BAB 4

Romance Completed 8554

Di dalam bilik, Encik Adam sudah memegang majalah di atas katil. Memang rutin setiap malam Encik Adam akan membaca apa saja yang dilihatnya ada di meja sebelah. Kalau buku, bukulah yang dibaca. Kalau surat khabar, surat khabar itulah yang dibeleknya nanti biar ceritanya dah basi.

Keluar dari bilik air bilik mereka, Puan Zaiton menjeling Encik Adam.

“Abang...” Puan Zaiton memanggil suaminya yang khusyuk membaca majalah perlahan. Jam di atas meja kecil di sebelah katil mereka menunjukkan pukul 11.00 malam.

“Hm?”

Puan Zaiton berjalan perlahan mendekati suaminya di katil. Dia pun turut naik atas katil di sebelah suaminya. Encik Adam yang masih kusyuk membaca tidak menghairankan isterinya yang mahu mengadu sesuatu itu.

“Saya risaulah Naufal dengan Nadia tu,” ujar Puan Zaiton. Pandangannya dihalakan ke arah siling. Masih terbayang-bayang betapa eratnya pegangan tangan Naufal dengan Nadia petang tadi.

“Kenapa?” Encik Adam menutup majalah yang dibacanya lalu diletakkan di atas meja kecil. Topik yang dimulakan isterinya menarik minatnya. Kenapa dengan Naufal dan Nadia? Kali ini baru Encik Adam mahu memberikan perhatian.

“Tak adalah. Saya tengok diorang tu rapat sangat...Semuanya sebab apa yang saya lihat siang tadi.”

Encik Adam mengerutkan dahi. Tak dapat tangkap apa yang cuba disampaikan isterinya. “Bukan ke mereka memang rapat sejak kecil? Baguslah tu. Dah adik-beradik dan membesar bersama-sama, main pun sama-sama sejak kecil, abang tak hairan kalau mereka jadi rapat,” balasnya.

Puan Zaiton mengiring menghadap suaminya. “Tapi kalau terlebih rapat saya takut lain jadinya, bang.” Puan Zaiton sudah menjeling. Nada suara kerisauan dipamerkan.

“Maksud awak? Apa sebenarnya yang cuba awak sampaikan kepada saya ni?” Encik Adam berkerut dahi.

Puan Zaiton mengeluh. “Mereka tetap adik-beradik angkat, bang. Apa pulak kata orang kalau diorang tengok Naufal dengan Nadia rapat sangat.”
Encik Adam mengangguk perlahan. Fahamlah kini apa yang isterinya cuba sampaikan.

“Insya Allah tak ada apa-apa. Dah memang diorang rapat macam tu daripada kecik. Awak janganlah fikir yang bukan-bukan. Saya kenal anak kit aberdua tu. Tak mungkin mereka akan melampaui batas,” ujarnya cuba memujuk hati isterinya.

Pun Zaiton cuba menyedapkan hati dengan mempercayai kata-kata yang diberikan suaminya tadi. Tapi naluri seorang ibu pastinya masih risau akan anak-anaknya yang berdua.

“Sudahlah tu. Esok saya kerja. Kita tidurlah, ya?” Suis lampu tidur disebelah katil di tekan. Kedua-dua buah lampu tidur di kiri kanan katil terpadam.

Encik Adam membetulkan bantal sebelum merebahkan badan di atas katil. Kemudian dia memejamkan matanya. Namun fikirannya masih lagi berfikir perkara yang diperkatakan isterinya.

Bukan dia tak tahu hukum. Anak angkat tetap anak angkat. Tak sama dengan anak susuan. Namun sayangnya dia pada anak arwah sahabatnya itu sehingga dia menganggap Nadia seperti darah dagingnya sendiri. Tak pernah dibezakan sedikit pun kasih sayang dan perhatian yang dicurahkan.

Dia tahu aurat antara anak angkat dengan ayah angkat dan adik-beradik lelaki angkat tetap sama seperti aurat perempuan dengan lelaki ajnabi ataupun lelaki dengan perempuan ajnabi. Tetapi dia tak sanggup hendak menyuruh Nadia menjauhi Naufal secara tiba-tiba.

Mana taknya, Nadia sudah tinggal dengannya sejak berumur kecil lagi. Harapannya hanya satu, semoga Nadia sendiri sedar mengenai perkara ini. Naufal juga mampu mengawal diri dan menjaga batas dalam perhubungan mereka sekeluarga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience