Lapan: Latihan

Drama Series 1335

Sebuah bilik telah disediakan untuk setiap wakil zon berlatih buat kali terakhir atau pemanasan suara. Wijdan adalah yang pertama melangkah masuk ke dalam bilik berpendingin hawa itu. Bilik yang dinamakan Bilik Hanbali kemudian didatangi Raihanah. Wijdan sedang berlatih lagu kontemporari mereka sewaktu Raihanah tiba.

"Jom kita lihat persembahan mereka, kalau-kalau mereka ada buat perubahan," ajak Kila seraya melabuhkan punggung di atas kerusi sambil menghadap Wijdan.

Faris, Fitri dan Mirul yang bermain tamborin, chime, konga, djembe dan darbuka perasan Raihanah sedang menonton mereka terus berasa segan. Malu pula ditonton sebegitu dekat. Tempo dan irama lagu mereka sedikit berterabur. Ghafur menghentikan nyanyian dan meminta mereka bertiga untuk cuba fokus.

Iman yang berdiri paling hujung dalam susunan ahli Wijdan cuba merangka tempo di dalam fikirannya. Mereka pernah dilatih untuk tidak mengikut percussionists sekiranya menyedari percussionists bermain salah atau terlalu cepat.

"Sedap mainan darbuka Mirul," puji Reena yang tidak jemu menyaksikan aksi Mirul, Faris dan Fitri sebagai percussionists.

"Ya, betul tu, kak. Kita rasa seronok tengok diorang main. Rasa macam nak ikut juga," Siti membulatkan mata untuk mengamati rentak yang dimainkan oleh Mirul. Padanya, gendangan darbuka Mirul memang benar-benar menangkap jiwa.

"Begitulah kata-kata seorang percussionist," Ina mencelah lantas disambut dek anggukan Hannah.

Usai dengan latihan mereka, Wijdan membuka peluang untuk Raihanah berlatih pula. Percussionists Raihanah menyusun alat muzik masing-masing. Empat orang percussionists duduk di tempat yang telah diset.

"Mari kita lihat betul atau tidak dia menyanyi sambil bermain konga," Fitri pula duduk sambil melipatkan tangan di dada.

Wijdan pula duduk untuk menonton Raihanah membuat persembahan latihan itu. Yang bermain alat muzik mahu memerhatikan percussionists Raihanah. Yang menyanyi mahu menajamkan pendengaran mendengar suara merdu Raihanah.

Lagu pertama Raihanah dimainkan. Wijdan asyik mendengar sampaikan mereka tidak sedar lagu kedua telahpun bermula. Iman sedikit terkesima menghayati rentak irama dan bait lirik lagu kedua Raihanah, 'Jalan Kebenaran'. Mindanya senang menangkap tempo lagu dan mulutnya cuba menghafal semula senikata 'Jalan Kebenaran'. Lagu yang mudah diingati dan menarik minat Iman.

Faris, Fitri, Mirul dan Haziq memerhatikan pemain muzik Raihanah. Ya, memang mereka menyanyi sambil bermain alat muzik. Suara nyanyian Raihanah terasa lebih padu. Mereka berjaya membuatkan para penonton yakni Wijdan hanyut dengan persembahan mereka.

"Budak itu," Haziq memaksudkan Siti tetapi dia tidak tahu nama Siti maka dia hanya menuding sahaja, "aku lihat dia menonton video tentang gendangan konga tadi. Rajin benar dia berlatih sampai sambil menonton pun boleh bergendang sekali."

"Serius? Aku tak perasan," Mirul menggaru dagu yang tidak gatal. "Leka berbual dengan Saidah dan Shafinaz tadi."

Haziq tidak menjawab Mirul kerana dia asyik menonton pemain muzik Raihanah. Mahu benar dia mendatangi mereka dan menemu bual untuk meminta tips latihan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience