BAB 9

Romance Completed 6213

Buat kedua kalinya, aku ditugaskan menghantar barang ke Menara QS Global. Alasan Syafiq sebelum aku keluar tadi…

“Aku tahu kau rindukan abang aku tu. Dah dua minggu tak jumpa dia kan, dan dia pun tak singgah sini lagi. Dengar cerita tengah busy urus projek baru dia. Apartment menghadap KLCC tu baru siap kot tapi dah 80% berjaya dijual. Hebat, hebat. Nah, hari ni stok pen baru Faber Castell yang boleh tolak orang main ragbi ke belakang semula tu dah sampai. Pen favourite Qays. Kau pergilah hantar. Aku jamin, dia nampak kau nanti mesti dia happy punya.”

Syafiq!! Terima kasih sebab memahami. Sayang kau banyak-banyak. Harap-harap masinlah mulut kau ya bila kata Qays Safaraz akan happy jumpa aku serta tak tayang muka ketatnya lagi. Maka dengan semangat berkobar-kobarnya, aku melajukan langkahku ke tingkat tertinggi Menara QS Global kerana di situlah, lelaki yang teringin sangat aku nak jumpa itu berada.

“Ahaa…dah sampai ya? Awak duduk dulu dekat sana. Tuan Qays tengah meeting. Dia beritahu saya tadi kalau ada wakil dari Double SQS datang, dia suruh tunggu sekejap. Dia nak jumpa…”

Dengar tak cakap secretary kedua Qays Safaraz tu? Dia tahu aku nak datang hari ni sebab tu dia nak jumpa aku. Walau sesibuk mana pun dia dengan mesyuarat, dia tetap mahu meluangkan masa dengan aku! Oh, sejak dah pandai nak jatuh cinta semula, aku juga dah pandai nak perasan. Doa sajalah tiada orang yang mempunyai keupayaan deria keenam bekerja di syarikat ni. Kalau wujud orang sebegitu, memang aku tinggal dekat planet Uranus.

Lama juga dia mesyuarat. Aku ingatkan sekejap saja. Bila tengok jarum panjang dekat jam dinding dah bergerak ke angka tiga, aku sedar sudah 15 minit aku menunggunya. Staf-staf di QS Global masih tekun menghadap kerja masing-masing. Semuanya serba pantas dan serius semasa melaksanakan tugas. Tak seperti aku yang kerja di Alat Tulis Double SQS. Ada masa terluang sikit, kami akan bersembang tentang drama terbaru di TV3. Tapi di sini, sembang mereka semua hanyalah mengenai bisnes. Tiada sembang Mak Jemah. Ngeri!

Disebabkan semua orang tengah sibuk dengan urusan masing-masing dan aku ini seolah-olah halimunan bagi mereka, aku mengambil peluang berjalan-jalan melawat keadaan syarikat terkenal ini. Mula-mula aku melawat pantri. Besarnya pantri diorang. Makanan pun banyak. Best betul.

Habis melawat pantri, kini aku sibuk pula meninjau tandas perempuan. Woah….macam tandas hotel. Bersih! Aku jalan lagi dan lagi hinggalah akhirnya perjalanan jalan-jalan cuci mata dekat QS Globalku terhenti di satu bilik khas yang terletak di tepi surau pejabat.

Semua manusia yang sedang bermesyuarat dalam bilik itu sedikit pun tak perasan kehadiranku di situ. Masing-masing sibuk mendengar penerangan seseorang yang sangat berkarisma menunjukkan graf yang tertera di papan putih dari biasan lampu LED. Sesekali si pemberi ucapan mengangguk-angguk bila audiensnya mencelah. Kemudian dia turut serta melihat laptop yang tertera gambar bangunan bertingkat-tingkat seraya memberi buah fikirannya pula. Lepas tu aku nampak pekerjanya turut memberi buah fikiran sendiri sebelum kesemuanya ketawa dan kembali bekerja untuk menghasilkan output yang lebih bagus. Semuanya bekerja dalam suasana yang harmoni, tiada langsung tayang muka stress.

‘Qays sangat dihormati oleh pekerja QS Global. Dan dia disayangi semua orang. Walaupun muka dia kelat macam tu, semua orang suka dia.’

Betul cakap kau, Syafiq. Dia memang disayangi semua orang! Aku dah nampak buktinya.

Mungkin terasa dirinya diperhatikan, tanpa kusedari Qays Safaraz dah pun berdiri tegak menghadapku dari dalam bilik mesyuarat. Termalu dengan tindakan sendiri, aku segera menaikkan tanganku, cakap ‘Hai’ la konon-kononnya. Qays Safaraz tarik senyum nipis.

“Lima minit..”

Aku nampak bibir dia melantunkan kata-kata itu. Dan aku faham maksudnya. Terus aku bawa langkahku ke hadapan semula, menanti kedatangannya dengan hati berbunga-bunga cinta….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience