BAB 11

Romance Completed 6213

“Makcik!! Sembabnya mata. Berapa kilo bawang kau bawak menumis ni?”

Permulaan minggu bekerja, aku pergi kerja pakai cermin mata tak ada power. Tu pun aku rembat cermin mata sepupu aku. Syafiq kelihatan risau melihat muka aku yang langsung tak bermaya. Aku perhati saja tingkahnya yang sedang memasukkan helmet Ducatinya ke dalam almari pekerja belakang aku ni.

“Syafiq….kenapa kau tipu aku?” Tanyaku kembali nak melelehkan air mata.

“Tipu apa?”

Melihat mata aku dah dipenuhi air, Syafiq segera mengeluarkan sapu tangannya dan memberi padaku. Aku ambil lalu lap kering-kering mata yang sudah bocor ini.

“Pasal abang kau.”

Dia terdiam. Dapat aku baca riaknya yang bersalah itu.

“Babe, sorry. Memang aku akui, aku ada niat nak satukan korang berdua. Aku suka kau. Serius, aku suka kau. Bila aku tengok kau, aku nampak abang aku. Aku nak Qays bahagia dan aku tahu kau boleh beri dia bahagia. Kau dah tau ek isi memo yang aku suruh kau serah kat dia dulu? Hee…kalau sebab surat tu kau menangis teruk macam ni, aku mintak maaf bebanyak. Aku tak sangka pulak kau akan sedih. Sorry babe, sorry.”

“Tak…bukan pasal memo. Kalaupun bukan kerana memo tu, aku tetap nak ngorat Qays sebab aku dah jatuh cinta pada dia.”

Syafiq yang terkejut mendengar pengakuan aku dah terlopong. Mulutnya langsung tak boleh dikatup-katup dah. Tak tentu arah lagaknya sambil mengulang sebut ‘Yes’ berkali-kali. Segan pula aku sebab terlanjur menyebut aku cintakan Qays Safaraz sedangkan Qays, aku tak pasti dia sukakan aku ataupun tidak. Mungkin dia hanya menganggap aku ni teman baiknya saja. Sedih.

“Ya Allah. Syukran babe. Aku tak tahu nak ucap apa lagi pada kau. Terima kasih sebab sukakan abang aku….”

“Maksud kau, abang tiri kau?”

Tiri? Syafiq berhenti meraikan pengakuan Dara Hani. Direnung mata Dara Hani yang berkaca-kaca. Dia tak pernah cerita status hubungan mereka adik-beradik pada sesiapapun. Di kalangan teman-teman korporat papanya pun tak tahu Qays Safaraz tu adalah abang tiri pada Syafiq Safaraz. Ni mesti….

“Qays dah ceritakan semuanya pada aku. Tentang dia yang tak pernah dianggap anak oleh papa kau.”

“Dia tetap abang aku, Rara. Abang kandung aku. Darah dia dan aku sama. Aku tak pernah anggap dia adik-beradik tiri walaupun mama kami bukan orang yang sama….”

“Mama yang tak sama tapi kenapa papa kau tak suka dia? Dan Safaraz tu…nama sama tu. Aku tak faham.”

Syafiq mengeluh. Dia malas nak buka pekung keluarga sendiri tapi kerana orang itu akan menjadi bakal kakak iparnya, akhirnya dikuatkan hatinya untuk bercerita. Harap Dara Hani akan terima kenyataan ini dengan lapang dada.

“Qays sebenarnya bukan anak yang dimahukan papa aku, Rara. Dia lahir atas keterlanjuran papa aku dengan mama dia. Kecoh dulu dalam family atuk aku, bercinta dengan kakak, tapi kahwin dengan adik. Dulu papa aku bercinta dengan ibu aku. Tapi bila ibu aku buat perangai, papa aku kecewa, mengadu pada mama Qays. Masa mama Qays pujuk papa aku tu la, mereka terlanjur.

Cis, bila aku ingat balik cerita ni, aku jadi menyampah dengan papa aku. Kalau bukan salah dia, Qays yang tak bersalah tu takkan lahir kat dunia ni. Kau tahu tak? Sebulan sebelum Qays lahir, papa aku ceraikan Mama Safa. Teruk kan? Isteri nak lahirkan anak dia, dia boleh pergi cerai pulak.

Mama Safa terlalu kecewa dan berlaku komplikasi masa melahirkan Qays. Dia koma, tak pernah bangun-bangun. Atuk aku berkeras tak mahu cabut mesin sebab dia nak Qays kenal siapa mama dia dulu. Bila Qays dah 8 tahun, dia rasa dia dah cukup kuat nak terima kehilangan. So, masa tu la doktor hentikan mesin nyawa Mama Safa. Lepas ceraikan Mama Safa, papa aku kahwin dengan ibu aku.

Mama Qays namanya Safa Marwah. Ibu aku Safarina. Nama mereka ada Safa. Sebab tu bila aku lahir, aku ada Safaraz juga. Cerita keluarga kami ni memang complicated. Aku jamin kau mesti pening. Tapi tu la…walau apapun yang terjadi, dia tetap abang aku. Abang yang aku kasih sampai syurga. Walaupun papa kami benci dia, aku dan ibu aku sayaaaaang sangat pada Qays. Qays baik. Sangat baik. Kau tahu kan dia jarang senyum. Kadang-kadang tak senyum langsung?”

“Kenapa?” Tanyaku sambil menyeka sisa air mata. Itu ceritanya. Cerita yang membuatkan Qays terhenti semalam dan terus mengajak aku balik KL semula.

“Sebab…papa aku kata dia hodoh bila senyum.”

Allah. Sampainya hati Dato’ Razeef. Jadi, imej lelaki baik yang dia tunjukkan pada kami semasa beri ceramah di universiti aku dulu hanya pura-pura sajalah ya?

“Dan lagi….sejak kecil, kami selalu dibanding-bandingkan oleh kawan-kawan papa aku. Bila diorang tengok aku, diorang semua puji aku comel, handsome dan bila besar nanti, mesti cantik dan handsome macam ibu dan papa aku. Tapi…bila diorang tengok Qays, semua keji dia. Aku sakit hati bila orang pandang kita pada paras rupa.

Mungkin hidung Qays tak semancung aku. Mungkin juga dia tak ada mata besar sikit macam mata aku. Tapi…kalau kau tengok hati dia…kau akan nampak. Hati dia la yang paling suci sekali. Hanya kerana dia lahir bukan dari ikatan yang suci, tak bermakna dia tu kotor. Kadang-kadang pilu hati ni bila aku nampak Qays mengendeng pada orang yang puji aku dengan harapan dia akan dipuji sama selepas tu. Selalunya kekecewaan yang dia dapat bila orang tu hanya buat tak nampak kewujudan dia. Kesian kan?”

Syafiq dah tersenggut-senggut menangis. Pertama kali aku tengok dia dalam keadaan begini. Nampaknya dia benar-benar sayangkan abangnya tu. Aku ketap bibir menahan tangisku daripada terkeluar lagi. Tapi air mata memang tak mahu berkompromi denganku. Tetap juga dia mengalir. Haih, nampaknya sampai balik kerjalah aku pakai cermin mata tak ada power ni. Mata dah sepet kurasa.

“Kau janji jangan main-mainkan abang aku. Jangan pandang jijik pada dia lepas kau tahu siapa dia sebenarnya. Kau janji tau.”

“Aku janji…..perasaan aku ni tetap sama pada dia. Malah, lepas aku tahu cerita kau ni, hati aku makin sarat dengan rasa cinta buat dia. Aku nak kongsi rasa sedih dia lagi. Aku nak cuba beri kebahagiaan yang tak pernah dia terima selama ni. Aku nak sayangkan dia.”

“Good…Qays beruntung dapat kau. Nanti aku bagi memo lagi dekat dia. Kali ni aku nak mintak dia pinang kau cecepat.”

Dalam sibuk-sibuk mengesat air matanya tu sempat juga dia berseloroh. Aku turut tertawa.

“Kau tulis apa sampai buat Qays nak kawan dengan aku?”

“Aaa…part tu aku serahkan pada Qays untuk bercerita. Aku dah penat jadi penglipurlara. Nak pergi basuh muka. Kau la ni. Tengok. Tak pepasal tak ganteng dah aku. Menangis macam perempuan. Damn!”

Tawaku meletus lagi. Sudahnya, aku ikut Syafiq pergi ke pantri untuk basuh muka memandangkan kedai kami mula dibanjiri orang ramai yang mahu membeli kelengkapan alat tulis. Qays…berikan saya kesempatan untuk meluahkan isi hati ni pada awak. Boleh?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience