Hari ini genaplah 90 hari Maira mulakan rutin hidup yang baru. Bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur, masuk kerja pukul 8.00 pagi dan balik pukul 5.00 petang. Kadang-kadang kalau kena pergi site, kena keluar dari rumah awal. Kalau nasib baik, bolehlah balik awal. Kalau tak, berjemur sajalah kat tengah panas tu.
Dan sejak dua bulan yang lalu, dia dah tak pergi dah ke rumah Cikgu Hayati. Selepas kes Ilman ‘hentam’ dia, Maira dah tak berani nak jejakkan kaki ke rumah Cikgu Hayati. Tapi, hari itu dia terserempak dengan Cikgu Hayati dan Zati di bazar Ramadhan. Dah namanya tinggal di taman sebelah-menyebelah, bertembung jugak akhirnya. Sempat juga dia berborak-borak dengan Cikgu Hayati hari itu.
Dan daripada apa yang Cikgu Hayati cerita, Irsyad dah nak bertunang selepas raya Aidilfitri nanti. Zati pula tengah berdebar-debar nak SPM. Dan Ilman… Alhamdulillah lelaki itu dah mula merajinkan diri pergi ke hospital untuk menjalani fisioterapi. Mungkin berkat kesabaran Cikgu Hayati, akhirnya Ilman bersetuju nak buat fisioterapi.
Maira tengok jam di tangan. Pukul 10.40 pagi. Dia dah janji dengan Cikgu Hayati untuk beraya di rumah cikgunya itu pukul 11.00 pagi nanti. Tapi entah kenapa dia rasa berdebar. Dia takut nak berdepan semula dengan Ilman, selepas apa yang berlaku dua bulan lepas. Masih terngiang-ngiang tengkingan Ilman di telinganya. Harap-harap dia tak terserempak dengan lelaki itu nanti.
Share this novel