BAB 10

Romance Completed 6213

Hari ni, aku akan ke Melaka bersama…siapa lagi? Bos QS Global tu la. Patutlah dia cakap suruh aku tunggu dia habis mesyuarat hari tu. Kisahnya, dia nak ajak aku jalan-jalan ke bumi Hang Tuah yang indah lagi permai itu. Ini kali kedua kami keluar bersama. Tiga kot. Campur masa mula-mula dia ikut aku pulang selepas aku tersalah hantar order pennya awal-awal dahulu.

Aku sangat risau nak keluar berdua dengannya. Tapi Qays Safaraz dengan gentlemannya telah datang ke rumah berjumpa ayah aku dan meminta izin mahu membawa aku berjalan-jalan di sana. Ayah aku pula, dengan sportingnya mengizinkan aku keluar dengan syarat, setiap satu jam, aku mesti telefon ke rumah dan beritahu di mana aku berada ketika itu.

Mungkin cara Qays Safaraz yang amat baik sewaktu bertemu ayah membuatkan ayah aku senang dengan perilakunya. Adakah ini petanda baik dalam hubungan yang masih samar-samar ni?

Sampai di Melaka, Qays Safaraz bawa aku melawat satu tempat yang tak pernah orang keluar dating, pergi. Dia bawa aku melawat Tanah Perkuburan. Teragak-agak aku nak mengikut langkahnya menyusuri batu-batu nisan yang terpacak di situ. Rasa insaf menyelubungi diri sewaktu aku melihat beberapa batu nisan yang pecah dan tak diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkenaan. Mungkin anak-anak atau saudara-mara kurang menjenguk kawasan ini menjadikan sebilangannya kelihatan usang sekali. Sedihnya hatiku.

“Assalammualaikum, mama. Qays datang ni. Bawa kawan…..”

Aku terdengar dia menahan sebak sewaktu mengusap batu nisan milik mamanya. Daun-daun kering yang berada di atas hiasan batuan kecil di tengah-tengah kubur mamanya dibuang sehingga bersih. Aku turut membantu Qays Safaraz tanpa perlu disuruh. Ini sajalah yang mampu aku lakukan kerana aku tak mahu mengganggu momen anak-beranak ini berbual walaupun masing-masing kini berada di dunia yang berbeza.

Macam-macam yang Qays Safaraz bualkan bersama mamanya, dari kisah dia yang sudah pindah ke S2 Heights hinggalah kejayaan dia mendapatkan tender bangunan 35 tingkat yang bakal dibina di Bintang Hills, semua diceritakan dengan riang gembira. Cuma aku yang menjadi penonton setia ni pula dah meleleh air mata tengok dia begitu. Tak sangka, kami pun sama, anak yatim yang tidak mempunyai ibu untuk menumpang kasih lagi.

“Qays dah dekat dengan mama. Qays nak beli rumah dekat Melaka tapi sebab ofis Qays jauh sangat dari sini, Qays duduk tengah-tengah. Nanti ada masa terluang, Qays datang lagi jenguk mama ya. I love you and I miss you so much, mama…..I miss you….”

Qays Safaraz menadahkan tangannya untuk sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah mama yang amat dirinduinya. Aku turut sama mengaminkan bacaan dia. Selepas memeluk dan mengucup batu nisan mamanya, dia mengajak aku ke kereta.

Serba-salah aku nak mulakan bicara. Pemanduan Qays Safaraz yang tenang sepanjang kami menuju ke Ayer Keroh, membuatkan aku lebih gemar melayan lagu di radio. Aku pelik. Kalau dia nak melawat kubur mama dia, kenapa tak ajak Syafiq sama? Kan itu mama Syafiq juga. Sudahnya, dari pening memikirkan keadaan itu, aku membuat kesimpulan mungkin Syafiq ada kerja lain membuatkan dia tak dapat ikut serta. Lain kali, aku yakin, dia pasti akan menempel ikut kami ke sini lagi. Positif Dara, positif.

Tempat dating kedua kami, dia bawa aku pergi melawat Zoo Melaka. Pitam. Semua tempat yang menjadi pilihan Qays Safaraz semuanya memang tersasar dari menjadi tempat kegemaran untuk pasangan pergi dating. Maka, berkawanlah aku bersama burung kakak tua, buaya, memerang, siamang, orang utan, ular, harimau, singa, zirafah dan kuda selama hampir 4 jam lamanya. Siap kami sempat tengok pertunjukan ular, gajah dan burung lagi.

Best betul. Kiranya, tak adalah teruk sangat pun dating dekat Zoo kan? Banyak aktiviti boleh kami lakukan di sini dan buat pertama kalinya juga, aku berjaya memegang ular albino dan bergambar dengannya. Sejuk betul ular warna kuning tu. Dahlah berat. Masa Qays Safaraz tunjukkan gambarku yang dirakamnya, nak tergelak aku tengok muka aku yang pucat lesi serupa kulit ular tu juga. Aishhh…geli tau.

Penat jalan-jalan di Zoo Melaka, akhirnya Qays Safaraz bawa aku tunggang basikal mengelilingi Tasik Ayer Keroh. Suasana yang santai dan mendamaikan membuatkan aku rasa tak mahu memori ini berakhir. Kalau boleh, aku nak naik basikal dengannya sampai ke Kota A’ Famosa. Ditambah-tambah pula, kawasan rekreasi air ini dipenuhi dengan pelbagai golongan sedang beriadah bersama yang tersayang. Semuanya ceria, seolah-olah aku pun turut merasai kegembiraan orang-orang itu.

“Saya tak suka pergi shopping, Dara Hani. Tengok wayang pun saya tak suka. Sorry kalau rasa jalan-jalan dengan saya membuatkan awak penat.”

Dia bersuara sewaktu kami berhenti rehat di bawah pohon yang rendang. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, menggamit rasa tenang di hati ketika ini.

“Taklah. Tak penat pun. Saya suka lagi macam ni. Buat benda lain daripada yang lain dari kebiasaan. Pergi shopping tu kita hanya cuci mata tengok baju, tengok orang ramai bersesak-sesak membeli-belah, restoren….tapi dekat Tasik Ayer Keroh, kita boleh tengok pemandangan, tengok orang berkanu, naik basikal. Tak membosankan pun. Best je….” Terangku sambil mencabut pokok-pokok kemuncup yang berada berdekatan tempat aku mendudukkan diri. Saja nak tolong rakyat Melaka memperindahkan lagi bumi mereka. Tak salah pun.

“Encik Qays. Kalau saya nak tanya sikit boleh?”

“Tanya apa?” Soalnya seraya menoleh ke arahku. Aku tarik nafas perlahan.

“Dah berapa lama mama Encik Qays meninggal?”

Dia tunduk seketika sebelum kembali merenung jauh ke tengah tasik.

“Sejak umur saya 8 tahun.”

“Ooo…sekarang umur Encik Qays berapa?”

“Saya tua 3 tahun daripada Syafiq.”

“33?” Tekaku. Dia mengangguk. “Maksudnya, masa Syafiq umur 5 tahun la mama dia meninggal ya? Kesiannya. Mesti encik dan Syafiq sedih kan? Ya la. Kecil-kecil lagi mama encik dah pergi. Tak puas bermanja lagi. Mama saya meninggal masa saya nak ambil exam SPM. Walaupun dah besar tapi saya memang terasa sangat kehilangan tu. Rasa hidup ni tak bermakna dan sunyi….”

Senyap. Dia lebih banyak melayan perasaan sendiri. Canggung betul aku dengan suasana yang berubah sepi secara tiba-tiba ini. Dalam aku termenung tak tahu nak borak apa lagi, tetiba aku teringat cerita Khayla dulu. Agak-agak dia marah tak kalau aku tanya soalan sensitif padanya?

“Saya tahu Khayla mesti ada cerita benda yang tak sepatutnya pada awak. Dan sekarang ni awak nak sangat tahu kesahihan cerita tu kan?”

Ngee…kantoi pulak. Qays Safaraz kembali menoleh padaku. Kali ni dengan tubuh-tubuhnya sekali dibawa menghadapku. Kelu aku bila dia dengan renungan lembutnya memandang aku tak berkelip.

“Kalau awak sudi nak dengar kisah silam saya, saya rela berkongsi.”

“Nak! Saya nak tahu sangat….”

Dan aku terus mendengar cerita Qays Safaraz tanpa tertinggal sedikitpun. Peliknya, aku yang menangis beria-ia selepas tahu apa yang berlaku dalam hidupnya selama ini. Dia hanya mampu ukir senyuman nipis. Tak sangka, orang yang aku nampak begitu sempurna kehidupannya dilimpahi rezeki yang takkan pernah habis sampai bila-bila, rupa-rupanya menanggung seribu satu duka dalam diri. Tuhan…izinkan aku menyayangi lelaki ini. Aku mahu sayangkannya sepenuh ragaku….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience