Sepuluh: Pertandingan

Drama Series 1335

Wijdan yang beratur di luar dewan bersedia untuk menyampaikan persembahan mereka. Ikhwan mengetuai Wijdan membacakan doa penenang dan penerang hati agar mereka tidak terlalu gugup. Haziq selaku pengurus Wijdan melihat kumpulan nasyid itu seperti adik beradiknya. Biarpun meluangkan masa bersama hanya pada waktu latihan, ikatan yang terjalin pasti akan dirindui. Haziq tersenyum sendiri.

Mereka melangkah masuk ke dalam dewan dan terus menaiki pentas. Mirul, Fitri dan Faris memulakan intro lagu pertama Wijdan. Persembahan Wijdan yang 100% bergantung pada pukulan alat muzik yang padu membuatkan para penonton termasuk Raihanah menonton dengan senyap. Suara para penyanyi disatukan dengan rentak muzik dengan baik sekali. Biarpun muka si pemain muzik tegang, pukulan dapat dimainkan dengan tenang tanpa sebarang kecelaruan. Penyanyi pula tidak lekang dengan senyuman.

"Tenang betul rasa bila tengok nyanyian Wijdan," Siti menongkat dagu sambil menyaksikan persembahan Wijdan.

Rahmah di sebelahnya menyiku lengan Siti, "Siti nak cari jodoh ke? Ada 11 orang. Akak dengar 9 orang single."

"Tak terfikir pula, kak," Siti mengipaskan tangan di udara, "Fify siap minta saya padankan seorang dari Wijdan dengan dia."

"Dia suka yang mana?" Rahmah cuba mengamati wajah setiap ahli, "Diorang ni boleh dikatakan handsome lah juga."

"Fify nak yang paling hujung tu," Siti menjuihkan bibir. Dia memaksudkan Iman yang berdiri paling hujung dalam barisan penyanyi, "Katanya muka ala-ala Chinese. Dia suka."

Rahmah terangguk-angguk. "Boleh tahan juga taste Fify. Nak akak rekomen?"

"Boleh juga. Kita tak reti nak memadankan orang ni," satu keluhan panjang dilepaskan. "Akak try lah minta nombor telefon. In shaa Allah dapat je nombor Iman, Fify bahagia selamanya."

Tiba pula giliran Raihanah, Wijdan pula menjadi penonton. Mereka berkobar-kobar kerana mereka mahu Raihanah juga membuat yang terbaik untuk pertandingan itu. Permulaan lagu pertama Raihanah berjalan dengan lancar. Semuanya baik, sangat baik sampaikan para peserta dari zon lain berkerut-kerut. Mungkin berasa kurang enak dengan paduan suara lapan penyanyi daripada Raihanah. Tidak cukup dengan itu, pukulan konga, darbuka, djembe dan tamborin Raihanah juga tepat dan tidak serabut. Memang semuanya baik dan berjalan lancar.

"Aku suka lihat pemain muzik kumpulan ini. Bersahaja dan terasa macam bermain alat muzik itu mudah. Siap ikut menyanyi lagi," kata seorang peserta nasyid dari zon utara yang kebetulan duduk dekat dengan Haziq.

Haziq yang terdengar perbualan mereka sengaja memasang telinga.

"Yang wakil lelaki diorang pun best. Aku suka kedua-duanya," tambah seorang lagi, "Diorang macam... Sepadan. Saling melengkapi. Sempurna nampaknya."

Tersengih-sengih Haziq mendengar perbincangan kumpulan zon utara itu. Bukan dia yang berada di atas pentas, tetapi dia berbangga dengan 'adik beradik'nya, Wijdan. Mereka memang sebuah kumpulan yang gah. Raihanah juga hebat kerana berjaya menjadi buah mulut kumpulan nasyid yang tidak pernah bertemu mereka sebelum ini.

"Yang bermain konga itu, aku macam kenallah. Siapa ya?"

"Itu budak yang sound budak lelaki yang menempel di pintu dewan tadi. Ingat tak? Selamba je dia sound budak tu."

Jelingan Haziq tidak disedari Iman yang ralit dengan telefon bimbitnya. Wah, tentang itupun mereka tahu! Tunggu kejap! Entah-entah sekumpulan orang yang berkumpul dekat dengan pintu dewan tadi ialah wakil nasyid zon utara itu!

"Takut aku kalau dapat makwe yang macam tu."

"Kenapa pulak?"

"Yalah. Kalau aku buat salah, atau aku ada buat dia marah, depan orang ramai pun dia sound je aku."

"Betul wey. Aku pun terfikir."

Kemudian mereka ketawa sakan. Haziq berkerut dahi. Betulkah begitu? Walaupun itu sekadar tekaan yang tidak berasas, Haziq turut terfikir mengenainya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience