BAB 5

Romance Series 255

“HEY, you. Awak, yang pakai tudung hitam tu!”
Mata aku membulat. Tudung hitam?
Selain ‘budak engineering’, perempuan-perempuan dalam course aku ni juga digelar sebagai ‘budak-budak tudung hitam’. Sebab memang almost everyday kami bertudung hitam. Mindset kami, tudung hitamlah yang paling senang, masuk dengan semua warna baju. Tak payah nak pening-pening kepala kena pilih tudung ikut warna baju.
Jadi bila telinga aku ni dengar orang panggil ‘budak tudung hitam’, aku sempat keliru.
Dia panggil siapa sebenarnya? Ramai budak bertudung hitam kat kawasan ni.
Oleh sebab curiosity kills the cat, aku pun berpaling ke arah suara yang memanggil itu. Dan…
Nohh… Ambikk…
Berpuluh-puluh perempuan ada kat kawasan ni, semuanya menoleh serentak juga ke arah yang sama.
Cun punya persembahan coral speaking.
Di mata aku, nampak seorang lelaki berwajah serius tengah tenung aku. Dia berdiri di hujung sana, beg lap-top tergantung di bahunya. Yang pasti, wajah jambunya itu teramat sangat aku kenal, yang mana terus menjadikan aku terkejut.
Alamak, lecturer hari tu!
Terus aku pusing membelakangi dia, terus melangkah dengan sepantasnya. Buat-buat macam tak kenal. Aku mesti tinggalkan tempat ni. Mesti elakkan berjumpa dia!
Dia kenal aku ke? Dia tahu aku yang menyorok bawah meja hari tu ke? Hah?
Dia nak denda aku ke? Nak tulis surat untuk parents aku ke? Hah?!
Dengar dia berlari ke arah aku. Lagi aku cepatkan langkah aku!
“Hey, you. Stop.” Dia akhirnya berjaya menahan aku.
Keresahan aku kat situ. Nak pandang muka dia pun tak sanggup.
Aku gosok-gosok belakang tengkuk.
“Ada apa, sir?”
Dia tak berjeda langsung bahkan dengan yakinnya dia terus tembak aku.
“Awak yang buli saya hari tu, kan?”
Gulp!
Mana dia tahu ni? Mamat hari tu yang kantoikan ke?
“Awak berkomplot dengan dia, kan? Nak sama-sama malukan saya depan student-student saya. Kan?”
Aku gelak-gelak dengan janggalnya.
“Eh, mana ada, sir. Mana ada macam tu…”
“Tapi sebelum saya mula panggil nama-nama student saya masa tu, kenapa saya nampak awak yang duduk sebelah Ezuriq?”
Dah siapa pulak si Ezuriq ni, weh!
Aku gelak-gelak kejanggalan lagi.
Dan muka dia nampak berdendam sangat dengan reaksi aku ni. Mengangguk-angguk dia serentak mengetap gerahamnya.
“Awak nak pertikai macam mana saya boleh ingat Ezuriq, kan?”
Aku angguk aje walau hati dah nak arwah dah. Sengih-sengih saja depan dia.
“For your information, Ezuriq tu abang saya. Dia bukan student dalam kelas tu. Zulkhairul Fikri adalah nama student lain, bukan dia. Saya tahu. Zulkhairul Fikri tak datang kelas hari tu.”
Eh?
“Sebab tu saya boleh terus kesan ada kelainan dalam kelas tu.”
Maknanya mamat hari tu pun pendatang haram juga dalam kelas masa tu? Bukan aku sorang?
“And sebab tu jugalah saya boleh cam awak yang duduk sebelah dia masa tu.”
Makkk… Tolong kita, makkk!
“Dia pun memang masuk kelas saya masa tu semata-mata untuk kenakan saya. Sebab dia berdendam sangat dengan saya!”
“Err… Saya ada kelas ni, sir. Saya minta diri dulu ya. Bye!”
Dan aku terus pecut dari situ. Makkk!
“Tunggu dulu! Hei!” Suara dia lantang.
Tangannya laju mencapai pergelangan tangan aku. Tarik aku. Sampai aku jadi tersentak dan terpusing semula hadap dia. Mencerlung mata aku tenung dia.
Berani dia sentuh aku?
“Apa sir buat ni?”
Aku rentap tangan daripada pegangan dia. Tapi genggamannya terlalu kuat, aku kalah dengan tenaga dia.
“Ini sexual harassment, sir!”
Bagaikan alam turut sama marahkan perbuatan lelaki depan aku ni, waktu tu dengan tak ada angin tak ada sebarang isyaratnya, tiba-tiba berdentum guruh di langit. Dan tak sampai sesaat, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sekelip mata aku dah lencun di tengah-tengah alam tu.
Tengok! Kan Allah pun dah marah sama!
Lelaki itu mendongak ke langit. Anehnya, dia macam tak terkejut pun dengan perubahan cuaca yang mendadak ni. Macam dia dah boleh agak dari awal.
Apa, nak cakap dia spesies habitat terpelihara pulak ke? Istimewa sangat sampai boleh ramal cuaca senang-senang macam tu aje. Huh!
Aku rentap lagi tangan aku. Barulah dia lepaskan.
Dan sekali lagi keanehan berlaku. Hujan yang tadinya bukan main punya lebat, tiba-tiba berhenti macam tu aje. Guruh pun dah tak ada. Petir apatah lagi. Siap matahari boleh ketepikan awan-awan yang hitam pekat tadi dan kembali menyebarkan cahaya panas teriknya.
Pelik aku.
Tapi dia pula mendengus sinis sahaja. Siap senyum mengejek pulak tu.
“Tak ada apa-apa yang luar biasa pun. Memang sentiasa jadi bencana bila saya sentuh kulit mana-mana manusia ‘jadian’ yang paling saya musuhi.”
Aku ni sebenarnya kan, kalaulah yang tercegat depan aku ni adalah kakak aku dan bukannya pensyarah tempat aku belajar, nak aje aku kuangajo dekat dia. Nak aje aku kata,
“Manusia? Habis, sir tu bukan manusia? Habis tu sir siapa pula? Malaikat kiriman tuhan pulak ke? Tolong jangan nak perasan sangat boleh? Muka pun jambu, lagi ada hati nak jadi malaikat. Pui…”
Kan, kan? Aku ni boleh tahan kuangajo juga budaknya. Haa… Jangan main-main.
Ni yang aku diam-diam dari tadi pun sebab memikirkan yang dia ni pensyarah aje. Kalau tak, nak juga aku backhand satu round muka jambu dia tu. Biar bergolek mulut neraka dia tu masuk longkang.
Tapi, oleh sebab aku tak nak rekod aku buruk di universiti ni, makanya nak ke tak nak ke, aku tahan jugalah aku punya baran ni dalam-dalam.
Dan lelaki itu, dia dengan berlagaknya menyilang dua tangan di dada. Tayang muka poyo.
“Now. Bagitau saya cepat, apa nama penuh awak?”
“Ada apa ya, sir? Sir nak buat apa dengan nama saya ya?” Aku masih buat-buat macam aku ni gadis paling sopan yang berbaki dalam alam ini.
“Jangan mengelat lagi. Bagitau aje. Sekarang.”
Nyaris nak terzahir cemikan di bibir aku. Menyampah gila dengan mamat ni.
Aku mengeluh berat.
“Kalau sir tahu nama penuh saya, sir akan menyesal.”
“Why?”
“Sir akan menyesal.” Aku mengeluh lagi dengan amat yakin.
Aku dah hidup atas muka bumi ni lebih dari dua puluh tahun. Sepanjang tempoh tu, beratus ribu manusia aku dah jumpa. Dan semuanya pun bagi reaksi yang sama setiap kali dia orang tahu nama penuh aku. Sampai aku kesian dekat dia orang yang dah menderita dan sengsara disebabkan dia orang tahu nama penuh aku.
“Lebih baik tak payah tahu langsung, sir. Sir akan menyesal, percayalah cakap saya.”
“Kenapa? Nama awak terlampau kuno ke?” Dia tetap dengan personaliti dia yang kuat menganjing tu.
Bila dah berkali-kali hadap kerenah macam tu, dengan tak dapat lagi dikawal, akhirnya mendarat jelingan side eyes aku dekat dia. Kerek gilalah mamat ni. Siapa mak dia ni, woi? Aku rasa macam nak penyepak aje mamat ni. Sangat-sangat menguji kesabaran!
“Sir tahu nickname saya aje dah cukup. Nama saya Waira.”
Tiba-tiba dia gelak mengejek.
“Kenapa, takut ke? Kalau saya tahu nama penuh awak, awak takut nanti saya guna nama tu untuk guna-guna supaya awak sukakan saya. Hmm?”
Herot mulut aku mengejek dia, in sync dengan mata aku menjeling dia. Euwww…
Muka dia bertukar serius. Dan tanpa diduga dengan tiba-tiba dia mencapai matric card yang tergantung di leher aku. Terus dibacanya nama yang ada di situ.
Dia ingat cara dia tu akan berjaya? Tapi aku lagi bantai gelakkan dia adalah.
Lagi besar gelakku bila dahi dia berkerut baca nama yang berada di atas kepingan kad itu.
“Atas kad matrik pun saya tak letak nama penuh, sir.” Lebar aku senyum kemenangan.
Dia jeling aku setajamnya.
“Lebih baik awak bagitau sekarang, sebelum saya yang cari sendiri. Kang, elok-elok saya nak maafkan awak, terus tak jadi. Terus saya tulis surat supaya pihak pentadbiran ambil tindakan atas awak.”
Ambil tindakan? Ambil tindakan?!
“Eh, jangan!”
“Okey, bagitau sekarang.” Dan dia pun berpeluk tubuh semula.
Aku mengeluh.
“Nama penuh saya…”
Dia pusatkan perhatian dan menunggu dengan saspens.
“Erina…”
“So nickname ‘Waira’ datang dari mana?”
“Dengarlah dulu, biar saya sudahkan.”
Dia tersedar kegopohan yang menampakkan bodohnya dia. Terus dia control macho semula. Berdehem.
“Okey, teruskan. Erina?”
Aku tarik nafas dalam.
“Erina Shazlin…”
“Ahah.”
“Narania…”
“Wairanya mana?”
Aku tak pedulikan dia yang tak menyabar tu dan hanya menyambung lagi.
“Rawaira’…”
“Binti?”
“Belum, sir.”
Dia tercengang.
“Amende nama panjang-panjang?”
“Kan saya dah bagi warning siap-siap tadi? Sir juga yang suruh saya jujur. Sekarang janganlah marah saya!” bentakku geram. Hentak kaki siap.
Dia tersedar lagi betapa bodohnya dia yang langsung tak menyabar itu. Dia berdehem-dehem lagi.
“Okey, teruskan.”
“Natasha…”
“Binti?”
Kali ni barulah aku mengangguk.
“Binti Dato' Muhsin.”
Mengeluh keras dia. Digosok-gosok dadanya. Macam orang semput.
“Nama penuh saya… Erina Shazlin Narania Rawaira' Natasha Binti Dato' Muhsin.”
Dia terbatuk kuat berkali-kali. Sampai terpaksa dia tumbuk-tumbuk dada kiri dia, nak bagi hilang sesak.
Aku jeling aje makhluk tu. Dalam hati,
‘Padan muka kau. Nak sangat tahu nama aku, kan?’
Malas aku nak layan lagi kerenah dia. Tambah-tambah pula, aku ada kelas ni!
Kerling sekilas jam tangan. Hah, lagi seminit nak pukul lapan!
“Saya ada kelas ni, sir. Pergi dulu. Bye!”
Sebelum dia sempat tahan aku untuk sekali lagi, aku lebih dahulu buka langkah seribu.
“Pakaian awak basah tu, macam mana nak masuk kelas?” Dengar laungan daripada dia.
Dah kuagak dah! Mesti dia akan tegur pasal baju punya.
Aku buat tak tahu aje. Bahkan lagi laju memecut. Aku tak nak terlibat lagi dah dengan dia!
Nasib aku baik sebab dia tak mengejar. Bila toleh belakang, tengok dia tengah pandang aje aku. Terus aku tumpukan perhatian dengan larian aku. Ruang legar ni tengah sibuk dengan pelajar dan pensyarah yang sibuk dengan fasa waktu pertukaran kelas. Aku nak elak daripada terlanggar sesiapa. Dah tak ada masa nak bergaduh-gaduh lagi. Aku dah lambat ke kelas.
Tapi bila kaki dah pijak lantai di blok bangunan kuliah, tiba-tiba aku teringat yang aku belum ambil kad matrik aku daripada pensyarah tadi.
Sretttt… Menggelongsor tapak sneakers aku membrek di atas lantai. Tak ketinggalan, mulut aku merungut.
“Masalah, masalah!”
Aku berpatah semula ke belakang dan berlari lagi.
Seboleh-bolehnya aku memang betul-betul nak elak daripada jumpa lagi pensyarah kerek tu. Tapi kad matrik tu nyawa aku dalam U ni.
Pulak tu, kad matrik tu juga merupakan kad ATM RHB aku. Memang sistem universiti-universiti dalam Malaysia ni pun sekarang sama pattern macam ni. Kad matrik disekalikan dengan kad bank. Duit aku dalam tu, woi!
Masalah bermula bila aku tiba di tempat tadi tapi pensyarah tu dah tak ada.
“Ya Allah, cepatlah pulak pun dia pergi!”
Seketika aku cuma dapat berkeliaran dan berpusing-pusing di sekitar situ demi mencari susuk yang terpapar dalam benak aku. Tertoleh-toleh ke sekitar. Nampak orang ni, otak aku scan. Tak match dengan paparan dalam kepala, aku pandang pula tempat lain.
Nampak pula orang ni, mata aku scan lagi. Tapi tak match juga.
Aku rasa pensyarah kelas aku dah masuk lecture hall. Habislah aku kena marah kejap lagi ni.
Oleh sebab tak jumpa-jumpa juga dengan tuan punya badan, sudahnya aku berlari keluar dari ruang legar tu. Pergi ke arah pintu utama yang akan membawa aku ke kawasan parkir pensyarah, yang juga merupakan jalan yang aku lalui waktu aku baru keluar dari dunia pelik di hutan asing tadi.
Berlari beberapa tapak dan mencelah-celah di dalam ramainya manusia, akhirnya aku berjaya keluar dari blok bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam. Aku berlari lagi sebelum tiba di tengah-tengah kawasan parkir pensyarah.
Menoleh-noleh lagi aku ke sekitar.
Dahi dah mula berpeluh ni. Ketiak pun dah mula basah ni.
Mana dia pergi sebenarnya? Cepat betul hilangnya. Macam hantu.
Tengah-tengah otak gigih berkerja, tak tahu kenapa aku terdetik nak berjalan ke depan lagi. Walau otak aku rasa macam… mustahil pensyarah tu nak masuk kawasan tu kut? Lagipun nak buat apa dia pergi hutan tu? Biasanya student aje yang lalu situ, itupun sebab laluan situ paling dekat yang menghubungkan kolej kediaman dengan dewan kuliah.
Tapi aku pun tak tahu kenapa aku percaya dekat gerak hati aku tu.
Berjalan aku ke arah itu. Lurus ke Gerbang Bunian yang aku puja-puja tu.
Kepala aku macam blank saat ini. Sebab tak tahu nak fikir apa. Aku percaya apa yang aku buat ni cuma kerja sia-sia, pensyarah tu takkan ada punya kat kawasan hutan tu.
Tapi ternyata semua ini adalah plot twist.
Terhenti gerak kaki aku bila anak mata nampak dia betul-betul. Sedang berjalan menuju ke arah tengah hutan.
Dahi aku berkerut.
Teringat dekat gadis serba putih jelmaan Lili yang aku ikut sebelum sesat tadi. Kali ni pun jelmaan juga ke? Sebab nak heret aku sekali lagi masuk ke dunia misteri tu?
Ah… Sekali lagi, tak tahu kenapa akal aku menafikan sendiri dakwaan aku tu. Sebab apa yang aku nampak adalah, pensyarah itu pada saat ini tidak pula berpakaian serba putih macam gadis jelmaan Lili tadi. Berbeza.
“Sir!” Aku laung.
Sama macam Lili jelmaan tadi, sir tu pun sama tak menoleh dengan laungan aku. Ah, sudah.
Aku lekas-lekas menoleh ke sekitar. Takut kut-kut aku dah sekali lagi masuk ke alam lain macam tadi.
Tapi nampaknya aku masih di alam manusia. Sekeliling aku masih sibuk dengan para pelajar dalam perjalanan pergi ke kelas.
Aku atur pernafasan. Nekadkan hati.
Dengan berhati-hati, kaki kembali melangkah. Takut sebenarnya, sebab persoalan tentang siapakah Lili jelmaan tadi pun masih belum terjawab. Sekarang timbul pula soalan baru, pensyarah tu nak pergi mana?
Aku sedar yang sekarang aku dah masuk semakin jauh ke dalam hutan. Dah mula kedengaran bunyi unggas-unggas. Dan nyamuk-nyamuk juga mula sibuk minta darah.
Ingat lagi. Dekat alam pelik tu, tak ada nyamuk.
Dan akhirnya buku memori sepanjang hidup aku mencatatkan sesuatu yang mengejutkan. Pensyarah tu tiba-tiba melompat tinggi di udara dan dalam sekelip mata dia bertukar jadi helang hitam. Lagi teruk, dia tahu aku ikut dia!
Dia menoleh ke arah aku dengan panahan mata membunuhnya. Dia kejar aku!
Aku menjerit!
Gopoh-gapah berpatah semula ke belakang dan berlari secepatnya.
Sekali lagi aku rasa nak bersyukur bergelar orang-orang construction. Dalam waktu-waktu kena berfikir pantas macam ni, yang ada dalam kepala aku adalah, aku mesti berlari lurus ke depan. Sebab cuma itulah satu-satunya jalan aku masuk ke sini tadi.
Aku tak boleh gelabah buat keputusan. Aku tak boleh panik. Kena stabil. Faham, Waira? Faham?!
Dan aku yakin aku masih di dalam dunia manusia, sebab aku ingat lagi, alam manusia dengan alam sana berbeza waktu. Sebelah sini pagi maka sebelah sana mesti senja.
Tapi hutan yang aku terokai ini masih lagi pagi. Kau masih selamat, Waira. Kau masih selamat!
Akhirnya berjaya keluar dari hutan. Aku teruskan larian hingga berjaya berada di tengah-tengah keramaian manusia. Barulah aku berhenti. Terus jatuh terjelepok di atas lantai.
Tercungap-cungap. Aku pegang dada.
Teringat semula dekat helang hitam tadi. Terus aku mendongak ke langit.
Nampak helang tu dah terbang jauh ke arah matahari terbit. Tak ada tanda-tanda nak kejar aku lagi.
Aku mengeluh kelegaan. Pandang jam tangan.
“Dah lebih dua puluh minit.”
Baru sekarang nak teringat pada kuliah aku pagi ni. Nampaknya aku tak boleh teruskan perjuangan ke kuliah. Aku kena balik rumah. Lagipun baju aku masih basah gara-gara hujan lebat yang mendadak tadi.
Masih tercungap-cungap. Aku pegang dada kiri semula.
Kakak aku. Kakak aku! Dan umi!
Dia orang kena tahu cerita ni. Cerita tergempar hari ni!
Terus, tanpa menunggu lebih lama, aku bangun semula. Bergegas ke kawasan parkir pelajar. Sambil-sambil tu selongkar beg kuliah sampai jumpa kunci Mini Cooper aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience