Dua Belas: Saksi

Drama Series 1335

Siti, Ina, Alyna, Lily, Aqilah, dan Rahmah berjalan merondai Dataran Kuching bersama-sama. Raihanah yang lain berjalan ke arah yang bertentangan. Sebaik sahaja habis mengisi perut, mereka berpecah dan berjanji akan berkumpul di tempat bas. Setiap daripada mereka mempunyai tujuan yang berbeza, maka memang mereka perlu berpecah untuk menjimatkan masa.

"Apa yang pertama sekali kalian mahu cari?" tanya Rahmah sambil bercekak pinggang. Sejujurnya dia sendiri buntu kerana tidak tahu jalan di sekitar itu.

"Kita cari apa yang nak dibeli, misalnya kek lapis atau sebagainya. Kemudian baru kita jalan-jalan," cadang Aqilah.

"Tapi penat pula bawa barang banyak-banyak. Kita berjalan dululah," rungut Alyna.

Yang lain bersetuju. Mereka berkeputusan untuk menyeberangi sungai dan melawati gerai-gerai jualan di tanah seberang. Sungai Rajang yang tenang meyakinkan mereka untuk menaiki perahu yang perlu dibayar RM1 untuk menyeberanginya. Siti yang berjaya meyakinkan Aqilah dan Lily menjadi yang pertama menaiki perahu.

Bot baru bergerak dari jeti tatkala pandangan Siti tertancap pada seseorang yang beriringan dengan seorang gadis. Lelaki itu dikenalinya kerana dia ialah teman seperjuangan Raihanah. Siti cuba mengamati wajah si gadis. Ya, tak salah! Gadis itu ialah gadis yang berdua dengan Iman di muka pintu dewan pada hari pertandingan semalam.

Rupa-rupanya ada sesuatu antara diorang, getus Siti dalam hati.

Mereka naik ke darat dan berjalan menyusuri deretan gerai dan kedai jualan yang meniagakan pelbagai macam produk tempatan yang melambangkan negeri bumi kenyalang itu. Rambang mata mereka mahu memilih baju, kain batik, dan beg sulaman yang berwarna warni dan cantik. Siti baru sahaja mahu membeli apabila dia menyedari Iman dan gadis itu sedang berjalan ke arah mereka. Nampaknya kejap lagi mereka akan bertembung. Pasti keadaan menjadi kekok nanti.

"Korang, jom pergi ke tempat lain," cadang Siti seraya menghalang arah datangnya Iman daru pandangan Ina, Alyna dan Rahmah. Dia berpaut pada bahu Alyna dan Ina.

"Boleh juga. Hari makin gelap ni. Ina nak beli keychain untuk classmates," Ina mengecilkan mata untuk memerah otak memikirkan apa yang perlu dibeli untuk semua orang.

"Kedai tu besar sikit. Mungkin pilihan cenderahati lebih banyak," Siti menuding ke arah sebuah kedai yang berlampu terang dan besar sedikit daripada kedai yang lain, "Kita mahu beli beg tangan ni."

"Jom jom jom," Rahmah yang teruja terus mengajak yang lain ke kedai yang dicadangkan oleh Siti.

Siti menghela nafas panjang. Mujurlah diorang tak syak apa-apa, bisik hati kecil Siti. Iman, kau dating-lah sepuas-puasnya.

Puas membeli, mereka berkeputusan mahu pergi ke destinasi terakhir sebelum berpatah balik ke tempat berkumpul. Dari kejauhan, Ina nampak kedai kek lapis Sarawak yang terkenal di semenanjung. Dia terus memberi isyarat kepada yang lain untuk singgah di kedai tersebut.

Kalau berkaitan dengan makanan, perempuan memang laju.

Siti tidak merancang untuk membeli banyak, maka dia, Rahmah dan Lily berkongsi kotak dan duit mereka membeli kek lapis Sarawak untuk rakan sekelas mereka. Usai membayar, mereka duduk di meja yang tersedia di luar kedai sambil menunggu yang lain membeli.

Pada saat Rahmah dan Lily leka membelek telefon pintar masing-masing, Siti perasan sepasang remaja yang sedang berjalan mendekati kedai. Berkerut dahi Siti merenung remaja tersebut. Aduh, mengapa di sini! Siti menggigit bibir kerana sangat sukar untuk dia melindungi Iman dari Rahmah dan Lily. Dia berpura-pura membelek telefon dan cuba untuk menyembunyikan mukanya supaya Iman tidak menyedari kehadiran mereka di kedai tersebut.

Semoga tidak terserempak dengan Ina, Alyna dan Aqilah, doa Siti dalam hati. Dia memerhatikan Iman dan makwenya dari ekor mata. Mereka berborak dan sesekali ketawa, nampak gembira seperti mereka terlupa 'ada mata yang memerhati'. Mereka mengorak ke arah suatu rak yang membariskan koleksi kek lapis perisa terkini, membelakangkan isi kedai yang lain.

"Kejap ya Kak Lily, Kak Rahmah. Kita nak masuk cari diorang. Lama betul diorang kat dalam," Siti memberi alasan mencari ahli Raihanah, padahal dia mahu mengintip Iman. Rahmah dan Lily pun sekadar mengangguk, tiada terasa aneh pun. Siti apalagi, terus meluru masuk.

Iman dan Lufya sedang memilih kek lapis yang mahu dibawa pulang ke semenanjung. Siti tidak mampu berdiri hampir dengan Iman kerana dia risau perbuatannya terbongkar. Namun, dia tidak merasakan apa-apa yang pelik pun. Iman dan Lufya itu umpama kawan karib yang sedang keluar meluangkan masa bersama. Itu sahaja. Tiada panggilan manja atau manis terpacul keluar dari mulut masing-masing.

"Diorang ni kawan atau kekasih?" Siti bersoal jawab dengan dirinya sendiri, "Nampak rapat. Macam fishy. Tapi, entahlah."

Pada masa itu, Ina, Alyna dan Aqilah baru selesai melakukan pembayaran. Mereka juga membungkus kek lapis mereka dalam kotak. Terpancar kegirangan yang tak terhingga pada wajah mereka bertiga. Siti perasan gelagat tiga Raihanah itu lantas berhincut ke pintu masuk. Pada kadar ini, dia tidak mungkin dapat menyorokkan identitinya sendiri.

Ah, buat tak tahu jelah.

"Hah, baru nampak muka memasing tersenyum simpul," Siti melipatkan tangan ke dada dan berlagak seperti seorang ibu menunggu anak-anaknya pulang bermain, "Ada nak beli apa-apa lagi? Jom kita balik."

Raihanah puas hati dengan pembelian mereka. Tiada apa-apa lagi yang mahu dibeli. Semuanya telah berjaga didapatkan. Raihanah pun berpatah balik ke jeti untuk menyeberang sungai semula. Siti langsung menghela nafas panjang apabila Iman dan Lufya juga menaiki bot yang sama.

Aku dah cuba cover kau, Iman. Tapi kau yang tak jaga diri, getus Siti dalam hati.

Sebaik sahaja mereka tiba di jeti seberang, Raihanah berenam keluar dari sampan dan naik ke darat. Sewaktu Siti memanjat anak-anak tangga ke darat, Lufya tiba-tiba menahannya. Tidak mungkin Siti tidak terkejut dengan tingkah Lufya itu.

"Tolong bagitahu Iman, saya ada hal dengan kawan saya. Jadi saya nak dia berjalan sendiri," tutur Lufya dengan jelas dan sopan.

Siti terkesima mendengar pesanan Lufya itu. Nadanya lembut, ujarannya jelas dan nyata, tetapi maksud di sebalik ayat sangat kompleks. Boleh jadi dia telah berjanji untuk bersama kawan-kawan. Boleh jadi dia hanya mereka alasan untuk tidak berjalan dengan Iman. Siti terkebil-kebil sebelum mengangguk faham. "Saya bagitahu dia nanti."

"Secepat mungkin ya. Saya tak nak dia tunggu saya."

Tekaan kedua Siti lebih mendekati objektif Lufya menegur Siti. Belum sempat Siti membalas apa-apa, Lufya terus berpaling dan menjauhi jeti ke arah yang bertentangan dengan mereka semua. Siti memerhatikan Iman yang berjalan selamba ke hadapan.

Iman, apalah yang terjadi antara kalian sebenarnya, Siti menggigit bibir bawah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience