Satu: Kali Pertama

Drama Series 1335

Tangannya terketar membaca surat jemputan tersebut. Selaku pelatih separa perubatan, jemputan sedemikian adalah sesuatu yang amat dinantikan. Dia bukanlah pelatih yang begitu menonjol dalam akademik, maka program kokurikulumlah dapat menaikkan namanya sebagai seorang pelatih yang serba boleh.

"Aku mahu," Iman menjulang tangan menawarkan diri. Tambahan pula, nyanyian adalah antara bidang kesukaannya. Dia tidaklah memperoleh bakat yang segah Anuar Zain atau Black Hanifah. Tetapi memang dia suka menyanyi.

"Bagus. So kau tak perlu masuk audition. Terus masuk sebagai satu team. Aku akan recommend kau," jemari Haziq ligat menaip pada telefon pintar. Dia ingin menghantar nama dan nombor matrik Iman kepada senior kumpulan nasyid mereka yang ingin merekrut ahli baru.

Jauh di sudut hati, Iman cuak. Dia sedar suaranya tidak sedap. Untuk nasyid, penyanyinya memiliki suara yang lunak dan beralun. Dia biasa menyanyi lagu balada saja. Tetapi, tidak salah pun kalau dia ingin mencuba.

****

Dalam tempoh dua minggu, kumpulan nasyid Kolej Sains Peringgit yang dinamakan Wijdan berlatih bersama ahli lama dan ahli baru kumpulan tersebut. Iman akui yang dia penat berlatih setiap malam, tetapi itu pilihannya. Malah, dia mulai seronok berlatih menyanyi selepas kelas. Maka dia tidak terdetik mahu menarik diri.

Mereka bertolak ke Kolej Sains Muar, tempat pertandingan nasyid peringkat zon selatan dijalankan. Mereka perlu menjalani sound check sebelum hari pertandingan. Kendatipun sekadar sound check, Iman sudah mulai gugup biarpun bukan dia yang menjadi vokalis utama. Dia bukan juga pemain alat muzik, sekadar penyanyi biasa. Dalam perjalanan, mulutnya terkumat kamit membaca doa dan segala ayat suci yang terlintas di fikiran.

"Dah sampai," Ikhwan, vokalis Wijdan mengumumkan dari tempat duduk paling hadapan. Dia sudah berdiri dari dudukannya; bersedia untuk turun dan keluar dari bas kolej. Langkahnya diikuti Kimi, Syuk, dan Mat. Mereka adalah antara ahli lama Wijdan sebelum kemasukan Iman dan tiga lagi ahli baru; Fitri, Faris, dan Mirul. Jumlah ahli Wijdan ialah 11 orang.

Terdapat kertas yang memaparkan anak panah sebagai penanda arah bagi tetamu yang datang ke Kolej Sains Muar. Mereka beramai-ramai menuruti anak panah. Sebaik sahaja pintu dewan terpacak di depan mata, debaran di dada kian terasa.

Pintu pun dikuak. Perkara pertama yang dilihat oleh Wijdan ialah seorang gadis yang kebetulan mahu buka pintu untuk keluar dari dewan. Mereka sama-sama tercengang dan terpinga-pinga. Lidah kelu hendak menegur, meminta maaf apatah lagi.

"Maaf, aku tak sengaja," gadis itu menundukkan kepala dan menunduk ala-ala orang Jepun. Orangnya kecil dan rendah. Wajahnya biasa; tidak cantik tetapi tidak berjerawat juga. Yang pasti, gadis itu seorang yang kasar. Sudah ber'aku' dengan orang yang berjumpa buat kali pertama?

"Tak apa, kami tak cedera," tidak tahu apa niat Ikhwan berkata sebegitu. Mungkin mahu mengusik gadis itu, "Sini ialah dewan, kan?"

"Ya, betul. Sini ialah dewan utama. Oh, korang kumpulan nasyid ya? Mahu sound check?" Ikhwan belum sempat menjawab sebelum gadis itu menyambung lagi, "Sekarang kumpulan nasyid lelaki dari Kolej Sains Jempol sedang guna pentas. Korang boleh tunggu kejap kat kerusi yang disediakan ya," tangannya mengarah ke suatu sudut untuk para peserta berkumpul.

Wijdan mengucapkan terima kasih dan gadis itu tidak menunggu lama di hadapan mereka. Dia terus meluru keluar dari dewan. Mungkin ada hal yang perlu diuruskan. Mereka pun mengambil tempat di ruang yang dikatakan oleh gadis tersebut. Tumpuan ditala ke pentas besar.

Sebahagian dari Wijdan menumpu pada telefon pintar masing-masing. Sambil itu, mereka cuba memerhatikan para pelatih Kolej Sains Muar yang sedang menyiapkan persiapan untuk majlis keesokan hari. Iman, Mirul, Faris dan Fitri sedang berlawan dalam permainan dalam talian.

"Budak tadi tu, aku macam kenal," Ghafur memecah kebisuan antara mereka, "Rasa macam dia budak nasyid juga."

Topik yang diusulkan oleh Ghafur berjaya menarik perhatian budak baru berempat itu. "Iya? Siapa namanya?"

"Tak tahu, tapi aku juga rasa macam tu," Suffian mengurut dagu, "Tapi dia bukan bahagian nyanyian. Tak silapnya dia di bahagian alat muzik."

"Kecil macam tu bermain alat muzik? Tamborinkah?" gurauan Faris disambut oleh derai tawa Iman, Fitri dan Mirul.

"Ya, orang yang kau panggil kecil itu bermain konga," Mat mengecilkan mata, "Jangan suka sangat. Korang tu dikira junior kalau dengan dia, tahu."

Iman, Faris, dan Mirul melongo. Fitri adalah yang paling luas bukaan mulutnya. Konga ialah peralatan muzik yang dimainkan olehnya dalam Wijdan. Dia tinggi dan seorang lelaki, lebih baik untuknya bermain konga. Tetapi gadis tadi main konga? Dia kecil je kot!

"Pesanan aku, jangan rasa korang hebat, tapi jangan rasa korang tidak hebat juga," Ikhwan cuba mengalihkan perhatian mereka, "Budak tadi, skil konga dia biasa-biasa, tetapi dia mampu menyanyi sambil bermain percussion. Tak semua orang boleh buat, tahu? Aku percaya, kebolehan dia itulah antara punca yang membantu markah kumpulan Raihanah untuk mendapat tempat ketiga pada peringkat kebangsaan."

Informasi yang diluahkan oleh Ikhwan berjaya membuatkan Iman, Fitri, Faris dan Mirul berasa gerun dengan Raihanah, kumpulan nasyid perempuan Kolej Sains Muar; tuan rumah mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience