BAB 4

Romance Completed 6213

Selepas insiden jatuh katil sebab terkejut dengar bunyi jam loceng sendiri, Syafiq makin galak menyakat aku. Ada saja modalnya nak kenakan diri ini. Pekerja-pekerja semua dah buat gosip tentang aku dan bos aku ni sampai naik rimas aku. Hakikatnya, baik aku mahupun Syafiq, kami berdua hanya kawan baik saja pun. Bukannya bercinta seperti yang mereka gembar-gemburkan.

Setiap kali aku adukan pada Syafiq tentang sindiran rakan sekerja, ini saja jawapan yang Syafiq beri…

“Mulut orang. Mana boleh nak tutup. Buat dek je. Janji Allah, aku dan kau tahu makna hubungan kita sebenar.”

Syafiq positif orangnya. Tapi…aku nak juga suasana tempat kerja ini harmoni. Orang tak sakit hati denganku dan aku pun boleh bekerja dengan gembira. Namun, bila mereka terus-terusan memulaukan aku, aku mula terasa nak jarakkan diri daripada Syafiq. Bila Syafiq sedar aku mula nak jauhkan diri daripadanya, naik angin mamat tu dengan aku. Terus satu hari tu, dia conquer masa rehat makan tengahari Munib, Pojie dan Feeya semata-mata nak buat mesyuarat tergempar.

Katanya, kalau sesiapa berani bergosip tentang aku dan dia lagi selepas ni, ketiga-tiga pekerjanya ni akan diberhentikan serta-merta tanpa gaji. Nak melalak masing-masing sewaktu memohon kemaafan padaku. Aku sedar. Syafiq ni dalam lembutnya ada tegas juga. Gaji yang diberi pada pekerjanya bukan sikit. Banyak tu. Sama banyak dengan gaji cikgu. Patutlah semua pekerjanya tak mahu berhenti dari kerja di sini. Yalah. Mana lagi tempat nak kerja senang tapi gaji tinggi? Bos hensem dah satu bonus. Di Alat Tulis Double SQS ni sajalah kita boleh jumpa. Heheh!

“Rara! Dah tiga bulan kan kerja sini?”

Rara? Ya Allah…Fiq, jangan kau ingatkan luka lama tu. Hati aku baru nak sembuh ni.

Tapi kejap. Tiga bulan? Ye ke tiga bulan aku dah kerja? Rasanya aku baru saja report pada mamat ni bulan lepas. Itu pun pertengahan bulan. Tambah tolak tendang semuanya, tak sampai 20 hari aku kerja dekat kedai Alat Tulis Double SQS pun lagi. Apa kes dia kata dah tiga bulan?

“Nama aku Dara la. Bukan Rara. Sesuka hati kau je kan nak ubah nama aku? Hah..apahalnya kalau aku dah kerja tiga bulan pun?”

Syafiq S, sumpah sampai sekarang aku tak tahu apa nama kedua dia dekat belakang tu, dah tersengih-sengih tayang gigi. Satu invois dan senarai barang yang perlu dihantar pada pelanggan diletakkan atas tangan aku. Berkerut keningku sewaktu berlawan mata dengannya. Apakah?

“Tolong hantar parcel dekat company ni. Aku dah masukkan semua barang dalam van tapi tetiba dapat emergency call daripada bapak aku, mintak hantar dia pergi hospital pulak. Dia tengah bergulung-gulung sakit perut dekat rumah tu. Munib keluar bayar bil. Feeya dan Pojie pulak takde lesen. Kau sorang je la penyelamat yang aku ada sekarang. Tolong ek. Secretary bos company tu dah telefon aku banyak kali tadi kata pen diorang dah habis. Bos diorang tak masuk office lagi. Tahu kat bos barang dah takde, mahu satu company tu meletup. Tolong ye. Aku mintak tolong sesangat ni.”

Hantar order? Aduhhh…aku sangat-sangat tak suka nak redah jammed lepas Plaza Tol Sungai Besi tu. Dahlah peak hour waktu ni. Orang balik makan tengaharilah katakan. Kenapalah malang sangat nasib aku? Patutlah nak datang kerja hari ni aku tak sedap hati. Rupa-rupanya nak kena buat kerja luar. Adu~ hai!

Aku rasa nak mengelat dan otak sudah mula merancang untuk beri pelbagai alasan tak munasabah, namun melihat muka sedih Syafiq yang minta kasihan tu membuatkan hatiku cair dan tak sanggup nak hampakan permintaan dia. Terus, invois yang aku pegang sedari tadi ku baca dengan teliti. Perkara paling utama sekali, aku nak tahu company mana yang punya bos pelik akan berangin bila stok pen dah kehabisan. Poyo je.

“Wuii…Syafiq. Biar betul company ni berurusan dengan kita?” Ucapku setelah terkejut beruk melihat nama syarikat yang tertera.

QS Global. Terkenal betul syarikat ni pada aku dan teman-teman yang mengambil subjek BBA di UPM. Aset cecah billion ringgit. Belum campur nama mereka yang gah tersenarai di papan utama Bursa Malaysia. Mabeles. Opp, lupa nak cakap. Mereka ni developer. Bangunan tinggi-tinggi dekat KL ni kebanyakannya mereka la yang conquer selain bersaing rebut projek dengan anak-anak Naza.

Pernah sekali encik bos tu datang fakulti aku untuk beri talk tentang cara-cara memulakan perniagaan bagi bakal graduan. Nampak muka encik bos tu macam baik. Tua pun dah tua. Ish, macam tak logik je uncle Dato’ tu akan mengamuk sebab pen. Saja nak bikin panas kot si Syafiq ni? Tak percayalah aku.

“Dah 10 tahun dah pun QS Global beli stationaries dengan kita. Awat? Tak percaya company besar boleh beli kat kita ka? Hang jangan nak bikin aku panas beb. Sungguhpun kedai ni kecik aja, yang datang beli bukan calang-calang orang tau. Haa…” ucap Syafiq kendur, seakan berjauh hati.

Haish!! Merajuk pula dia ni. Aku mencemik pada Syafiq sebelum memaniskan mukaku padanya dengan harapan si kacak yang nampak perkasa di luaran namun lembut dalamannya akan sejuk hati.

Misiku berjaya. Sekelip mata, muka merah masam Syafiq kembali riang seperti sedia kala. Dia memang lelaki the best in the world. Pasal tu aku dan Syafiq boleh jadi bestfriend. Dia takkan pernah nak merajuk lama-lama. Sifat yang satu ni yang membuatkan aku senang berada di sisi Lee Soo Hyuk celup ini. Sama seperti Ukail dahulu….aah…Ukail lagi…

“Kedai ni dah berapa tahun?”

Tanyaku sambil berusaha menepis bayang lelaki yang kini hanya tinggal sejarah setelah dia memutuskan untuk tidak lagi berkawan dengan aku selepas dia berkahwin. Sedangkan dulu, dia juga berjanji nak bersahabat dengan aku buat selama-lamanya. Siap bagi cincin daun kelapa sebagai tanda persahabatan kami lagi. Tak sangka, dia juga yang memungkiri janjinya padaku.

Aaah, sudahlah Dara. Usah dikenang kisah lalu. Aku kena move on. Ramai lagi lelaki dalam dunia ni yang boleh dibuat sahabat. Contoh terdekat, Syafiq. Ukail Asyfar dah jadi sejarah yang tak akan kuulang lagi kisahnya. Semuanya dah tamat. Jangan diingat lagi lelaki itu.

“10 tahun.” Balas Syafiq sambil mencoret-coret sesuatu atas kertas memo.

“10 tahun? Eh…maksudnya. Masa kedai ni baru bukak, QS Global dah beli barang dengan kita la ya?” Soalku masih tak percaya.

Syafiq masih menunduk penangan menulis nota panjang lebar namun pertanyaanku dibalas dengan anggukan laju-laju.

“Hebatnya. Kau lobi ek, Syafiq?”

“Choii!! Takde maknanya aku nak melobi la. QS Global ni memang suka bantu bumiputera macam kita yang baru nak berbisnes ni dengan bagi suntikan modal sikit. Dulu ada la juga bap…errr…Dato’ Razeef tu nak kasi aku dana tuk lebarkan lagi bangunan ni tapi aku tolak. Aku mintak diorang beli barang je dengan aku sebagai ganti. So, diorang setuju….habis cerita.”

“Melobi la jugak tu. Tolak duit, tapi mintak beli barang dekat sini. Siap jadi supplier lagi tu.”

“Otak kena pantas beb. Haha…”

Aku senyum senget. Ceria betul budak seorang ni. Bila Syafiq hulurkan sampul surat putih tertulis nama Mr Boss, Qays Safaraz di atasnya, hatiku mula rasa tak enak. Kenapa lain macam nama encik bos tu? Bukan encik bos ada gelaran Dato’ ke? Ni jauh panggang dari api ni.

“Mana satu bos ni?”

“Kan aku ada tulis nama dekat situ.” Juih Syafiq seraya mencapai helmet di almari belakangku. Tertoleh aku mengikut gerakannya.

“Qays Safaraz?”

“Iyup.”

“Dato’ Razeef?”

“Retired. Company tu anak dia yang pegang sekarang.”

Qays Safaraz. Aku mengulang sebut nama si anak. Peliknya nama.

“Lelaki ke perempuan?”

“Lelaki.”

Kini aku dan Syafiq dah pun berada di luar kedai tiga tingkat milik Syafiq. Sebelum keluar, Syafiq pesan pada Pojie dan Feeya tuk jaga kedai. Jangan mengelat duduk dalam stor layan Instagram dan update gambar duckface saja. Tertunduk budak dua orang tu kena perlian si Syafiq.

Ketika Syafiq dah bersiap-siap duduk atas Ducatinya, aku menjadi semakin resah. Seketika mata kami bertentang. Kening Syafiq dah terjongket naik ke atas kerana aku masih sibuk menempel di sisinya.

“Tak pergi lagi ke? Tick tock ni babe. Time is money. Money is money. Kau berangan dan tak buat kerja, duit-duit tu semua hilang.”

“Duit tol?” Kataku sambil menadah tangan.

“Berkira….” Bebel Syafiq seraya mengeluarkan dompet dari saku jaket.

Dua not lima puluh ringgit dihulurkan padaku. Aku julurkan hujung lidah. Haruslah berkira kan. Ni bukan tugas asal aku pun. Aku cuma menggantikan dia menghantar barang.

“Banyak lebih ni, Syafiq. Kau bagi aku tips ke ni?” Balasku sambil seloroh-seloroh. Syafiq buntangkan biji mata bulatnya.

“Banyaklah kau punya tips. Tu buat belanja beli Jco untuk Qays. Oreology kau beli lima biji, Tiramisu dua, Choco Caviar beli lebih sikit la…dalam tujuh atau lapan…yang chocolate punya tau…tak mau strawberry. Ingat. Coklat. Strawberi namo. Lagi….Don Moschino empat ketul dan Heaven Berry sebiji. Qays kurang suka strawberi. Setakat satu tak jadi masalah.”

Begitu pantas Syafiq menambahkan beban di dalam kepala otakku. Aku dah ternganga besar. Ni apa kes kena beli Jco untuk bos baru QS Global pulak ni? Tak ada dalam senarai tugas aku masa minta kerja pun. Aku tak mahuuuu!!!! Aku bukan kuli Syafiq mahupun Qays!!!

“Iced Mocha beli sekali ek. Large punya, add whipped cream. Beli satu je. Untuk Qays.”

Dia tambah order lagi?? Sah darah aku dah mendidih. Mendidihhhh….

“Kalau kau nak minum, beli la sekali kau punya. Aku rasa cukup duit tu. Kalau tak cukup kau tambah dulu duit kau, nanti aku ganti. Okay kan? Alright….langsai! Aku gerak dulu. Thanks babe. See you soon. Kirim salam Qays ya.”

Dan sekejapan, tak sempat aku nak melampirkan amarahku, aku dah makan asap kepul-kepul Ducati Merah Hitam si Syafiq. Kurang asam punya bos kecik. Pantas kau melarikan diri ya?

“Syafiq!!!!!”

“Tengok fon. Aku ada bagi mesej. Daaaa!!!!!” Jeritannya bergema sebelum motosikal berkuasa tingginya semakin laju dan jauh dari pandangan mata.

Sambil mengutap sakit hati, aku keluarkan Galaxy Y Hello Kitty dari poket seluar. Satu mesej nyata kuterima daripada Syafiq. Terus aku buka dan baca. Dan saat habis saja menghadam perkataan terakhir mesejnya itu, biji mata aku terus tersembul keluar. Buru-buru aku masuk ke dalam van dan hidupkan enjin. Menderam saja bunyi van putih ini, terus aku masuk gear satu sebelum tukar ke gear empat sekaligus. Lantaklah. Harap jangka hayat kau lama ya, van.

Tick tock. Time is money, money is money.

Suara Syafiq bagai terngiang-ngiang di cuping telinga. Malah mesej kirimannya turut berlegar-legar mengelilingi kepalaku.

Qays is a complicated man. He never smiles. Dear…Qays masuk kerja pukul 2.45 petang. Kalau tak mau jumpa dia, better make a move. NOW!!!!!

******************************************

“Pakcik!!! Dekat mana lif?”

Dengan troli kutolak rakus, aku mendapatkan pakcik pengawal keselamatan yang bertugas di luar Menara QS Global. Orang ramai yang lalu lalang depan bangunan setinggi 21 tingkat ini turut memberi laluan kepadaku. Ada yang menggeleng, tak kurang juga ada yang menggelakkan aku.

Aku malas nak ambil peduli bisikan sinis mereka. Yang aku kejarkan sekarang ni masa. Ya, masa yang hampir menganjak ke pukul 2.45 petang. Buat pertama kali dalam sejarah hidupku, aku sangat-sangat menghargai detik yang berjalan. Seminit yang berlalu kurasakan satu kerugian jika tak diisi dengan larian sepantas Usain Bolt di Kejohanan Olahraga Dunia IAAF.

“Sebelah kanan dekat pasu besar sana.” Beritahu Pakcik Guard sambil buat muka blur. Jarinya tertunding ke arah kanan. Aku sengih sampai ke telinga.

Mungkin pakcik ni pun terkena sindrom terkejut tengok muka gelabah aku tak? Larian setempat tak henti-henti sejak aku punggah Jco, Mocha dan kotak berisi bekalan alat tulis naik atas troli. Berpeluh habis aku kala ini. Harap-haraplah air cond QS Global ni sejuk macam dekat Kutub Utara. Badan dah berlengas. Sangat-sangat tak selesa.

“Okay, terima kasih pakcik!”

“Dik, jangan lupa ambil pas tau sebelum naik!!!!”

Sayup-sayup suara pakcik itu kedengaran. Aku naikkan ibu jari kanan tinggi-tinggi ke udara, tanda faham pada peraturan syarikat ini jika mahu berhubung dengan staf di tingkat atas. Payah kan nak masuk company besar-besar? Syarat ketat habis.

Aku pun asalnya dah nak kena tahan dengan pakcik guard tu awal-awal tadi, tapi bila dia tengok nama Alat Tulis Double SQS yang terpamer dekat pintu sebelah pemandu, terus pakcik ni bagi aku parking van betul-betul depan pintu masuk utama menara. Kelas kau Syafiq. Kedai kau yang suam-suam indah tu besar pangkatnya bila sampai dekat QS Global. Boleh rembat parking VVIP. Hebat!

Aku menanti dengan penuh kesabaran, separuh saja pun, menyelesaikan segala permintaan di kaunter reception. Leceh gila. Sampai lesen memandu aku pun mahu dipegang sama. Kata staf QS Global lagi, sebab aku bukan Syafiq, maka urusannya makan masa sikit.

Kalau Syafiq yang datang tadi, dia tak perlu melalui prosedur ini sebab dia merupakan regular supplier dan dikenali semua orang jadi dia ada unlimited access pada QS Global. Aku mengangguk faham. Sebab cik staf yang jelita ini sebut berterabur ayat Inggeris, maka sel-sel otak yang berhubung pun turut menusuk ke fikiran ini dengan ayat omputih saja. Apa-apalah. Janji aku faham apa yang dia cakap sudah.

“Stop the lift!!!!”

Tangan kanan terngadah ke depan. Dramatik sungguh aku sewaktu menjerit pada seseorang yang berada di dalam lif supaya menekan butang hold terlebih dahulu. Keluar terus ayat Inggeris ke laut aku. Si lelaki yang segak bersut hitam dengan muka tak berperasaan meletakkan ibu jarinya ke butang yang kufikir ‘hold’ untuk menghentikan lif itu dari terkatup rapat. Sambil tersengih-sengih, aku membetulkan topi yang dah senget ke tepi lalu menolak troli masuk ke dalam lif.

“Thank you.”

Alang-alang dunia korporat di sini mengutamakan ayat English Putera William, slanga aku pun jadi dalam tetiba. Lelaki berkot hitam ini tidak menjawab. Mukanya ketat seribu. Aku yang malas ambil pusing kenapa dia jadi begitu kembali merenung ke depan. Tatkala mata aku tancap pada manusia-manusia yang sekadar pegun di depan lif, masing-masing seakan kecut melihat aku dan figura di sebelah aku ini.

“Tak nak masuk ke?” Tanyaku beramah mesra.

Macam kawad, semua yang berada di luar lif pakat menggeleng ikut rentak dan terus mengosongkan ruangan di hadapan lif yang masih terbuka luas. Ades. Apa kes ni? Takkan lif ni berhantu pulak? Bikin aku seram je.

“Kalau orang tak nak masuk, tak perlu diajak. Nak bermesra pun, tengok la waktu dan keadaan.”

Si dia di belakang aku tanpa pengenalan diri tetiba bersuara. Kaku aku pabila suara garaunya itu memenuhi segenap ruang lif. Kuat sungguh. Bergema bunyinya membuatkan dadaku seiring dengan gegaran di ruangan empat segi ini, bergetar kuat. Terus aku sengetkan kepala, membalas renungan pembunuh si dia. Mak oi. Tajamnya mata. Kalah paruh burung helang. Muka boleh tahan macho tu pula langsung tak nak senyum. Siapa dia ni agaknya? Poyo abes.

“Nak pergi tingkat berapa?” Soalnya lagi masih utuh tak mahu menguntum senyum.

Aku masih dalam dunia khayalanku. Hmm…kalau nak dikira, handsome lagi bos kecik tempat aku kerja tu, Syafiq. Air muka Syafiq lembut saja walaupun tengah masam. Mungkin sebab kerjanya hanya mengacau orang dan buat orang ketawa, menjadikan Syafiq seorang lelaki jambu dan awet muda sentiasa. Tak sedar tu. Kurang seminggu lagi masuklah umur dia 30 tahun. Tapi sebab dia comel, aku selalu salah anggap dia muda dari usia sebenar.

Mamat pakai sut hitam ni pula, dahlah mahal nak senyum. Bila dia buat muka dingin begitu, bertambah-tambah super duper tak handsomenya dia. Haish. Tak baik mengutuk ciptaan Allah, Dara. Semua ciptaanNya, tiada yang kurang. Semuanya indah belaka. Insaf.

“Tingkat berapa cik?” Tegas si mata sepet ini lagi. Macam mata Korea asli tak pakai eyeliner. Terkebil-kebil aku sewaktu memandang jari panjangnya masih melekap pada salah satu nombor di dada lif.

“Dua…dua puluh.”

Tergagap pula suaraku. Dia yang tak kuketahui namanya semakin mengerutkan dahi.

“Mana satu betul? Dua ke dua puluh?”

Kembar Il Divo betullah mamat ni. Asyik terkejut saja aku dengar nadanya yang semedang tinggi.

“Dua puluh!” Balasku tegas.

Tet!

Bertanda merah butang bernombor 20 itu ditekan lelaki ini. Aku curi-curi pandang aras mana dia mahu pergi. Tiada nombor lain bertanda merah. Hanya 20 itu saja yang bernyala. Nampaknya kami menuju ke destinasi yang sama. Mesti pangkat dia tinggi dalam QS Global. Pasal tu dia duduk tingkat atas sama dengan bos Qays Safaraz yang mempunyai nama pelik dalam dunia tu.

Bila lif kurasakan lama sangat nak menjejak tingkat 20, mata aku mula tak reti nak duduk diam. Sibuk dia memerhati biasan tubuh lelaki yang masam mencuka pada dada lif bersalut emas ini. Seketika anak mataku tancap pada sesuatu di sut miliknya. Terus aku toleh untuk dapatkan lebih kepastian.

“Errr…sut encik basah tu. Nampak macam melekit. Nak sapu tangan? Saya ada.”

Baiknya aku nak menghulurkan bantuan. Namun lelaki berwajah ketat ini sedikit pun tak berminat nak berbual denganku. Hanya dengan deheman, aku mendapat hadiah pertama. Jelingan penuh berapi daripadanya. Sombong giler!

Malas dicop orang tak faham bahasa, aku kembali memegang kejap handle troli. Dua tingkat lagi kami akan sampai ke tingkat 20. Bolayan sajalah mamat ni. Tak sabar nak selesaikan tugas menghantar barang. Lepas tu aku nak balik kedai!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience