Esoknya, chicken pie dah terhidang di atas pinggan Ilman sebagai minum petang. Bukan main bahagia lagi muka lelaki itu. Sampaikan bila Cikgu Hayati dan Zati masuk bilik itu pun, Ilman tak bising dan tak buat perangai langsung! Siap jemput Cikgu Hayati dengan Zati makan lagi. Cikgu Hayati pula nampak berseri wajah bila Ilman dah mula tunjukkan reaksi positif dalam perkembangan emosinya.
Maira berdiri di depan pintu bilik Ilman sekejap bila Cikgu Hayati dan Zati dah turun ke tingkat bawah. Dia pandang muka Ilman yang serabut dengan rambut serabainya menutupi dahi dan jambangnya yang makin lebat. Tapi muka Ilman yang bahagia dapat chicken pie itu memang tak dapat disembunyikan.
“Awak, awak ingat tak dah berapa lama awak tak bersembang dengan Zati?” Soalan itu keluar dari mulut Maira. Soalan yang muncul bila Zati selalu beritahu pada Maira yang dia rindu nak berborak dengan abangnya ini.
“Entah.”
“Dia rindukan awak.”
Ilman diam. Dia langsung tak pandang Maira, sebaliknya dia hanya membuat muka selamba dan meneguk jus orennya.
Maira pula faham dengan isyarat Ilman itu – lelaki itu tak mahu membincangkan soal itu. Nak paksa lebih-lebih pun, tak guna jugak sebab dia takut emosi Ilman yang baru nak pulih itu terganggu. Jadi, baik dia berhenti sekarang.
“Maira?” Maira angkat muka dan pandang Ilman. Anak mata Ilman jatuh pada sebelah kanan Maira. Terus Maira menoleh ke kanan. Irsyad tengah berdiri di situ sambil tersenyum manis. Oh… Irsyad rupanya yang panggil dia tadi. Dia ingatkan si Ilman tu. Terkejut jugak tadi sebab dia ingatkan Ilman dah pandai sebut MAI-RA instead of MA-RI-A.
“Hai, Irsyad. Baru sampai?” Dia membalas senyuman Irsyad.
“Yep, penat pun tak hilang lagi ni.”
“Rehat la dulu.”
Irsyad senyum lagi. “Nak jenguk Man kejap. Dia okey?”
“Okey je. Masuk la. Saya turun dulu.” Terus dia melangkah ke arah tangga dan turun ke tingkat bawah. Nak solat Asar sekejap sebelum balik.
Share this novel