BAB 8

Romance Completed 8554

Petang Ahad itu, Maria meminta diri untuk pulang ke rumah kakaknya di Shah Alam. Terkejut juga Nadia sewaktu Maria bersiap dengan beg pakaiannya. Sangkanya Maria datang dan balik dengan Naufal, rupa-rupanya tidak. Sangkaannya jauh menyimpang.

Kini tinggallah mereka berempat di rumah. Encik Adam dan Puan Zaiton sibuk melayan pokok-pokok di halaman rumah. Naufal pula tak keluar daripada biliknya sejak menghantar Maria ke Meru tadi. Nadia sibuk menghabiskan masa di bilik. Sibuk menghabiskan bacaan novel yang dibeli dua minggu lepas.

Ketukan di pintu bilik yang bertalu-lalu mengejutkan Nadia. Laju dia bertanya siapa.

“Abang ni.” Suara Naufal kedengaran dari luar bilik.

Nadia mencapai tudung yang tersangkut di hujung katil. Kemudian disarungkan tudung di kepala. “Masuklah.”

Pintu dibuka dari luar. Naufal berdiri di muka pintu dengan senyuman dibibir. Nadia membalas. Sudah lama tak melihat Naufal seceria itu.

“Kenapa bang?”

“Kita keluar sekejap. Jom?” Ajak Naufal.

Setelah dikhabarkan kepada Encik Adam, akhirnya mereka berdua keluar. Selama 15 minit di dalam kereta, Nadia hanya mendiamkan diri. Matanya leka memerhatikan luar.

“Kita nak pergi mana?” soal Naufal tiba-tiba.

Nadia mengerutkan dahi. “Kan abang yang ajak Dia keluar. Abanglah yang buat keputusan kita nak ke mana,” balasnya. Pelik sungguh. Ajak aku keluar tapi tak tahu nak pergi mana?

Naufal mengerling adiknya di sebelah. Berkerut-kerut muka. Comel! Sudah lama dia tak melihat wajah Nadia macam tu. Sejak peristiwa malam tu.

Tak dapat dia lupakan bagaimana mak dan abahnya menegurnya malam itu. Nadia tetap adik angkatnya! Walau dibuat macam mana pun, adik angkat tetap adik angkat. Naufal mengeluh. Semenjak hari itu dia mula menjarakkan diri dengan Nadia . Dia tak mahu orang sekeliling salah faham. Mulut orang bukannya kita boleh tutup. Sebelum orang mengata yang bukan-bukan, lebih baik dia mengelak.

“Kita lepak kedai mamak je lah?” putus Naufal.

Nadia mencebik. “Setakat lepak kedai mamak, lebih baik kita lepak kat dapur, Dia buat air. Jimat pun jimat,” rungutnya.

Naufal tersengih. Ada benarnya kata adiknya itu. Sesekali Naufal mengerling Nadia di sebelah. Manis bertudung. Bagaimanalah agaknya rupa rambut Nadia sekarang. Masih panjang ke? Atau sudah dipotong pendek?

Dia masih ingat rambut Nadia yang panjang, lebat, lembut dan lurus. Masih teringat-ingat harumnya bau rambut Nadia sewaktu Nadia tidur dipangkuannya. Saat itu dadanya bergetar dan dia tahu dia sayang Nadia lebih daripada seorang adik. Dia yakin!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience