semula. Yang pasti, aku rasa macam dikejar maut setiap kali berada di bawah pandangan dia. Renungan dia tu sama sebiji macam panahan renungan helang hitam yang nak terkam aku tempoh hari. Renungan yang membunuh, walau dia nampak santai saja di mata semua orang.
“Sebenarnya apa masalah awak ya, Rawaira'? Boleh saya tahu? Kalau awak tak keberatan?” Suaranya lembut.
Tak pasal-pasal aku pula yang berjangkit dengan rasa serba salah presiden kelab. Aku juga gelak-gelak janggal di situ.
“Saya ada masalah personal sikit tiba-tiba. Urgent. Emergency. Ermm…”
“Okey, okey. Tak perlu tambah dengan sinonim yang seterusnya. Saya faham aje maksud ‘urgent’ tu.” Dia mencelah dengan suara lembut itu lagi.
Sekali lagi aku gelak-gelak awkward. Dia sindir aku?
Dia senyum. Mesra.
“Macam nilah, Rawaira'. Saya benarkan awak tarik diri. Dengan syarat, jangan ulang lagi sikap macam ni.”
“Hah?” Terlepas macam tu aje aku punya bunyi terkejut. Tanpa sempat ditahan dan dikawal.
Malu. Lekas-lekas aku tekup mulut.
Presiden kelab juga begitu ketara nampak terkejutnya. Tak berkedip dia pandang pensyarah tu.
Tapi pensyarah tu tenang sahaja. Bahkan masih sempat melebarkan lagi senyumannya. Dipandangnya presiden kelab.
“So boleh kita gerak sekarang?”
Presiden kelab bagaikan tersedar.
“Oh! Boleh, Dr.. Boleh.”
“Jom.” Pensyarah tu terus dengan ketenangannya. Macam dia langsung tak perasan pun dekat aku yang dah nyaris-nyaris ternganga pandang dia dekat sini.
Dalam kepala aku ada satu soalan yang paling besar menghempap aku!
Apa sebenarnya tujuan dia senang-senang macam tu aje lepaskan aku?
Ini bukan sekadar trick aje, kan?!
Tak tahu kenapa, aku sangat… Sangat-sangat yakin ada benda yang tak kena.
Tapi aku tak mahu lepaskan peluang yang ada ni. Sebelum dia berubah fikiran, aku gopoh-gapah tarik bagasi aku. Meluru tuju ke kakak.
“Jom, weh. Jom!” Separuh bisik. Tak nak bagi pensyarah dan presiden kelab tu dengar.
Kakak menoleh pandang aku. Nampak agak tertanya dan tengah cuba faham keadaan.
“Jom cepat!” Aku bisik lagi tapi dengan nada yang lebih ditekan.
Aku sambar tangan dia dan terus heret dia pergi dari situ.
Tertunduk-tunduk dia dekat pensyarah tu, sebelum akur mengikut aku.
Beberapa meter menjauhi bas universiti, kakak pandang aku.
“Macam mana boleh lepas, dik?”
Aku laju angkat bahu.
“Tak tahu! Tapi seriously aku tak sedap hati. Tu yang aku nak cepat-cepat blah ni.”
Dan aku menarik dia agar lebih laju berjalan.

DI dalam kereta sepanjang jalan pulang ke rumah, aku dan kakak tak henti-henti bersyukur.
Persoalan tentang apa muslihat sebenar pensyarah tak bernama itu melepaskan aku begitu saja, masih belum terjawab. Fikiran kami memang masih lagi terganggu dengan perkara itu. Tapi kami ambil keputusan untuk ketepikan saja hal itu. Tak nampak apa-apa jalan pun untuk dia perangkap aku ke apa.
Perancangan aku, lepas ni aku akan gugurkan sendiri diri aku dari kelab tu, berkuatkuasa serta-merta. Walaupun codes dalam badan aku ni memang dah diprogramkan supaya aku gemar tersangat dengan aktiviti-aktiviti dunia astronomi. Tengok teleskop, cari bintang-bintang baru, jelajah angkasa. Tengok kisah kehidupan makhluk tuhan yang berjuta-juta tahun cahaya jauhnya dari aku. Nebula, black hole, black dwarf, white dwarf, neutron star. Semuanyalah!
Tapi nampaknya tuhan tengah merancang sesuatu yang lebih baik untuk aku. Aku kena selamatkan diri aku dan keluarga angkat aku daripada makhluk halus tak berhati perut tu. Tak boleh nak buat apa dahlah.
Aku betul-betul baru tahu ni, yang pensyarah tak bernama tu rupa-rupanya penyelia dan pengurus Kelab Astronomi tu. Sebelum-sebelum ni aku tak pernah nampak dia. Atau mungkin, dia sebenarnya memang ada aje selama ni. Aku aje yang tak perasan. Tak tahulah macam mana boleh terlepas pandang macam tu.
Jadi sekarang ni, bila dah dapat lari dari dia dan putuskan semua laluan untuk dia dekati aku, setakat ni yang boleh aku katakan adalah, semuanya dah kembali selamat.
“Insya-Allah, insya-Allah.” Aku dan kakak sama-sama mengungkapkan doa itu. Sangat-sangat kami mengharap yang semuanya betul-betul dah selamat.
Lepas ni, aku sendiri yang akan black list Gerbang Bunian. Takkan pergi ke situ dah. Nak dekat pun tak. Aku sanggup parking jauh dan ikut jalan jauh untuk pergi ke kelas. Tak kisahlah tempat tu healing ke tak healing ke. Banyak lagi cara nak tenangkan fikiran.
Aku toleh ke kakak di bangku sebelah bila dia lama sangat senyap.
Nampak dia tengah tadah tangan sambil muka tunduk dan mata terpejam. Bibir terkumat-kamit. Air mata mengalir di pipi.
Tak pasal-pasal jatuh kesian dah aku dekat dia.
Mesti dia tengah berdoa dan merayu sungguh-sungguh dekat Allah supaya tolong lindungi keluarga kami yang hanya ada lima orang ahli itu. Mesti dia tengah cemas tak kira tu. Keluarga kami dahlah kecil saja. Kalau hilang walaupun hanya seorang saja, tamparannya teramatlah besar impaknya buat kami.
Sebab itu dalam pada kami bertekak setiap hari dan bergaduh macam hari esok dah tak ada, kami sangat mengambil berat soal satu sama lain. Terutama lagi aku. Aku bukan darah daging mereka, tapi bagi aku merekalah segala-galanya dalam hidup aku. Aku tak boleh hidup kalau tiada mereka bersamaku.
“Dah, dah. Tak mahu sedih-sedih.” Tiba-tiba terasa ada orang menyeka lembut air mata di pipi aku. Situ juga aku tersedar daripada dunia aku.
Oh, aku pun ikut sama menangis dengan dia tadi, eh?
“Kau tak alone dalam dunia ni, dik. Kau ada umi, ada walid. In fact, aku dengan adik pun sentiasa tak lupakan kau dalam doa kita orang. Okey? So jangan takutlah dengan makhluk macam tu. Dia tak boleh apa-apakan kau and kita semua.”
Kakak ni dalam tak semenggah perangai dia dan dua puluh empat jam terkenal dengan perangai tak senonoh dia tu, bila sekali dia sentimental macam ni, nak menangis aku dibuatnya. Sebab benda rare macam ni, bila sekali dia buat, kesannya menusuk terus ke dalam hati aku. Tak ada tapis-tapis.
“Paling penting, kita ada Allah…” Redup sesangat suara dia.
Ah, sudah. Situ juga mata aku rasa hangat.
Aku gelak. Tepis laju mata yang berbalam dengan air jenih. Sedut hingus yang baru nak mengalir turun.
“Baiklah, Dr. Asuna.”
Dia menoleh dekat aku. Memuncung dia tanpa kutahu hujung pangkal puncanya.
“Apalah. Dr. Asuna pula.”
Aku pelik. Kerut dahi lalu pandang dia sekilas. Kemudian kembali pandang depan.
“Dah tu? Bukan nama kau memang Asuna ke?”
“Asuna tu sebahagian aje, okey?”
Bila dia sebut aje benda tu, terus aku tergelak besar. Sebab,
“Baiklah, Dr. Asuna Qaisara Rawaira' La’aluni Erva Binti Dato' Seri Muhsin bin Tan Sri Ghazali Omar. Dah, puas hati?”
Dia nak aku sebut nama penuh dia yang panjang berjela tu! Haha!
Dan tawaku jadi semakin meledak bila dia dengan puas hati dan senyum lebarnya mengangguk laju macam budak-budak.
Nama kami adik beradik, semuanya memang jenis yang panjang-panjang berjela.
“Aku sendiri pun kadang-kadang terlupa nama aku sendiri. Jenuh nak ingat, weh. Ingat senang ke?” kataku.
“Kau ingat kau sorang macam tu? Aku ni lagilah. Dulu masa tadika, cikgu nak bagi name tag dekat setiap murid. Cikgu tu panggil nama penuh.”
Perhatian aku tertarik mendengarnya.
“Lepas tu?”
“Masalahnya aku tak tahu nama penuh aku, weh. Biasalah, budak baru umur empat tahun, kan. Dekat rumah, orang semua panggil aku kakak aje. Dah tu, aku pun tunggulah cikgu aku panggil aku “Kakak?” juga.”
Okey, dah mula dengar macam nak kelakar. Aku makin teruja nak tahu.
“Dah tu?”
“Sampai ke sudah aku tak dapat name tag!”
Dah agak dah. Memang cerita lawak yang dia nak bagitau aku.
Tersembur gelak aku.
Dia tergelak sekali.
“Pastu macam mana kau dapatkan name tag kau?”
“Masa tu tinggal aku seorang aje yang belum dapat name tag. Sudahnya aku bangun dari tempat aku, aku ambil name tag terakhir yang still tinggal kat tangan cikgu tu.”
Berdekah weh, punya susahnya aku nak kawal kotak ketawa aku.
“Sejak tu barulah aku tahu yang Asuna Qaisara Rawaira' La’aluni Erva Binti Dato' Muhsin tu sebenarnya nama aku.”
“Gilalah!”
“Itulah! Kalau tak disebabkan insiden name tag tu, agaknya sampai ke tualah aku duk fikir yang nama aku ni Kakak.”
Aduh! Sakit perut aku!
Aku tekan-tekan perut. Gelak aku dah jadi gelak angin dah sekarang. Tak ada bunyi dah.
Aku tampar bahu dia.
Dia gelak aje. Dia cerita lagi,
“Sampai sekarang aku tak boleh nak adapt dengan nama penuh aku tu. Kekadang ada orang panggil aku La’aluni. Kadang ada orang panggil aku Qaisara. Aku sampai berpinar-pinar mata, weh. Macam nak pitam setiap kali nak cuba hadam yang bila orang sebut Asuna ke, Qaisara ke, Rawaira' ke, La’aluni ke, even Erva sekali pun, tu semuanya bermaksud yang orang tu tengah panggil aku.”
“Tahu takpe.” Sebab aku pun pernah melalui peristiwa sama sebijik macam tu!
“Tu belum lagi dia orang bagi nickname pelik-pelik. Luni la, Er la.”
“Kan!” Setuju sesangat aku.
Dia tampar bahu aku.
Aku angguk laju dan kami pun langsung tergelak besar.
“Aku pernah dulu, sampai aku meroyan pergi dekat kaunter pejabat pendaftaran, sebab nak tukar nama aku. Tapi akak kaunter tu kata kalau tukar nama, nama dalam I.C akan jadi lagi panjang. Tercengang aku masa tu!”
Sekali lagi kereta tu bergegar dengan gelak terbahak.
“Aduh, sakit dada aku.” Aku terkedek-kedek nak sudahkan gelak. Perit kat dada.
Akibat terlebih banyak gelaklah ni.
Susah payah aku tarik nafas dalam.
Kakak pun segera menyudahkan gelaknya bila telefon pintarnya berbunyi. Dia keluarkan telefon, pandang skrin.
“Umi call. Kejap, eh.”
Aku angguk aje.
Dia gesek jari di skrin lalu meletak telefon di telinga.
“Helo, umi. Ya?”
Aku senyap aje membiarkan kakak mendengar apa yang sedang diperkatakan umi. Adalah halnya tu. Nak suruh beli barang ke apa. Kekadang umi memang macam tu pun, suka kirim-kirim.
“Tak. Kakak dengan angah tak jadi join lawatan tu, sebab bunian yang menyamar jadi lecturer tu ada sekali dalam trip tu. Angah cepat-cepat tarik diri. Nasib lepas, umi.”
Sesudah itu senyap sekejap.
“Seriously? Ya Allah… Dah tu macam mana pak lang sekarang? Dekat hospital mana?”
Dekat sini kepala aku tertoleh pada kakak bila dengar ayat terakhir tu. Nak tahu apa yang jadi sebenarnya. Macam ada berita tak baik aje.
Kakak lebih banyak diam lepas tu. Lebih banyak mendengar.
“Okey, okey.” Angguk-angguk.
Lepas tu diam dan dengar lagi. Kali ni lebih panjang ayat umi, sebelum kakak mampu respons.
“Haah. Okey, okey. Nanti kakak bagitau angah. Kita jumpa kat rumah pak lang teruslah kalau macam tu, umi.”
Diam.
Aku saspens. Berita apa sebenarnya? Aku dan kakak akan berjumpa umi, walid dan adik di rumah pak lang?
Rumah pak lang kat Negeri Sembilan. Kat Port Dickson. Memanglah tak jauh sangat dari KL ni, beberapa minit aje perjalanan, tapi tetap dikira jauhlah, sebab dah luar dari kawasan KL dan Selangor. Aku cadang tadi, nak balik rumah kami di Bukit Tunku aje. Tak ada plan nak ke mana-mana pun.
Jarang keluarga aku keluar jauh-jauh dari KL secara mengejut macam ni. Macam ada hal urgent sangat nampaknya ni? Kenapa dengan pak lang? Macam mana boleh ada dekat hospital?
“Pak lang dah tak ada, weh,” ungkap kakak sebaik saja perbualan dengan umi berakhir.
Aku tergamam. Laju pandang kakak.
Kakak angguk satu kali.
“Accident. Dengan lori.”
“Allah…” Menggigil jari-jari yang memegang stereng. Macam semangat kena rentap keluar dari jasad.
Seketika aku jadi susah nak fokus pada pemanduan. Terkejut sangat. Rasa susah nak percaya.
“Baru malam tadi pak lang buat video call dengan walid.”
“Itulah pasalnya.” Suara aku perlahan.
“Innalillahiwainnailaihirojiun…” Suara kakak sayu.
Mendengar dia sebut kalimah itu, aku mengikut juga dirinya. Baca perlahan di bibir dalam keadaan masih susah menghadam berita mengejut ini.
Seketika suasana dalam kereta dah jadi sendu. Hening dan sayu.
Mesti anak-anak pak lang lebih tersentak dengan berita ini. Anak-anak pak lang kecil-kecil lagi semuanya. Isteri pak lang pula lagilah. Isteri pak lang tengah mengandung lapan bulan tu. Allah…
Aku raup-raup muka yang panas.
Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada mereka sekeluarga…
“Umi suruh kita terus bertolak ke P.D.. Berkumpul semua orang dekat rumah pak lang. Dia orang nak kebumikan arwah malam ni juga.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience