Lima: Titik Permulaan

Drama Series 1335

Angin sejuk menyapa tubuh sekaligus mencucuk kedinginannya hingga ke tulang. Kebanyakan mereka melipatkan tangan ke dada atau menyimpan tangan di dalam kocek seluar. Mungkin atas unsur sentimental, Ikhwan mengajak Wijdan berlatih nasyid di bumbung asrama lelaki.

"Malam ni ialah malam terakhir kita berlatih. Aku tak tahu lepas ni bila lagi kita akan berlatih sebagai sebuah kumpulan, jadi aku sengaja mengajak korang ke atas ni," tuturnya setenang mungkin. Dia, Suffian dan Ghafur ialah pelajar tahun akhir dan hal itu bermakna tahun seterusnya mereka tidak akan menyertai pertandingan nasyid dengan Wijdan lagi.

"Pada malam terakhir ni," Ghafur menumbuk udara, "Mari kita menghayati cuaca yang baik ni sambil bertekad untuk melakukan yang terbaik demi pertandingan lusa nanti."

Mereka melakukan fist bump dan berlatih buat kali terakhir sebelum kembali ke bilik masing-masing.

*****

"Minta maaf atas segala salah silap," semua ahli Raihanah saling berpelukan dan ada yang menitiskan air mata. Terharu kerana mereka berjaya menepuhi beberapa minggu yang mencabar sepanjang membaiki persembahan nasyid mereka. Mereka sama-sama melalui pelbagai ranjau, suka duka, pahit manis, selama sebulan lebih dan tidak mungkin segalanya akan dilupakan begitu sahaja.

"Mari kita sama-sama berdoa dan berusaha jadi bila kita balik ke Muar semula, tiada kekesalan yang akan kita bawa sekali," Saidah memberi kata-kata semangat yang terakhir.

*****

Seawal pukul 3 pagi, Raihanah dan Wijdan tiba di KLIA2. Semua orang sugul dan kelihatan muram benar. Manakan tidak; mereka diminta untuk berkumpul di lapangan terbang seawal 4 pagi supaya tidak tergesa. Penerbangan mereka adalah pada pukul 6.30 pagi. Mereka saling melihat wajah mengantuk masing-masing, namun disebabkan gangguan waktu tidur ditambah keroncongan bunyi perut, niat mahu saling membahan tidak kesampaian.

"Mana kumpulan Raihanah?" Kimi cuba memfokuskan pandangan dan memerhati sekeliling. Seorang budak perempuan pun tidak dilihatnya.

"Ya aku tidak nampak bas diorang juga," Iman yang bermata sepet mengecilkan mata. "Mungkin diorang dah masuk dulu, dan bas diorang dah bertolak pergi pun."

"Aku macam teruja pula," Mat tersengih macam kerang busuk, "Kita akan bersama diorang sampai habis program. Hari ni ialah Jumaat. Pertandingan adalah pada Sabtu. Hari Ahad kita akan balik. Aku rasa cukup excited."

"Mahu cari jodoh? Merepek kau ni," Zar'am merenung Mat dingin. Tetapi dia tahu sifat Mat memang begitu. Jika berjumpa dengan perempuan, terkunci terus mulutnya.

Mereka mengorak ke pintu masuk KLIA2 dan hanya mengikut naluri dan langkah kaki mereka. Diri sendiri pun tidak pasti dengan hala tuju mereka sementara menunggu waktu check in dan pelepasan. Namun, dari kejauhan Faris dan Mirul dapat melihat sebuah troli bagasi yang mengangkut beberapa buah kotak yang besar, berbalut dan berlabel Kolej Sains Muar.

Belum sempat mereka mahu mengumumkan penemuan mereka, Fitri dan Iman sudah menuding sambil menjuihkan bibir. Mereka sudah nampak dua daripada ahli Raihanah. Terasa simpati pula melihat kedua-duanya muka 'rabak' sampai bengkak mata. Mereka tentu berjaga memantau keberadaan alat muzik mereka itu.

"Jangan," Mat menahan Kimi dari memunculkan diri di hadapan dua ahli Raihanah itu, "Nanti diorang segan."

"Diorang yang segan, atau kau yang segan?" Kimi memulangkan paku buah keras. Tahu benar Kimi dengan fiil Mat yang terlebih pemalu ini.

Iman, Fitri dan Faris mengorak ke tandas setelah mereka bersepakat mahu berkumpul di KFC tempat Raihanah beristirehat. Baru sahaja mereka melencong ke arah tandas...

"ALLAHU AKBAR! Kus semangat."

Iman dan budak perempuan itu mengurut dada. Kedua-duanya terlampau kaget sampai melatah pun keluar kalimah yang sama. Fitri dan Faris tergelak besar melihat adegan itu. Mujur mereka tidak berlaga badan macam dalam drama Korea, kalau tidak boleh jadi kontroversi nanti. Dahlah mahu pergi pertandingan nasyid.

"Sorry, aku tak sengaja," budak perempuan itu menunduk dan terus berlalu pergi.

Fitri dan Faris memerhatikan budak perempuan yang berlari anak itu. Pasti dia malu besar. Tentu dia juga mengantuk dan bermuka sembap macam Wijdan juga. Pertembungan dengan mereka bertiga adalah tidak baik sama sekali. Iman sudah keras di tempatnya. Fitri beberapa kali menepuk bahunya, barulah dia tersedar.

"Kau ingat kau dah jumpa Princess Charming ke?" sindir Faris sambil disambut dengan ilai tawa Fitri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience