Empat: Peluang

Drama Series 1335

Siti tersentak dari lamunan panjangnya. Dia terkelip-kelip memandang Rahmah dan Lily di hadapannya. Mereka merenungnya penuh makna. Dia seakan menantikan jawapan Ya daripada Siti biarpun awal ajakannya tidak begitu memaksa.

"Tahun depan tak tahu dapat masuk lagi atau tidak, Siti," Rahmah masih memujuk Siti untuk menyertai pertandingan nasyid, "Ada rezeki, in shaa Allah dapat juara tahun ni."

"Kita risaulah, Kak," satu keluhan panjang dilepaskan oleh Siti, "Takut tak terkejar. Subjek Semester ni macam makin susah."

"Tak apa. Bab belajar, nanti kita belajar sama-sama. Nasyid pun, berlatih sama-sama," ujar Lily seraya mengangkat kening beberapa kali.

Siti membetulkan speknya. Dia ada juga dengar pengumuman daripada Pengarah Kolej berkenaan pertandingan nasyid peringkat zon tengah itu. Ya, dia ada dalam pertandingan tahun lepas. Tetapi dia tidak merancang untuk kembali beraksi. Apatah lagi dia sudah menggalas tanggungjawab dalam MPP Kolej.

"Kalau kita menang peringkat zon ini, kita akan dapat pergi ke Kuching. Tentu seronok!" sambung Lily dan menepuk tangan, "Jom, Siti. Kita cuba dulu ya. Lagipun Encik Syahmi tak nak latih pemain konga yang baru."

Siti ketawa hambar. Dari tahun lepas pun Encik Syahmi, pengajar alat muzik Raihanah, meminta Siti untuk kekal dalam Raihanah supaya dia tidak perlu mengajar orang lagi dalam permainan konga. Siti memang berminat untuk menyertai nasyid, tetapi dia risau dia terlalu penat. Itu sahaja.

"Baiklah," mengimbau kembali pengumuman tarikh peringkat kebangsaan untuk pertandingan nasyid di Kuching nanti, Siti akhirnya bersetuju.

*****

"Semua MPP perlu ada di dewan untuk bersama-sama melakukan persiapan untuk majlis esok," pesan Puan Azma selaku penyelaras MPP. Mesej yang disampaikan melalui WhatsApp itu diulang baca oleh Dayah selepas sesi amali Mikrobiologi mereka tamat.

Siti yang sedang menyental tangan terkocoh-kocoh membilas sabun yang berbusa. Dia mengeringkan tangan dan mengemaskan barangnya sebelum berlari keluar dari makmal untuk ke dewan utama. Dia sudah kelewatan sebenarnya.

Mujurlah dia tidak keseorangan. MPP dari kelasnya sendiri juga telat. Mereka masuk bersama Siti dan terus membuka langkah menyiapkan tugasan yang telah diagihkan dalam mesyuarat tiga minggu lepas. Siti selaku Setiausaha MPP sekadar memantau dan memastikan kelancaran persiapan.

"Ah, masa macam ni lah nak pergi tandas," Siti mendengus kepada dirinya sendiri. Dia bangun dan berpesan kepada rakan sekelasnya yang terdekat untuk memantau beg galasnya sepanjang pemergiannya ke tandas.

Tanpa melengahkan masa, Siti berlari anak ke pintu masuk dewan dan baru sahaja dia mahu membuka daun pintu...

"Opocot!"

"Umangaih!"

Kedua-duanya melatah perlahan, tetapi cukup untuk didengari mereka. Lelaki yang nyaris berlaga dengan Siti mengurut dada, manakala baki ahli kumpulan yang lain terpinga-pinga tidak mengerti. Setelah terdiam beberapa saat, Siti meminta maaf.

"Tak apa, tak cedera pun," jawab lelaki itu selaku wakil kumpulan.

Melihatkan penampilan, tahulah Siti bahawa mereka ialah peserta nasyid dari kolej lain. Mereka datang untuk sound check. Namun, pentas sedang digunakan oleh kumpulan nasyid yang lain, maka Siti menunjukkan kepada mereka ruang untuk mereka menunggu giliran. Barulah dia kembali menunaikan hajat.

*****

Siti mengeluh. Memang tiada siapa mahu menegur kumpulan nasyid itukah? Mereka sepatutnya berada di bilik kuarantin. Disebabkan tadi dia sempat menjeling nama kolej, Siti tahu mereka, pelatih Kolej Sains Peringgit, sepatutnya ditempatkan di Sick Bay. Tetapi tiada siapa pun yang memaklumkan kepada mereka.

"Aku jelah yang pergi."

Tanpa berfikir panjang, Siti yang sudah sedia dengan jubah nasyidnya terus menegur Wijdan. Dia memaklumkan kepada mereka berkenaan penempatan sementara mereka. Wijdan akur dan Siti boleh menarik nafas lega.

Apabila semua kumpulan telah melakukan persembahan dan masuk waktu rehat untuk makan tengah hari, Siti berkeputusan untuk tidak muncul di hadapan Wijdan. Dia sudah segan dengan kumpulan lelaki itu. Dia pun meminta Husna memberikan makanan dan minuman kepada Wijdan. Sekali lagi, Siti menarik nafas lega.

*****

Kedengaran pentingkan diri, tetapi itulah doa Siti. Dia mahu memenangi pertandingan nasyid ini. Tarikh keramat 7 April merupakan tarikh yang amat bermakna buat Siti, dan dia bercita-cita untuk meraikannya di Kuching. Sudah beberapa malam dia berhajat untuk Allah memakbulkan doanya. Kepingin benar mahu mencuba menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang bersempena dengan tarikh itu.

Akhirnya, hajat Siti tercapai. Siti tidak langsung dapat meneka pemenang, namun memyedari doanya makbul, dia tidak dapat menahan air matanya dari tertumpah.

"Pemenang bagi Pertandingan Nasyid kategori perempuan jatuh kepada Raihanah dari Kolej Sains Muar!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience