BAB 7

Romance Completed 6213

Hari ini, anak kedua Dato’ Razeef tak masuk kerja. Sakit perut katanya. Uh, geramnya aku. Dah aku ingatkan dia semalam, perut kosong jangan makan rebung banyak-banyak. Ini tak. Munib beli gulai perut campur rebung, si Syafiq dengan gelojohnya belasah semua rebung yang ada. Langsung tak dikongsi dengan kami berempat. Sudahnya, badan sendirilah merana.

Aku pun tak tahu sama ada nak kasihankan dia atau gelakkan dia sampai berguling-guling atas lantai, aku pun tak pasti. Tapi bila dengar suara dia yang lemah semacam dalam telefon tadi, timbul pula rasa kasihan. Lain kali aku kena lantik Kevin Zahri jadi part time nutritionist dekat kedai ni. Biar dia bagi nasihat pemakanan seimbang pada Syafiq setiap hari. Sakit betul hati aku bila orang susah nak makan nasihat dan asyik ikut kepala dia saja. Bengang!

“Kak Dara.”

Pojie yang aku tugaskan menjaga kaunter pembayaran muncul mendadak secara tiba-tiba di tingkat 2, tempat aku sedang menyusun novel baru ke rak buku. Serta-merta aku dongakkan kepala. Jelas muka Pojie yang resah dan gelisah semacam.

“Kenapa?”

“Ada orang datang.”

Gelisah lagi. Kali ini disertai garu-garu lehernya yang jinjang. Aku segera tolak kotak berisi novel Lihat Aku Di Matamu ke tepi dinding. Kasi kemas supaya pelanggan tak langgar jika aku letak merata-rata. Buku tu. Ilmu. Berdosa tau kalau kita sengaja sepak. Selesai mengemas, aku segera membuntuti langkah Pojie yang laju menuruni anak tangga. Kalau Pojie tak boleh kawal sendiri orang yang datang ni, selalunya dia akan minta aku uruskan.

Ini mesti ada orang nak pulangkan buku atau barangan rosak ni. Walaupun dah jelas syarat dan terma bahawa kami takkan bertanggungjawab atas barang rosak yang telah dibeli, tetap juga ramai yang buat aduan. Tapi separuh aduan tu ada juga yang dibuat-buat. Beli dekat tempat lain, tapi tuduh kami supply barang tak berkualiti. Sabar sajalah.

Sampai di mata tangga terakhir, kaki aku terus terpaku atas lantai. Kejung aku jadinya saat menangkap susuk tubuh seseorang yang kemas lagi segak dalam persalinan kerja korporatnya sedang serius menenung meja kaunter. Tangannya tersisip kemas dalam poket seluar. Dah macam Cyclops pula aku rasa. Tenung sampai boleh tembus meja itu. Punyalah tak berkelip-kelipnya dia pandang. Tak pedih ke mata dia?

Bagai terasa kehadiran aku di tangga, Qays Safaraz terus mengangkat muka. Seperti biasa, renungan dia sentiasa tajam macam katana Roronoa Zoro. Tersentak terus aku bila ditenung tanpa amaran itu. Bila Qays Safaraz menggamit aku supaya datang ke arahnya, bagai lembu dicucuk hidung, menonong saja aku datang dan berhenti betul-betul di sebelahnya. Jantung dah tak seirama berdegup. Teringat pertemuan dalam biliknya dahulu. Harap-harap dia tak tuduh aku curi tulang lagi kali ini.

“Sibuk?”

Itu soalan pertama bos besar QS Global.

“Sibuk jugak. Stok novel baru sampai. Saya nak susun dekat rak.”

Ini pula jawapan pekerja Kedai Alat Tulis Double SQS yang diberi mandat menjadi bos sementara untuk dua hari.

“Ikut saya sekejap.”

“Nak pergi mana?”

Kerja aku banyak tu. Takkan nak biarkan Feeya, Pojie dan Munib jaga kedai bertiga? Kalau kedai satu tingkat takpelah jugak. Ini sampai tiga tingkat. Pengsan.

“Saya bawak orang. Diorang boleh tolong semua kerja yang ada dekat kedai ni. Saya tahu Syafiq tak datang kerja dua hari. Dia MC.”

Tak pelik pun dia tahu. Dia kan abang Syafiq. Aku memutar pandangan ke sekeliling kedai. Mencari orang yang dimaksudkan Qays Safaraz. Nun di hujung rak menempatkan barangan alat tulis, aku nampak Feeya sedang memberikan penerangan kepada 7 orang ‘pekerja baru’ yang segak dalam uniform korporat warna merah, hitam dan putih tertera perkataan QS Global di dada masing-masing. Naik juling mataku melihat warna yang agak kontra daripada baju kerja kami, warna ungu.

Weh? Dia ni nak tunjukkan kekayaan ke apa? Kedai jual alat tulis mana ada orang pakai baju megah-megah? Pakai T-Shirt saja takkan tak boleh? Kenapa perlu uniform korporat?

“Jom.”

Kaku aku bila Qays Safaraz dengan budimannya membukakan pintu kedai untukku. Makin kaku pabila ternampak Munib dan Pojie dah tersengih-sengih sambil naikkan ibu jari masing-masing padaku. Malas membiarkan dia menunggu lama, apatah lagi rahangnya dah bergerak-gerak sebab aku masih tak ikut cakapnya, aku segera memboloskan diri keluar dari kedai Syafiq.

“Jaga kedai ni baik-baik. Apa-apa hal call saya.”

Itu nasihat Qays Safaraz pada Munib dan Pojie sebelum dia mendahului aku menuju ke arah keretanya yang terparkir di sebelah van syarikat Syafiq. Sesuka hati saja dia buat double parking ek? Tahulah kereta besar. Rolls-Royce. Acah saja. Aku pun tak tahu jenama apa kereta Qays Safaraz ni. Subaru kot. Nampak ada bintang-bintang dekat lambang tu. Subarulah agaknya. Hmm…apa-apalah.

“Nak duduk mana?” Soalku pabila aku perasan seat di hadapan dipenuhi buku dan fail-fail penting miliknya.

Mustahillah aku nak duduk belakang jadi bos. Baru dilantik secara tak rasmi jadi bos Double SQS selama dua hari, kali ni bos besar QS Global merendahkan diri menjadi pemandu pada aku pula. Dunia dah terbalikkah?

“Bonet pun boleh.”

Aku memasamkan muka. Tak terasa geli hati mendengar sindirannya.

“Seat mana yang ada kosong awak duduk sajalah. Takkan tu pun saya nak ajar?”

Tone dah naik tu. Daripada aku kena bebel dengan dia, baik aku masuk dalam kereta cepat-cepat. Masuk saja, terus abang Syafiq pandu kereta macam pelesit membelah lebuhraya. Dalam perjalanan menuju ke destinasi yang tak aku ketahui, aku terdengar dia menelefon seseorang.

Asalnya aku malas nak masuk campur urusannya sebab aku fikir dia sedang bercakap tentang hal pejabat di dalam talian, tapi apabila nama Khayla disebut, terus kepala aku tegak dan telinga ini aku selaraskan baik-baik untuk mendengar secara terperinci perbualan mereka berdua.

“Abang dalam perjalanan nak ambil Khayla. Khayla dekat mana?”

Abang? Wuiyoo…panggilan tu lagi manis daripada panggilannya pada adik sendiri. Tak silap aku, dulu dia cakap dengan Syafiq guna aku-kau dalam telefon. Dengan Khayla siap berabang-abang. Sah memang Khayla ni girlfriend dia dan bukannya skandal.

“Dengan kawan….”

Mungkin Khayla tanya dia datang dengan siapa sebab tu dia kata aku ni kawan dia. Bila masa kami jadi kawan entah. Perasan saja.

“Okay lima minit lagi abang sampai. Waalaikumussalam.”

Dan memang betul katanya. Lima minit kemudian, sedar-sedar kereta Qays Safaraz dah menjalar di hadapan Dewan Besar UPM, tempat aku mengambil skrol ijazahku dua tahun yang lalu. Sakan aku menelek fakulti lamaku, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang terletak bertentangan dengan Dewan Besar itu.

Rindunya nak bergelar pelajar semula. Tak sangka, cepat betul masa berlalu. Dua tahun dah aku konvo rupanya ek? Rasanya baru semalam aku berlari sambil menangis-nangis dalam jubah konvo menuju ke dewan sebab tersekat dalam jammed hingga tak sempat berarak ke dalam dewan bersama teman sepengajianku yang lain. Nostalgia abes kenangan itu.

Di bawah pokok besar tepi dewan itu, aku ternampak seorang gadis cantik dan kelihatan agak muda daripadaku dengan muka ceria melambai-lambaikan tangannya pada kereta Qays Safaraz. Saat mata ini meninjau pada muka Qays Safaraz, aku ternampak bibir dia sudah lebar mengukir senyuman. Oh, Tuhan. Dia pandai senyum?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience