BAB 12

Romance Series 255

OKEY, kali ni aku memang betul-betul terlopong. Tak dapat kawal-kawal dah.
Di tangan aku saat ini adalah kitab ramalan bunian diraja. Aku sedang di halaman yang keseratus lapan dengan topik yang menceritakan tentang ciri-ciri gadis bernama Kemboja yang akan menumbangkan kerajaan pimpinan Putera Mahkota a.k.a Dr. Zack yang zalim dan sekali gus akan membunuh lelaki itu.
Ciri-ciri gadis itu adalah,
1. Nama manusianya adalah Erina Shazlin Narania Rawaira' Natasha Binti Dato' Seri Muhsin.
2. Di atas kepalanya ada tanda lahir yang disebut sebagai buah ara. Bentuknya seperti buah ara dan berwarna kemerah-merahan.
3. Lahir sebagai manusia pada tanggal 18 Jun 2004 Masihi.
Guess what. Semua ciri tu memang ada pada aku.
Di dalam topik yang sama juga ada lakaran kasar wajah aku. Yang betul-betul buat aku tercengang adalah tahi lalat kecil yang terletak di bawah kiri bibir aku itu. Tepat sesungguhnya!
Kemudian aku baca pula ramalan tentang punca yang menyebabkan kerajaan Putera Mahkota dituduh zalim dan memporak-perandakan seluruh alam bunian.
1. Kerajaan ini menggalakkan zina dan sumbang mahram.
2. Kerajaan ini membenarkan hubungan songsang.
3. Melarang umat bunian berpuasa, menunaikan haji dan menunaikan solat.
4. Para wanita yang melahirkan kandungan luar nikah akan diberikan penghargaan.
Sempat aku sengih sumbing dengan semua ciri-ciri tu.
Semua ciri-ciri tu sebenarnya ada aje dekat alam manusia sana. Lebih kurang aje rupa-rupanya tahap kerosakan umat Nabi Muhammad ni. Di alam mana-mana pun sama aje hancusnya.
Tapi tak sangka pula di alam bunian ni, kerosakan-kerosakan ini sangat menjadi kemarahan hingga menimbulkan usaha untuk menumbangkan kerajaan dan membunuh pemerintahnya.
Dekat sini barulah aku faham kenapa kaum bunian termasuk Indera dan Dr. Zack beria sangat cari aku. Sebab kitab ramalan ni terlampau detail dalam memperincikan setiap topiknya.
Dan baru aku faham juga kenapa Dr. Zack desperate sangat nak bunuh aku. Punca dia sebab kitab nilah. Isi-isinya sangat convincing. Padahal orang yang dimaksudkan itu adalah aku. Hahaha… Iya! Aku! Budak yang tak pernah bunuh sesiapa hatta seekor semut pun!
Weh, aku ni pegang pisau pun tak pernah, lagi nak bunuh orang? Adoi, tak ada lawak jenaka yang lebih kelakar daripada ni ke?
Macam manalah dia orang boleh percaya sangat dengan benda-benda karut macam ni? Padahal ajaran Islam dah bagitau awal-awal, amalan tilik nasib dan segala sesuatu yang sewaktu dengannya adalah khurafat. Berdosa besar, bahkan boleh membatalkan aqidah.
Aku rasa nak tergelak dengan isi kitab ramalan ni, tapi takut dia orang terasa hati dengan aku. Jadi aku diamkan saja diri aku. Lorekkan sebaris senyuman pun aku tak berani.
Aku tutup kitab ramalan tu dan menyerahkannya kembali kepada bonda.
Bonda menyambut huluran aku. Bonda letak kitab tu di atas pangkuannya, dan matanya tak beralih walau sepicing pun dari wajah aku. Dia seakan-akan tengah tunggu ulasan daripada aku berkenaan ramalan itu dan persetujuan aku untuk membunuh pensyarah muda itu.
“Hurm…” Itu sajalah sudahnya yang dapat aku keluarkan. Tak tahu nak respons macam mana dah.
“Sebenarnya hari ni Kemboja datang sini pun secara kebetulan. Tak dirancang langsung.” Seakan-akan dapat baca fikiran aku, Indera menyebutkan perkara itu.
Aku dengan penuh setujunya mengangguk.
“Iya, bonda. Betul kata Indera tu. Kemboja sebenarnya baru lepas kemalangan. Indera yang selamatkan Kemboja dan bawa Kemboja ke sini. Indera tak izinkan Kemboja terus tunggu di alam sana, sebab Putera sekarang tengah menggila di alam sana. Dah dua kali dia cuba bunuh Kemboja.”
“Sebab tulah kalau boleh kita kena bertindak secepatnya, Kemboja.” Bonda mencelah segera.
Aku diam lama dekat sini. Macam mana, ya? Nak yakinkan semua orang-orang di sini yang kitab ramalan tu boleh jadi aje salah.
“Bonda risau kalau kita tunggu lama-lama nanti Putera akan jadi lebih tak terkawal.”
Ayat tu buatkan aku melepaskan nafas halus yang panjang. Tak tahu nak kata macam mana.
Sekarang ni hati aku tak salahkan kaum bunian ni atau Dr. Zack. Aku salahkan dukun diraja yang dah keluarkan kitab ramalan ni. Disebabkan dia oranglah habis dunia bunian ni porak-peranda.
Suasana lengang di ruang tamu kediaman tu. Lama juga begitu, sebelum aku akhirnya make up my mind.
Aku pandang mereka bergilir-gilir.
“Kemboja harap sangat bonda dengan ayahanda dengan Adinda Kasturi boleh bagi Kemboja masa. Nak bunuh orang ni bukan kerja yang mudah. Lagipun Dr. Zack mesti dah ada macam-macam perancangan untuk pastikan diri dia tak dibunuh macam yang disebutkan dalam kitab ramalan tu.”
Dekat sini aku berjeda sekejap. Ber“hurmm…” sekejap, lepas tu baru sambung.
“Untuk masa sekarang ni, Kemboja rasa Kemboja kena balik ke alam sana dulu. Mesti kes kemalangan Kemboja tu dah tersebar dan dah kecoh sekarang ni. Mesti semua orang tengah cari mayat Kemboja. Keluarga angkat Kemboja mesti tengah risau sekarang.”
Dengan rendah hatinya aku pandang lagi mereka bergilir-gilir. Mengharap sangat mereka faham. Bukan aku tak nak tolong, tapi aku pun ada kekangan aku juga.
“Kemboja yakin ke nak balik sana? Kemboja tak takut Putera kacau Kemboja lagi?”
Apa patut aku jawab? Bonda betul-betul memujuk tu.
“Hurmm… Putera pun boleh aje datang ke alam ni, bonda. Tak ada halangan untuk dia pergi ke mana-mana alam yang dia nak. Sama aje kalau Kemboja tunggu di sini pun, dia tetap boleh datang kacau Kemboja.”
Perkara paling penting di sini adalah, esok aku ada kelas, woi. Dan minggu ni aku dah start banyak midterm test. Dengan assignmentnya lagi.
“Tapi sekurang-kurangnya di alam ni Kemboja ada kami. Kami boleh lindungi Kemboja. Setidak-tidaknya kami faham masalah Kemboja.”
Alaa… Macam mana nak jawab ni…
Aku dahlah tak pandai nak berhujah-hujah ni. Aku bukan pendebat yang baik.
Ya Allah, tolonglah…
Resah aku di situ.
“Okey, macam ni. Saya rasa, Kemboja boleh balik sana. Tapi dengan syarat, saya mesti jadi bodyguard Kemboja.”
“Hah?” Terkejut aku dengan cadangan tiba-tiba Indera tu. Laju aku menoleh ke dia.
Mana dia dapat idea tu, weh?
Gelak-gelak serba salah aku dengan cadangan tak bernas tu.
“Tak payahlah susah-susahkan diri jadi bodyguard saya, Indera. Kalau saya nakkan bodyguard, saya boleh minta ayah saya carikan.”
Indera tenung aku lama.
Terus aku kemam bibir. Dia marahkan aku ke?
“Macam mana kalau Putera serang awak dengan serangan yang tak boleh ditangani oleh kemampuan manusia yang terbatas? Contohnya macam kemalangan jatuh gaung tadi.”
Okey, memang Indera ni sangat sesuai jadi ahli politik!
Pandainya dia berhujah! Hwaa…
Aku telan liur aje sudahnya.
“Hurmm…” Itu ajelah sudahnya. Tak tahu nak kata apa dah.
. .
. .
LEPAS aku berjanji dan mengatakan aku bakal mempertimbangkan cadangan menerima Indera menjadi pengawal peribadi aku, barulah Indera bersetuju membenarkan aku pulang ke dunia.
Waktu aku tiba di dunia, hari tengah di malam hari. And guess what, dah dua minggu berlalu pun dari peristiwa kemalangan aku jatuh gaung tu. Padahal setahu aku, aku di alam bunian tak sampai separuh hari pun.
Tepat seperti yang aku jangkakan, Malaysia tengah kecoh sekarang ni pasal kemalangan tu. Sebab sampai sekarang bomba masih tak berjaya jumpa mayat aku.
Oleh sebab tu, sekarang aku tengah cuba mengagak pula, apa agaknya reaksi keluarga angkat aku bila melihat aku pulang ke rumah nanti.
Dan yang lagi jadi puzzle dalam kepala aku ni adalah, apa jawapan yang aku nak bagi pada seluruh Malaysia nanti lepas dia orang tahu aku selamat dan langsung tak cedera? Macam mana aku boleh keluar dari kereta yang tentu-tentu dah tenggelam di dasar gaung tu? Dengar cerita pula, bawah tu tasik. Dan kereta aku memang betul-betul dijumpai di dasar tasik tu la.
Dan, ke mana aku menghilang selama dua minggu lebih ni?
. .
. .
. AKU tekan suis loceng yang di pintu gate utama rumah. Dua kali. Kemudian menunggu.
Indera di sebelah aku diam sahaja. Aku biarkan.
Sempat mata aku meninjau-ninjau keadaan rumah. Nampak terang-benderang ruang tamu walau dah pukul satu pagi.
Tak lama menanti, ternampak langsir di salah satu tingkap diselak. Nampak kakak di situ, dan kakak nampak terkejut luar biasa sebaik saja terpandang aku. Daripada bukaan mulutnya yang besar, aku percaya dia menjerit. Dan yang dijeritnya adalah,
“Angah!!!!”
Dan juga,
“Umi! Walid! Angah balik!”
Dan tak tunggu lebih lama, kakak terus tutup kembali langsir. Sesaat kemudian, pintu utama rumah terbuka. Dan terbuka juga gate besar yang di depan aku ini.
Nampak umi, walid, adik dan kakak terburu-buru berlari ke arah sini.
Aku senyum pada mereka. Tak nak bagi mereka risau sangat memikirkan macam-macam soalan dalam kepala masing-masing.
“Angah!” Hampir serentak suara mereka semua memanggilku.
Tiba saja di hadapan aku, umi terus pegang dua lengan aku. Kemudian dia periksa pula muka aku. Kemudian belek pula tangan aku. Macam tengah cari kut-kut ada luka.
Tapi ternyata tak ada luka yang dicari-cari umi. Jangan kata luka, lebam atau bengkak pun langsung tak ada.
Mata umi masih cemas. Pandang aku di mata semula.
Kaum keluargaku mengerumuni aku, berkeliling dekat aku hingga Indera tersisih ke belakang.
“Angah tak apa-apa?” Soalan walid.
“Ni betul-betul angah ke ni?” Yang ni pula soalan kakak.
Aku toleh ke dia.
“Takkan hantu pulak?”
Dia terdiam sesaat.
“Ye la, dua minggu kau menghilang. Bomba cari pun tak jumpa.”
Dengan kata-kata kakak itu, sempat ekor mata aku perasan Indera cuba tahan senyuman daripada terzahir. Menoleh pula aku ke lelaki itu.
Dia perasan pandangan aku, dia pun menoleh pandang aku, tapi sesaat sahaja. Dia toleh pandang tempat lain. Buat-buat macam tak ada apa-apa.
Mencemik aku. Dah agak dah, mesti dia geli hati tengok keluarga manusia aku yang teramat normal ni.
“Hah!” Kakak tiba-tiba semacam dapat idea bernas.
Semua orang menoleh ke dia. Apa idea yang bernas sangat tu?
“Tahu dah, tahu dah. Kejap.”
Kakak ambil beberapa tapak menjauhi kami.
Aku hanya memerhati tingkah lakunya sambil cuba faham apa yang dia cuba bagitau.
Lebih kurang berjarak tujuh meter dari aku, kakak berhenti mengundur dirinya. Berpusing dia membelakangi aku. Dan tanpa diduga, dia tiba-tiba menonggeng. Intai aku melalui celah kangkangnya.
“Hah!” Kakak menjerit.
Lagilah aku kebingungan. Dia nampak apa?
Terus perempuan tu berdiri tegak semula. Ditekup mulutnya dengan dua tangan. Mukanya nampak terkejut benar.
Berlari dia dapatkan umi, walid dan adik. Dia tarik tangan mereka agar menjauhi aku. Dia seolah-olah melindungi mereka daripada makhluk jahat.
“Kaki dia orang tak jejak tanah! Dia orang bukan manusia, umi! Angah bukan manusia. Kawan lelaki dia yang handsome tu pun. Kita jangan dekat dengan dia orang! Dia orang nak bunuh kita!”
Aku dah terpinga-pinga dah. Drama apa kakak cuba buat ni?
Nasib umi bijaksana. Umi pergi tibai kepala kakak. Laju aje ketuk kepala perempuan tu.
“Dah dia orang memang sama-sama bukan manusia pun, kakak. Apa benda kakak cuba merepek ni?”
Dengan statement umi tu, barulah kakak nampak seakan-akan tersedar. Digosok-gosok kepalanya yang sakit. Monyok.
Yang aku pula, aku dah malu dah dekat Indera. Nak jeling lelaki tu pun aku dah tak sampai hati.
Mesti dia tengah confuse dengan keluarga manusia yang kat depan kita orang ni. Macam tak betul pun ada juga keluarga ni.
“Perkenalkan, umi, walid… Ini Putera Indera, salah seorang ketuanan diraja dari negara bunian.” Pasrah-pasrah aku bertutur. Cuba maafkan kakak yang spesies otak terancam itu. Aku cuba beraksi seolah-olah macam tak pernah terjadi apa yang berlaku tadi.
Tiba-tiba adik mara ke arah Indera. Matanya bersinar-sinar menatap Indera.
“Saya dah lama teringin nak tahu. Lelaki-lelaki bunian bersunat juga macam manusia ke?”
Aduh! Ini lagi sorang.
Aku dah rasa nak tepuk dahi. Kenapa dengan keluarga aku ni, ya Allah?
Dan umi mengambil alih tampuk pemerintahan sekali lagi. Laju tangan umi pergi tibai kepala adik.
“Kau pun sama nak jadi macam kakak, memalukan umi dengan walid, adik?” Umi ketap gigi membisikkan amaran keras itu. Jelingannya dah macam nak ditelannya adik aku tu.
Sepertimana kakak, kini adik pula menggosok-gosok kepala dek kerana kesakitan dirembat umi. Memuncung.
Umi gelak-gelak dan sengih-sengih dekat Indera.
“Maaflah, Tuanku. Anak-anak patik ni memang tak berapa betul sangat. Almaklumlah, masa mengandungkan dia orang, patik suka sangat tengok National Geographic. Cara-cara penguin membela telurnya. Tak pasal-pasal menurun perangai penguin tu dekat anak-anak patik.”
“Iya, puan. Tak ada apa-apa pun.”
Aku dapat dengar betapa Indera sehabis mungkin tak tergelak dekat kata-kata umi. Sebab pada hakikatnya, terbukti dah yang otak umi pun lebih kurang sama tak betul juga macam anak-anaknya.
Sekarang aku tahu dah dari mana turunnya kemerengan adik dengan kakak aku tu.
Aku bertekad, kalau ada rezeki melawat dunia bunian lagi, aku nak check pula Kasturi betul-betul. Agak-agaknya ada atau tak mewarisi kesengetan umi ni. Kata hati aku, mesti ada punya sikit-sikit.
“Kalau umi dengan walid nak tahu, Inderalah yang selamatkan angah waktu accident tu.” Aku teruskan juga sesi ice breaking.
Umi dengan walid mengangguk-angguk.
“Accident tu sebenarnya bukan berpunca daripada kecuaian sesiapa. Angah cuba dibunuh sebenarnya, Putera Mahkota yang serang angah masa tu.”
Menggeleng-geleng pula mereka. Kakak usap-usap dada.
“Lepas tu Indera terus bawa angah masuk ke alam bunian. Indera tak izinkan angah balik sini untuk sementara, sebab takut Putera Mahkota serang angah lagi.”
Dengan topik ini, barulah nampak behave sikit manusia-manusia tu semua. Tak ada nak buat perangai bukan-bukan dah.
Nampak susah hati pula mereka.
Aku beritahu pula mereka tentang arwah pak lang yang sebenarnya dibunuh. Dan juga kejadian aku dicampak ke dalam jeram pada malam selepas pengebumian pak lang.
Dekat sini semua orang diam lama. Semua orang berpandangan sesama sendiri.
Bila dah terjawab semua cerita ni, akhirnya Indera menyuarakan isi hatinya.
“Sebelum hantar Kemboja balik sini, saya ada bagitau Kemboja yang saya nak jadi bodyguard Kemboja.”
Semua perhatian tertarik ke arah lelaki itu.
“Sekarang Kemboja kena sentiasa ditemani. Tak boleh sekejap pun kita lalai, Kemboja akan diserang bila-bila masa aje.”
“Iya, umi setuju tu.” Dengan resahnya.
“Tapi tak menyusahkan Tuanku ke?” Walid mencelah.
Indera geleng dan tertawa kecil.
“Tak payahlah bertuanku-tuanku dengan saya. Dekat alam manusia ni, saya cuma manusia biasa aje. Tak ada apa-apa pangkat pun.”
Mereka diam semula.
Aku perhati saja tanpa membantah atau menyuarakan pula pendapatku.
Kalau ikut hati aku, aku nak reject offer tu. Aku tak selesa nak pergunakan orang yang berketurunan bukan calang-calang macam dia, macam tu aje. Rasa macam… ya, tak selesalah!
Tapi nampaknya umi, walid, kakak dan adik tengah berfikir serius pasal benda ni. Tak beranilah aku nak melebih-lebih mencelah atau mengajar mereka membuat keputusan.
Bila tengok semua orang terus senyap tanpa tanda-tanda nak membuat keputusan, aku terdetik hati nak fikir berkenaan kekecohan yang sedang melanda negara ni. Aku ada idea. Idea aku adalah,
“Apa kata angah menyorok aje daripada seluruh dunia? Supaya semua orang fikir yang angah betul-betul dah mati. Sekurang-kurangnya kita boleh tipu Putera sekali yang kononnya angah betul-betul dah mati. Macam mana?”
“Berapa lama nak menyorok?” soal umi.
“Sampai semua orang betul-betul dah lupa terus pada kes ni.”
“Then masa tu baru angah nak pergi kelas balik and jumpa semua orang?”
“Haah. Lagi satu, angah sebenarnya malas nak jumpa media or nak jawab pasal semua benda pelik-pelik yang media dengan orang awam akan tanya nanti. Takkan kita nak bagitau semua orang yang angah dengan Indera bunian? Lagilah kecoh nanti!”
“Hurmm…” Semua orang berfikir-fikir.
“Kalau kita tunggu sampai semua reda, boleh kita fokus pada cara nak kalahkan Putera.”
“Tak boleh, tak boleh. Masa tu, tak kiralah dah lama macam mana sekali pun, kes ni tetap akan kecoh balik. And semua orang lagilah akan pertikaikan macam-macam benda. Lagi teruk angah kena jawab nanti.”
“Apa kata kalau dalam hal ni, kita ignore pasal semua orang tu. Kita just fikir pasal Putera.” Aku masih insist.
Tapi jawapan Indera,
“Putera tahu Kemboja tak mati dalam accident tu.”
“Seriously?” Aku terkejut.
Indera angguk.
“Saya kenal adik saya tu. Cara dia berfikir, mudah aje. Bila bomba sampai sekarang still tak jumpa mayat Kemboja, dengan mudah Putera terus anggap yang Kemboja tak mati, in fact, Kemboja dah masuk ke alam bunian. Siapa yang selamatkan Kemboja? Mestilah saya. Sebab dia tahu saya memang bermati-matian nak lindungi Kemboja.”
“Haah jugak, kan? Logik juga tu.” Semua orang hampir serentak menyatakan persetujuan.
Diam semula ruang tamu itu. Nampaknya betul-betul rumit keadaan ni, sampai semua orang tak jumpa-jumpa sebarang idea yang berpotensi.
Sudahnya umi pandang Indera.
“Indera mesti dah penat, kan? Apa kata malam ni Indera tidur sini ajelah. Esok baru balik rumah.”
Tak semena-mena dengan cadangan umi tu, ekor mata aku seakan-akan ditarik untuk melihat senyuman Joker di muka kakak. Kakak pegang-pegang tangan umi.
“Haah, umi. Yang tu kakak setuju sangat-sangat. Kalau Indera tidur sini, malam ni kakak nak mengorat Indera sampai dapat.”
Mendengarnya, aku terus tersandar dekat backrest kerusi. Picit-picit dahi dan mengeluh kecewa.
“Aku rasa better kau tak payah bercakap langsunglah, weh. Kau cuma menambah burukkan keadaan.”
Kakak jeling aku. Muka tak puas hati.
“Apa?” Aku mencabar.
Dia capai kusyen dan mencampaknya ke arah aku.
“Kau diam!”
Aku tangkap kusyen itu.
Tapi bila tangan aku baru nak letak kusyen itu di ribaan aku, mata aku dah nampak kakak meliuk-lentok serupa sotong depan Indera. Matanya berkelip-kelip dekat Indera. Senyumannya teramat manis.
“Tidur sini malam ni ya, Indera? Oh, Indera nak air? Sekejap ya saya buatkan.”
Tak tunggu jawapan Indera, kakak terus berlari masuk rumah.
Walid dan umi menggeleng aje tengok kerenah anak dara dia orang tu. Kata walid,
“Reti ke dia bancuh air? Dia tu kan tak reti nak beza garam dengan gula pun?”
Umi mengeluh aje. Menggeleng-geleng juga. Pasrah.
Umi pandang Indera lalu tersengih segan.
“Nanti Indera jangan minum air yang kakak bancuh tu, ya? Aunty takut airnya masin pula nanti.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience