Tiga Belas: Bicara

Drama Series 1335

Penerbangan mereka adalah pada pukul 8 malam. Sementara itu, mereka berjalan-jalan di sekitar Lapangan Terbang Kuching. Raihanah mengalas perut di KFC manakala Wijdan berpecah ke pelbagai haluan.

"Alhamdulillah semua dah selesai," Saidah bersandar pada kerusinya, "Bolehlah fokus kat final lepas ni."

Berkerut muka Aqilah mendengar ayat terakhir Saidah, "Jangan ingatkan. Kita tak belajar banyak lagi."

Siti mengunyah ayam bertihnya sambil mendengar Raihanah bercerita dengan rancak. Habis segala isu dinaikkan termasuk gosip antara ahli Raihanah, Hannah, dan ahli Wijdan, Mirul. Mirul yang berkenan dengan Hannah berusaha sedaya upaya menegur dan berbual dengannya. Hasilnya, memang mereka ada berbual tetapi mereka hanya berkawan kerana Hannah sudah ada teman lelaki.

"Melepaslah Mirul," Reena ketawa sakan apabila terbayangkan muka Mirul setelah mengetahui Hannah ada teman lelaki, "Mirul pulak, jujur sangat. Berani pulak bagitahu dia suka Hannah."

Hannah sudah memerah muka. "Ala, jangan buat orang rasa bersalah. Dah memang orang dah ada pakwe."

Mereka perasan ada sebahagian dari Wijdan tiba di KFC itu. Ada Suffian, Zar'am, Mat, Ghafur, Syuk dan Kimi. Selebihnya mungkin masih bersiar-siar di sekitar Lapangan Terbang Kuching. Raihanah memperlahankan suara mereka dan segera menukar topik perbualan, khuatir Wijdan terdengar dan tersalah sangka pula.

Melihat ketiadaan Iman, Siti terbayangkan kejadian pada malam tadi. Dia masih ingat dengan jelas betapa keruhnya wajah Iman apabila dia menyampaikan pesanan Lufya kepadanya. Dari perubahan tersebut, terus Siti mendapat kesimpulan. Jauh di sudut hati, dia kasihankan Iman. Mungkin dia masih belum boleh move on sepenuhnya, maka dia cuba untuk berbaik dengan Lufya. Tetapi Lufya yang bakal bertunang dengan orang lain enggan berbaik dengan Iman. Siti tidak pelik pun dengan tindakan Lufya.

Matanya melilau cuba mencari Iman tetapi dia tidak jumpa. Bukan sahaja Iman, baki ahli Wijdan dan pengurus mereka juga tidak kelihatan. Siti yang berwajah selamba mengawal riak muka agar tidak terlalu jelas untuk dibaca.

Beep beep! Satu mesej masuk. Siti membelek telefonnya. Mesej daripada Fify. Dia mahu Siti mintakan IG Iman. Terbuntang terus mata Siti tidak terkawal, sehingga Rahmah juga perasan tentang itu.

"Kak, tengoklah. Fify nak kita mintakan IG Iman." tergoyang-goyang tangan Siti menunjukkan mesej Fify kepada Rahmah.

Rahmah menyinga seraya mencadangkan agar Siti mengikuti permintaan Fify. Siti yang pemalu dengan lelaki sememangnya tidak mahu berurusan dengan lelaki. Dia lebih senang melihat dan mendengar. Biarlah dia tidak dikenali dalam kalangan lelaki. Bukannya ada apa-apa pun.

Walaupun tiada siapa yang akan marah dengannya sebab berkawan dengan orang berlainan jantina.

"Macam mana nak bercakap dengan Iman? Kita tak pernah bercakap even dengan Mat yang banyak mulut tu!"

"Nanti akak temankan," pujuk Rahmah sambil memeluk bahu Siti. Siti pun akhirnya akur.

Waktu penerbangan kian dekat. Mereka pun masuk ke balas pelepasan. Barulah lengkap semua ahli Wijdan. Raihanah dan Wijdan berjalan beramai-ramai untuk check in dan menunggu masa untuk berlepas. Mereka menunggu masuknya waktu solat sementara itu. Siti yang sudah ternampak Iman berkira-kira untuk bercakap dengannya.

Iman menyinggahi sebuah kiosk jualan cenderahati Sarawak. Dia dan Ikhwan sedang memilih dan membelek deretan baju T yang tergantung pada dinding kedai. Mungkin mereka sekadar mahu mencuci mata. Siti mengajak Rahmah mendekati mereka. Dua Raihanah itupun bergerak senyap-senyap ke kiosk tersebut. Rahmah masuk ke dalam kiosk dan membelek baju T, sama seperti Iman dan Ikhwan. Siti tercegat di luar kiosk, cuak dan buntu.

Iman keluar dari kiosk dan mengamati rantai kunci yang tersusun di atas meja kiosk pula. Dia keseorangan. Ikhwan masih di dalam kiosk. Wijdan dan Raihanah yang lain sudah pergi entah ke mana-mana. Waktu Maghrib belum masuk. Tetapi Rahmah di dalam, macam mana? Perlukah dia menegur dahulu? Tapi dia malu. Tentu Iman boleh lihat muka merahnya macam udang bakar. Tapi inilah peluang yang dia ada! Panggil Rahmah? Macam obvious sangat pula!

"Siapa nama kau? Iman ke?"

Nah, terpacul soalan pertama, menjadi ayat pertama yakni bicara pertama Siti kepada Iman. (Yang di pintu dewan kelmarin tidak dikira sebab masa itu dia hanya memerli!) Iman yang menyedari namanya disebut terus mengangkat muka.

"Ya, nama aku Iman," sebagaj jawapan bagi persoalan Siti.

Siti menelan liur. Okey, macam mana mahu minta IG mamat ni? Dah macam minta nombor telefon pula! "Sorry aku kacau kau," Siti melarikan pandangannya dari bertentangan dengan mata Iman, "Kau ada IG? Ahli Wijdan yang lain aku dah ada IG. Kau dan yang kat dalam itu belum ada."

"Oh, IG?" Iman mengangkat kening. "Boleh boleh, tapi aku tak aktif di IG."

"Tak apa. Aku juga tidak selalunya aktif. Cuma untuk suka-suka dan masa kelapangan je aku buka."

Iman menaip sesuatu pada skrin telefonnya. Dia menghulurkan telefon kepada Siti, "Ini IG aku, add lah."

Pantas jemari Siti merekod nama IG Iman. Mission accomplished! Eh, tunggu kejap! "Iman, tolong mintakan IG Ikhwan. Ke kau ada IG dia?"

"Aku tak ada IG dia. Oh," Iman mengecilkan mata dan tersengih nakal, "Kau suka dia ya? Untuk cover diri sendiri, kau minta IG aku dahulu. Hah!"

Dah terbalik! Aku nak IG Ikhwan sebab nak cover diri aku daripada kau! Tapi Siti berjaya mengawal ekspresi mukanya dari berubah 100%, "Taklah. Aku nak kumpul IG Wijdan. Itu aje."

"Ok ok aku pergi minta," terserlah baris gigi Iman yang putih bersih, "Sure ya bukan sebab kau suka dia? Aku nak pergi minta ni."

"Ey budak ni," Siti mendengus geram. Boleh pula Iman menyakatnya gara-gara IG Ikhwan.

Walau bagaimanapun, Iman berjaya mendapatkan IG Ikhwan dan nama IG Ikhwan diberikan kepada Siti. "Berkawan elok-elok," pesan Iman seolah-olah terkandung seribu satu makna tersirat.

Siti mengucapkan terima kasih dan segera meninggalkan kiosk itu bersama Rahmah kerana dia tidak dapat mengawal memek mukanya dengan lebih lama. Pasti mukanya sudah merah padam dan segala anggota badannya menggeletar hebat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience