Tiga: Tangisan Pertama

Drama Series 1335

Giliran Wijdan merupakan yang terakhir. Mereka berpeluang untuk menonton persembahan nasyid lima kumpulan sebelum mereka. Giliran terakhir bermakna rasa cemas juga berlipat ganda. Berkali-kali Ikhwan mengingatkan mereka agar tidak terlalu cuak, atau suara akan menjadi tidak stabil. Percussionist juga boleh lari tempo. Semua itu tidak bagus untuk persembahan mereka nanti.

"Ya aku tidak salah," Mat mengecilkan mata saat melihat pemain muzik kumpulan Raihanah tampil di atas pentas, "Budak perempuan itu pemain muzik kumpulan nasyid tuan rumah."

"Yalah," Fitri mahu menekup mulut tapi dia masih ingin bercakap, "Diorang dah duduk. Yalah dia pemain konga!"

"Sudah aku katakan," Suffian melipatkan tangan ke dada, "kita tengok pula macam mana persembahan diorang."

Penyanyi nasyid Raihanah menaiki pentas dan berdiri di tengah-tengah. Mereka berselawat ke atas Nabi dan memulakan nyanyian. Pemain alat muzik juga berperanan memberi tempo untuk penyanyi mengalunkan lirik dan irama padang pasir lagu mereka. Ahli Wijdan yang baru ralit memerhatikan setiap ahli Raihanah.

"Ya kau betul," Iman tidak sengaja menganga sambil menonton, "pemain muzik dia, semuanya menyanyi sambil bergendang."

"Kalau boleh, aku mahu Faris, Fitri dan Mirul juga begitu," Ghafur turut asyik dengan nyanyian merdu penyanyi solo Raihanah, "Tapi sukar juga mahu fokus pada dua kerja dalam satu masa."

"Macam mana diorang buat?" Zar'am, Syuk dan Kimi cuba membincangkan sebarang kemungkinan, "Talented?"

"Hardwork," Ikhwan menegakkan ibu jarinya, "Kalau hati ikhlas, susah macam mana pun sesuatu pekerjaan tu, kau tentu dapat buat."

Persembahan Raihanah tamat dan disambut sorak-sorai para penonton. Wijdan bertepuk tangan dengan kuat sekali. Lagu kedua Raihanah bertajuk Jalan Kebenaran kedengaran sedap dan catchy.

"Aku suka lagu itu," jelas Mat apabila disoal oleh Iman, "Dari dulu aku suka nyanyi lagu tu. Diorang pula perempuan, jadi lagu itu lagi sedap."

"Aku setuju," Iman mengangguk-angguk. Dia juga tersangkut dengan lagu itu. "Kau ada lirik penuhnya?"

"Tedalah. Di internet juga teda. Mungkin boleh tanya diorang," Mat mencebik manja. Eh, geli pula dia ni!

*****

Persembahan Wijdan berjalan lancar. Ramai orang bersorak dengan paluan darbuka oleh Mirul. Siapa sangka Mirul yang kuat bergurau itu mampu memukul darbuka selaju itu? Sambil menyanyi, mereka juga perasan beberapa orang peserta nasyid sebelum mereka terpana dengan paluan darbuka Mirul.

"Para peserta boleh berehat dan majlis penyampaian hadiah dan penutup akan diteruskan pada pukul 12 tengah hari," umum pengacara majlis.

Orang ramai berpusu-pusu keluar untuk makan tengah hari. Wijdan kembali ke Sick Bay untuk berehat. Ikhwan dan Suffian sudah melucutkan sampin mereka. Iman terduduk dan terdongak di kerusi. Debaran yang dirasakan oleh mereka tadi telah hilang. Lega ya amat!

Tok tok tok! Pintu diketuk bertalu-talu. Syuk selaku ahli paling hampir dengan pintu bangkit dan menguakkan daun. Ada seorang perempuan datang sambil menjinjing dua buah beg plastik berisi makanan bungkus. Bersinar mata Wijdan tatkala bungkusan itu diberi kepada Syuk.

"Nasi lemak dan ayam goreng berempah!" mata Mat dan Faris berkata serentak. Teruja benar nampaknya, "Mari mari. Rezeki kita hari ini."

Kimi dan Syuk membantu mengedarkan bungkusan nasi kepada setiap ahli Wijdan. Mereka duduk dalam bulatan dan menjamah makanan mereka. Kemudian, setelah semua orang habis menjamu selera, mereka mengumpulkan bekas makanan yang telah kosong ke dalam plastik besar tadi untuk dibuang.

Lima minit lagi pukul 12, mereka keluar dari Sick Bay dan kembali ke dewan utama. Debaran lain pula terasa. Siapalah yang bakal dinobatkan sebagai juara nasyid untuk hari itu. Mereka duduk di barisan kerusi paling belakang kerana mengikut giliran persembahan tadi. Di hadapan mereka ialah Raihanah dan budak perempuan yang menjadi bualan mereka ada dekat dengan mereka.

Pengumuman pemenang nasyid kategori lelaki dan perempuan diumumkan. Ternyata Raihanah dan Wijdan berjaya mempertahankan gelaran juara untuk kali kedua. Semuanya bersorak sorai dan ada yang saling berpelukan. Para penonton bertepuk tangan dengan galak dan turut sama melaungkan kegembiraan mereka.

Dalam kerumunan manusia pelbagai ragam dan ketinggian, Iman terlihat salah seorang ahli Raihanah menundukkan kepala dan menitiskan air mata. Mekapnya masih ada, tapi perempuan itu nampaknya tidak peduli. Air matanya dibiar mengalir sambil tangannya menekup mulut. Kenapa dia begitu sedih? Setelah diamati, dia ialah budak perempuan pemain konga itu. Bukankah sepatutnya dia bergembira juga, seperti Raihanah yang lain?

Asyiknya Iman memerhati sehingga seorang lagi ahli Raihanah menepuk bahu budak perempuan itu, barulah Iman tersentak. Budak perempuan itu ketawa sambil menyeka air matanya. Nampaknya dia sudah okey.

"Pemenang nasyid lelaki dan perempuan akan meneruskan perjuangan mereka pada peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuching, Sarawak sebagai wakil zon selatan dari kategori masing-masing!"

Iman menggenggam tangan. Nampaknya dia berpeluang untuk berjumpa dengan 'gadis utara' itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience