Sebelas: Dataran

Drama Series 1335

Semua peserta nasyid dibawa ke Dataran yang terletak di bandar. Mereka dipecahkan ke empat buah bas dan setiap wakil zon juga dipecahkan mengikut bas-bas yang disediakan. Siti, Shafinaz, dan Ina menaiki bas yang sama. Mereka asyik berbual sesama mereka sehingga Wijdan yang menaiki bas mereka, Suffian, Mat dan Faris, berdehem pun tidak didengari.

"Amboi, bergosip ke tu?" Mat menongkat dagu ala-ala minah kepoh sambil mengangkat kening memerli ahli Raihanah itu.

"Eh, Mat rupanya! Sorry, kitorang tak perasan," Shafinaz ketawa melihat gaya Mat yang duduk di belakang Siti. Suffian di sebelah Mat menepuk dahi melihat gelagat rakannya itu.

"Yalah, kalau dah bergosip tak ingat dunia memang begitu," Faris memuncungkan bibir. Eh, nak merajuk pula dia ni!

Siti perasan gaya Faris yang duduk di belakang Shafinaz mengerutkan dahi. "Biasalah, lelaki pun macam tu juga, kan? Bila nampak perempuan cantik, makwe sendiri pun dah tak pandang."

"Wah, hangat ni!" Ina menekup mulut. Pedas juga ayat Siti! "Tapi Ina setuju dengan Siti. Dah banyak kali Ina nampak."

"Tapi saya tak macam tu ya, sorry sikit," Mat menguis anak rambutnya yang terjuntai di dahi, "Mat takkan merendahkan makwe Mat."

"Mat," Faris mencuit bahu Mat, "Makwe apa khabar?"

Biarpun mukanya tidak secerah muka Ain, semua orang perasan muka Mat memerah macam udang dibakar, "Makwe aku di tadika, sedang belajar mengenal huruf, mengira nombor, dan mencintai ilmu."

Apalagi, meledaklah tawa ahli Raihanah, Suffian dan Faris. Boleh tahan juga Mat ni membuat lawak spontan. Siti ketawa sampai terbit air matanya.

Empat buah bas yang membawa para peserta nasyid ke Dataran Kuching tiba pada lewat petang. Sengaja mereka merancang untuk melawati dataran tersebut pada lewat petang, bukan awal pagi kerana mengikut ramalan cuaca, hujan tidak turun pada waktu petang. Maka mereka dapat menghayati keindahan ciptaan Tuhan di Jambatan Darul Hana.

Siti, Ina, Aqilah, Miela, dan Alyna berjalan bersama-sama. Baki Raihanah yang lain tiba di kawasan yang lain. Mereka berjanji akan bertemu di sebuah kedai makan untuk menjamu selera. Jadi bagi mereka yang telah tiba dahulu, mereka perlu mencari tempat duduk yang mampu memuatkan 12 orang.

"Eh?" dari kejauhan, Siti boleh nampak Wijdan yang sudah lengkap 11 orang sedang rancak berbual. Barangkali sudah membuat order. Kebetulan ada sebuah meja kosong yang panjang dekat dengan Wijdan. Maka mereka terus menduduki set meja tersebut.

"Mana yang lain?" tanya Mat selaku orang yang paling ramah dengan Raihanah.

"Diorang belum sampai," Aqilah membelek tudungnya melalui pantulan pada skrin telefon pintar, "Rindu Kak Saidah ke?"

"Siapalah kita mahu rindukan dia. Tentu banyak peminat Saidah tu," Mat mencebik.

Kimi dan Zar'am mengecilkan mata. Geli perut tengok gelagat Mat dengan Raihanah. Pesanan mereka sampai sewaktu baki Raihanah tiba dan apalagi, riuh-rendahlah kedai makan itu. Celoteh Raihanah ditambah dengan gelak tawa Wijdan yang sesungguhnya tidak berlapik.

"Aku mahu pergi dulu ya," Iman tiba-tiba bangun dan mahu meminta diri. Wijdan merenungnya lama, menginginkan kepastian, "Aku dah janji dengan orang nak jumpa."

"Kau ni dasar universal," Suffian tergeleng-geleng, "Dalam pertandingan yang mengumpulkan cuma beberapa orang inipun ada kawan kau?"

Haziq mengerti 'kawan' yang dimaksudkan oleh Iman itu. Jauh di sudut hati, ingin benar dia menghalang Iman berjumpa dengan Lufya. Dia tidak mengenali Lufya, tetapi dari tingkah Iman, dia tahu Lufya ialah bekas kekasih Iman. Haziq tahu mereka berpisah semasa semester satu dahulu. Dia sendiri menyaksikan betapa murungnya Iman waktu itu. Dia tidak mahu kenangan buruk itu berulang lagi. Iman memang sengaja cari pasal.

"Balik cepat, Man," pesan Haziq sambil merenung mata Iman dalam-dalam.

Iman nampak maksud yang disampaikan oleh Haziq. Dia sekadar mengulum senyum kecil. Mungkin ada perkara yang perlu diselesaikannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience