Dua: Hari Bertanding

Drama Series 1335

Seawal 7 pagi, Wijdan sudah berkumpul di kafe asrama. Mereka menunggu bas kolej tiba dan sementara itu, ada antara mereka yang menjamah sedikit makanan buat alas perut. Iman adalah salah seorang yang membeli roti dan mula mengunyah sebaik sahaja bas kolej tiba.

Sambil ralit mengunyah roti ban coklat, dia membelek telefon bimbit. Tiada notifikasi untuknya. Tiada emel untuknya. Tiada pesanan suara untuknya. Satu keluhan panjang dilepaskan. Dia masih belum boleh menerima keadaan seperti itu.

"Semua ada air mineral masing-masing?" Ikhwan di bahagian bas paling hadapan membuat pengumumam. Rata-rata mengangkat ibu jari tanda ada air mineral. Iman juga membeli sekali dengan roti bannya tadi.

"Mujur aku terdetik mahu beli tadi," Iman memegang botol air mineral yang dibelinya tadi. "Mudah-mudahan cukuplah untuk aku minum."

"Tenang. Pelatih Kolej Sains Muar tentu ada menyediakan air dan makanan untuk kita," Kimi menyampuk dari kerusi di sebelah Iman, "Semalam pun sudah dilayan dengan cukup baik."

"Baikkah?" Mirul menjungkitkan sebelah kening, "Aku rasa yang bercakap dengan kita cuma budak perempuan kecik tu. Selainnya cuma pengajar mereka, itupun disuruh check mic, sebut 'Ah Ah' dan dia ucapkan terima kasih sebab sudi datang semata-mata nak sound check."

"Banyak bunyi pula kau ni," Faris mendengus dan menjeling. Dia mula berasa cemas. Itulah kali pertama mereka berempat melakukan persembahan sebagai Wijdan. Biarpun dia bukan di bahagian nyanyian, peranannya sebagai pemain tamborin dan chime agak menakutkan baginya.

Iman menyengih sahaja mendengar celoteh Mirul yang dikenali sebagai seorang yang becok. Tapi keriuhan nulutnya itulah menjadi mood maker Wijdan. Sunyi juga kalau dia tiada. Pandangan Iman ditala ke luar tingkap. Pasti akan ada sesuatu yang berlaku pada mereka hari ini.

"Semoga kita dapat membuat persembahan yang baik dan dengan hati seikhlas mungkin demi menyampaikan dakwah," Ghafur berucap di hadapan apabila bas kolej memasuki perkarangan Kolej Sains Muar. "Berdoalah semoga semuanya dipermudahkan untuk kita."

Mereka keluar dari perut bas dan menghirup udara segar pada pagi itu. Suasana di Kolej Sains Muar memang berbeza dari Kolej Sains Peringgit yang terletak di tengah bandar. Mereka mengikuti panduan arah seperti semalam. Kelihatan para pelatih Kolej Sains Muar masih bertungkus lumus dengan persiapan terakhir, tetapi mereka jauh lebih teratur dari semalam. Tambahan pula, semua orang mengenakan pakaian tradisional dan sopan untuk acara pada hari itu, berbanding pakaian uniform yang dipakai pada kelas-kelas dan amali.

"Ini kumpulan nasyid apa? Mari turunkan tandatangan pada borang kehadiran," seorang pelatih perempuan menegur Ghafur dan Suffian. Dia membawa mereka ke meja pendaftaran dan menghulurkan sekeping kertas.

"Sila check ejaan, nombor kad pengenalan dan nombor matrik korang ya. Kalau ada silap, potong dan betulkan terus pada kertas," pesan pelatih yang duduk di meja pendaftaran. Pelatih yang mula-mula membantu Wijdan tadi sudah pergi entah ke mana-mana, barangkali menyambut tetamu yang lain pula.

Wijdan mengambil giliran untuk menandatangan borang kehadiran untuk mereka. Beberapa pelatih yang terserempak dengan mereka sempat melemparkan senyuman. Keadaan itu disaksikan oleh Syuk, Mat dan Zar'am.

"Semalam diorang bukan main sombong. Muka ketat semuanya. Tiba-tiba hari ni senyum macam kerang busuk," bisik Zar'am kepada Syuk. Mat yang turut terdengar mengangguk mengiyakan.

"Anggap ja diorang menyambut kita dengan baik," Ikhwan siap membalas senyuman salah seorang daripada mereka, "semalam kan semuanya sibuk. Persiapan majlis besar sebegini makan masa dan kudrat tahu."

Iman, Mirul, Faris dan Fitri terpinga-pinga apabila ada yang tersenyum kepada mereka. Eh, macam kena tackle pulak! Yang paling rajin membalas ialah Mirul sebab itulah lumrahnya yang mesra dengan orang.

Tanpa perlukan bantuan pelatih Kolej Sains Muar, mereka mengorak ke dewan besar kolej untuk bersedia di tempat persembahan. Namun begitu, mereka belum sempat membuka pintu dewan apabila seorang pelatih tiba-tiba memintas mereka. Pelatih itu memakai jubah merah jambu pekat dengan tudung coklat kosong. Penampilannya ringkas tapi Ikhwan tahu dia bukanlah pelatih biasa. Dia ialah salah seorang peserta nasyid perempuan dan melihat riak mukanya yang sama dengan budak perempuan semalam, tahulah mereka bahawa budak itu ialah salah seorang kumpulan Raihanah.

"Tempat korang bukan di sini," tuturnya, sedikit kuat daripada semalam. Mungkin mahu melawan bunyi alunan nasyid di dalam dewan, "Korang kena tunggu di bilik menunggu. Bilik menunggu untuk Wijdan..." dia terpusing-pusing mencari orang yang ditugaskan untuk menguruskan peserta nasyid, "Hah, Tyra. Bilik kuarantin untuk Wijdan kat mana?"

"Depan tu je, Siti. Di Bilik Sakit."

"Tapi kitorang tak sakit..." perlahan saja suara Mirul.

"Maaflah. Kitorang tak banyak ruang kat kolej ni. Banyak makmal tapi macam kurang elok pula kalau kasi korang kuarantin kat makmal. Jadi korang duduk di Sick Bay. Fungsi Sick Bay dipindahkan ke ofis pengarah untuk hari ni. Sick Bay ada semuanya, jadi korang tunggu di situ ya. Makanan dan minuman akan dihantar nanti."

Wajdin terus masuk ke dalam bilik yang dikatakan oleh budak perempuan itu. Wah, biliknya memang bersih dan kemas. Ada empat buah katil, meja belajar, sinki, dan kerusi. Tingkap tertutup rapat tetapi masih boleh dibuka. Pendingin hawa juga berfungsi. Kembang kuncup hidung Iman menghirup bau lavendar yang menjadi penyegar udara bilik itu. Mereka terus meletakkan barang masing-masing dan melabuhkan punggung di katil.

"Sedapnya dapat berbaring," Suffian memeluk bantal dan menyembamkan mukanya, "Tak sabar mahu habiskan semua ini dan bolehlah tidur puas-puas."

"Budak tadi itu, apa namanya?"

Semua mata memandang kepada Iman yang terkebil-kebil kerana terperanjat dengan respon rakan seperjuangan. Tanya nama sajakan? Salahkah?

"Pelik aku rasa bila Iman yang tanya. Kalau Mirul yang tanya, aku tak terkejut," Zar'am menyengih penuh makna, "Ada apa-apa ke tu?"

"Tidak tidak tidak," Iman mengipaskan tangan di udara, menafikan tekaan Zar'am, "Sudah beberapa kali kita terserempak dengan dia. Sampai bila mahu panggil dia 'budak'? Panggil nama lebih baik."

Iman tidak mengendahkan renungan setiap ahli Wijdan yang lain. Dia membaca semula lirik lagu mereka dan berlatih buat kali terakhir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience