BAB 4

Romance Series 255

KAHWIN dengan manusia?
Huh, aku tak hairan langsung dengan term tu. Tapi kalau…
‘Kahwin dengan putera bunian?’
Haa… Yang ni baru rare!
Lagi-lagi bila bersembang dengan mak cik-mak cik bawang sekalian alam. Boleh juga mak aku berlagak.
“Menantu saya putera bunian, tau? Menantu awak manusia biasa aje, kan? Alaa… Tak boleh lawanlah macam ni. Awak tak setaraf kita. Ohh… hohoho!” Sambil dia gelak versi mak-mak datin havoc macam dalam K-drama.
Kan? Baru syok sikit. Baru terdiam aunty-aunty onion tu semua. Barulah takde modal dah nak banding-bandingkan aku dengan anak dia orang. Ini asyik dia orang aje menang. Aku nak jumpa dia orang pun meluat.
Okey, kita simpan dulu pasal dendam dekat mak cik bawang tu dekat tepi. Ikat ketat-ketat, malam karang sambung, sebelum tidur. Sekarang kita back on topic.
Kahwin dengan bunian?
Ya… Salah satu fenomena yang sampai sekarang tetap gagal dibuktikan oleh sains. Walaupun aku sendiri budak sains, tapi aku boleh dikatakan ‘isteri’ sains yang telah curang secara terang-terangan di dalam bab ini.
Sebab aku taksub dengan bunian!
Sejak kecik lagi cita-cita aku nak masuk alam sebelah sana. Tapi malangnya, setiap kali aku ajukan keinginan aku tu dekat umi dengan walid, mesti aku kena marah.
“Orang kalau boleh lagi tak nak, dia lagi mintak!”
“Ingat bunian tu handsome ke? Dia orang tukar-tukar muka dia orang la, menyamar aje sebenarnya nak bagi nampak handsome!”
“Mata kita aje yang nampak dia orang tu handsome. Hakikat sebenarnya, rupa dia orang terlampau hodoh!”
Dan, yang paling seronok bertepuk tangan bila aku kena marah, semestinyalah kakak aku yang acah-acah perempuan terpaling hot tu.
“Mintak simpanglah. Bunian suka curi anak manusia, lepas tu tak reti-reti nak pulangkan balik!” Umi berapi-api marah lagi.
Tak tahulah apa masalah peribadi umi dengan bunian tu semua. Nak kata anak dia pernah kena culik, aku ni sampai sekarang tercongok tak ada seekor bunian pun sudi. Tapi umi punya marah tu, macam pernah kena smackdown dengan bunian uh.
Dan, kakak aku pun dengan sukarelanya akan menambah,
“Selalunya kan, dik… Orang yang beriya-iya nak tu yang takkan terpilih masuk alam bunian tau?” Sambil dia cubit-cubit dan cuit-cuit bahu aku.
Menyampah betul aku. Rasa nak aje aku lempang muka gedik dia tu.
Lalu, untuk membuktikan betapa aku ni serius dengan niat suci aku ni, aku setiap masa buat aktiviti yang berpotensi tinggi menemukan aku dengan alam sana. Antara aktivitinya adalah,
“Hiking!”
Lagi?
“Masuk hutan!”
Lagi?
“Berkebun!”
Lagi?
“Dah, itu aje.”
. .
. .
. .
DI universiti tempat aku belajar, dalam banyak-banyak tempat yang ada, ada satu hutan kecil ni yang lagi menggalakkan imaginasi aku terhadap dunia bunian. Dalam hutan tu, ada disediakan landskap yang dibina untuk para pejalan kaki pergi ke kuliah. Cantik gila pemandangan situ. Setiap kali aku lalu situ, mesti rasa seolah-olah dalam perjalanan nak masuk ke hutan bunian. ‘Gerbang Bunian’ aku panggil tempat tu.
Macam biasa, pagi tu aku ke kelas pun ikut hutan tu jugalah. Bersendirian macam biasa, sebab aku lone ranger, walaupun aku budak engineering.
Orang kata, nak masuk course engineering ni kita mesti extrovert. Kalau tak, susah nak survive.
Tapi aku main hentam aje. Lantaklah extrovert tak extrovert. Aku tahu aku suka bidang ni, dan kecenderungan aku pun lebih pada DNA yang sukakan bangunan dan binaan dan kira-kira dan design dan bla… bla… bla… Makanya aku rasa itu aje dah cukup untuk aku.
Cuba cakap, apa aje bidang dalam dunia ni yang sesuai untuk seorang introvert? Software engineering? Aku tak minat coding. Art? Aku cuma tahu reti lukis pelan bangunan. Graphic design? Aku tak suka kerja dengan tablet atau komputer atau yang sewaktu dengannya. Hah, dah tu?
Lagipun dalam dunia ni memang lebih diistimewakan untuk orang extrovert. Extrovert aje boleh hidup. Introvert? Rasa macam alien, padahal duduk kat planet sendiri. Huh!
Dan… Aku bukan nak cakap apalah, kan. Sebenarnya dulu aku teringin juga jadi doktor macam kakak aku. Result SPM aku gempak aje sebenarnya.
Tapi tak tahu apasal, umi dengan walid beria larang aku masuk bidang tu. Padahal kakak aku elok aje dia orang bagi izin.
Bila aku pertikai, umi kata bidang perubatan ni kena banyak bedah orang. Bahaya untuk aku. Dekat rumah pun, aku dilarang sama sekali daripada pegang apa-apa senjata. Pisau ke parang ke. Kapak apatah lagi.
Pelik gila, kan? Disebabkan larangan masuk dapur tulah, aku sampai sekarang tak reti memasak.
Dah tu kisahnya, masa dia orang tahu aku mohon bidang engineering, pun pada mulanya dia orang tak kasi juga. Dia orang suruh aku pilih bidang yang selamat dan tak memungkinkan aku untuk cedera.
Apa, nak kata dia orang begitu care kat aku sampai tak nak aku luka sikit pun? Nak kata dia orang lebih sayang aku daripada kakak aku?
Heh, to the moon and back pun aku takkan percaya. Dalam rumah tu kan aku The Ugly Duckling? Lupa?
“Waira!”
Oh! Ada orang laung nama aku. Nyaris aku nak melatah kat situ sebab terkejut.
Aku menoleh ke belakang. Ke arah tengah-tengah hutan.
Nampak Lili, batchmate aku. Aku kenal dia, tapi setakat tahu yang gitu-gitu hal aje. Tak rapat.
Lili tengah berdiri tegak. Tak pula aku tahu apa yang dibuatnya di tengah-tengah hutan tu awal-awal pagi ni. Tak nampak pun macam dia nak menghala ke luar dari hutan ni.
Tapi pandangan aku dan Lili cuma bertembung sekejap aje. Lili berpaling ke arah lain dan mula berjalan perlahan. Bersendirian.
Sempat aku terfikir, dia nak ke mana tu?
Dan sempat terdetik dalam hati aku, cantik pula Lili ni hari ni. Berjubah putih, tudung putih dan kasut putih. Serba putih.
Seingat aku, Lili tak suka pakaian warna putih.
Macam mana aku boleh tahu kalau tak rapat dengan dia?
Dulu pernah aku terdengar dia bersembang dengan member-member dia waktu kuliah. Aku duduk depan dia masa tu. Kebetulanlah aku terdengar sekali.
Lili terus berjalan. Dengan raut wajah kosong dan pandangan mata yang tak mencerminkan sebarang perasaan.
Berkerut dahi aku. Kena rasuk ke perempuan tu? Lain macam aje gayanya. Biasanya dia jenis yang happy go lucky. Kenapa hari ni tiba-tiba keras kejung aje gaya dia? Dia nak ke mana tu?
“Lili!” Aku laung kuat.
Tapi Lili macam tak dengar. Terus juga perempuan tu berjalan lurus. Ah, sudah. Susah pula hati aku dibuatnya ni.
Aku pandang jam tangan sekilas.
Tujuh empat puluh lima. Ada lima belas minit lagi sebelum kuliah pagi ni bermula.
Berdecit. Dan sangat tak senang duduk.
Sudahnya aku kejar perempuan tu. Berlari anak.
“Lili!” Panggil lagi.
Tapi anehnya, dia tetap tak tunjuk sebarang reaksi. Tak menoleh, tak menyahut, dan tak berhenti berjalan. Pelik.
Yang lagi pelik, langkah dia tu aku perasan makin lama jadi makin laju. Dia bahkannya mula berlari.
Kuat sangat firasat aku mengatakan yang dia dah dirasuk sesuatu.
“Lili!”
Tapi seiring itu juga aku sedar yang laungan aku ni sia-sia. Dia takkan berhenti.
Aku kerah tenaga lagi kuat. Lagi laju mengejar dia. Rembatlah. Tak pasal-pasal pagi-pagi ni kena exercise.
Tetiba aku rasa nak bersyukur pula jadi budak engineering. Budak-budak macam kami memang sempoi habis setiap kali pergi kelas. Seluar jeans, baju pula cuma jaket fakulti. Shawl selempang ke belakang. Langsung tak bergaya atau buang tabiat nak melawa macam budak-budak fakulti lain. Kasut pun sneakers aje. Memang cun la dengan aktiviti merentas desa aku ni.
Cuba kalau tadi aku pakai baju kurung atau skirt. Kasut pulak pergi bantai heels tujuh inci. Perghh… Silap-silap hari bulan boleh lari bertempiaran segala skru dalam badan.
Tiba-tiba Lili hilang lesap. Hilang macam tu aje, depan-depan mata aku.
“Eh?” Langkah kaki aku terhenti.
Masa tu juga aku perasan ada yang kena dengan tempat ni. Aku toleh ke sekitar. Dan… semakin bingung.
Tempat ni dah mula gelap, matahari sedang nak terbenam di sebalik gunung. Cahaya matahari bagaikan terfiltered dan terlindung di balik daun-daun pokok.
Dah senja? Tadi bukan ke siang lagi? Aku dalam perjalanan nak pergi kelas pukul lapan pagi. Biar betul!
Dalam susah payah tu aku pandang jam di tangan aku, tapi tak boleh nampak apa-apa. Sebab hari dah nak malam, Waira woi!
Aduh, bijak betul budak ni.
Gelabah-gelabah aku tarik beg yang tergalas di belakang aku. Keluarkan telefon pintar dan nyalakan torchlight. Halakan ke muka jam.
“Eh?” Semakin kepelikan.
Jam ni aku baru aje tukar bateri Jumaat minggu lepas. Takkanlah habis bateri lagi? Tak bergerak langsung ni!
Aku tepuk-tepuk muka jam. Berkali-kali. Tapi tetap tak jadi apa. Jarum saat tetap kaku di antara angka tiga dan empat.
Weh, jangan main-main weh. Aku dah tak sedap hati ni. Dengan Lili yang tiba-tiba hilangnya, dengan waktu yang tiba-tiba bertukar senjanya. Sumpah tak lawak, weh. Sumpah!
Aku pandang sekeliling lagi. Dan semuanya makin buat aku tak faham.
Pemandangan tempat ni sangat lain dari apa yang pernah aku tengok dalam dunia biasa. Sepanjang hidup aku, mata aku tak pernah menangkap pemandangan dunia nyata di dalam resolusi yang tinggi macam ni. Tapi hutan yang aku berdiri ni, mata aku nampak seolah-olah pemandangan yang diambil menggunakan kamera DSLR.
“Tempat apa ni?” Itulah yang berada di fikiran aku sejak dua tiga minit lepas. Akhirnya terkeluar di bibir tanpa dapat ditahan lagi.
Tapi belum sempat aku menelaah lebih lanjut semua ni, tiba-tiba sesuatu yang besar menerkam aku dari belakang. Aku terdorong ke depan dan tersungkur. Waktu itu juga aku dengar bunyi ngauman garang.
Kepala aku terhantuk perdu pokok. Aku mengerang kuat.
Dalam sakit-sakit cuba bangkit. Duduk. Tersandar lemah di perdu pokok.
Waktu itu jugalah aku nampak, rapat di hadapan aku ada seekor harimau sedang menyeringai menunjukkan taring yang tajam. Aku percaya harimau inilah yang terkam aku tadi. Dan warnanya agak pelik. Warna putih sepenuhnya.
Harimau itu menderam. Merenung aku dengan mata yang menyilau tajam. Aku boleh baca, harimau ni dah bersedia nak terkam aku lagi. Yang pasti, kali ini dengan serangan yang akan mencederakan aku.
Aku kalut-kalut bangun dari tanah berumput hijau. Nafas jadi tak menentu dan terputus-putus. Aku telan liur. Tapi mulut rasa kering. Aku telan lagi liur.
Sambil tangan menahan dan meraba pokok besar di belakang aku, aku berhati-hati berundur. Akar pokok yang besar, menyukarkan aku. Aku berusaha lepasi objek itu.
Mata terus mengawasi harimau itu. Nak kerdip mata pun aku tak berani.
Aku telan lagi liur. Usaha lagi hela nafas.
Dan tepat dengan kira-kira dalam kepala aku, belum sempat aku jauh, tiba-tiba harimau itu melompat dan kembali menerkam. Serentak mengeluarkan ngauman yang lebih kuat berbanding tadi. Bergema satu hutan tebal tu. Terbang dan berkicauan mengejut burung-burung yang di atas dahan pokok.
Aku menjerit sekuat hati bila harimau berjaya menimpa tubuh aku. Aku kembali terjatuh. Kepala terhantuk lagi pada akar pokok.
Aku berusaha lawan serangan harimau itu. Menjerit lagi berkali-kali.
“Tolong!”
Kukunya yang tajam cuba mencakar muka aku. Aku cengkam kuat dua tangan besarnya. Dua taringnya cuba membaham tengkuk aku. Aku tolak tubuhnya sehabis kudrat.
Masalahnya dia begitu agresif!
“Tolong!”
Malangnya harimau itu jadi semakin menyerang aku setiap kali aku meraung. Aku dah makin tak terlawan. Harimau ini terlampau nekad.
Menangis aku di situ juga. Teringat dekat umi, dekat walid. Tak sempat nak minta maaf dekat dia orang.
Teringat juga dekat kakak aku yang selalu tergelak besar itu. Malam tadi adalah pergaduhan kami yang terakhir rupanya.
“Umi… Walid… Waira minta maaf…” Teresak-esak.
“Tolong…”
Tak ada sesiapa dengar ke jeritan aku? Setahu aku hutan ini kecil saja. Dan dalam waktu-waktu pagi macam ni, biasanya hutan ni sibuk dengan pelajar yang lalu-lalang nak ke kelas.
Tolonglah, tak ada sesiapa dengar aku ke?
Tengah aku menghitung detik-detik terakhir itu, tiba-tiba harimau itu terhenti menyerang aku. Kaku. Terhenti mengaum juga.
Aku terhenti menjerit. Tertanya-tanya.
Harimau tu tertutup dua mata, kemudian jatuh longlai di atas badan aku.
Waktu itulah aku nampak di belakang harimau itu sedang tertusuk sebatang anak panah. Tusukan yang dalam, terpacak anak panah tu di badan harimau tu. Pada luka yang terhasil di tempat tusukan itu, mengalir cecair putih yang pekat. Jatuh di atas pakaian di badan aku. Menitik-nitik.
Dan pada waktu itu juga, lurus dengan pandangan aku, di hadapan sana aku nampak figura seorang lelaki berkuda. Kuda putih. Wajahnya serius dan garang, sementara pakaiannya ala-ala panglima perang pada zaman dahulu. Di tangannya ada panah.
Dia yang panah harimau putih ni tadi?
Lekas-lekas aku tolak bangkai harimau dari badan aku. Bangkai jatuh ke sebelah aku. Lekas-lekas pula aku bangun. Sapu-sapu daun-daun kering yang melekat di pakaian aku.
“Kamu manusia ke?”
Soalan dengan nada garang itu buatkan aku segera mengangkat kepala memandang lelaki itu.
Dia sedang memandang aku dengan mata persis helang.
Aku tak tahu itu soalan apa. Tapi aku takut nak biar dia tertunggu-tunggu lama jawapan aku. Langsung aku pun mengangguk laju.
“Iya.”
“Huh.” Dia paling pergi wajahnya.
Aku tak tahu kenapa dia buat macam tu. Tapi yang aku faham, dia tengah marah yang amat. Muka merah menyala.
Apa salah yang aku buat?
“Pergi dari sini. Beta tak mahu jumpa kamu lagi. Sini bukan tempat kamu.”
Err?
“Bb… bukan tempat saya? Tt… tapi ini universiti tempat saya belajar.”
Tiba-tiba berpaling lelaki itu kepada aku dan matanya dengan pantas menikam mata aku. Sampai aku terkejut dan takut. Dia seolah-olah mahu membunuh aku. Terus aku jatuhkan pandangan.
“Tak jauh dari sini ada sebatang anak sungai. Ikut aliran anak sungai itu. Kamu akan dapat kembali ke dunia kamu.”
Aku kerah tenaga yang bersisa dan berusaha berdiri.
“Ini… Tt… tempat apa?”
“Bukan urusan kamu!”
Terdiam aku dengar jawapan tegas tu. Aku telan liur saja.
Lelaki itu mengalih pergi semula pandangannya. Direntap tali kuda putihnya. Kuda itu mengeluarkan bunyi meringkik yang nyaring. Dan sebelum sempat aku bertanya apa-apa, kuda itu terlebih dahulu berlari membawa tuannya meredah hutan tebal ini. Tak lama biarkan aku pandang satu demi satu keanehan ini, bayangan mereka lesap seperti asap yang tersebar di udara.
Aku masih terpinga-pinga pandang semuanya. Bila tak ada satu jawapan pun dalam kepala aku ni tentang tempat apakah yang terlalu pelik ini, mata aku mendarat pula pada bangkai harimau yang kaku di sebelah aku.
“Akkk! Akkk!”
Aku tersedar dengan bunyi burung gagak.
“Sini bukan tempat kamu!” Suara garau lelaki berkuda putih tadi seolah-olah timbul semula di sebelah telinga aku. Terus aku sedar yang aku kena cepat-cepat pergi dari sini.
Sah, ini bukan hutan kecil yang biasa aku lalu tu. Ini tempat lain. Hutan ni hutan tebal. Aku yakin. Aku tak tahu ni tempat apa, tapi yang penting aku mesti cepat-cepat pergi dari sini.
Cepat-cepat aku bingkas. Dengan keadaan hari yang semakin gelap, aku cari telefon pintar aku yang dah tercampak waktu aku diserang harimau putih tadi. Cari sampai jumpa. Dan sebaik saja jumpa, aku kembali nyalakan torchlight padanya.
Berbekalkan cahaya yang ada, aku berjalan. Redah hutan dan pokok-pokok yang berbagai tahap ketinggiannya.
Bunyi unggas saling berlawanan satu sama lain. Anehnya aku langsung tak digigit seekor nyamuk pun di dalam kawasan yang luar biasa terpencil ni.
Aku berjalan terus, sampailah telinga akhirnya mendengar sayup-sayup bunyi air mengalir. Aku tuju ke arah itu.
Berjalan lagi dalam susah payah. Beberapa minit kemudian, aku betul-betul berjumpa dengan anak sungai yang lelaki tadi sebutkan. Lega tak kira aku.
Sebelum kembali berjalan, aku periksa telefon pintar aku. Sekadar nak pastikan yang firasat dalam kepala ni adalah betul.
Dan, betul. Telefon pintar aku sedang di luar kawasan. Tiada line. Bar kosong. Bertambah kuat keyakinan aku yang mengatakan ini bukan dunia manusia.
Tak tunggu lama lagi, aku segera berjalan mengikut alur air sungai.
Dan betul-betul tak jauh pun perjalanan aku, aku sendiri melihat dengan mata kepala aku sendiri bagaimana cuaca yang tadinya gelap, dengan sendirinya bertukar menjadi terang. Bila aku toleh ke arah timur, nampak cahaya matahari baru terbit dari arah sana.
Sekali lagi hati aku mengucap syukur. Nampaknya aku dah kembali ke dunia aku.
Aku gosok-gosok dada. Geleng-geleng kepala. Seriau!
Aku periksa semula telefon pintar aku.
See? Aku dah kembali di dalam kawasan coverage. Telefon dah kembali ada line.
Aku belek pula jam tangan.
Haaa... Tengok! Jarum jam pun dah kembali bergerak!
“Hai, Waira.”
Tersedar. Menoleh ke arah suara yang menyapa itu.
Nampak Lili dan teman-temannya sedang berjalan berkumpulan. Melintasi aku.
Lili berjaket fakulti juga hari ini seperti aku. Dan berseluar jeans. Dan kasut safety boots. Mungkin dia kena masuk lab pagi ni.
Tapi bukan format pakaiannya itu yang menarik perhatian aku.
Aku teringat pada perempuan berpakaian serba putih yang memanggil aku sebelum aku masuk ke tempat aneh tadi.
Kalau yang berpakaian ringkas depan aku ni adalah Lili, habis tu perempuan yang aku ikut tadi tu siapa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience