BAB 1

Humor Completed 11778

TAHUN 1999 – Mengeluh lagi. Hishh! Kenapa dia lambat hari ni? Selalunya jam begini dia dah balik dari sekolah. Mata terus fokus memandang ke arah jalan. Tidak mahu terlepas pandang. Sejak 3 bulan yang lalu, inilah rutin harianku.Menanti si dia pulang dari sekolahnya.

Petang pula, lepas asar dia mesti lalu depan rumah kalau nak ke padang bola. Kadang-kadang dia seorang, kadang-kadang dengan Opie. 15minit menunggu akhirnya si dia muncul.

Dia.. Arman Iskandar. Anak kepada seorang pegawai pertanian. Rumahnya dihujung jalan sebaris dengan rumahku. Dia tua 3 tahun. Sekarang ni dia form 2. Kenapa aku suka pada dia?

Kalau dipendekkan cerita…Arman pernah menolongku daripada hampir dirempuh oleh sebuah kereta. Sejak itu, aku rasa yang Arman seperti ‘bidadara’ penjagaku. Sebab tu aku sayang dia.

Keningku berkerut. Uih! Apa pasal dia jalan laju ni? Aiskrim pop yang tadi digigit-gigit ku campak ke dalam semak. Berlari-lari aku mengejarnya sehinggakan terangkat-angkat 2 tocang dikepala.

Arman menoleh. Aku senyum.Tapi macam selalu dia buat tak endah je. Dijeling balik aku ni adalah! Dia melangkah lagi. Aku ikut. Dia laju, aku pun laju. Dia lari, aku pun lari sama. Seketika dia berhenti.

“Jangan ikut aku boleh tak?!” marah Arman.

“Nak juga!”jawabku dengan penuh semangat.

“Nak juga, nak juga! Aku rotan karang nak?” marah Arman sambil pura-pura mencari kayu.

“Nampak tak ni? Kalau tak nak kena, pergi balik sekarang!”marah Arman.

“Eleh, ranting kayu je. Tak takut langsung.” aku menjuihkan bibirnya.

“Tak takut langsung? Eh! Sekali aku hayun boleh lebam kaki kau tau!”

“Tak takut juga. Kalau berani, Abang pukullah.. Mon ni kebal tau,”

“Mon ni kebal tau,”ejek Arman sambil membaling ranting kayu tadi ke semak. Aku ketawa.

Macam selalu, aku akan ikut sampailah tubuh Arman hilang dibalik pintu rumahnya. Lepas saja pintu rumahnya tertutup, aku akan pulang ke rumah dengan senang hati.

———————–

TAHUN 2000 – Aku sedang menunggu keputusan UPSR. Arman juga sudah menduduki PMR. Rutin harian aku masih seperti dulu. Menunggu Arman setiap hari tanpa jemu. Bagiku tidak ada yang lebih indah melainkan melihat dia, menunggu dia dan memerhatikan dia dari belakang.

Petang itu aku dan Opie ke padang melihat perlawanan bola sepak antara kampung aku dengan kampung sebelah. Arman kapten untuk team bola sepak kampungku. Sebaik saja wisel permulaan dibunyikan aku melihat dia berlari dengan penuh bergaya membawa bola ke gawang lawan.

“Hoi! Pandang macam nak terkeluar biji mata,”usik Opie. Aku tersengeh.

Tak sampai 15minit perlawanan, team kampung sebelah berjaya melobosi gawang team Arman. Arman nampak kecewa. Muka dia serius gila! Aku yang duduk dekat tepi padang pun serius sama.

Ditengah-tengah minit perlawanan. Berlaku pertengkaran antara Hamid dengan Joe Jambul kapten pasukan lawan. Arman semakin kecewa bila Hamid selaku penyerang dilayang kad merah dan dibuang padang. Ah! Game hanya berbaki kurang dari 20minit. Dia nampaknya sudah keletihan.

“GO KAPTEN GO..!!”sorakku ditepi padang.

Arman menoleh. Aku menggenggam buku lima menunjukkan tanda semangat. Arman senyum. Waa.. manyak comel lorh! Rasa macam nak buat lompat tepuk bintang 100 kali tanpa henti pulak!

“Kenapa kau admire sangat dekat Arman tu? Nak kata handsome, handsome lagi aku.”

Aku tersenyum. Mata masih fokus pada Arman ditengah padang. Memang Opie lagi handsome dari Arman.Tapi, masalahnya sekarang bukannya pasal handsome atau tak. Masalahnya, hati aku sayang dekat dia sorang. Orang lain aku dah tak ambil port dah!

“Eh, kau tahu tak Arman nak pindah?”tanya Opie. Keningku berkerut. Senyumku mati.

“Arman nak pindah? Bila?”

Cerita Opie, ayah Arman akan ditukarkan ke Kuala Lumpur. Jadi, mereka sekeluarga akan berpindah Ahad ini. Eh! esoklah Ahad. Cepatnya! Kenapa aku tak tahu ni? Patutlah aku perasan banyak kotak dihadapan rumah Arman.Tak sangka pula dia nak pindah. Kalau dia nak pindah… aku macam mana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience